Cerita (Pendek) Seram II
[Kredit] |
Kisah Yang Lagi Seram
Soraya rasa lugu. Bosan
pon bukan. Dungu pon bukan. Tapi lugu. Kau orang tahu lugu tu apa?
Dia rasa macam hati dia
dah keras. Tak tau kenapa. Tapi tulah yang dia rasa sekarang ni.
Soraya terbaring
terlentang di atas katilnya. Direnungnya siling biliknya macamlah siling
biliknya itu benda paling penting dalam hidupnya ketika itu. Kalau tak silap
dia, dua tiga minit lepas dia nampak muka Shah Rukh Khan kat siling tu. Untung
nasib badan, kejap lagi keluar muka Hrithik Roshan pula.
Bosan merenung siling,
direnung pula kipas cap Pensonik yang sedang berputar pada kelajuan yang paling
perlahan. Punyalah teliti Soraya tenung kipas tu, sampaikan dia boleh kira
berapa putaran kipas tu dalam masa satu saat. Peh.
Soraya bingkas bangun.
Dia rimas. Dia tidak tahan begitu.
Entah macam mana
tiba-tiba dia dapat idea gila. Gila tapi bombastik. Gila tapi best.
Dia sumpah seranah diri
sendiri sebab pelik kenapalah tak terfikir pasal idea tu tiga jam yang lepas.
Hampir tiga jam dia dok tenung siling dan kipas. Siling dan kipas. Memang pathetic.
Tak jauh dari rumah dia
ada satu bukit kecik. Bukit tu walaupon kecik, tapi dia penuh dengan
pokok-pokok renek dan belukar. Kalau kau orang belajar geografi dulu, dia
panggil hutan sekunder. So walaupon bukit tu kecik je, tapi sebab ada
pokok-pokok dan hutan belukar, dia nampak besar. Ilusi optik la lebih kurang.
Soraya selalu ke situ
untuk release tension. Dia akan lepak
berjam-jam kat situ bila bila dia stress. Dia akan spend masa kat situ macamlah
bukit tu bapak dia yang punya bila dia ada problem
yang dia tak dapat nak solve.
Selalunya masalah dakwah
lah. Gaduh dengan akhawat ke. Kakak naqibah cari pasal ke. Emo dengan hadek
bulatan gembira ke. Masalah dakwah lah sangat kan. Ceh.
Tempat tu memang perfect la untuk Soraya. Ada satu pokok
besar di puncak bukit yang selalu jadi tempat lepak Soraya. Dulu ada tokong
kecik kat sebelah pokok tu. Tapi lama-lama bila Soraya perasan takde orang pon
yang datang letak buah oren atau bakar colok kat situ, Soraya pergi alihkan
tokong kecik tu letak kat pokok lain. Selamba dia je.
Pemandangan dia bila
Soraya duduk kat pokok tu memang perfect.
Dari situ Soraya boleh nampak KLCC dan entah macam-macam pencakar langit yang
lain. Dia macam combination nature
dengan dunia moden. Badan Soraya berada di alam hijau yang cukup menyegarkan;
pada masa yang sama, dari situ Soraya nampak hiruk-pikuk dan kesibukan bandar
yang menggilakan. Perfect. Just perfect.
Soraya cepat-cepat siap.
Disarungkan tudung Indon yang tersangkut pada penyangkut pokok besi yang Mama
dia beli di IKEA. Mudah. Sarung dan voila! Cukup sifat untuk seorang akhawat.
Soraya baru sahaja nak
tutup pintu biliknya bila dia teringatkan quran diarinya yang kaler pink itu. Pink. Merah jambu. Gegurl la sangat.
Cepat-cepat dia capai qurannya itu. Oklah, terasa baiklah sikit. Dia tak sabar nak cepat-cepat sampai di bukit itu. Dia rasa kalau dia dok di bilik dia untuk lima minit lagi, dia akan jadi gila.
Soraya sengaja tinggalkan
iPhone dia di bilik. Tak mahu diganggu. Soraya ada kurang lebih satu jam
sebelum masuk waktu Zuhur. Dia tak merancang untuk melepak lama di bukit itu.
Cukuplah sekadar nak amik udara segar dan rehatkan fikiran.
Soraya tutup dan kunci
pintu depan dengan cermat. Papa dan Mama sudah tentulah di opis ketika itu.
Abang dan kakak juga di opis. Adik masih di sekolah. Soraya sahaja di rumah.
Padah cuti sem empat bulan lamanya! Gila.
Matahari sudah mula terik
di luar. Tapi Soraya tak kisah sebab atas bukit tu sejuk. Bersandar pada batang
pokok besar di atas bukit tu macam bersandar pada dinding bilik yang ekonnya
terpasang. Serius. Cuma nak berjalan ke bukit tu, berpeluhlah sikit ketiak
Soraya.
Sepanjang perjalanan ke
sana, macam-macam bermain dalam kepala Soraya. Sebenarnya dah nak dekat sebulan
Soraya tak pergi bulatan gembira. Maka nak dekat sebulan jugalah Soraya dah tak
duduk-duduk beriman sejenak bersama akhawat. Dah nak dekat sebulan jugalah
Soraya tak dengar tafsir dan tazkirah yang menggugah jiwa. Dan dah nak dekat
sebulan jugalah Soraya tak borak-borak qadhaya dengan ahli-ahli bulatan
gembiranya. Ni semua cuti punya pasal.
Soraya pon takde lah effort nak kontek akhawat lain. Dah
akhawat pon macam tak kisah je pasal dia. Macam ok je dia dah tak pergi bulatan
gembira sebulan. So fair la kan?
Nasib lah.
Tak hairanlah Soraya rasa
kering. Rasa lugu macam tadi tu. Sampai boleh terlintas di hati nak masuk
meminang Aamir Khan dan bukan ikhwah tempatan. Eh.
Memang Soraya rasa
bersalah. Rasa tak kena. Rasa futur. Bukan rasa lagi dah, tapi memang future
pon. Tapi… Apa yang boleh dia lakukan?
Tiba-tiba Soraya dah
berada di puncak bukit. Pokok favourite
Soraya tu sekonyong-konyong ada di depan mata. Cepat betul Soraya menapak.
Time time macam tu, memang Soraya sorang-sorang je
lah kat atas tu. Rasanya dah takde orang yang lagi gila dari Soraya,
tengah-tengah hari macam tu pergi daki bukit untuk melepak.
Memang sunyi sepi lah
suasana kat situ. Sekali-kala ada lah bunyi angin yang bertiup menampar dahan
dan ranting pokok. Juga bunyi daun-daun kering yang berguguran, bergeseran
dengan rumput atau tanah. Selain tu, memang hening. Seram jugaklah dibuatnya,
walaupon di tengah hari buta macam tu.
Orang kata bukit tu berhantu. Dulu kononnya tentera Jepang dok sembelih orang kat situ. Masa zaman komunis, komunis pon jadikan bukit tu untuk seksa orang. Kononnya pada hari-hari tertentu, boleh dengar tapak kaki tentera Jepang tengah berkawat. Kononnya juga, ada orang pernah dengar bunyi suara orang merayu mintak tolong. Kononnyalah. Banyaknya konon.
Orang kata bukit tu berhantu. Dulu kononnya tentera Jepang dok sembelih orang kat situ. Masa zaman komunis, komunis pon jadikan bukit tu untuk seksa orang. Kononnya pada hari-hari tertentu, boleh dengar tapak kaki tentera Jepang tengah berkawat. Kononnya juga, ada orang pernah dengar bunyi suara orang merayu mintak tolong. Kononnyalah. Banyaknya konon.
Tapi Soraya tak kisah.
Atau buat-buat tak kisah. Sebab dia dah biasa. Teringin jugak nak jumpa benda-benda tu, boleh buat modal tulis buku. Eh.
Selepas menyapu daun-daun
dan ranting-ranting kering yang ada, Soraya duduk di port biasanya. Mula-mula Soraya duduk bersila. Lepas kakinya
lenguh, dia duduk menyilang pulak. Bersimpuh jauh sekali lah, bukan ada bakal mak
mertua kat situ pon.
Lama dia duduk tidak
berbuat apa-apa melainkan merenung pemandangan yang ada di hadapannya. Memang
menenangkan. Dan mengenyangkan emosinya yang lapar.
Tiba-tiba tergerak
hatinya untuk membuka quran pinknya. Dah alang-alang bawak sekali kan, takkan
nak biar gitu je.
Tapi Soraya rasa tak
sedap hati. Dia seperti tahu-tahu apa yang akan berlaku. Dia tahu kalau dia bukak Quran nanti, mesti dia kena 'tampar' dengan Allah. Tapi dia buat dek je.
Sebab dia sangat yakin dengan tarbiyah dari Allah. Dan paling penting sebab dia
dah selalu kena. Heh.
Dia cekalkan hati. Dia
tekad. Dia tarik nafas dalam-dalam, sempat usha dua menara berkembar terpacak
tinggi tidak jauh dari situ, baca bismillah dan terus bukak qurannya itu.
Tup tup surah pertama
yang dia jumpa, surah al-Hadid. Elok pulak mata dia time tu boleh fokus pada ayat enam belas. Memang terbaik ah.
“Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka) dan janganlah mereka (berlaku) seperti orang-orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati menjadi keras. Dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik.”
[al-Hadid, 57:16]
Peh. Tak seram ke tu?
-gabbana-
Amacam? Ada yang terkencing dalam seluar tak baca cerita seram ni? Wahahaha.