29 April 2015

Dunia Yang Gila Amat Memerlukan Dai'e Yang Gila Gila Bekerja

[Kredit]

Ok tajuk di atas terlalu jujur bukan? Berapa ramai penulis di luar sana yang mampu berlaku jujur dan bergaya pada masa yang sama seperti saya? Ehem.

Marcapada ini kita menyaksikan betapa dunia sudah menjadi semakin tidak terkawal dan waras. Kerosakan dan kehancuran, baik dari segi material dan moral berlaku di mana-mana. Dengan kata lagi, kegilaan dunia ini sudah mencapai tahap yang kritikal dan fatal. 

Seakan-akannya dunia akan menuju penamatnya esok hari. Bukan, malam ini. Eh bukan, sekejap lagi. Gulp.

Lontarkan pandangan anda ke Timur Tengah, maka anda akan melihat ke'kelam-kelibut'an abad ini berhimpun di sana. Dengan konflik Israel-Palestin yang tidak berpenghujung. Dengan keganasan ISIS di Iraq dan Syria. Dengan peperangan golongan Sunni dengan Syiah Houthi di Yaman dengan tangan-tangan kotor Iran di sebalik tabir. Dengan krisis kemanusiaan di Syria yang tidak berkesudahan. 

Errggghhh semua ini bisa menjadikan kepala kita botak sebelum waktunya!

Kini alihkan pula pandangan anda ke benua Afrika dan anda akan melihat krisis kemanusiaan yang sejak dahulu lagi tidak pernah mengenal titik noktah. Kebuluran dan kemelaratan di mana-mana. Ekstremis seperti Boko Haram di Nigeria atau Al-Syabab di Somalia menjadikan Afrika sebagai sebuah negara berdarah di dalam peta dunia. Kegilaan al-Sisi dan anjing-anjingnya di Mesir yang memenjarakan dan menjatuhkan hukuman mati kepada para pemimpin dan ahli Ikhwanul Muslimin akan terus menghantui umat manusia. 

Semua ini menjadikan kita hanya mampu untuk menggeleng kepala. 

Sekarang lontarkan pula pandangan ke Eropah dan benua Amerika dan apa yang dapat kita lihat? Kehancuran moral dan peradaban pada tahap yang amat mengerikan. Seks bebas yang tidak punya sempadan. Penggunaan dadah yang dihalalkan. Golongan homoseksual diraikan dan dijanjikan hak dan kedudukan. Golongan kapitalis yang tamak haloba terus berkuasa mengumpul kekayaan. Gaya hidup hedonis dan jauh daripada Tuhan menjadi pilihan dan ikutan.

Semua ini adalah sebuah kenyataan yang amat pahit untuk kita telan.

Kini ayuh kita lontarkan pandangan pada dunia dan seisinya secara tuntas dan rambang. Apa yang dapat kita lihat? Peperangan yang membunuh ratusan ribu nyawa manusia seolah-olah perkara biasa. Bencana alam yang mengganas semakin kerap berlaku, menjadikan manusia benar-benar lemah tidak bermaya. Penyakit-penyakit merbahaya yang masih belum diketemukan penawarnya seperti Ebola dan super-bug semakin mengancam jiwa. Kebuluran dan kepapaan menjadi agama sebahagian besar umat manusia. Yang kaya semakin rakus menambahkan harta, manakala yang miskin terus-menerus dibelenggu derita.

Semua ini menyebabkan kita kadangkala terfikir, masih adakah harapan buat dunia? 

Dan sekarang, kembalikan semula pandangan kita ke negara Malaysia yang kita chentai ini. Negara ini tak kurang gilanya. Dengan politik kepartian yang memecahbelahkan rakyat. Kebejatan sosial yang menjadikan rakyat negara ini seolah-olahnya tidak mengenal tamadun dan agama. Masalah rasuah dan pecah amanah yang terus menjadi barah kepada kemajuan dan kemakmuran negara. Golongan Islamis yang sering melabel dan bercakaran sesama sendiri. GST yang membebankan sehingga memaksa para pelajar IPT memasak sendiri. Eh.

Aduhai, semua ini bisa merenggut jantung kita dan memutus urat-urat kita bila-bila masa sahaja!

Dari mana datangnya semua kegilaan ini? Apakah punca kepada segala macam kerosakan dan kehancuran ini? Bagaimana kejahilan dan kebodohan sebegini boleh dibiarkan sahaja sebegitu rupa?

"Telah tampak kerosakan di darat dan laut disebabkan kerana perbutan tangan manusia; Allah mengkehendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)."
[ar-Ruum, 30:41]

Ya, tangan-tangan kitalah yang sebenarnya menjadi dalang utama kepada kehancuran umat kita sendiri. Tangan-tangan kitalah yang menanam makar yang akhirnya tumbuh berkembang menjadi pohon yang membuahkan racun yang dimakan oleh anak cucu cicit kita. Dan tangan-tangan kita jugalah yang akhirnya akan menamatkan riwayat bumi yang sudah berusia bilionan tahun ini. Tsk.  

Namun di sebalik semua ini, di sebalik kegelapan yang kelam dan harapan yang bisu, rupa-rupanya masih ada harapan. Apa yang berlaku rupa-rupanya hanyalah gerhana yang menipu dan bukannya matahari yang tenggelam sayu. Bak kata omputih, ada cahaya di hujung terowong. 

Di sebalik tangan yang menghancurkan itu, rupa-rupanya ada tangan yang menghidupkan.

Di sebalik tangan yang merosakkan itu, ada juga tangan yang membaikkan.

Dan di sebalik tangan yang menoda dan membobrokkan itu, masih ada tangan yang membersih dan menyucikan.

Tangan siapa? Itulah tangan para dua't yang tidak pernah mengenal erti lelah dan penat dan menegakkan agama Allah di muka bumi!  

"Dakwah kepada Allah taala menjadi tanda kasihan kita kepada hamba Allah," menurut Dr. Hammad Sa'id di dalam bukunya yang fenomenal, Qawaid Dakwah. "Ini kerana kerja dai'e adalah mengeluarkan manusia dari kemelut kehidupan yang teruk dan porak peranda hasil hidup di bawah pijakan sistem-sistem ciptaan manusia, kepada keluasan kelegaan agama yang luas. Membawa mereka kepada sistem Islam yang menjamin kebahagian manusia."  

Fuh. Berat bukan?

Memang berat. Kerana tahap kegilaan dunia ini sudah mencapai tahap yang benar-benar gila!

OIeh sebab itu, untuk merawat dunia yang sudah benar-benar gila ini, kita memerlukan para dua't yang gila gila dalam bekerja. Bukan, bukan seorang al-akh yang berlari-lari memakai kasut tinggi, berkain pelikat sambil gelak seorang diri. Bukan juga seorang al-ukht yang memakai mekap tebal, gincu berwarna ungu, kemudian melompat katak berselang-seli dengan lompat bintang sambil makan karipap. Bukan gila yang itu.

Err.

Tapi gila gila dalam menyebarkan risalahNya. Gila gila dalam memperjuangkan kebenaran dan mencegah kemaksiatan. Gila gila menjadi saksi kepada kebenaran dan sanggup bermatian untuk menegakkannya! 

Gila gila yang bagaimana tu Inche gabbana?

Gila gila yang sanggup tidak tidur malam hanya kerana mahu menyantuni manusia di luar sana.

Gila gila yang sanggup mengorbankan rasa gembira agar orang lain tidak sengsara.

Gila gila yang sanggup berlaparan agar orang lain dapat menjamah sedikit makanan.

Gila gila yang sanggup berhabis wang dan harta untuk mereka yang benar-benar memerlukannya. 

Gila gila yang sanggup berpenat lelah tidak mengenal rehat bersungguh-sungguh mahu menghapuskan maksiat.

Gila gila yang sanggup mengorbankan perasaan dan emosi sendiri hanya kerana mahu melihat seukir senyuman dititipkan pada bibir orang lain.

Dan gila gila yang sanggup memakan dan membunuh diri agar manusia di luar sana terus hidup di bawah panji agamaNya. 

Ya, gila bukan? 

Juga gila gila seperti Bilal yang sanggup diseksa dengan begitu berat kerana mempertahankan aqidahnya.

Gila gila seperti Sumayyah yang rela dibunuh dengan kejam demi sebuah al-haq yang tidak mungkin boleh dijual-beli. 

Gila gila seperti Salman yang sanggup meninggalkan keluarga dan mengembara ribuan batu jauhnya hanya kerana sebuah kebenaran.

Gila gila seperti Mus'ab yang sanggup melupakan kemewahan dan populariti kerana mahu menjadi seorang manusia berjiwa hamba.

Gila gila seperti Suhaib yang menyahut seruan untuk berjual-beli dengan Allah, demi sebuah sorga.

Gila gila seperti Hamzah yang bermati-matian di medan Uhud kerana mahu menghapuskan taghut dan jahiliyyah di muka bumi.

Gila gila seperti Abu Dzar yang tidak kisah dibelasah dan dipukul sehingga hampir menemukan ajal kerana chentanya dia kepada sebuah syahadah. 

Epik!   

"Demikian juga kita mengharapkan agar bangsa kita mengetahui bahawa kita mengasihi mereka lebih dari kita sendiri. Kita mengharapkan mereka mengetahui bahawa jiwa-jiwa ini sanggup menjadi tebusan demi kepentingan mereka andainya ketinggian itu meminta tebusan. Jiwa-jiwa ini sanggup dicabut sebagai harga keagungan mereka, kemuliaan mereka, agama dan cita-cita mereka andainya perkara-perkara ini memerlukan demikian," kata as-Syahid Hasan al-Banna, di dalam risalahnya, Dakwah Kami. 

Sambungnya lagi, "Kita mengambil sikap demikian terhadap mereka hanyalah kerana kasih sayang telah membelenggu hati dan merajai perasaan kita, membuatkan kita tidak nyenyak tidur dan sentiasa mengalirkan air mata. Amat sukar dan luar dari kesanggupan kita melihat sesuatu menimpa bangsa kita dan kita terus menyerah diri kepada kehinaan dan merelainya, ataukita terus berputus-asa. Kita bekerja untuk manusia kerana Allah lebih dari kita bekerja untuk diri kita, kita untuk kalian, bukan untuk orang lain dan kita tidak akan menjadi beban kepada kalian."

Peh lap air mata. 

Hanya ketika itu, ketika para dua't sudah benar-benar menyerahkan dirinya untuk agama Allah yang suci ini, ketika para pejuang kebenaran ini sudah menchentai Allah dan ar-Rasul melebihi segala-galanya dan ketika para penegak keadilan telah mengorbankan dirinya untuk melihat manusia lain berpegang dengan syariatNya, ketika itulah, ketika itu sahajalah dunia yang gila ini dapat dipulihkan.

Ketika kita sudah melaksanakan amanah ubudiah dan khilafah ini dengan gila gila!

"Sesungguhnya titisan darah masih mahal bagi umat Islam. Selagi mana mereka menganggap titisan darah itu mahal, mereka tidak akan sampai mana-mana, kerana harga kemuliaan dan kemerdekaan hanya boleh dibayar dengan titisan darah." Begitulah kata-kata seorang dai'e mujahid yang lejen seperti yang dirakamkan di dalam Muzakkirat al-Dakwah wa al'Da'iyah. 

Bagaimana? 

Adakah kita juga akan menjadi sebahagian daripada majoriti manusia yang sudah larut dan hanyut di dalam dunia yang gila?

Atau kita akan menjadi si pejuang gila gila yang akan terus hidup mulia atau mati syahid menemuiNya kerana mahu menyelamatkan dunia?

Pilihan di tangan kita.

Senyum.

-gabbana-

Alhamdulillah, sambutan terhadap buku Ikhwah Pakai Jeans dan #Chenta di PBAKL 2015 begitu gila sekali! Hehe. Moga menjadi saham-saham yang akan saya persembahkan di hadapanNya nanti, biidznillah.

InshaAllah nantikan projek-projek terbaru dari Penerbitan Wahai! yang akan diumumkan tidak lama lagi. Mohon teruja.  
 

23 April 2015

Buta

[Kredit]

Pintu LRT terbuka. Dalilah melangkah masuk tergesa-gesa. Angin dingin penghawa gerabak menampar wajahnya.

Dalilah sudah lewat untuk ke pejabat. Pagi tadi entah macam mana, penggera yang dipasang pada smart phone nya tidak berbunyi.

Selalunya tepat jam lima empat puluh lima pagi, akan berkumandanglah lagu ‘Assalamua’laikum’ dendangan Opick mengejutkannya untuk bangun. Jika Opick gagal untuk mengejutkannya, ada Maher Zain pula dengan ‘Thank You Allah’ untuk membangunkannya pada jam enam sepuluh pagi. Dan jika itu juga gagal, masih ada lagu jihad penuh rancak ‘Pemuda al-Qassam’ yang selalunya tidak pernah mengecewakan untuk menyedarkannya dari lena yang panjang pada jam enam setengah pagi. Oh versi Arab punya, bukan versi mendayu-dayu Hijaz.

Namun pagi tu, ketiga-tiga itu gagal untuk mengejutkannya. Ketika mata Dalilah terbuka, matanya terus menangkap jam dinding yang digantung betul-betul berhadapan dengan katilnya. Terbeliak matanya apabila melihat jarum pendek jam tersebut sudah menghampiri angka tujuh. Terus segar Dalilah dibuatnya. Apa lagi, melompat Dalilah dari katilnya.

Macam lipas kudung, dicapai tuala yang sudah lusuhnya itu dan selepas tujuh gayung air, setompok cecair pencuci muka dan sekali sental satu badan, selesailah Dalilah mandi pada pagi itu. Buat cukup syarat. Cepat-cepat pula dia mengambil wudhu’ untuk menunaikan solat subuh gajahnya. Bukan gajah lagi dah, boleh jadi paus biru atau raksasa Godzilla dah.

Kemudian tibalah masa yang paling menggetirkan buat Dalilah. Dia terpaksa berhadapan dengan masalah dunia pertama; tudung warna dan jenis apa yang mahu dipakainya. Ada shawl labuh dari Uswah Clothing. Ada bawal labuh keluaran Aryani. Ada Tudung People. Ada Elle Zada. Dalilah runsing. Dia buntu. Dia serabut. Dia menggigit jarinya kerana tidak tahu nak pilih tudung yang paling matching dengan jubah yang dipakainya dan pada masa yang sama, dia tahu yang dia sudah lewat. 

Ish ingat senang ke nak jadi akhawat ni. Dalilah membebel sendirian.

Akhirnya dia memejam mata dan tawakkal sahaja. Tudung Inspirasihana berwarna keperangan menjadi pilihan.

Nampaknya hari itu dia terpaksalah memandu ke stesen LRT. Selalunya dia menaiki bas sahaja. Mudah. Murah. Jimat. Lagi-lagi bila dah kena GST ni. Namun hari itu dia tidak punya pilihan. Wajah Puan Markonah Saari, penyelia jabatan tempat dia bekerja yang bengis sambil mencekak pinggang sudah terbayang-bayang di dalam kepalanya. Tidak sanggup dia mahu dijegil dan dijeling tajam oleh Puan Markonah. Dia pernah kena sekali dahulu. Serik!

Masa itu jugalah jalan untuk ke stesen LRT itu sesak semacam. Tiba-tiba, entah dari mana, ada lori pengangkut pasir yang pergi park tepi jalan. Ikut suka hati tok nenek dia je.

Dalilah hampir-hampir mahu termencarut ketika itu. Mujur dia teringat wajah Hasan al-Banna ketika itu. Terus dia tukar niat. Dari mencarut dia beristighfar.

Dalilah memang begitu. Bila ada masa-masa yang dia rasa mahu buat jahat, mahu jadi nakal, mahu buat dajjal, dia akan bayangkan wajah Hasan al-Banna. Entah kenapa Pakcik Hasan itu yang menjadi pilihan. Setakat ini cara itu agak berkesan jugalah untuk mengawal tingkah lakunya. Yalah, nak bayangkan wajah Rasulullah SAW, mustahil. Nak bayangkan wajah kekasih hatinya, Mus’ab bin Umair, juga mustahail. Alih-alih, Hasan al-Banna pon jadi lah. Budak usrah la katakan.

Ada sedikit berita baik yang memberi kegembiraan pada Dalilah pagi itu apabila dia berjaya mendapatkan parking dengan agak mudah. Itu pon mujur dia dahulu yang memberi signal untuk masuk sebab tidak jauh dari situ, ada seorang amoi Cina juga sedang tercari-cari ruang untuk parking.  Dengan penuh cekap dan bergaya, Dalilah mengundurkan bontot kereta MyVi-nya berwarna ungu pekat itu. Kagum jugalah bila seorang perempuan macam Dalilah boleh reverse parking tanpa perlu adjust dua tiga kali.

Usai mematikan enjin keretanya, berlari Dalilah ke aras stesen LRT Taman Jaya. Dua tiga orang juga yang dirempuh Dalilah tanpa sengaja. Dalilah buat-buat pekakkan telinga apabila seorang makcik India yang dilanggarnya menjerit-jerit penuh kemarahan seperti orang yang kerasukan. Wajah Puan Markonah terseringai jauh lebih mengerikan.

Tercungap-cungap jugalah Dalilah sebaik sahaja dia sampai di platform. Boleh tahan basah jugalah ketiaknya bermandi peluh masam dan masinnya. Mujur jubah yang dipakainya berwarna gelap. Tidaklah nampak tompok basah pada ketiaknya itu. Memalukan. Kepalanya terasa sedikit ringan, gara-gara tidak cukup oksigen yang masuk ke dalam salur darah.

Dalilah memandang pada papan info elektronik yang tergantung. Papan itu memberitahunya ketika itu sudah jam lapan lima minit pagi. Tren seterusnya adalah tren empat koc yang dijangka tiba dalam masa 3 minit lagi.

Dalilah mencongak mudah di dalam kepalanya. Dia perlu sampai di opisnya paling busuk pon pada jam lapan tiga puluh lima. Perjalanan dari Taman Jaya ke opisnya di KL Sentral mengambil masa kurang lebih lima belas minit. Dia tersenyum lega buat kali kedua hari itu; kali pertama adalah apabila dia berjaya mengalahkan amoi Cina mendapatkan ruang parking.

Ramai orang sudah memenuhi platform. Tren dijangka tiba dalam masa seminit lebih lagi. Dalilah mengeluh. Pengalamannya menaiki tren di masa-masa ketika itu bukanlah pengalaman yang menyeronokkan. Tren selalunya sesak dan penumpang terpaksa berhimpit-himpit. Bau ketiak, tak usah cakaplah. Mat Bangla ada, mat Myanmar ada, mat Indon ada, mat Melayu tak mandi pagi pon anda. Saat-saat seperti itu adalah peluang untuk Dalilah menambahkan pahalanya kerana selalunya dia akan beristighfar panjang.

Mata Dalilah bersinar bercahaya apabila tren akhirnya tiba. Tren tidak sesesak yang Dalilah jangkakan. Tidaklah kosong seperti menaiki tren di tengah malam, tetapi tidak pula terlalu sesak macam tin sardin.

Akhirnya tren yang dinanti tiba. Sebaik sahaja pintu tren terbuka, Dalilah melangkah masuk tergesa-gesa. Angin dingin penghawa gerabak menampar wajahnya. Dalilah menarik nafas lega. Dia memandang jam di tangannya dan berasa optimis yang Puan Markonah Saari tidak akan memarahinya pada hari itu.

Sepanjang perjalanan, Dalilah melayan perasaannya seorang diri. Nak sambung bacaan buku #Chenta karya Inche gabbana, rasa seperti tiada mood pula pagi itu. Nak baca al-Quran, apatah lagi. Sekali-sekala itu ada lah gelagat dua tiga orang penumpang yang menarik perhatiannya. Dalilah memang suka memerhatikan orang. Kalau ada pekerjaan yang kerjanya hanya memerhatikan orang lain, sudah lama Dalilah apply.

Tiba di stesen Kerinchi, masuklah seorang penumpang lelaki ke dalam koc yang dinaiki Dalilah. Lelaki itu sudah agak berusia, mungkin di hujung empat puluhan atau awal lima puluhan. Komposisi rambutnya terbahagi dua pada kadar yang agak adil antara rambut hitam dan rambut putih. Wajahnya biasa-biasa sahaja, tidaklah hensem mana tetapi tidak pula buruk atau hodoh. T-shirtnya berkolar dengan corak geometri dan berseluar slack berwarna kelabu berjalur. Lelaki itu juga memakai sebuah beg sandang kulit berwarna perng gelap. Dah oh, dia bercermin mata hitam.

Lelaki itu mengambil tempat betul-betul setentang dengan tempat Dalilah berdiri. Pada mulanya Dalilah tak ambil peduli sangat dengan lelaki itu. Sehinggalah dia merasakan lelaki itu asyik merenungnya.

Dalilah mula berasa tidak selesa. Dalilah cuba untuk berlapang dada. Dia berpusing ke arah kanan supaya kini dia tidak lagi berhadapan dengan lelaki itu. Namun mata lelaki itu tidak beralih, tetap dihalakan tepat pada sosok Dalilah. Dan lelaki itu tersenyum. Senyuman yang membuatkan Dalilah terasa seperti mahu beri penampar percuma pada lelaki itu.

Dalilah berasa jengkel. Geram. Dan marah. Semua perasaan negatif yang boleh difikirkan sedang membuat perhimpunan besar-besaran di dalam diri Dalilah.

Lelaki tua tak sedar diri! Miang! Gatal! Takde sivik ke..?? Kalau hensem takpelah jugaaakkk…!! Eyyyyhhhh! 

Semua itu berlaku di dalam hati Dalilah yang sedang berkecamuk hebat. Tak berani lah Dalilah mahu bercakap sebegitu berdepan-depan. Jatuhlah sahamnya nanti sebab semua orang pastinya akan berfikirlah apa pasal lah makcik seorang ini melalak meroyan macam nenek kebayan. Walaupon hatinya bengkek. Meluat.

Lelaki itu memandang tepat pada Dalilah seolah-olah tiada apa yang salah dan jelik dengan tindakannya itu. Dan dia terus tersenyum, seakan-akan mahu memberitahu satu dunia yang dia sedang menikmati momen-momen itu.

Nasib baiklah stesen KL Sentral sudah tidak jauh lagi. Dalilah tidak sabar untuk berambus cepat-cepat dari koc tren itu. Buat sakit hati sahaja dengan manusia tidak berakhlak sebegitu. Buat tambah dosa sahaja kerana sejak dari tadi Dalilah tidak henti memaki-hamun dan mencaci lelaki itu.

Hasan al-Banna hilang entah ke mana. Istighfar pon sudah entah ke mana. Ke laut Cina Selatan agaknya. Hilang sebentar keakhawatan Dalilah ketika itu. 

“Stesen berikutnya… KL Sentral… KL Sentral…” 

Buat pertama kali dalam hidupnya, Dalilah menghargai suara Yasmin Yusof itu. Dia benar-benar sudah tidak sanggup untuk berada di dalam tren itu. Dia terasa dirinya seperti diraba oleh mata liar lelaki itu. Terasa kehormatan dirinya dinoda oleh mata lelaki yang durjana itu.

Ketika tren semakin mendekati platform, lelaki itu akhirnya mengubah posisinya. Dia berpusing dan menghadap ke arah pintu. Rasa jengkel Dalilah bertambah apabila mengetahui lelaki itu akan turun di stesen yang sama.

Lelaki itu meraba-raba sesuatu dari dalam begnya. Dia membawa keluar sebatang besi berwarna putih yang dilipat-lipat. Perlahan-lahan dia membuka lipatan itu dan menjadikan batang besi itu bertukar menjadi tongkat.

Pucat wajah Dalilah melihat apa yang sedang berlaku di hadapan matanya. Terasa seolah-olah mengalir semua darah yang ada di dalam dirinya. Terasa seperti ada orang yang sedang menampar-nampar mukanya.

Pintu tren terbuka dan lelaki itu keluar dengan tongkatnya memandu arahnya. Ketika itu Dalilah seperti mahu melompat sahaja ke atas landasan LRT.

Dia lebih rela digilis oleh tren berwarna putih empat koc itu.

***

Ada sebuah kereta berwarna marun yang sedang menanti lelaki itu di tepi jalan. Lelaki itu memandang ke kiri dan ke kanan, seperti mahu memastikan sesuatu sebelum dia membuka pintu kereta dan masuk ke dalamnya. 

“Amacam hari ni? Ada bagus? Banyak dapat?” 

Lelaki yang duduk di belakang stereng memulakan perbualan. 

“Bolehlah. Kat Central Market tadi tak ramai pelancong macam biasa. Bolehlah.” 

Lelaki yang kini sudah duduk di tempat penumpang itu menanggalkan cermin mata hitamnya.

Dia tersengih sendiri mengingatkan apa yang dilihatnya di dalam tren sebentar tadi.

Comel jugak budak tudung labuh tadi… 
"Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada."
[al-Hajj, 22:46]

-gabbana-


15 April 2015

Wahai Tuhan! Ajarkan Aku Bagaimana Mahu Menchentai!

[Kredit]

Amboi tajuk.

Ehem.

Sebut sahaja pasal chenta, apa sahaja yang terbayang di dalam kepala otak kita?

Bunga ros. Minyak wangi. Pegang tangan. Patung beruang. Kata-kata indah hidung berdarah. Temujanji di bawah gerhana bulan merah. Berbulan madu di Paris. Makan kek cokolat Resipi Rahsia bersama-sama. Buku terhangat dan terlaris di pasaran karya Inche gabbana. Eh.

Tipikal.

Hakikatnya, chenta adalah sesuatu yang jauh lebih mendalam daripada itu semua. Chenta adalah suatu hakikat agung yang jauh lebih bermakna daripada itu semua. Dan chenta adalah suatu idea yang sudah diraikan sejak manusia memijakkan kaki ke muka bumi namun sehingga kini amat sukar sekali difahami.

Terlalu banyak salah faham dan silap tahu apabila berbicara tentang chenta. Sehingga sukarnya seseorang itu untuk memaknai chenta. Sehingga seseorang itu gagal untuk menchentai dalam erti katanya yang sebenar.

Seorang anak sukar untuk menchentai si ayah yang dahulunya meninggalkan dia dan ibunya ketika dia masih kecil lagi.

Seorang suami tidak dapat untuk menchentai si isteri yang perkahwinan mereka sudah diaturkan (Baca: Arranged marriage).

Seorang guru susah untuk menchentai anak-anak muridnya yang nakal dan perangai macam jembalang hutan.

Seorang rakan yang tidak nampak sebab untuk dia menchentai rakannya yang lain, hanya kerana mereka belum benar-benar mengenali.

Seorang ayah tua yang payah untuk menchentai anak-anak darah dagingnya sendiri hanya kerena mereka jarang pulang ke kampung untuk menjenguknya.

Seorang ukhti yang tidak boleh untuk menchentai ahli-ahli bulatan gembiranya yang lain, datang sekadar untuk memenuhi jadual mingguan dan tidak mahu diburu rasa bersalah.

Seorang wanita yang sukar untuk menchentai kucing putihnya yang seringkali mencakar dan menggigit kakinya. Err.

Seorang muslim yang mendapati dirinya susah sekali untuk menchentai ar-Rasul SAW, meskipon saban tahun dia menyambut Maulidur Rasul.

Dan seorang manusia yang walaupon sudah beberapa kali mencuba, masih gagal untuk menchentai Rabbnya. Nanges.

Masakan semua ini bisa berlaku? Mengapa chenta itu tampak sukar untuk dimaknai, sedangkan ia adalah suatu perasaan yang cukup mempesona? Bukankah chenta itu amat didambakan? Bukankah chenta itu membahagiakan?

Bukankah semua orang mahu dichentai dan menchentai?

Boleh jadi, hal ini berlaku kerana salah faham kita tentang chenta. Salah faham yang menjadikan kita meletakkan harapan yang tinggi pada sebuah perasaan bernama chenta. Harapan yang apabila hancur, menjadikan kita kechiwa berguling-guling masuk gaung.

Mari kita lihat dan teliti, beberapa salah faham yang ada terhadap chenta. Oh bukan, saya bukanlah Duktur Chenta. Dan tidak punya tauliah atau kelulusan profesional untuk berbicara secara seriyes tentang chenta.

Saya hanyalah seorang manusia biasa, yang marhaen lagi hina yang hanya mahu berkongsi pengalaman dan rasa. Seorang manusia yang mahu dichentai dan menchentai. Ewah!

Anda sudah bersedia? Penulisan sebegini amat sesuai sekali disertakan dengan sekotak popkon perisa karamel keju dan segelas jus oren segar! 

Chenta itu memiliki 

Antara salah faham terbesar tentang chenta adalah chenta itu sifatnya memiliki. Maknanya, apabila kita chenta pada seseorang itu, maka secara otomatiknya, kita memiliki dirinya dan chentanya.

Kefahaman sebegini amat merbahaya sekali, kerana apabila kita gagal memiliki apabila sudah menchentai sepenuh hati, kita akan merasa kechiwa tahap wali sehingga sanggup melakukan perkara-perkara bodoh dan gila termasuklah mencederakan diri sendiri.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kejadian seorang wanita muda yang ditikam sampai mati oleh bekas tunangnya. Semuanya gara-gara pemuda tersebut kechiwa chentanya ditolak oleh wanita itu. Hal ini tidak lain dan tidak bukan kerana merasakan betapa chenta itu memiliki. Dan apabila diri dan chenta itu gagal dimiliki, kita sudah jadi tidak waras lagi. Alahai.

Chenta itu tidak pernah memiliki. Ia adalah sebuah perasaan yang kita hamburkan, yang kita kongsikan, dengan harapan chenta kita diterima, namun ia tidak pernah memiliki.

Kadangkala kita berikan segala jiwa dan raga kita untuk menchentai, kita serahkan segala-galanya yang ada pada kita, namun ia tetap tidak pernah memiliki.

Dan kadangkala kita bersungguh-sungguh dalam menchentai, sanggup berbelanja besar demi sebuah chenta, sanggup merenangi lautan Pasifik dan mendaki Gunung Fuji, namun ia tetap tidak pernah memiliki.

Kerana yang berhak memiliki itu hanya sahaja Allah SWT. Chenta Allah pada hamba-hambaNya sangat agung dan suci, maka Dia berhak memiliki. 

“Sesungguhnya Allah SWT pada hari kiamat berfirman, ‘Dimanakah orang yang chenta-menchentai karena keagungan-Ku? Pada hari ini mereka akan Aku berikan naungan pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Ku.’” 

[Hadith riwayat Muslim] 

Hoyeaaahh. [Kredit]

Chenta itu tidak boleh bertepuk sebelah tangan 

Meskipon kita amat berharap yang chenta kita akan berbalas, tetapi hakikatnya, panas kadangkala tidak sampai ke petang kerana ada hujan batu di tengah hari.

Walaupon hukum gerakan Newton ketiga dengan yakin dan jelasnya menyatakan, untuk setiap daya akan ada daya balas pada arah berlawanan dengan magnitud kekuatan yang sama, malangnya hukum ini tidak terpakai untuk chenta. Eheh.

Kita hanya boleh berharap. Kita hanya bisa memasang angan-angan. Dan kita hanya boleh untuk mengimpikan. Namun sama ada chenta kita akan berbalas atau tidak, meski sudah ratusan waksep chenta yang kita hantar, walau sudah ribuan kuntum bunga mawar dan puluhan tan Ferrero Rocher kita bayar, adalah di luar bidang kuasa kita.

Agak menggelikan ketiak dan menggeletek hati apabila tidak lama dahulu, lamaran seorang lelaki di China telah ditolak dengan selambanya oleh gelprennya, meskipon lelaki tersebut telah membeli ratusan iPhone dengan tujuan untuk menambat hati kekasih hati dan paru-parunya itu. Gelprennya itu tidak makan rasuah rupa-rupanya. Wahahaha. Bagi saya je la satu iPhone tu bang oi!

Kerana chenta adalah sesuatu yang amat mahal dan bernilai harganya. Ia tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, dollar, yen, pound sterling apatah lagi rupiah. Untuk mengharapkan seseorang itu membalas chenta kita, ia memerlukan lebih dari sekadar harta dan material.

Namun ada satu khas pengecualian untuk ini. Yang mana chenta anda wajib dan konfem akan berbalas. Yang mana anda pasti tidak akan dikechiwakan. Pasti dan pasti.

Itulah dia, menchentai Allah, Tuhan dan Raja sekalian alam. 

"...Bila kamu mendekati Aku satu jengkal, Aku mendekatimu satu hasta. Bila kamu mendekati Aku satu hasta, Aku mendekatimu satu depa. Bila kamu datang kepada-Ku dengan berjalan kaki, Aku datang kepadamu berlari-lari." 

[Hadith Riwayat Bukhari]

Senyum. 

Chenta itu kata nama 

Ya, chenta itu indah. Chenta itu mengasyikkan. Chenta itu mempesonakan.Tapi ia tidaklah sekonyong-konyong turun dari langit ibarat bulan jatuh ke riba. Ia bukan juga arnab-arnab gemok berlari riang di tengah-tengah rimbunan bunga daffodil yang tumbuh segar.

Bukan. Ia tidak semudah itu.

Chenta itu adalah kata kerja. Maknanya, kita perlu berusaha untuk mendapatkannya. Kita perlu bekerja keras untuk memperolehnya. Kita perlu bersungguh-sungguh untuk merangkul agar ia berada di dalam dekapan chenta kita.

Chenta ialah suatu keajaiban, tapi ia sendiri tidak akan datang secara ajaibnya. Chenta suatu keluarbiasaan, tapi ia juga biasa seperti perkara-perkara yang lainnya dalam erti kata ia perlu diusahakan.

Maka sekiranya anda jatuh chenta pada anak gadis Lebai Semaun tok siak surau kampung itu, anda hendaklah berusaha untuk menawan hati mak dan ayahnya dahulu.

Sekiranya anda mahu chenta pada anak-anak murid anda yang nakal tahap Action Kamen itu, anda perlulah duduk sama rendah dan bersimpuh sama lantai dengan mereka terlebih dahulu. Boleh jadi ada cerita dan sejarah di sebalik kenakalan mereka itu.

Jika anda mahu chenta si suami yang anda kahwini melalui proses Baitul Muslim yang anda tidak pernah kenali sebelum ini, berilah masa untuk kalian saling mengenali. Pada masa yang sama, berilah layanan yang terbaik buat si suami sepertimana yang selayaknya, agar dia dapat jatuh chenta berguling pada anda.

Andai anda mahu jatuh chenta pada ar-Rasul dan Sunnah-sunnnahnya, maka berusahalah untuk mengenali sosok agung itu dan cuba sebaiknya untuk mengamalkan sunnah kehidupannya.


“Katakanlah, ‘Jika kamu benar-benar menchentai Allah, ikutilah aku (Rasulullah) nescaya Allah menchentaimu dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

[Ali-Imran, 3:31]

Betapa Allah telah mengajarkan kita, apabila kita menchentai dan menyayangi sesuatu, seharusnya kita yang menunjukkan jalannya terlebih dahulu.


“Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan kepadanya.”

[al-Ahzab, 33:56]

Kerana sungguh, chenta itu adalah sebuah kata kerja. Senyum. 

Chenta itu buta

Haaa, ini salah faham tentang chenta yang fatal sekali! Kononnya bila dah chenta, semua pon baik-baik dan sempurna sahaja.

Konon lautan api sanggup direnangi, gunung tinggi sanggup didaki. Cuba dulu berenang merentas Sungai Pahang dan daki Gunung Ledang. Kalau belum apa-apa dah pancit tak usah berangan la bang! 

Tidak hairanlah ramai anak-anak muda (dan orang tua juga) yang terperangkap dengan jerat chenta syaitonirojim, kerana mereka mendakwa betapa chenta telah membutakan mereka! 

Mereka biarkan hubungan yang mereka dakwa sebagai chenta itu berlumuran dengan dosa. Chenta yang mereka dakwa sebagai suci dan agung itu sebenarnya tidak lebih dari sekadar alat untuk melempiaskan nafsu. Dan chenta yang mereka katakan rahmat dan berkat itu, sebenarnya penuh dengan laknat dan maksiat!

Geleng kepala. 

Maka tidak hairan juga hubungan chenta yang dibina tidak bertahan lama, kerana ia dibina di atas dasar nafsu yang rapuh. Masing-masing tidak pernah merasa puas dengan chenta yang ada, kerana rupa-rupanya chenta yang dirasakan selama ini hanyalah sekadar pemuas hawa. Mudah marah dan rasa kechiwa dengan chenta yang dirasa; masakan tidak, ia hanyalah plastik dan superfisial semata!

Walhal chenta yang sebenar itu sebenarnya jauh dari dosa. Chenta yang agung itu bebas dari maksiat yang melekat dan nafsu yang terburu. Chenta yang suci itu adalah sebuah chenta yang ikhlas keranaNya yang membawa ke sorga dan membebaskan diri dari neraka! 

“Dari Anas bin Malik RA, bersabda Rasulullah SAW: 'Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, dia merasai kemanisan iman: Siapa yang chentanya kepada Allah dan Rasul lebih dari chentanya kepada yang lain; siapa yang chentanya kepada orang lain hanya kerana Allah; dan dia membenci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (dari kekufuran), sebagaimana bencinya dia akan dicampakkan ke dalam api neraka.'”

[Hadith Riwayat Muslim] 

Nah, chenta yang sebenar  itu tidah pernah membutakan, malah ia mencelikkan jiwa dan perasaan!

Awwww. [Kredit]
  
Chenta itu untuk dinikmati sendiri 

Jangan kedekut taik idung masin sangat boleh tak?

Padanlah anda selalu bergaduh dengan sahabat anda itu. Tidak hairanlah isteri tersayang sering bermasam muka dengan anda. Tidak peliklah Cik Adik Perempuan anda sukar benar mahu bertoleransi dengan anda.

Anda sukar sekali mahu berkongsi chenta rupa-rupanya.

Kan lebih manis apabila ubat gigi cap Kolget itu dikongsi sama? Kan lebih gembira apabila karipap berintikan kentang dan daging itu digigit sama? Kan lebih bahagia bantal yang penuh air liur basi itu menjadi tempat rehat dua kepala?

Nah, jika itu semua pon sudah membahagiakan, sudah boleh membuatkan diri ini tersenyum, apatah lagi apabila yang dikongsikan itu adalah chenta?

Bukankah erti hidup itu pada memberi dan berkongsi?

Bagaimana caranya kita boleh berkongsi chenta? Dengan tidak menyembunyikan perasaan kita itu dan jujur dengannya. 

“Dari Anas r.a. mengatakan bahawa seseorang berada di sisi Rasulullah SAW, lalu salah seorang sahabat melewatinya. Orang yang berada di sisi Rasulullah SAW tersebut berkata, ‘Aku menchentai dia, ya Rasulullah.’

Lalu Rasulullah SAW bersabda, ‘Apakah anda sudah memberitahukan kepadanya?’

Lelaki itu menjawab, ‘Belum.’ Lalu Rasulullah SAW bersabda, ‘Beritahukan kepadanya.’

Lalu lelaki tersebut memberitahukannya dan berkata, ‘Sesungguhnya saya menchentai anda kerana Allah.’

Kemudian orang yang dichentai itu berkata, ‘Semoga Allah menchentaimu kerana anda menchentai saya kerana-Nya.’ 

[Hadith Riwayat Abu Daud]

Dan kita hanya dapat benar-benar memaknai chenta apabila kita berjaya menchentai seseorang itu sama atau lebih baik lagi daripada kita menchentai diri kita sendiri.

"Tidak beriman seseorang itu selagi dia tidak menchentai saudaranya sepertimana dia menchentai dirinya sendiri."

[Hadith riwayat Muslim]

Nah, mana mungkin kita kedekut lagi dalam berchenta selepas membaca hadith ini kan?

Chenta itu mudah ibarat makan popkon perisa coklat seteroberi sambil goyang kaki 

Ini satu lagi salah faham yang merbahaya tentang chenta. Betapa chenta itu mudah, indah dan fulsetop di situ. Haih.

Benar chenta itu mudah. Benar chenta itu indah. Dan benar chenta itu menggugah.

Namun chenta itu mudah selepas bersusah. Chenta itu indah usai penat bertingkah. Dan chenta itu menggugah apabila sudah bersungguh mengayun langkah.

Chenta itu ada gaduhnya, ada rajuknya, ada kecil hatinya, ada terguris perasaannya, ada salah fahamnya, ada bercakarannya, ada baling pinggannya. Err.

Baharulah akan ada rasa sayangnya, ada pujuknyaa ada rasa bahagianya, ada rasa terujanya, ada pesonanya dan ada baling bantal manjanya. Eheh.


“Maka sungguh, bersama kesulitan ada kemudahan. Sungguh, bersama kesulitan ada kemudahan.”

[al-Insyirah, 94:5-6]



Sungguh kemanisan chenta itu hanya dapat dirasai apabila kita telah merasakan pahit dan masinnya.

Kenikmatan chenta itu hanya dapat dikecapi apabila kita sudah melalui jalannya yang penuh duri dan kaca.

Dan keasyikan chenta itu hanya akan dapat kita dinikmati tatkala kita sudah beramah mesra dan bertepu tampar dengan susah dan derita.

Orang yang mengatakan chenta itu mudah, adalah orang yang belum benar-benar berchenta. Orang yang mendakwa berchenta itu ibarat makan kacang kuda sambil menyuap kek cokolat ke dalam mulut, belum pernah merasakan betapa hebatnya chenta yang sebenar.

Sungguh, pintu kepada kesenangan adalah kesusahan. Dan anak kunci untuk membuka pinta chenta yang hakiki adalah ujian kepayahan dan mehnah penderitaan. 

“Sesungguhnya Allah jika menchentai suatu kaum, maka Dia akan mendatangkan cobaan kepada mereka. Dan barangsiapa redha dengan ujian itu, maka dia akan memperoleh keredhaanNya. Dan barangsiapa membencinya maka dia akan memperoleh kebencianNya.” 

[Hadith riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah]

Ah, bahagia! 

Chenta itu tidak memerlukan pengorbanan 

Jika ada orang yang berpendapat sebegini, ketahuilah, orang itu tidak layak untuk berchenta, apatah lagi dichentai.

Chenta itu sendiri adalah sebuah pengorbanan. Chenta adalah nama lain bagi pengorbanan!

Mungkin kerana itulah begitu ramai orang yang mudah menukar-nukar pasangan kerana kononnya tidak ketemu dengan chenta sejati. Mungkin kerana itu jugalah banyak pasangan suami isteri hari ini begitu mudah bercerai-berai, hanya kerana kononnya sudah tidak sepadan lagi. Mungkin ini juga sebab mengapa ramai orang yang merasakan begitu sukar untuk jatuh chenta dengan ar-Rasul dan Allah, hanya kerana kononnya chenta itu sukar benar untuk dirasai.

Hakikatnya, semua ini berlaku kerana gagalnya kita memaknai erti sebuah pengorbanan!

Kalau kita benar sayangkan seseorang itu, kita sanggup buat apa sahaja untuknya kan? Kita sanggup beli cokolat mahal-mahal untuk dihadiahkan kepadanya. Kita sanggup berulang-alik dari satu tempat yang jauh hanya kerana mahu bertemu mata dengannya. Kita sanggup bersengkang mata hanya kerana mahu menemani si dia. Kita sanggup mengorbankan perasaan kita, memendam rasa dan menyimpan jiwa, hanya kerana mahu melihat orang yang kita sayang itu bahagia?

Bukankah itu semua suatu pengorbanan?

Dan betapa nikmatnya rasa chenta yang didahulukan dengan pengorbanan. Betapa mahalnya harga sebuah chenta yang yang dibeli dengan pengorbanan. Dan betapa asyik dan pesonanya sebuah chenta yang berintikan pengorbanan.  

Mari kita lihat doa chenta yang paling epik yang pernah dirakamkan oleh sejarah ketamadunan manusia, itulah doa Muhammad SAW usai tribulasi di Thaif: 

"Wahai Tuhanku, kepada Engkaulah aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya upayaku pada pandangan manusia.

Wahai Tuhan Yang Maha Rahim, Engkaulah Tuhannya orang-orang yang lemah dan Engkaulah tuhanku.

Kepada siapa Engkau menyerahkan diriku? Kepada musuh yang akan menerkam aku atau kepada keluarga yang Engkau berikan kepadanya urusanku, tidak ada keberatan bagiku asalkan Engkau tidak marah kepadaku.

Sedangkan afiat-Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya muka-Mu yang mulia yang menyinari langit dan menerangi segala yang gelap dan atas-Nyalah teratur segala urusan dunia dan akhirat.

Dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahan-Mu atau dari Engkau turun atasku azab-Mu. Kepada Engkaulah aku adukan halku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau." 

Inilah chenta yang sebenar. Inilah manifestasi chenta yang teragung. Dan ini cara berchenta yang paling mulia.

Ia chenta yang penuh dengan pengorbanan!

Siapakah manusia yang paling dichentai oleh Allah? Muhammad SAW. Tetapi bagaimanakah perjalan hidup sosok yang dijoloki sebagai penutup segala Nabi tu? Penuh dengan pancaroba; warna-warni penderitaan dan kesengsaraan.

Nah, beginikah cara Allah melayan kekasihNya? Begitukah sikap seorang kekasih kepada buah hati pengarang jantungnya?

Ya. Kerana chenta yang sebenar itu dipaliti dengan lumpur-lumpur kepayahan. Ia terlumur dengan debu dan pasir penderitaan. Ia tercalit dengan kotoran penyeksaan dan kesengsaraan.


“Ataukah kamu mengira kamu akan masuk sorga, walhal belum datang kepadamu cobaan seperti orang-orang yang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan pelbagai cobaan), sehingga rasul dan orang-orang beriman bersamanya berkata, ‘Bilakah akan datang pertolongan Allah?’ Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.”

[al-Baqarah, 2:214]



Fuh.

Bagaimana? Anda rasa lebih yakin untuk menchentai dan dichentai sekarang ini?

Moga segala silap faham dan salah tahu kita tentang chenta selepas ini dapat diluruskan dan dibetulkan. Dan selepas itu, segala semak samun dan hutan belukar yang menghalang jalan chenta kita selama ini dapat dibersihkan. Agar yang tinggal hanyalah jalan yang lurus dan suci menuju chenta yang hakiki.

Namun, sekiranya semua itu masih gagal menjadikan kita faham dan tahu untuk menchentai…

Wahai Tuhan! Ajarkan kami bagaimana mahu menchentai! 

“Demi zat yang diriku berada di bawah kekuasaan-Nya, tidak akan masuk sorga selagi kamu tidak beriman, tidak akan beriman selagi kamu tidak saling chenta-menchentai. Apakah kamu ingin ku khabarkan mengenai amalan yang apabila dilakukan pasti membuatkan kamu saling menchentai?” 

Para sahabat menjawab, “Ya wahai Rasulullah.” 

Nabi pun bersabda, “Sebarkanlah salam dalam kalangan kamu.”                         



[Hadis riwayat Muslim]

Senyum.

-gabbana-

Kini terasa begitu sukar untuk menghasilkan satu post sebegini, tidak lagi seperti dahulu.

Mungkinkah era kegemilangan Inche gabbana sudah berakhir. Gasp.

"Pernah gemilang ke Inche gabbana?"

Err.

1 April 2015

Ya Allah! Tolonglah Aku Dengan Cara Yang Engkau Kehendaki!

[Kredit]

Alkisahnya bermula apabila seorang anak muda, dalam perjalanannya untuk belajar ilmu sihir, telah bertemu dengan seorang rahib lantas tertarik untuk menuntut ilmu dari rahib tersebut. Hasil dari keikhlasan dan kesungguhan si anak muda menuntut ilmu, dia berjaya melepasi ujian besar lantas mengangkat statusnya sehingga dikenali oleh orang ramai sebagai anak muda yang hebat.

Anak muda memanfaatkan kehebatan yang ada pada dirinya untuk menyebarkan al-haq, sehingga dia berjaya menjadikan salah seorang daripada pembesar kerajaan yang memerintah ketika itu untuk beriman kepada Allah. Hal ini sampai ke pengetahuan sang raja yang zalim. Setelah menyeksa dan membunuh pembesar dan rahib, tiba giliran anak muda untuk dihukum bunuh.

Namun dengan takdir Allah, si anak muda terselamat pada setiap kali cubaan untuk membunuhnya. Sang raja yang kejam buntu dan keliru, sehinggalah anak muda itu sendiri yang memberitahu sang raja cara-cara untuk menamatkan riwayatnya. Sang raja yang sudah terdesak, menurut sahaja kata-kata si anak muda yang dikurniakan Allah dengan ilham dan kebijaksanaan itu.

Anak muda akhirnya berjaya dibunuh setelah sang raja menurut satu-persatu arahan yang diberikan anak muda. Namun begitu, meskipon anak muda itu sudah mati, kematiannya adalah suatu kematian yang menghidupkan. Orang ramai berbondong-bondong menyatakan keimanan mereka kepada Allah setelah menyaksikan sendiri keajaiban yang berlaku pada si anak muda.

Begitulah ringkasan dan kesimpulan pada hadith ghulam yang femes itu (diriwayatkan oleh Imam Muslim, Ahmad dan Tirmidzi). Saya pasti, ramai dalam kalangan anda yang pernah sekurang-kurangnya membaca hadith ini atau lebih masyuk lagi, pernah melalui konferens riang dengan tajuk ini.

Kisah ini juga dirakamkan di dalam Quran di dalam surah al-Buruj, apabila Allah SWT berfirman:

“Binasalah orang-orang yang membuat parit, yang berapi (yang mempunyai) kayu bakar, ketika mereka duduk di sekitarnya sedang mereka menyaksikan apa yang mereka perbuat terhadap orang-orang mu’min.

Dan mereka menyeksa orang-orang mu’min itu hanya kerana (orang-orang mu’min itu) beriman kepada Allah yang Maha Perkasa, Maha Terpuji, yang memiliki kerajaan langit dan bumi. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.”
[al-Buruj, 85: 4-9]

Sungguh, terlalu banyak ibrah dan mutiara-mutiara yang tidak ternilai harganya yang dapat kita ambil dan kutip daripada kisah ghulam (anak muda) ini. Betapa di usia yang muda, ketika mana anak-anak muda yang sebaya dengannya sibok bermain PES, COC, berdating bercengkerama di bawah bulan purnama, menghabiskan duit membeli tiket konsert K-Pop dan sebagainya, dia memilih untuk menuntut ilmu dan menyebarkan risalah kebenaran.

Dan yang lebih mengujakan dan mengagumkan, dia berani dan sanggup untuk mengorbankan dirinya untuk memastikan keberlangsungan dakwah dan kebenaran dapat ditegakkan.

Nah, berapa ramai daripada kita yang punya keberanian dan kehormatan sedemikian rupa? Berapa ramai daripada kita yang sanggup mengorbankan kepentingan diri, nama, harta dan keglamoran hanya kerana mahu memperjuangkan Islam? Dan berapa ramai daripada kita yang kononnya sudah bersama dengan gerabak tarbiyah dan dakwah ini, bersungguh-sungguh dalam melaksanakan amanah syahadatul haq kita seperti mana kesungguhan ghulam?

Sentap bak hang!

Namun dalam banyak-banyak pengajaran dan hikmah yang boleh kita belajar dari ghulam, ada satu pengajaran yang benar-benar menyentuh hati dan menggugah jiwa saya. Yang benar-benar menggambarkan kefahaman ghulam pada ajaran si rahib dan keikhlasannya dalam mencari kebenaran. Yang tidak pernah gagal untuk membuatkan saya kagum dan jeles pada masa yang sama, pada kehebatan sosok si anak muda itu.

Itulah doanya ketika dia berhadapan dengan hukuman mati yang mahu dilaksanakan oleh sang raja meliar yang zalim.

“Ya Allah! Tolonglah aku dengan cara yang Engkau kehendaki!”

Err. Apa yang hebatnya dengan doa ini Inche gabbana? Biasa sahaja.

Haa itulah anda. Dahulu suruh mengaji, malas, monteng je memanjang. Kan dah menyusahkan orang? Wahahaha.

Pandang kanan. Pandang kiri. Empat haribulan ni ada gerhana bulan penuh kan?

Anda yang benar-benar memaknai doa ghulam itu pasti akan bersetuju bahawa ia adalah suatu doa yang cukup hebat.

Mengapa?

Pertama, ia menunjukkan betapa kebergantungan ghulam terhadap Allah adalah pada tahap Super Saiya peringkat kelapan. Betapa dia amat yakin dengan ketentuan Allah sehinggakan dia tidak perlu meminta apa-apa secara spesifik.

Kedua, doa ghulam juga menggambarkan kepada kita bahawa ghulam tidak lagi takut pada seksaan atau ancaman makhluk bernama manusia, kerana keimanannya kepada Allah yang cukup tinggi. Dia amat yakin bahawa Allah bersama-samanya.

Ketiga, sepertimana Nabi Musa yang amat pawer dalam doanya, ghulam juga berlapang dada dengan Allah, meletakkan sepenuh keyakinan kepada Sang Raja Segala Raja, bahawa Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk ghulam ketika itu. Ya benar, ghulam sememangnya mengharapkan bantuan dan pertolongan daripada Allah, tetapi dengan apa-apa cara yang Dia sukai.

Tiga pengajaran ini, sekiranya dihayati dengan seiklas jiwa dan setulus hati, pastinya akan membuatkan kita rasa malu dan rendah diri dengan tahap keimanan kita sehari-hari. Tsk.

Pertamanya ia menggambarkan betapa hebat, mandalam dan berkesannya tarbiyah si rahib kepada ghulam, sehinggakan berjaya menjadikan ghulam sebegitu rupa. Asuhan rahib melalui sentuhan jiwa dan muayasyah yang pawer telah membentuk peribadi ghulam yang tiada tolok tandingnya.

Kedua, ghulam mengajar kita erti keimanan yang sebenar. Ghulam menunjukkan kita bagaimana mahu memaknai erti syahadah ke atas kebenaran itu. Tidak hairanlah, matinya ghulam adalah mati yang menyegarkan lagi menghidupkan.

Sejauh mana kebergantungan kita kepada Allah semata-mata? Atau masih ada karat-karat di dalam diri kita dek kebergantungan kita kepada makhluk yang lainnya?

Sejauh mana keyakinan kita kepada perlindungan dan penjagaan Allah terhadap diri kita dan keluarga? Atau jauh di sudut hati kita punya rasa syak dan wasangka terhadap Allah yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa itu?

Dan sejauh mana pula kita berlapang dada dengan pengetahuan dan kebijaksaan Allah yang maha luas dan tiada tandingan itu? Atau kita masih ragu-ragu bahawa Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita?

Anda tunggu sebentar boleh? Saya nak berlari-lari anak sebentar kerana terlalu malu dengan diri sendiri. Aduhai.

Tiada salahnya kita mahu meminta apa sahaja daripada Allah. Malah Allah amat menyukainya apabila para hambaNya menadah tangan untuk mengadu kasih dan meminta hajat daripadaNya.

Namun doa kita itu mencerminkan kebergantungan dan keyakinan kita kepadaNya.

Doa kita itu menggambarkan sama ada kita benar-benar percaya dan rasa selamat dengan perlindungan dan kasih-sayangNya.

Dan doa kita itu sebenarnya adalah petanda adab dan akhlak kita dengan Kekasih kita.

Berdoalah apa sahaja. InshaAllah ia akan dimakbulkan olehNya.

Namun, sekiranya selama ini anda berdoa dengan doa:

“Ya Allah! Jadikan aku kaya raya dengan rezekiMu yang melimpah ruah itu!”

atau

“Ya Tuhan! Aku nak lulus dengan cemerlang dalam hekzem akhir tahunku! Perkenankanlah!”

atau

“Ya Rabb! Aku macam berkenanlah pada anak dara Pak Leman tu. Tautkanlah hati kami. Pertemukanlah jodoh kami!”

atau

“Ya Rahman! Lembutkanlah hati kawan aku si Dolah tu. Keras betul hatinya. Apa nak jadi pon aku tak tahulah!”

Tukarlah sedikit doa anda itu dan berdoalah dengan doa yang begini:

Ya Allah! Jadikan aku kaya raya dengan rezekiMu yang melimpah ruah itu! Namun aku serahkan segalanya kepadaMu kerana hanya Engkau yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku!”

“Ya Tuhan! Aku nak lulus dengan cemerlang dalam hekzem akhir tahunku! Perkenankanlah ya Allah, sekiranya itulah yang terbaik buat diriku, Engkaulah Tuhan yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana!”

“Ya Rabb! Aku macam berkenanlah pada anak dara Pak Leman tu. Tautkanlah hati kami. Pertemukanlah jodoh kami sekiranya dia memang ditakdirkan untukku. Kau jua yang lebih mengetahui siapa yang terbaik untukku. Aku redha dengan ketentuanMu, ya Rabb!”

“Ya Rahman! Lembutkanlah hati kawan aku si Dolah tu. Keras betul hatinya. Apa nak jadi pon aku tak tahulah! Sungguh, Engkaulah Pemilik dan Pemegang hati hati makhlukMu. Bantulah Dia dengan cara yang Engkau sukai, wahai Tuhan yang Maha Lembut lagi Maha Pengasih.”

Haaa, kan lebih comey begitu?

Ayuh jadi seperti ghulam, yang meletakkan sepenuh kepercayaan dan kebergantungannya kepada Allah semata.

Ayuh jadi seperti ghulam, yang lapang dadanya dan baik sangkanya pada Tuhan sekalian alam.

Dan ayuh jadi seperti ghulam, yang penuh adab dan kasih, akhlak dan chenta dalam menaruh hajat pada Tuhannya.

Ya Allah! Tolonglah kami dengan cara yang Engkau kehendaki, kerana sungguh, Engkau Maha Mengetahui!

Ya Allah! Tolonglah kami dengan apa-apa yang Engkau sukai, kerana kami yakin Engkau tahu apa yang terbaik untuk kami!

Ya Allah! Dan tolonglah kami berhadapan dengan marabahaya dan bencana GST!

Eh.

-gabbana-

Moga kita semua dikurniakan dengan kematian yang menghidupkan, sepertimana ghulam dan ramai lagi para syuhada’ di luar sana. Amiin. 

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP