23 September 2015

Menjadi Ismail AS

[Kredit]

Kisah Nabi Ismail AS tidaklah sepopular dan seglamor kisah ayahandanya, Ibrahim AS. 

Nama baginda disebut hanya dua belas kali di dalam al-Quran, berbanding Nabi Ibrahim AS yang disebut sebanyak enam puluh sembilan kali. 

Malah kisah-kisah epik yang kita tahu tentang Nabi Ismail AS, amatlah sedikit jika mahu dibandingkan dengan Nabi Ibrahim AS. Ibrahim, sebagaimana yang dirakamkan di dalam al-Quran, sudah melalui pengembaraan spritual sejak usianya yang muda; berhadapan dengan kaumnya yang tegar menyembah berhala, dicampakkan ke dalam api yang marak menyala kerana dakwahnya, berhadapan dengan raja Mesir dengan nafsunya yang raksasa, terpaksa berpisah dengan anak dan isterinya demi sebuah redhaNya dan diuji pula dengan perintah untuk menyembelih anak kesayangannya. Cukuplah perencah dan rasa untuk menghasilkan siri novel popular bestseller atau movie blockbuster! Eh.

Tidak hairanlah Nabi Ibrahim AS diangkat sebagai salah seorang Rasul Ulul Azmi. Kedudukan baginda di sisi Allah juga amat akrab dan dekat, sehinggakan ia diabadikan di dalam solawat Ibrahimiyyah yang kita wiridkan di dalam solat kita itu. 

Berbeza ceritanya dengan Ismail AS, anak kesayangan baginda. Tidak banyak yang kita ketahui tentang sosok bernama Ismail ini, melainkan apa yang direkodkan di dalam al-Quran atau diriwayatkan melalui hadith-hadith yang sahih. 

Kita tahu bahawa Ismail AS adalah anak hasil perkongsian hidup antara Ibrahim AS dan Hajar.

Kita tahu bahawa Ibrahim AS telah diperintahkan untuk menyembelih Ismail AS setelah bermimpi dengan mimpi yang sedemikian rupa untuk tiga malam berturut-turut.

Kita tahu bahawa Ismail AS telah ditinggalkan oleh bapanya di tengah-tengah padang pasir bersama dengan ibunya yang terchenta.

Kita tahu tentang kisah Ismail AS yang diisyaratkan oleh bapanya untuk menceraikan isterinya kerana menceritakan keburukan keluarga kepada orang lain. 

Dan kita juga tahu bahawa Ismail AS bersama-sama dengan bapanyalah yang telah membangunkan Kaabah. 

Tetapi selain daripada itu, tidak banyak yang kita tahu.

Bagaimana perjalanan dakwah baginda. Apa cabaran dan halangan atau seksaan yang baginda hadapi. Apa mukjizat baginda. Adakah baginda menerima sebarang mushaf sepertimana bapanya. Siapa anak-anak baginda. Berapa umurnya ketika baginda menemui ajal. 

Nah, kita mungkin tertanya-tanya, apa signifikannya Allah menyebut nama baginda di dalam al-Quran sekiranya kehidupan dan perjuangan dakwah baginda tidak diketahui? Mengapa tidak didiamkan sahaja nama baginda, seperti mana 288 orang Rasul yang lainnya? 

Ketahuilah, tidak mungkin nama Ismail itu disebut di dalam al-Quran untuk tujuan saja-saja atau sia-sia. Tidak mungkin sama sekali!

Apatah lagi apabila kita memikirkan, melalui salasilah baginda lah suatu hari nanti, junjungan besar dan kekasih terchenta kita Muhammad SAW dilahirkan! 

Pastinya Allah SWT mahu kita belajar sesuatu daripada hambaNya yang bernama Ismail itu. Pasti ada hikmah dan kebaikan yang boleh kita ambil dari sosok itu. Dan pasti ada banyak iktibar dan pengajaran yang dapat kita contohi daripadanya. 

Dan antara hikmah dan pengajaran besar yang boleh kita tadabburi terkandung di dalam firman Allah yang mulia ini: 

"Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata, 'Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!' Dia (Ismail) menjawab, 'Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; InshaAllah kau akan dapatiku termasuk orang yang sabar.'"
[as-Saffaat, 37:102]


Subhanallah! Hayatilah kata-kata Ismail AS di dalam surah as-Saffaat ini!

"Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. InshaAllah kau akan dapatiku termasuk orang yang sabar."

Terlalu banyak ibrah dan pengajaran yang boleh kita ambil dari kata-kata sakti ini. Tidak mungkin dapat saya huraikan semuanya di dalam penulisan ini. Namun ijinkan saya untuk berkongsi beberapa perkara. 

Daripada dialog antara ayah dan anak ini, dapatlah kita belajar dari Ibrahim AS bagaimana caranya untuk menyampaikan sesuatu perintah dengan penuh adab dan pekerti. Baginda tidak memaksa. Baginda tidak mengarah atau memerintah. Tetapi baginda bertanyakan dahulu pandangan anaknya itu. Ini merupakan hikmah yang cukup besar yang perlu diteladani oleh setiap dai'e dan murabbi. 

Kemudian kita dapati pula, tarbiyah Ibrahim AS yang meresapi diri dan ruh anaknya. Sama ada melalui pemerhatian, pendengaran atau tarbiyah secara langsung, tidaklah dapat saya pastikan. Yang pasti, bukan calang-calang orang yang boleh memberikan jawapan sepertimana yang terkeluar dari mulut Ismail AS, dan sudah tentu tarbiyah dan asuhan Ibrahim AS ada peranannya.

Daripada kisah ini juga dapat kita teladani bahawa dalam melaksanakan sesuatu perintah atau tugasan dalam tarbiyah dan dakwah, ia memerlukan gandingan mantap berpasukan. Kita mungkin boleh melakukannya saorang diri, tapi dengan berdua, bertiga dan lebih ramai lagi, kita mampu untuk pergi lebih jauh. 

If you want to go fast, travel alone.
But if you want to go far, travel together. 

Namun yang paling mengagumkan antara semua ini, adalah bagaimana Ismail AS menanggapi dan menyantuni kerisauan ayahandanya. Katanya-katanya itu meskipon ringkas dan padat, namun cukup berisi dan bermakna. Ia mengandungi kebijaksanaan dan kematangan yang melangkaui usianya. 

Bayangkan jika kita menuturkan kata-kata yang sama yang dituturkan oleh Ibrahim AS kepada anak kecil atau adik lelaki kita, sudah pasti terbeliak matanya sambil berlari laju mendapatkan ibunya sambil menjerit-jerit "Ayah gila ayah gilaaa!" atau "Abang gila abang gilaaa!" Eh.

Sungguh, hanya wahyu dan asuhan dari Allah sahajalah yang bisa menjadikan Ismail AS begitu kuat dan berani untuk berkata sebegitu rupa. 

Di sana ada keyakinan pada firman Allah yang mulia. 

Di sana ada kesabaran pada mehnah dan ujian yang menimpa.

Dan di sana ada redha dan taqwa, sifat mulia bagi setiap pejuang chenta.

Cuba bayangkan kita berada di tempat Ismail AS. Rasa-rasanya kita mampu tak untuk mengungkapkan jawapan yang begitu yakin dan redha sebegitu rupa? Dengan kata lain, kau mampu?? Wahahaha. Err. 

Sekiranya pengorbanan Ibrahim AS adalah lambang pengorbanan sesuatu amat kita sayang dan hargai, pengorbanan Ismail AS pula adalah lambang pengorbanan diri sendiri. Berkorban apa yang kita ada. Berkorban apabila kita tidak punya apa-apa melainkan diri sendiri.


"Kamu tidak akan memperoleh kebajikan, sebelum kamu menginfaqkan sebahagian harta yang kamu chentai. Dan apa pon yang kamu infaqkan, tentang hal itu, sungguh, Allah Maha Mengetahui."
[ali-Imraan, 3:92]

Kita tahu pengakhiran kisah ini. Bagaimana leher Ismail AS yang sudah tersedia untuk disembelih, digantikan dengan seekor kibas. 

Pada pandangan sesetengah orang, ia adalah isyarat betapa Allah menerima keikhlasan dan kesungguhan Nabi Ibrahim AS dalam melaksanakan perintah yang diwahyukan kepadanya.

Pada saya, ia lambang Allah membalas chenta Nabi Ismail AS. 

Senyum. 

Dari Ismail AS, kita belajar erti sebuah kematangan dalam kebijaksanaan.

Dari Ismail AS, kita belajar erti sebuah ketenangan dan kesabaran dalam menghadapi ujian.

Dari Ismail AS, kita belajar untuk melahirkan sebuah ketaatan yang total kepada Tuhan.

Dari Ismail AS, kita belajar dalam tarbiyah dan dakwah, ia memerlukan sebuah pasukan yang mantap bergandingan.

Dari Ismail AS kita  juga belajar  untuk memaknai sebuah pengorbanan. 

Salam 'Idil Adha 1436H dari saya dan Puan gabbana.

Eh Eh. Lari laju-laju.

-gabbana-

21 September 2015

Bertemu Pakgad Dari Sorga

[Kredit]

Akhirnya sebuah post untuk bulan September. Senyum.

Semalam dengan ijinNya, saya berpeluang untuk ke Mesejid Putra. Mesejid ini saya akui, antara mesejid yang paling cantik dan bergaya di Malaysia ini. Dengan tiang kolum tinggi ala Lincoln Memorial Reflecting Pool di Washington DC, dengan kubah besar berwarna merah jambu dan binaan utamanya dengan batuan keperangan serta tasik buatan yang menghiasi lanskapnya, tidak hairanlah ia menjadi antara destinasi wajib para pelancong yang datang berkunjung ke Malaysia.

Walaupon niat sebenar mereka mungkin mahu berlanggar bahu dengan Perdana Menteri Malaysia. Eh.

Saya tidak malu untuk mengaku yang saya berbangga dengan seni bina dan seni reka mesejid ini, yang menjadi mercu tanda Putrajaya dan Malaysia, meskipon saya mungkin tidaklah boleh berbangga dengan ruang solatnya yang selalunya dipenuhi oleh angin shiuhh shiuhh yang bertiup sepoi-sepoi bahasa dan bukannya dengan manusia. 

Ehem.

Rupa-rupanya Mesejid Putra ini tidak hanya kaya dengan seni bina dan seni rekanya. Tapi ada juga makhluk lain yang kaya di mesejid ini. Kaya jiwa.  

Mahu dijadikan cerita, saya mahu ke tandas untuk membuang air dan terus memperbaharui wudhu' saya. Alang-alang tekak saya berasa sedikit haus, timbullah fikiran di dalam kepala untuk membeli air tin di mesin vending yang seingat saya, letaknya pada dinding di sebalik ruang wudhu'.

Alangkah kechiwanya saya apabila mendapati mesin itu tidak lagi di situ. Eh, salah tempatkah aku, saya bermonolog sendirian, meskipon monolog sebenar tidaklah seskema itu. Wahaha. 

Lantas saya bertanyakan kepada pakgad yang duduk bertugas tidak jauh dari situ.

"Vending machine kat sini dah takde ke pakcik?"

Dengan spontan pakgad itu menjawab:

"Dah takde dah. Syarikat dia kedekut, tak mahu bagi sumbangan sikit kat mesejid."

Saya hanya tertawa mendengar jawapan pakcik itu. Saya terus melangkah ke ruang wudhu', menuju ke tandas memandangkan perut saya sudah mula menukar rentak dari jazz kepada sesuatu yang lebih rancak. 

Habis menunaikan hajat dan berwudhu', saya kembali melalui koridor tempat pakgad itu berjaga. Saya mengangkat tangan, tanda sapaan mesra.

"Awak asal mana?"
 

Pakgad itu memulakan bicara.  

"Saya sini je pakcik. Kolompo."

"Oh kolompo. Kolompo belah mana?"

"Keramat."

"Oh keramat. Menantu pakcik orang Ampang Jaya."

Pakgad itu bernama Ahmad. Macam mana saya tahu? Sebab tag nama dia yang beritahu. Eheh. 

Maka bermulalah perbualan kami yang meskipon santai dan sempoi, tapi penuh dengan intan berlian berharga.

Mula-mula dia bercerita tentang ahli keluarganya. Perihal anaknya yang tidak habis belajar di Al-Azhar Mesir (Peh!), menantunya yang juga lepasan universiti yang sama (Peh peh!). Kemudian apabila dia bertanyakan tentang pekerjaan saya, dia berkongsikan pula tentang anak buahnya.

"Anak buah pakcik dulu belajar project enginer, apa engineer? Dia belajar Lepas tu dia sambung belajar Los Angeles. Eh bukan, UK. Sekarang kerja kat Dubai."

"Dubai? Peh mesti gaji besar tu."

"Adalah berbelas ribu. Mungkin."

Nampak riak bangga pada wajah pakgad itu. Kemudian dia menyambung dengan jawapan yang tidak saya sangka-sangka. 

"Alah keje mana pon sama je dik. Kerja sana, tapi harga barang mahal. Macam orang cakap, keje Ostorolia, keje clener gaji beribu. Tapi barang sana, berapa pulak harganya kan. Sama aje."

Saya terkesima dengan kenyataan pakgad itu. Wow. Kalau anda nak tahu, pakgad itu sebenarnya baharu sahaja berbicara tentang teori eknomi, khususnya inflasi dan taraf hidup (Baca: Living standard). Sama ada dia sedar atau tidak, itu belakang cerita.

Boleh tahan pawer pakgad ni. 

Pakgad itu terus laju berbicara. Nampak dia gembira dan teruja bercerita. Kasihan dia, pasti bosan duduk saorang diri di situ. 

Macam-macamlah yang dia kongsikan dengan saya. Dia bercerita bagaimana pentingnya untuk anak-anak dididik dengan agama.

"Pakcik bukan apa, tapi pakcik banggalah dengan anak pakcik yang belajar agama tu. Anak kita ni lah yang akan jadi bekalan kita dekat akhirat nanti. Kan hadith tu kan. Kita mungkin tak cukup ilmu nak kongsikan. Harta pon tak banyak mana. Anak je lah yang tinggal."

Dia juga bercerita tentang besarnya manfaat membaca Quran itu, bagaimana ayahnya yang sudah tua, masih lagi tekun dan rajin membaca Quran. Malah mengajar Quran pula di kampungnya.

"Ayah pakcik pernah cakap, kenapalah dia tak mati mati lagi, walhal dah tua. Pakcik bagitau, ada hadith, pasal malaikat nak pukul manusia. Malaikat ni tahulah, bila disuruh pukul, dia pukul. Allah kata, 'Jangan pukul hambaKu ini, sebab dia banyak membaca al-Quran.' Jadi boleh jadi, Allah nak bapak pakcik tu terus hidup supaya dia terus membaca Quran. Sebab tu dik, kau bacalah Quran tu. Sebelum solat ke. Sikit pon takpelah."

Walaupon saya tak pernah dengar hadith tu, tapi ibrahnya ada. Boleh tahan hashtag deep jugalah. Pasukan kempen semak status hadith jangan marah ya. Saya hanya berkongsikan apa yang disebut pakgad itu. Eheh. 

Kemudian dia berbicara pula bagaimana hidayah itu sebenarnya adalah milik Allah untuk para hambaNya yang terpilih.

"Macam kau ni kan, datang mesejid, solat kat mesejid, alhamdulillah lah Allah pilih. Kalau tak, kau mungkin dah ke disko! Contoh la kan. Haha."

Disko? Erk.

Dia juga berkongsikan tentang mensyukuri nikmat yang Allah beri. Bagaimana nikmat itu boleh datang dalam pelbagai bentuk dan peri.

"Macam-macam nikmat Allah bagi. Kesihatan, cukup makan, tenang pemikiran." 

Dan dia juga ada menyatakan rasa peliknya dengan sikap segelintir manusia apabila meminta-minta dari Allah.

"Ada sekali tu, pakcik nak kenduri. Pakcik doa pada Allah, masa tu pakcik atas motor, 'Ya Allah, dengan izinMu, permudahkan urusan aku ya Allah. Tapi jika sudah kehendakMu, aku redha ya Allah.' Tengok-tengok, dari hari Jumaat sampai Ahad petang, cuaca terang. Elok je pukul lima hari Ahad, hujan turun. Lebat. Berdentum (guruh)! Tapi takpelah, majlis pakcik dan selesai. 

Bila nak minta pada Allah, kena ada timbal balik. Pakcik pelik juga, bila kadang-kadang tu buat solat minta hujan kat sini, Ya Allah, Kau turunkanlah hujan. MInta macam tu je. Manusia ni, bila tak hujan, minta hujan. Bila dah hujan, banjir susah pulak. Sebab tu kena ada timbal balik tu."

(Maksud pakgad tu dengan timbal balik, mesti kena sebut "Jika sudah kehendakMu.." atau lebih kurang begitulah)

Dengan kata lain, pakcik pakgad sedang berbicara tentang peri pentingnya beradab dalam berdoa dan meminta kepada Allah! 

Kurang lebih begitulah perkongsian pakgad itu dengan saya.

Sepanjang perbualan saya dengan pakgad itu, saya hanya banyak tersenyum dan mengganguk. Sengaja tidak mahu mengganggu pakgad itu dari terus berkongsikan mutiara-mutiara kata yang mahal harganya.

Saya begitu kagum dengan keikhlasan dan keterujaan pakgad itu bercerita. Tampak jelas pada sinaran yang memancar pada wajah dan matanya. Eheh. Siapa sangka pada saorang pakgad itu, saya belajar banyak perkara.

Sehingga terlintas di kepala saya, entah-entah ini malaikat yang dihantar oleh Allah untuk menguji saya! Wahahaha. 

Pertemuan saya dengan pakcik pakgad mengingatkan saya pada sepotong ayat al-Quran:

"Dan masing-masing ada tingkatannya, (sesuai) dengan apa yang mereka kerjakan. Dan Tuhanmu tidak lengah terhadap apa yang mereka kerjakan."
[al-An'am, 6:132]

Pada pandangan mata saya yang marhaen ini, Pakcik Ahmad mungkin hanya saorang pakgad mesejid Putrajaya. Tetapi kata-katanya, amalnya (mungkin), telah membuktikan, bahawa derajatnya di sisi Allah inshaAllah tinggi dan mulia. 

Jangan disangka air yang tenang tiada buaya,
Jangan disangka pakgad mesejid tiada bisanya!

"Dahlah dik. Lagi lama kau borak dengan pakcik, entah pukul berapa nak habis ni. Hahaha."

"Haha ok pakcik. InshaAllah kalau saya datang mesejid Putra ni lagi, saya datang tegur pakcik!"

InshaAllah pakcik pakgad. Moga kita ketemu lagi, jika tidak di dunia, di sorga sana!

InshaAllah! 

-gabbana-

Seperti biasa, penceritaan semua oleh saya pastinya melibatkan tokok tambah dan kurang, pertambahan perisa dan rempah di sini dan sana. Maaflah saya tidak punya ingatan bertaraf fotogenik fotografi untuk mengingati semua perbualan saya dengan tepat lagi jitu. 

Kepada anak Pakcik Ahmad, sekiranya anda terbaca nukilan ini, sampaikan salam saya pada ayahanda anda itu. Dia memang osem! 

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP