30 August 2015

#Merdeka

Cerita pendek ini ditulis dan disiarkan buat pertama kalinya di dalam Zine Enonimus, sebuah zine yang diterbitkan oleh Hud Hud Media (nama lama Penerbitan Wahai!) edisi Taasis (pemula). Nampak gaya macam edisi yang terakhir juga. Kekeke. Peluh kecil.

***


I
Masa aku kecik-kecik, aku ni nakal orangnya. Tak reti nak duduk diam. Tak pandai nak duduk dalam rumah.

Mesti ada je benda yang aku nak buat. Aku ni kreatif pulak tu orangnya. Eceh. Jadi kepala aku ni ligat je fikir benda-benda baru nak buat. Omputih kata, mischievous.

Kadang-kadang tu pergi mandi parit besar depan rumah. Kadang-kadang tu main senapang kayu pakai buah ceri jadi peluru. Kadang-kadang tu main basikal keliling kawasan perumahan sambil buat willy. Kadang-kadang tu main teng-teng. Kadang-kadang tu tangkap ikan dan cari jarum emas.

Banyak la kau punya kadang-kadang.

Kena piat telinga tu dah takde apa dah untuk aku. Kena sebat? Alah, tadehal lah. Tapi kalau muka telinga bapak aku dah tukar kaler merah, itu buat aku cuak. Sekali dia jerit, terasa bergegar rumah teres dua tingkat tempat kami tinggal.

Ada sekali tu aku main hujan. Alang-alang dah main hujan tu, berkubang dalam lumpur la sekali! Aku balik rumah comot. Habis satu badan kotor dengan lumpur.

Boleh ke bapak aku tak bagi aku masuk. Dia suruh aku duduk luar sampai hilang kesan-kesan lumpur tu kat badan aku. Malu aku sebab jiran-jiran semua keluar nak tengok apa yang terjadi. Punyalah kuat bapak aku jerit. Mengekek si Azim tu gelakkan aku. Kurang asam.

Umur aku enam tahun, bapak aku masukkan aku sekolah tadika. Sumpah bosan. Pagi pagi lagi dah kena bangun, mandi semua. Rumah aku masa tu mana ada heater bagai. Macam mandi ais! Gigi dengan lutut aku berketar pada kadar dan rentak yang sama. Harmoni.  

Duduklah aku dekat tadika tu dari pagi sampai jam dua belas macam tu. Belajar A, B, C. Belajar 1,2, 3. Tadika aku pergi tu tadika sekular. Jadi takde belajar aliif, baa, taa. Kadang-kadang tu belajar nyanyi nyanyi. Kadang kadang tu main dekat luar. Part tu aku suka.

Balik rumah, lepas mandi-mandi, makan tengah hari semua, aku terus siap-siap untuk jalankan aktiviti aku. Mana boleh duduk diam!

Aku rasa bebas bila dapat keluar rumah dengan kawan-kawan buat benda-benda lasak. Aku rasa bebas bila dapat kayuh basikal laju-laju, menikmati angin yang menampar-nampar muka aku. Aku rasa bebas bila aku dapat lari-lari celah lalang dan semak, meskipon calar-balar tangan dan kaki aku dibuatnya.

Ya, itulah definisi merdeka aku masa kecik-kecik dulu. Dapat main puas puas. Rasa bebas. Tak kena kongkong dengan mak bapak!


II
Entah macam mana, silap percaturan di langit agaknya, aku dapat masuk sekolah asrama lepas UPSR. Masa cikgu bagi aku borang asrama dulu, aku nak tak nak je isi. Aku pon tak pasti kenapa cikgu aku offer dekat aku. Kepala dia masuk air kot hari tu.

Ada tiga pilihan. Sama ada:
  • Sekolah Berasrama Penuh aliran sains (SBP)
  • Sekolah Berasrama Penuh aliran agama
  • Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)
Duh, korang pon tau kot aku tick yang mana. Konfem konfemlah bukan SBP aliran agama! Hahaha.

Aku pon dengan yakinnya pilih SBP aliran sains. Kenapa bukan MRSM, itu jangan tanya aku, Nanti budak-budak MRSM baca ni, depa bengkek! Heh.

Aku ni, takdelah pandai sangat. Takat bawah hidung je. Tapi alhamdulillah, result UPSR aku bolehlah buatkan bapak aku tersenyum bangga dan mak aku ada bahan borak dengan saudara-mara.

Bila result SBP keluar, kawan aku dengan eksaitednya bagitau yang aku dapat masuk sekolah berasrama all-boys. Semua lelaki. Sekolah mana, tak payah la aku bagitau. Kat Malaysia ni ada berapa je pon sekolah berasrama semua lelaki kan?

Masa mula-mula masuk tu, culture shock beb. Biasalah, dah biasa duduk bawah ketiak mak kan. Home sick. Setiap hari telefon mak bapak aku, merengek-rengek nak balik rumah. Hahaha!

Gerun tengok abang-abang senior yang ganas-ganas. Espeseli yang main ragbi. Lengan depa je dah besar peha aku. Peha depa? Toksah cakap lah. Boleh terkencing aku dibuatnya.

Padahal depa ni baik je. Orang kata, dalam hati ada taman lah. Lama-lama, aku seronok pulak sekolah kat situ. Sebab dah ramai kawan. Dah kamceng dengan senior semua. Aku pulak jadi feveret depa, sebab aku yang ligat dan kreatif sejak kecik ni, masih terbawa-bawa perangai tu ke zaman sekolah menengah. Ada je idea baru aku. Jadi aku senang masuk dengan depa.

Daripada home sick, jadi home kerek. Kalau boleh takmau balik rumah. Telefon mak bapak pon dah jarang-jarang.

Aku banyak habiskan masa dengan geng-geng aku. Tak pon dengan abang-abang senior.

Lama-lama aku belajar fly. Kau orang budak-budak asrama mesti tahu kan? Outing haram. Alah bukan buat apa pon. Makan-makan. Masuk cyber café. Thrill beb.

Budak-budak darah muda macam aku ni, sukakan thrill je. Suka kena kejar dengan warden. Suka main sorok-sorok. Suka panjat pagar. Rasa puas bila dapat larikan diri dari warden. Rasa bangga bila dapat cerita kat kawan-kawan yang aku berjaya fly tanpa tertangkap.

Aku tahu aku nakal. Dan bila fikir-fikir balik, aku tak bangga pon dengan apa yang aku buat masa tu. Tapi satu benda je yang aku bersyukur; aku tak pernah sentuh rokok. Entah. Memang tak minat. Mungkin sebab aku ada asma. Bau rokok je dah boleh buat aku sesak.

So sejahat-jahat aku, aku fly je lah. Seumur hidup aku kat sekolah tu, sekali je aku pernah tertangkap. Tu pon sebab si Malik tu (orang panggil Bob Marlek) tu terhegeh-hegeh lari masa warden kejar kami. Tak sampai hati aku nak tinggalkan dia. Setiakawan beb. Komrad. Haha.

Jadi masa tu, erti merdeka buat aku masih lagi tentang diri aku. Walaupon dah belajar dalam kelas Sejarah (kelas yang selalu buat aku tangkap lentok) yang kemerdekaan itu adalah hari Tanah Melayu dapat kemerdekaan dari segi pemerintahan autonomi dari puak penjajah British. Terima kasih lah kepada Tunku Abdul Rahman, Tun Dr. Ismail Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan and the gang. Tun tun belaka!

Tapi untuk aku, merdeka masih lagi tentang aku. Tentang kepuasan nafsu.

Dapat enjoy dengan kawan-kawan. Dapat releasekan tension dekat CC tengah-tengah malam buta. Dapat fly bila-bila masa yang aku suka.

Bebas! Itu baru betul-betul merdeka!


III
Aku macam tak percaya dengan result SPM aku. Beberapa kali jugaklah aku cubit-cubit pipi aku sebab nak pastikan yang aku tak bermimpi.

Takdelah gempak mana. Takdelah sampai tahap si Nur Amalina atau Nik Nur Madihah sampai terpampang di muka depan surat khabar. Peh.

Tapi cukup sifatlah untuk bagi aku peluang isi borang biasiswa untuk belajar ke luar negara. Ha, kau orang pon tak percaya en?

Bila result biasiswa keluar, dalam banyak-banyak tawaran yang aku dapat (aku dapat lebih dari 2 tawaran ok? Bangga siot.), lepas istikharah tanya orang semua, aku pilih biasiswa JPA untuk ke Jepang. Yes guys. Negara yang pernah menjajah kita semua dulu.

Kau orang tahu sebab sebenar aku berat nak Jepun? Tapi kau orang diam-diam je lah. Jangan sampai kat bapak aku pulak.

Sebabnya… Aku dulu peminat tegar Dragon Ball dengan Doraemon! Hahaha! Sumpah aku tak tipu. Bila fikir-fikir balik, terasa sengal pon ada. Oh well.

Sampai je kat Jepun, aku rasa macam heaven. Mak bapak aku takde untuk kongkong aku. Takde warden nak kejar aku. Yang ada awek-awek Jepun yang kawaii, yang sekali aku kenyit mata, tergedik-gedik depa kenyit mata kat aku balik! Ahahaha! Aku bahagia!

Hidup aku tunggang-langgang. Macam takde halatuju. Yang aku tahu aku nak berseronok je. Aku bebas nak buat apa yang aku suka. Balik pukul berapa ikut suka hati aku. Nak tuang kelas pon ikut suka hati aku. Yang penting aku perform dan tak kena warning dengan JPA. Setel.

Hidup aku macam tu, sampailah entah macam mana, aku tersesat masuk satu program ni. Rasa macam kena tipu pon ada. Kata nak makan-makan je, tengok-tengok lepas tu ada tazkirah dari abang senior. Panjang pulak tu. Ceh.

Tapi aku tak pernah menyesal lah aku terjoin program tu. Aku rasa macam kena tampar. Literally. Sakit doh.

Balik dari program tu, aku reflect balik kehidupan aku sepanjang aku bernafas kat muka bumi ni. Muhasabahlah orang kata. Eceh.

Apa yang aku dah capai dalam hidup ni? Aku ni betul-betul ke Muslim? Aku ni layak ke digelar hamba? Kalau aku mati, agak-agak aku masuk syurga tak? Soalan last tu memang betul-betul bikin aku sentap beb!

Tak senang duduk aku dibuatnya. Rasa resah. Berdebar je bila fikirkan semua tu. Gelisah. Tak boleh tidur malam aku!

Dari situ, aku diajak join usrah. Yes guys, usrah. Kau orang tak percaya en? Aku pon macam tak percaya yang aku, aku ni, of all people, join usrah. Hahaha.

Dalam usrah aku jumpa jawapan-jawapan kepada persoalan aku. Takdela tang tang tu jumpa terus. Sikit-sikit lah.

Aku semakin tenang. Tak liar macam dulu. Lebih civilised orang kata. Aku tak tau mana datang sumber ketenangan aku tu. Of course la jawapan skemanya dari Allah lah kan. Tapi aku lebih bahagia la. Dalam erti katanya yang sebenar. Kot.

Satu hari tu ada daurah. Ala daurah ni nama Arab je. Dia sebenarnya macam kumpul ramai-ramai lepas tu dengar ceramah. Ada pengisian. Ada aktiviti sikit. Tu je.
Pengisian daurah tu nama dia Sayonara Jahiliyyah. Selamat tinggal jahiliyyah. Nama canggih en?

Sumpah pengisian tu membunuh. Maksud aku, dengar pengisian tu, kau orang akan rasa macam nak terjun gaung. Tertekan beb. Rasa bersalah gila. Semua tembakan kena tepat. Bull’s eye omputih kata. Mana taknya, semua contoh-contoh jahiliyyah yang dia bagi macam tengah describe pasal aku! Adeh la.

Tapi dalam banyak-banyak quotes dan analogi yang dikongsi, aku paling suka dan terkesan dengan kata-kata Rabi’e bin Amir, seorang perajurit di zaman khalifah ‘Umar al-Khattab. Dia dengan rilek dan koolnya, cakap dekat Rustum, panglima perang tentera Parsi masa tu:

"Allah mendatangkan kami bagi mengeluarkan hamba-hamba (manusia-manusia) dari menjadi hamba kepada hamba (manusia) supaya menjadi hamba kepada Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Dari kesempitan dunia kepada dunia yang lebih luas. Dari kezaliman beragama kepada keadilan Islam."

Pergh en? Aku tahu. Aku yang jantan ni pon goyang jugaklah bila hayati betul kata-kata beliau.

So sekarang ni, kalau kau orang tanya aku, apa erti merdeka untuk aku. Ini jawapan aku:

Aku merdeka dari cengkaman jahiliyyah. Aku merdeka dari tarikan-tarikan duniawi. Aku merdeka dari belenggu nafsu serakah diri aku. Walaupon aku merdeka, tapi aku tetap hambaNya yang satu. Meskipon aku merdeka, aku masih terikat dengan syariat Islam. Dan aku hanya akan benar-benar merdeka bila aku berjaya raih chentaNya dan masuk sorga.

Ya, susah. Ya, macam mustahil. Tapi kalau aku nak betul-betul merdeka, aku kena buatlah semua tu.

Itulah merdeka untuk aku.

Kau orang? Macam mana?

-gabbana-

Selamat hari kemerdekaan kali ke-58 Malaysia! Dah 58 tahun kita merdeka dari penjajahan Queen Elizabeth. Bila pula kita nak merdeka dalam erti katanya yang sebenar?

Kbai.

26 August 2015

Ikhwah Lipas

Balik je rumah, nampak benda ni. Menjerit melompat atas almari tak dibuatnya kita? Eheh. [Kredit]

Apabila mendengar sahaja perkataan lipas', benda apa yang pertama sekali menerjah kepala dan otak anda?

"Ewwwww!"

"Serangga perosaaaak!"

"Makhluk paling pengotorrr!"

"Ewwwww!"

"Geliiiiiii!!!"

"Ewwwww!"

Dan beberapa lagi reaksi dan respon yang tidak sanggup saya tulis di sini. Begitulah stereotaipnya masyarakat kita tentang lipas.

Lipas ialah makhluk yang seringkali disalahertikan, sebaris dengan babi dan ikan jerung. Kasihan mereka ini yang sering menjadi mangsa su'udzan manusia. Eh.

Hakikatnya, lipas adalah salah satu daripada makhluk terhebat ciptaan Allah. Malah tidak keterlaluan untuk saya katakan, lipas adalah makluk bertaraf super yang tiada tolok tandingnya.

Anda tidak percaya?

Mari kita lihat beberapa fakta tidak terpercaya tentang lipas. 

  1. Bukan semua lipas ialah serangga perosak. Ada 4,000 spesis lipas dan hanya kurang lebih 30 sahaja yang dikategorikan sebagai serangga perosak.
  2. Lipas sudah pon melata di muka bumi Allah ini sejak tiga ratus lima puluh juta tahun yang lampau! 
  3. Lipas boleh hidup dalam keadaan yang amat mendesak. Ia malah boleh hidup tanpa sebarang makanan untuk enam minggu lamanya!
  4. Lipas boleh makan apa sahaja dan ini antara sebabnya mengapa kadar survival nya amat tinggi
  5. Lipas boleh hidup berminggu-minggu lamanya tanpa kepala! Apa?? 
  6. Lipas adalah serangga yang sangat laju pergerakannya. Apabila keenam-enam kakinya beraksi, ia boleh bergerak selaju 80 sentimeter per saat (atau 3 batu per jam)! Tak hairanlah ada simpulan bahasa 'lipas kudung'!
  7. Lipas boleh menahan nafas sehingga empat puluh minit lamanya. Kalau kita tu mahu muka dah biru pekat jadinya!
  8. Lipas Jerman hanya memerlukan tiga puluh enam hari untuk membesar menjadi lipas dewasa! 
  9. Dan ini fakta yang paling meletupkan otak: Lipas boleh kekal hidup hatta selepas letupan nuklear...!! (Pasukan Mythbuster telah membuktikan fakta ini dengan sedikit diskelemer)

Bagaimana? Tidakkah kini anda merasakan lipas bukan calang-calang makhluk? Bukankah kini anda melihat lipas tidak sama seperti dahulu? Bukankah kini anda terasa seperti mahu membela lipas dan menjadikan ia sebagai serangga kesayangan anda? Wahahaha. 

Nah, apa kena-mengena lipas dalam kehidupan sehari-hari kita, apatah lagi untuk ikhwah (dan akhawat) seperti yang dicadangkan oleh tajuk post ini? Selain daripada serangga perosak yang sering menghabiskan sisa-sisa makanan kita, yang berlegar dan merayap di dalam kereta kita yang kotor dan sebab utama mengapa kita membeli Ridsect atau Shieldtox? 

Saya ingin mengambil ibrah daripada fakta-fakta menakjubkan tentang lipas seperti yang saya kongsikan dan kaitkan dengan kita semua. 

Anda sudah bersedia? Tahan nafas anda. 

Bukan semua lipas adalah serangga perosak
Seperti lipas, kehidupan sebagai seorang al-akh juga sering disalahertikan. Ikhwah tidak kool. Ikhwah tidak hensem. Ikhwah skema. Ikhwah takde life. Ikhwah itu dan ini.

Kasihan kan menjadi ikhwah? 

Namun itulah kepahitan yang terpaksa kita telan apabila dahulunya kita melompat masuk ke dalam gerabak tarbiyah dan dakwah ini. Menjadi seorang al-akh bermakna bersedia untuk menjadi ghuraba' di dalam dunia fana yang penuh fatamorgana ini. Eceh. 

Melihatnya dari satu sudut yang sedikit berbeza, ia sebenarnya adalah motivasi untuk kita agar lebih giat dan bersungguh dalam menyebarkan dakwah, agar orang di luar sana tahu betapa bahagia dan terujanya menjadi sebahagian daripada konspirasi tarbiyah ini. Eheh. 

Biarlah orang salah sangka dan salah erti kita ini seperti lipas sekalipon, asalkan kita ini lipas yang menuju redha Allah! Eh.

Lipas sudah wujud sejak ratusan juta tahun
Obor dakwah yang kini di tangan kita, sebenarnya sudah menyala sejak zaman Nabi Adam AS lagi. Jika kita menelusuri al-Quran, kita akan dapati semua Rasul dan Nabi membawa risalah tauhid yang sama. Mereka menyeru dengan seruan yang sama dan mengajak dengan ajakan yang sama.

Makanya, kita perlu berasa teramat bangga bahawasanya al-Haq yang kita perjuangkan ini bertokmoyangkan para Nabi dan Rasul kekasih Allah semuanya! Allahu Akbar!

Lipas adalah survivor
Sebagai seorang dai'e, tidak boleh tidak, kita pasti akan diuji dengan pelbagai mehnah dan tribulasi. Dan kadangkala, cubaan yang menimpa kita tersangatlah berat dan mencabar, sehinggakan yang tinggal ketika itu hanyalah kita dan Allah semata. Hatta rakan-rakan dan keluarga kita juga mungkin akan meninggalkan kita! 

Maka bersedialah. Ketika kita diuji pada titik kita yang paling lemah, sehingga kita tergolek dan terduduk, tersadung dan terjatuh, ketika itu, ingatlah pada semangat lipas!

Lipas boleh makan apa sahaja
Kadangkala sumber-sumber untuk berdakwah yang ada pada kita tersangatlah terhad. Mungkin pada satu ketika, kita tidak punya kenderaan untuk bergerak. Pada ketika yang lain, mungkin kita tiada satu sen pon untuk dibelanjakan. Dan pada masa masa yang lain, kita tidak punya masa dan tenaga, kerana terlalu penat diperah dan dikerah oleh dunia. 

Ketika itu, kita perlu manfaatkan apa sahaja yang kita ada agar obor dakwah itu akan terus menyala. Kita perlu gunakan segala sumber yang tersisa agar tarbiyah dan dakwah itu agar terus hidup di dalam diri kita! 

Lipas boleh hidup tanpa kepala
Ha yang ini sangat menarik untuk diinterpretasikan. Kadangkala kita terpaksa meneruskan kehidupan dakwah kita hatta tanpa murabbi yang membimbing kita. Contoh yang sangat praktikal adalah apabila kita tercampak nun ke hujung ceruk tok kun atau tempat jin bertendang sana, sama ada disebabkan kerjaya atau balik kampung. Buatnya pulak tiada internet atau lebih teruk, talian telefon! Adeh. 

Nah, ketika itu takkanlah kita sanggup membiarkan tarbiyah diri yang sudah terbina sejak sekian lama tergadai terkorban begitu sahaja?

No no no! Jadilah seperti lipas yang boleh hidup berminggu lamanya walaupon tanpa kepala!

"Oh kalau macam tu Inche gabbana, lepas takde murabbi untuk berminggu lamanya, boleh futur lah?"

Tersedak. 

Lipas kudung
Seperti lipas, seorang dai'e murabbi itu mesti pro-aktif dan sentiasa laju di dalam setiap tindakannya. Bukan gopoh, tapi laju! 

Tidak perlu sentiasa menanti arahan murabbi untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Sentiasa sensitif dengan keadaan ikhwah dan sebarang konflik/isu yang ada. Sentiasa pantas melangsaikan sesuatu tugasan dan taklifan yang diberikan. Sentiasa merebut peluang dakwah yang ada tanpa menunggu sesiapa. Dan dengan penuh keterujaan dan semangat menyebarkan syahadatul haq!  

"Err Inche gabbana, kalau murabbi ajak berbulatan gembira atau konferens riang, lepas tu saya cepat-cepat lari, itu dikira mengambil semangat lipas tak?"

Jatuh kerusi.  

Lipas boleh menahan nafas lama
Err.

Kadangkala kita ditahan daripada sumber yang paling asas dalam berdakwah; tarbiyah contohnya. Hal ini boleh jadi disebabkan oleh keadaan setempat yang punya banyak kelemahan sehingga tarbiyah para kader dakwah diabaikan. Atau boleh jadi disebabkan oleh cabaran-cabaran kehidupan seperti kerjaya, keluarga dan sebagainya.

Apabila kita dilanda badai sebegini, tatkala sumber asas yang memberi kehidupan kepada jiwa dan ruh kita ditarik dan dirampas, ketika itu kita mesti punya kebolehan untuk terus bertahan dan bertahan. Paling koman, kita masih punya tarbiyah dzatiyah untuk dijadikan pergantungan. 

Terer tak saya goreng? Wahahaha. 

Lipas boleh membesar dalam tempoh yang singkat
Dalam dakwah, kita perlu menjadi matang dengan cepat. Matang itu bukan bermakna berjambang, jalan mendabik dada dan apabila ada orang terlanggar bahu, kita marah-marah. Itu bukan matang. 

Tetapi matang yang dimaksudkan di sini adalah tidak kebudak-budakan, manja dan mengada-ngada dalam berdakwah. Semuanya nak mengharapkan pada murabbi sahaja. Ikhwah tegur sikit dah merajuk belakang pokok. Semua perkara nak siap tersedia tanpa kita mengeluarkan sebarang usaha. Kena berkorban sikit dan mengeluh berjela. Kalau murabbi atau mas'ul tak suruh, satu benda pon tak jalan.

Tak lipas la bro!

Lipas boleh tahan letupan nuklear
Akhirnya, kita perlu menjadi seorang dai'e murabbi yang punya jati diri yang utuh dan keimanan yang kukuh. Sehinggakan apabila musibah yang paling dahsyat dan mehnah yang paling mengerikan datang melanda sekalipon, kita tetap berdiri dengan hensem bergaya.

Tidak kiralah musibah berupa pergolakan jemaah, keluarga yang tidak memahami, kesempitan hidup, masyarakat yang menolak dakwah yang kita bawa atau pihak penguasa yang memburu kita, sehebat dan sekuat mana pon ujian yang datang menyerang kita, kita akan tetap tsabat di atas jalan perjuangan ini. 

Kerana apa? Kerana kita punya Allah di sisi. 

Senyum.

Begitulah sedikit sebanyak pengajaran dakwi dan tarbawi yang boleh kita ambil dari kehidupan saorang lipas. Eh maksud saya, seekor lipas. Siapa sangka bukan, dari lipas yang sering disalaherti itu pon, rupa-rupanya ada banyak pengajaran dan hikmah yang boleh kita ambil dan amalkan?

"Tidakkah engkau tahu bahawa apa-apa yang ada langit dan apa-apa yang ada di bumi bersujud kepada Allah, juga matahari, bulan, bintang, gunung-gunung, pohon-pohon, haiwan-haiwan yang melata dan banyak antara manusia? Tetapi banyak (manusia) yang pantas mendapatkan azab. Barangsiapa dihinakan Allah, tidak seorang pon yang akan memuliakannya. Sungguh, Allah berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki."
[al-Hajj, 22:18]

Ayuh ikhwah!

Jika lipas yang kecil dan tidak dikurniakan akal itu pon boleh jadi sebegitu hebat, manusia yang Allah kurniakan akal fikiran, tinggikan derajat dan muliakan melebihi sekalian makhluk yang lainnya, wajiblah menjadi jauh lebih hebat lagi kan?? 

Malulah kalau pada bila-bila masa, hatta sesaat cuma, perangai dan akhlak kita menjadikan kita lebih hina dari lipas!
Ayuh jadi ikhwah lipas!

Err maksud saya, ayuh jadi sehebat lipas! Wahai!

-gabbana- 

Saya ada beberapa cerita yang menarik tentang lipas:

1) Saya pernah dengar kes kemalangan yang melibatkan akhawat kerana terlalu sibuk mahu membunuh lipas di dalam keretanya. Moral dari cerita ini? Jangan biarkan ada sisa makanan di dalam kenderaan anda.

2) Ada satu tips berguna untuk memerangkap lipas yang berkeliaran di dalam kereta anda. Dapatkan sebotol minuman manis dan minum air di dalamnya sehingga hampir habis. Biarkan botol itu tanpa penutupnya. Tinggalkan di dalam kereta anda buat semalaman. Esok pagi, anda pasti akan dikejutkan dengan nenek lipas, atok lipas, mak lipas, bapak lipas dan anak beranak lipas sedang berkenduri kendara di dalam botol itu. Tutup dan buang botol itu. 

3) Orang Sarawak menggelar orang Semenanjung sebagai 'lipih' iaitu lipas. Mengapa? Sila dapatkan kawan Sarawak yang terdekat dengan anda dan tanyakan kenapa. 


Mohon jangan ada mana-mana pengarah atau penerbit yang mencari saya selepas ini untuk menulis skrip filem terbaru berjudul 'Lipas Man.' Kekeke. 


21 August 2015

Apabila Kita Hanya Mampu Untuk Berhuhu

[Kredit]
Ada sepotong hadith yang seringkali diulang dan diulas di dalam pengisian Ini Sumpah Kool (ISK). Hadith itu berbunyi begini:

مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِى الدِّينِ

"Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan dengannya, Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama."
[Hadith riwayat Bukhari dan Muslim]

Kebiasannya, muwajjih (Baca: Abam osem yang menyampaikan ISK tu) akan menghuraikan dengan panjang lebar perbedaan antara 'faqqihu' dengan 'faqquhu', yakni beza antara faham dan tahu. Bagaimana jika Allah chentakan hambaNya, Dia akan berikan kefahaman di dalam agamaNya yang tinggi dan mulia.

Hari ini saya nak ajak anda untuk sekali lagi melihat dan meneliti hadith ini, tapi kali ini dari sudut pandang yang sedikit berbeza.

Ramai orang apabila menterjemahkan hadith ini, akan menterjemahkannya sebagai, "Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya..." 

Ini adalah terjemahan yang kurang tepat. Macam bila kita baling dat dan tak kena pada mata kerbau. Eh anda orang faham ke saya merepek apa ni?

Jika terjemahannya itu tepat, maka bahasa Arabnya pasti akan menggunakan kalimah 'lahu' dan bukannya 'bihi', sedangkan di dalam hadith ini, kalimah 'bihi' yang digunakan. 

Sayugia terjemahan yang lebih tepat dan sejahtera adalah 'kebaikan dengannya' dan bukannya 'baginya.' 

Nah, apakah impaknya apabila kita memahami hadith ini dengan terjemahan 'dengannya' dan bukan 'baginya'?

Sangat-sangat besar.

Sekali lagi. *buat muka seriyes* Sangat-sangat besar.

Apabila kita memahami hadith ini dengan terjemahan 'baginya', apa yang dapat kita fahami adalah apabila Allah mahukan kebaikan pada seseorang hambaNya, Dia akan menganugerahkan hambaNya itu dengan kefahaman dalam agama.

Sedangkan apabila hadith ini difahami dengan terjemahannya yang lebih tepat, yakni 'dengannya', ia membawa maksud, barangsiapa yang Allah mahukan orang lain mendapat kebaikan melalui diri seseorang, maka Allah akan berikan orang itu dengan kefahaman dalam agama.

Baiklah sekali lagi.

Maksud hadith, "Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan dengannya, Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama" ialah sekiranya Allah mahukan kebaikan itu dinikmati dan dirasai oleh ramai orang melalui diri seseorang, maka Allah akan menganugerahkan diri seseorang itu dengan kefahaman dalam agama.

Nah sangat berbeda bukan?

Sebagai seorang dai'e murabbi, kita akan mendapati maksud hadith ini teramatlah signifikan sekali. Dengan kata lain yang lebih indie, hadith ini sumpah mengujakan! Wah! 

Hadith ini boleh menjadi kayu ukur kepada kita sama ada Allah telah mengurniakan kita dengan kefahaman dalam agama. Bagaimana?

Islam adalah agama rahmat untuk sekalian alam. Ehem. Ia adalah manhaj, cara hidup untuk semua dan tidak khusus untuk umat Islam semata. Hatta panda di China, ikan paus di lautan Pasifik, pokok kaktus di padang pasir Mexico dan obor-obor di laut Merah turut mendapat manfaat daripada Islam.

Seorang dai'e ialah duta kepada Islam. Sekiranya bukan dai'e yang mahu menterjemahkan keindahan Islam itu menjadi suatu cara hidup yang praktikal, siapa lagi?

Nah, sekiranya kita faham apa yang dituntut oleh Islam, apa yang Islam perjuangkan dan apa mesej yang hendak disampaikan oleh Islam, sudah tentu kita sendiri akan menjadi rahmat untuk sekalian alam. Setiap kata-kata kita, gerak-geri kita, perbuatan kita, pertuturan kita, muamalah kita, akan sentiasa bermanfaat dan menjadi kebaikan untuk orang lain. 

Inilah yang mahu disampaikan oleh hadith di atas. Seorang manusia yang diberi kefahaman dalam agama, pasti akan bermanfaat kepada orang lain. Atau dengan kata lain, seseorang yang dianugerahkan oleh Allah kefahaman dalam agama, dia pasti akan bersungguh-sungguh menyampaikannya pula kepada orang lain di sekelilingnya.

Kerana itulah hadith ini merupakan hadith yang agung dari segi makna dan mesej yang ingin dibawanya. Ia merupakan dalil yang cukup kuat dan motivasi yang cukup hebat untuk berdakwah!

Sekejap bagi saya berfikir sebentar.

Pehhhh!!! Ini memang sesuatu yang sangat haibat!

Lantas mari kita bermuhasabah untuk melihat sama ada kita ini terpilih atau tidak untuk mendapat anugerah agung kefahaman dalam agama.

Sejak kita jatuh chenta dengan tarbiyah dan dakwah, adakah kita sudah meninggalkan kesan yang besar kepada Puan Mama dan Inche Papa kita?

Semenjak kita dengan bangganya menasabkan diri kita dengan gerakan dakwah, adakah jiran tetangga kita sudah merasa betapa nikmatnya hidup ditarbiyah seperti mana yang kita rasa? 

Sejak kita sudah tidak malu-malu lagi untuk mengaku diri kita sebagai seorang dai'e, adakah rakan-rakan baik kita yang sewaktu ketika dahulu sama-sama terjun sungai, sama-sama ponteng kelas, sama-sama tekel anak dara Mak Kiah itu sudah dibulatangembirakan?

Semenjak kita ber'ana'-'nta' dan dengan bersemangat melaungkan slogan-slogan jihad dan perjuangan, bagaimana dengan rakan sekerja kita di kantor itu, adakah mereka menjadi orang yang lebih baik disebabkan oleh pengaruh kita?

Dan sejak kita ditampar kuat oleh Makcik Hidayah suatu ketika dahulu, sehingga menyebabkan kita tercampak dari lembah neraka ke taman-taman sorga, adakah kita berusaha dengan segigih mungkin untuk memastikan orang di sekeliling kita ditampar sama?

Sekiranya setiap kali membaca soalan di atas dan kita hanya mampu untuk menggelengkan kepala sambil berhuhu sahaja, ketahuilah...

Kita belum lagi dikurniakan dengan kefahaman dalam agama!

Woi! Siapa yang baling bawang ni?? Tepat kena mata! 

-gabbana-   

14 August 2015

Projek Pembodohan Firaun

[Kredit]

Ada sebab yang sangat signifikan mengapa Allah SWT menjadikan mayat Firaun tidak hilang terus ditenggelami Laut Merah atau dimakan ikan jerung atau dimamah sotong kurita gergasi. 

Allah SWT merakamkan hal ini di dalam al-Quran: 

"Maka pada hari ini Kami selamatkan jasadmu (Firaun) agar engkau dapat menjadi pelajaran kepada orang-orang yang datang setelahmu..."
[Yunus, 10:92]

Kisah pertembungan epik antara Nabi Musa AS dengan Firaun adalah kisah yang paling banyak diulang-tayang di dalam al-Quran. Selain membekalkan para dua't hari ini dengan pengajaran fiqh dakwah yang tidak ternilai harganya dalam berhadapan mad'u yang bengis dan tidak berhati perut seperti Firaun, catatan demi catatan di dalam al-Quran yang mengisahkan tentang Firaun juga memberi kita maklumat yang berguna tentang aspek siyasah (politik) dan kenegaraan. 

Bagaimana? 

Firaun merupakan seorang diktator zalim yang mempunyai kuasa mutlak dalam memerintah rakyat dan negaranya. Kekuasaan Firaun telah menyebabkan dirinya angkuh sehingga tergamak mengaku dirinya sebagai Tuhan. Hal ini dirakamkan di dalam al-Quran:

"Kemudian dia (Firaun) mengumpulkan (pembesar-pembesarnya) lalu berseru (memanggil kaumnya), (seraya) berkata, 'Akulah Tuhanmu yang paling tinggi.'"
[an-Nazi'at, 79:23-24]

Geleng kepala. 

Namun Firaun tidak mungkin akan mampu untuk menjadi sebegitu angkuh dan berkuasa sekiranya tidak mendapat dokongan dan sokongan daripada rakyat jelatanya sendiri. Firaun hanyalah seorang manusia biasa yang tidak punya apa-apa kelebihan luar biasa sekiranya mahu dibandingkan dengan sesiapa di zamannya. Dia tidak boleh terbang, tidak boleh berjalan di atas air dan hatta dengan kuasa bulan sekalipon, dia tidak boleh mengeluarkan api dari tangannya.

Namun oleh sebab dia punya penyokongnya yang tersendiri, ditambah pula dengan tiada kebangkitan rakyat untuk menumbangkannya (setahu saya), Firaun terus kekal berkuasa dengan angkuhnya. 

Tetapi ia tidaklah semudah itu. Nampak macam makan cendol jagung sahaja apabila saya berbicara tentangnya. Namun hakikatnya, ia lebih kompleks dan rumit daripada itu.

Firaun bukan saorang raja yang bodoh lagi dungu. Malah dia ialah saorang penguasa yang amat licik dan bijak. Jika tidak, masakah dia dapat berkuasa untuk tempoh yang begitu lama?

Oleh sebab itu, Firaun menggunakan pelbagai taktik untuk memperdayakan rakyatnya. Dia juga menggunakan pelbagai wahana untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai penguasa yang berkuasa mutlak.

Hal ini diperakukan kalam suciNya:
"Lalu Firaun memperbodoh (menyesatkan) kaumnya, lalu mereka mengikutnya. Kerana mereka itu memang kaum yang fasiq."
[az-Zukhruf, 43:54]

Juga tawaran-tawaran lumayan yang diberikan Firaun kepada para pembesar dan pegawai-pegawainya untuk merasuah mereka agar terus kekal setia kepadanya.

"Maka ketika para penyihir datang, mereka berkata kepada Firaun, 'Apakah kami benar-benar akan mendapat imbalan yang besar jika kami menang?'

Dia (Firaun) menjawab, 'Ya, dan bahkan kamu pasti akan mendapat kedudukan yang dekat (kepadaku).'"
[asy-Syu'araa, 26:41-42]

Perhatikan bagaimana Allah SWT menyebut di dalam surah Az-Zukhruf seperti di atas, bagaimana rakyat Firaun secara sukarela akur dan turut kepada projek pembodohan raja mereka itu. Mengapa? kerana "...mereka itu memang kaum yang fasiq"

Menyedari hal ini, Firaun melakukan apa sahaja untuk memastikan rakyatnya kekal fasiq. Meskipon tidak disebut di dalam al-Quran atau mana-mana hadith (setahu saya) secara jelas tentang teknik yang digunakan Firaun, dapatlah kita fahami antara strategi yang digunakannya termasuklah menyediakan hiburan yang melampau dan memberi kemewahan kepada sesiapa sahaja yang setia kepadanya.

"Inilah tafsir yang betul terhadap sejarah. Hanya orang-orang yang fasiq sahaja yang boleh diperdayakan oleh Firaun (lama atau moden). Orang yang beriman kepada Allah tidak akan dapat diperbodohkan oleh taghut dan tidak akan taat kepada perintah taghut," kata Sayyid Qutb di dalam tafsirnya Fi Zilalil Quran. Sambungnya lagi, "Begitulah, musuh-musuh Islam telah tahu bahagian penting yang telah diperkenalkan oleh Firaun. Mereka saling merancang untuk membuat kerosakan dan mengubah masyarakat supaya menjadi sampah-sarap yang tenggelam dalam lumpur seks, keji dan maksiat. Menjadikan masyarakat sentiasa sibuk dengan kepayahan mencari sesuap makanan. Akhirnya mereka menjadi penat dan letih dengan perut dan seks dan tiada masa lagi untuk mendengar nasihat atau petunjuk dan kembali kepada agama."

Innalillahi wainnailaihi raji'un. Geleng kepala.

Pada hari ini, kita cukup bertuah kerana dapat melihat legasi Firaun ini diteruskan. 

Jatuh kerusi.

Ya benar. Apa anda tidak percaya? Lihatlah sekeliling anda! Apa anda buta??

Lihat sahaja bagaimana pemerintah zalim di mana-mana sahaja bahagian di dunia ini memperbodohkan dan memperdayakan rakyat mereka! 

Mereka lambakkan hiburan-hiburan percuma kepada rakyat mereka. Mereka penuhkan televisyen-televisyen dengan program-program lawak jenaka yang tidak bermanfaat. Mereka sibukkan rakyat dengan pekerjaan-pekerjaan yang menyedut habis sisa-sisa masa yang mereka ada. Mereka tekan rakyat sebegitu dahsyat sehingga rakyat tidak punya hal lain melainkan mahu mencari sesuap nasi semata. Mereka ikat dan belenggu rakyat dengan pelbagai perjanjian, akta dan undang-undang sehingga rakyat menjadi takut dan kecut untuk bangkit bertindak.

Nah, sekarang bunyinya familiar bukan?

"Itulah cara dan taktik mereka," ujar Syaikh Ahmad Rasyid di dalam Muntalaq. "Taktik-taktik kotor, memerangi masjid dengan ballroom, menggantikan isteri-isteri dengan pelacur-pelacur, menyerang akidah menggunakan professor-professor ‘free-thinker’ dan menewaskan seni wira dengan seni hedonisme. Melalui pendidikan ini, mereka telah berjaya mengubah helang rajawali menjadi burung puyuh sebagaimana yang dikatakan oleh Iqbal."

Punyalah hebat perancangan penguasa dan konco-konco mereka yang zalim ini, sehinggakan orang-orang baik juga terbelenggu sama. Mereka juga terjelepok, tidak mampu berbuat apa-apa. Para pemerintah ini akan memastikan agar golongan yang fasiq sahaja akan terus berkuasa. 

Mengapa? 

"Apabila si zalim atau fasik berkuasa, mereka akan melantik orang yang jahat dan fasik seperti mereka juga untuk mengurus apa-apa urusan. Mana-mana si fasiq tak dapat tidak adalah tawanan nafsu dan dah tertutup hatinya. Mereka hidup lalai dan tidak berfikir pun untuk kebaikan bangsa dan negara mereka."

Mereka juga bekerja untuk kepentingan peribadi mereka. Bertindak zalim, menindas dan menyeleweng. Banyak tenaga dan kemampuan kemanusiaan dipersia-siakan. Orang yang benar-benar layak dan berpotensi terpaksa bersembunyi mencari perlindungan kehormatan dan jasad mereka dari dicerobohi dan diseksa. Tinggallah urusan pentadbiran umat dipegang oleh mereka yang jahil dan berkepentingan. Hasilnya tersebarlah gejala keruntuhan masyarakat yang akhirnya membawa kemusnahan ekonomi dan ketamadunan ilmu." - Syaikh Ahmad Rasyid, Golongan Baik Yang Dibinasakan, al-Muntalaq

Apa jaminannya perkara sebegini tidak akan berulang lagi kepada anak-anak muda Muslim kita? Allah Allah!

Dahulunya saya sering tertanya-tanya, mengapa susah benar orang baik (Baca: Islamik) untuk naik menjadi pemerintah? Bukankah mereka ikhlas memperjuangkan nasib rakyat? Bukankah mereka tidak ada agenda tersembunyi dan bersungguh-sungguh mengorbankan diri demi rakyat? Bukankah apa yang mereka perjuangkan akan membawa kebaikan yang hebat dan menyeluruh kepada semua? Tetapi kenapa mereka sering ditolak? Bukan oleh orang lain tetapi oleh masyarakat sekeliling sendiri? 

Hari ini saya sudah punya jawapannya.

Kerana rakyat yang fasiq tidak mungkin akan mengundi dan melantik orang-orang baik, orang-orang ikhlas yang memperjuangkan Islam dan orang-orang yang bersungguh-sungguh mahu menegakkan keadilan. Tidak mungkin.

Kerana jiwa mereka sudah rosak dengan hiburan. Hati mereka sudah hitam dengan kemewahan,. Otak mereka sudah pusing dengan kejahatan. Mereka tidak lagi nampak kebathilan sebagai kebathilan, dan kebaikan itu sebagai kebaikan. Semuanya bercampur-aduk, mengikut selera hawa dan nafsu mereka. 

Mereka amat takut andai orang-orang baik ini naik, melepaslah peluang mereka untuk berseronok dan berjimba. Mereka amat risau, sekiranya ostad ostajah ini menjadi pemerintah kelak, maka mereka tidak dapat lagi melanggan pelacur dan menonton porno. Mereka amat gerun, jika tok syaikh dan pak lebai ini memimpin kerajaan, segala kesalahan dan kemaksiatan mereka akan terbongkar. 

"Ish lepas ni susah lah aku nak dapat projek lagi, kalau semuanya nak kena amanah dan jujur!" kata Datuk W .

"Alaaamaakk. Kalau depa ni naik, lepas ni kalau nak main perempuan, nak kena ulang-alik ke Thailand la jawabnya!" keluh Encik U.

"Kita jangan bagi puak-puak ni memerintah. Abes bisnes pub, kasino kita nanti! Silap haribulan, panggung wayang pon puak-puak ni tutup!" tegas Tuan B. 

Begitulah kurang lebih. 

Maka berjayalah musuh-musuh Islam dalam menanamkan rasa benci masyakat kepada perubahan. Sukseslah mereka dalam memastikan benih-benih Islam tidak mungkin akan tumbuh berkembang. Seronok dan geli hatilah mereka apabila orang-orang Islam sendiri menjadi dalang kepada kehancuran dan kerosakan umat Islam. 

Berjayalah pelaksanaan projek pembodohan yang mereka warisi sejak zaman Firaun lagi! 

"Sebenarnya tribulasi orang Islam pada hari ini tidak hanya terbatas pada penguasaan pemimpin yang sesat sahaja, bahkan menjangkau kepada persoalan pendidikan. Korikulum pendidikan dan pelajaran, jawatan-jawatan di universiti, akhbar­-akhbar, majalah-majalah dan seluruh media massa digunakan untuk menghapuskan pemikiran dan nilai-nilai Islam. Hinggakan mangsa perangkap musuh ini merasa seronok dan merasa bangga kerana menyangka dirinya terlepas dari belenggu kekolotan lama," ujar Syaikh Ahmad Rasyid panjang lebar di dalam al-Muntalaq.

Katanya lagi, "Orang Islam yang maksiat pada hari ini sebenarnya adalah mangsa pendidikan tersebut, untuk ditukarkan menjadi fasiq mulanya dan supaya mereka akan mudah dijadikan kuda tunggangan oleh para taghut tersebut akhirnya.

Itu semua adalah cara perancangan jahiliyyah sejak dahulu lagi, diwarisi oleh taghut moden dari taghut sebelumnya, berasal usul kepada Firaun."
 

Tidak hairanlah, konsert-konsert terkinja-kinja dan terjerit-jerit itu lebih mudah untuk dianjurkan dan mendapat lesen daripada ceramah-ceramah agama. Sinetron dan drama-drama yang melalaikan lebih banyak di kaca-kaca televisyen berbanding dengan rancangan-rancangan agama yang benar-benar menaikkan iman. Pub-pub dan kasino-kasino yang menyesatkan terus berkembang dengan rancaknya jika hendak dibandingkan dengan pusat-pusat tahfiz atau sekolah-sekolah agama.

Nah, anda sudah nampak permainannya di situ?

Anda mahu tahu apa tandanya projek pembodohan Firaun ini semakin berjaya?

Rakyat diam membisu shiuhh shiuhhh angin petang bertiup meskipon trang tang tang kekorupan dan kezaliman kerajaan yang memerintah terbentang di depan mata!

Anak-anak gadis bertudung tidak malu terkinja-kinja dan berpelukan di konsert K-Pop! 

Anak-anak muda menghabiskan masa menghisap shisha dan menyembur vape di mamak terjerit-jerit menyokong pasukan pilihan EPL mereka!

Golongan muda disibokkan dan perlumbaan kerjaya (rat race), dimomok-momokkan bahawa yang paling hebat dan bergaya itu adalah yang berumah besar dan berkereta mewah!

Rasuah dan pecah amanah bermaharaja lela, sehingga hampir mustahil untuk menjalankan sesuatu perniagaan tanpa ada duit bawah meja bertukar tangan!

Masyarakat berebut-rebut mahu menjadi popular, tidak kisahlah dengan cara apa sekalipon - lelaki berpakaian perempuan untuk berlawak jenaka, melakukan aksi-aksi dubmash yang tidak berakhlak dan tak masuk akal, memfitnah dan mengadu domba agar namanya cepat glamor - asalkan mereka dikenali dan dipuja!

Ostad ostajah sibok bergaduh dan melabel sesama sendiri, menjadikan masyarakat yang dahagakan ilmu dan bergantung harap pada mereka ini, bertambah pening kepala!

Yang kaya dan kuat terus berkuasa dan bermaharajalela dan yang miskin dan lemah, terus ditindas dan dizalimI!

Nah, semuanya ini sudah berada di hadapan kita bukan?? Geleng kepala sambil nanges laju-laju.

Waduh waduhhh! Masih ada harapankah Inche gabbana selepas kami mendengar semua ini? Masih ada cahayakah di hujung terowong?? 

Saya ada berita baik untuk anda. Jawapannya, ya ada.

Dengan syarat, kita perlu sanggup untuk berkorban nyawa dan harta, jiwa dan segala apa yang kita ada, untuk melakukan perubahan yang radikal di luar sana. Ia tidak perlu sesuatu yang besar, tidak perlu sesuatu yang grand, tidak perlu juta-juta. Ia hanya memerlukan pemuda-pemuda yang "mengenali erti tajarrud, merasai keci danhinanya dunia, menjauhkan diri dari fitnah-fitnah, sabar menghadapi mehnah dan mahi seni memimpin umat." 

Saya namakan ini sebagai Projek Pengislahan Nasional (PPN).

Dan untuk melaksanakan PPN ini, setiap daripada para dua't ilallah, wajib 'memeluk' dan menyantuni masyarakat di luar sana, dengan tarbiyah Islam yang sebenar. Mereka ini tidak mungkin akan menyokong agenda islah dan Islam, hanya dengan sekadar kita menghulurkan bantuan tatkala berlaku banjir besar. Pandangan dan tasawur hidup mereka tidak mungkin akan berubah dengan kita hanya melakukan flashmob di jalanan. Mentaliti mereka tidak mungkin dapat diubah sekelip mata hanya dengan kita mengadakan jamuan hari raya.

Jika kita benar-benar mahu mereka menyokong kita, menyokong agenda Islam yang kita perjuangan, semeja dan sekasut dengan kita dalam projek perubahan yang ingin kita bawakan, maka ia memerlukan kesungguhan dan kesabaran. Ia memerlukan sentuhan dan belaian. Ia memerlukan pengorbanan dan kesungguhan.

Ia tidak mungkin tercapai dengan retorik-retorik di pentas-pentas ceramah dan majalah-majalah. Ia tidak mungkin digapai dengan pertemuan-pertemuan mingguan (Baca: Liqa) basa-basi sejam dua. Ia tidak mungkin akan dicapai dengan borak-borak politk berapi berbara tetapi tidak disulami dengan iman dan taqwa. 

Kerana ia adalah sunnatullah. Ia adalah syarat yang telah ditetapkan oleh Allah untuk kemenangan ummah!

Err. Bukan ini yang kita perlukan untuk mengembalikan kemenangan Islam. Pheww lap peluh. [Kredit]
"Mari kita mengharap keberkatan dari Allah pada dakwah ini, keberkatan akan datang dari keyakinan kita kepadaNya bahawa semua kekuasaan, kemenangan dan kekalahan itu terjadi atas kehendak Allah.

Kita tidak sependapat dengan orang yang mengatakan bahawa kospirasi musuhlah yang menyebabkan kekalahan kita. Mahu konspirasi apa sekali pon, kalau Allah tidak berkehendak, ya tidak akan terjadi.

Mari kita melihat amal ini dengan pendekatan dakwah.

Perlu muhasabah... Kita terperangkap secara tidak sedar menjadikan politik sebagai yang utama, lalu dakwah dan kaderisasi kita lupakan.

Yang kita inginkan bukan banyak kursi dan undi, tetapi banyak keberkatannya, itu didapatkan dengan terus menjadikan dakwah sebagai misi utama kita.

Kursi itu bukan tujuan kita, kalau kita pantas, layak menerimanya, Allah akan beri. 

Saya membayangkan seandainya anggota Dewan kita di seluruh negara ini disebar merata ke kampung-kampung yang ada d seluruh negeri, lalu semua berdakwah dan membina masyarakat, dan kita pun mempunyai kemampuan untuk itu, insyaa Allah keberkatan akan turun, tiada kena mengena dengan dapat kursi atau tidak." - Ustaz Salim Segaf al-Jusri, Ketua Majlis Syura PKS. 

Allah Allah!

Ayuh bangkit wahai rijal ummah! 

Cukuplah dengan lena dan kelalaianmu! Cukuplah dengan retorik dan angan-anganmu itu! Cukuplah berseronok di dalam bulatan-bulatan gembira mu itu! 

Jangan biarkan Firaun terus membodoh-bodohkan kita! Jangan biarkan taghut dan kezaliman pada hari ini terus berkuasa! Projek pembodohan ini akan terus berjalan sehinggalah ada tangan-tangan yang menghancurkannya!

Bangkitlah! Bangkitlah menjadi Harun dan Musa!

"Adakah sesebuah negeri itu boleh musnah walhal ia kelihatan makmur dan maju?"


Amirul mu'minin Saidina 'Umar al-Khattab RA ditanya pada suatu hari. Apa jawapannya?

"Ya, apabila orang-orang jahat menguasai orang-orang yang baik."


Nanges.

-gabbana-  

Subhanallah walhamdulillah wa astaghfirullah. Sudah lama tidak menulis sesuatu yang penuh semangat seperti ini. Sekurang-kurangnya saya sendiri merasakan ruhnya ketika menulis. Haha.

Haadza min fadhli rabbi. Moga ada manfaatnya untuk ummah!

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP