30 September 2014

Sudah Cukupkah Kita Tolong Allah?

[Kredit]

Ada satu ayat lejen di dalam al-Quran, yang saya kira, kebanyakan daripada mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai dua't pasti arif benar dengan ayat ini. Orang kata petik jari lah!

Ayat ini mengandungi satu formula agung yang menjanjikan kemenangan. Ayat ini mendedahkan rahsia yang tak berapa nak rahsialah sebenarnya, tentang apakah caranya untuk mendapatkan pertolongan Allah. Dan ayat ini sebenarnya menunjukkan kita jalan yang lurus terbentang dan disinari dengan lampu sorot bagaimana untuk menegakkan kembali Islam yang terchenta.

Aik ada ke ayat yang sebegitu hebat Inche gabbana? Macam tak pernah jumpa pon? Anda bertanya sambil menggaru hidung dan kepala.

Sudah tentulah ada. Ayat itu berbunyi begini:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."
[Muhammad, 47:7]

Mahu menang? Mahu Allah tolong? Mahu Islam ditegakkan?

Sifirnya mudah; kena tolong Allah dahulu. Ya, tolong agama Allah.

Ha? Tolong agama Allah? Mengapa Allah perlukan bantuan manusia? Bagaimana Allah yang Maha Kuasa, Maha Hebat, Maha Agung dan Maha segala-galanya itu memerlukan bantuan manusia yang khilaf, lemah dan marhaen ini...??

Bukan. Bukan begitu.

Ayat ni sebenarnya ayat psikologi terbalik. Reverse psychology. 

Allah nak beritahu kita, kalau kita mahu menang, jika kita mahu Allah tolong, syaratnya mudah. Kita dahulu kena bantu tegakkan agama Allah. 

Hakikatnya, Allah tak perlukan pon pertolongan kita. Bila-bila masa sahaja, kun fayakun! Maka Islam boleh tertegak ketika itu juga. Kun fayakun! Tiada umat Islam yang tertindas di dunia ini. Kun fayakun! Semua orang beriman, pakai kopiah dan jubah berlari-lari gembira menuju ke mesejid yang berdekatan. Eheh. 

Tetapi sunnatullahnya tidak begitu. Hukum alam sejak zaman-berzamannya tidak begitu. 

Yang sudah tertulis di Lauh Mahfuz itu, manusia perlu berusaha untuk mendapatkan sesuatu. Nasi lemak sambal kerang tidak akan turun dari langit kalau kita hanya berdoa dan berdoa. Kita akan terus berbogel tidak memakai apa sekiranya kita tidak ke almari pakaian kita dan menyarungkan sesuatu pada tubuh badan kita. Kita akan terus gemok dan gedempol sekiranya yang kita tahu hanyalah makan dan makan dan tidak bersenam. 

Ehem. 

Samalah dengan kemenangan Islam. Atau untuk skop yang lebih kecilnya, tugas-tugas dan kehidupan kita sebagai seorang dai'e sehari-hari. Allah akan mudahkan kehidupan kita sekiranya kita dahulu yang membantu agamaNya. Allah akan buka jalan-jalan keluar untuk kita andai kita dahulu yang menyebarkan chentaNya.

Kerana itu ayat surah Muhammad tadi dimulakan dengan "...jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu..." dan bukannya "Nescaya Dia akan menolongmu jika kamu menolong (agama) Allah."

Ada perbezaankan di situ?  

Nah, mari kita lihat sikap dan perlakuan kita sehari-hari untuk melihat sama ada kita sudah benar-benar menolong agama Allah atau tidak. 

Mengapa kita masih teragak-agak untuk bersungguh-sungguh dan mengorbankan segala-galanya untuk agama ini?

Mengapa kita berat untuk pulang lewat malam daripada berbulatan gembira, mentarbiyah dan menyebarkan dakwah hanya kerana takut mengantuk di kantor keesokan harinya?

Mengapa kita masih kedekut tahi hidung masin untuk menginfaqkan sebahagian daripada harta yang Allah beri pada kita hanya kerana risau tak cukup duit perbelanjaan untuk bulan itu?

Mengapa kita masih berkira-kira untuk keluar meninggalkan anak dan isteri untuk pergi berdakwah hanya kerana risaukan keberadaan mereka?

Mengapa kita masih tidak benar-benar mengeluarkan tenaga, emosi, harta dan jiwa yang ada untuk Islam yang terchenta ini..?

Tidak cukupkah takwakkal kita kepada Allah?

Tidak yakinkah kita kepada janji Allah?

Tidak tsiqahkah kita kepada kata-kata Allah? 

"...Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya. Dan Dia memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsipa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap sesuatu."
[at-Talaq, 65:2-3]

Apabila kita jaga agama Allah, Allah akan jaga kita dan keluarga.

Apabila kita bukakan pintu untuk orang mengenal Allah, Allah akan bukakan pintu kemudahan dan kesenangan untuk kita.

Apabila kita berkorban untuk tegakkan Islam, Allah akan pastikan pengorbanan kita tidak sia-sia. 

"...jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu..." 

Nescaya; itu janji. Itu pasti. Itu mesti!

Nescaya!

Lantas, masih berasa hairankah kita apabila sehingga ke saat ini, Islam masih belum menang-menang lagi..?

Potong bawang. Laju dan laju.

-gabbana-  

Masih belum berjaya untuk menyudahkan proses penerbitan Zine Enonimus seperti yang diwar-warkan sebelum ini. Mohon doa semuanya. 

25 September 2014

Menjadi Nabi Daud

[Kredit]

Ada sesuatu yang sangat istimewa dengan sosok yang bernama Daud a.s. itu. 

Di dalam Quran, disebutkan dengan ringkas betapa Nabi Daud a.s. telah berjaya menewaskan Jalut.

"Maka mereka mengalahkannya dengan izin Allah, dan Daud membunuh Jalut."
[al-Baqarah, 2:251]

Di dalam al-Quran, tidak dikisahkan kepada kita secara panjang lebar kisah pertarungan epik antara Daud dan Jalut ini. Namun daripada sumber Bible misalnya, kita dapat mengetahui dengan lebih terperinci kisah yang diangkat sebagai kisah pertarungan agung David and Goliath.

Nabi Daud a.s. hanyalah seorang pengembala kambing (seperti kebanyakan Nabi dan Rasul yang lainnya) apabila baginda menawarkan dirinya untuk bertarung satu lawan satu dengan Jalut.

Jalut adalah ketua bangsa Phillistine yang berasal dari Crete. Jalut mempunyai impian untuk menakluk dan menghancurkan kerajaan Bani Israil yang ketika itu dipimpin oleh Thalut. Jalut sendiri adalah seorang yang gagah perkasa malah luar biasa besarnya, dengan ketinggian sekurang-kurangnya enam kaki sembilan inci. Mak kau! 

Ibnu Jarir telah menyebutkan dalam kitab Tarikh-nya bahawa Jalut ketika berperang dengan Thalut, telah berkata; "Keluarkanlah kepadaku (seseorang untuk bertanding), maka akan aku keluarkan (seseorang untuk bertanding) denganmu." Thalut lantas menyemarakkan semangat orang ramai dan Daud a.s. pun terpanggil dan akhirnya Daud a.s dapat membunuh Jalut.  

Di dalam naratif Bible, diceritakan bagaimana Jalut dibunuh Daud a.s. dengan hanya menggunakan lastik dan batu. Lastik dan batu! Ini sumpah lejen!

Sehingga ke hari ini, kisah David melawan Goliath ini diangkat sebagai sebuah kisah simbolik yang menggambarkan betapa golongan yang lemah boleh mengalahkan golongan yang jauh lebih kuat. Ia diceritakan turun temurun sebagai motivasi bahawa golongan yang tertindas sebenarnya bisa sahaja menewaskan golongan di atas. 

Namun ada ibrah yang lebih besar daripada itu. Ada sesuatu yang jauh lebih mengagumkan dengan kisah Daud a.s. menewaskan Jalut ini. 

Ia bukan sekadar motivasi bahawa yang lemah boleh menewaskan yang kuat. Ia bukan sekadar kisah lejen bagaimana seorang pengembala kambing berjaya menumpaskan seorang panglima perang yang gagah perkasa dan baginda akhirnya diangkat menjadi raja. 

Ia sebuah kisah keimanan. Ia sebuah legasi ketauhidan. Dan ia sebuah catatan kebenaran.

"Kemudian apabila Thalut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah dia, 'Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah dia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak meminumnya maka sesungguhnya dia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya.' Tetapi mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Thalut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah mereka (orang-orang yang meminum sepuas-puasnya), 'Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya.' Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: 'Betapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang kecil berjaya menewaskan golongan yang besar dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar.'"
[al-Baqarah, 2:249]

Daripada ayat ini, tahulah kita bahawa Daud a.s. tergolong dalam pengikut Thalut yang tahan ujian dan dugaan. Betapa baginda termasuk dalam golongan "...yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah." Dan baginda juga termasuk sebagai mereka yang disifatkan penyabar oleh Allah. 

Di dalam suatu riwayat, disebutkan bagaimana daripada puluhan ribu tentera Thalut, kurang lebih tiga ratus sahaja yang tinggal setelah tewas dengan ujian sebatang sungai itu. Daud a.s. sayugia bukan calang-calang orang. Dia termasuk dalam golongan jundullah yang tsabat, setelah ditapis sendiri oleh Allah!

Sebelum saya meneruskan dengan kisah Daud a.s., saya ingin mengajak anda untuk membayangkan diri kita berada di tempat para pengikut Thalut. Berada di dalam suasana perang yang dahsyat, dengan pihak musuh yang gagah dan hebat. Perjalanan yang panjang, jauh dan panas, ditambah pula dengan berkecamuknya emosi yang tidak tahu apakah kesudahan perang yang bakal berlaku.

Nah, sebatang sungai yang jernih airnya, yang sejuk lagi menyegarkan, terbentang di hadapan mata. Sungai yang menawarkan kerehatan dan ketenangan. Yang dapat menghilangkan rasa haus, yang dapat mengubat kecelaruan perasaan.

Sekiranya kita berada di tempat mereka, agak-agaknyalah kan, adakah kita akan termasuk dalam golongan "...sebahagian kecil daripada mereka" atau mereka yang mengatakan, "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tentera mereka"?

Terjun gaung. 

Kemudian datanglah sebuah goncangan yang maha dahsyat kepada sistem kepercayaan kita selama ini. Apa yang kita tahu dan faham dengan lumrah alam ini tergugat dengan sepotong ayat ini:

ڪَم مِّن فِئَةٍ۬ قَلِيلَةٍ غَلَبَتۡ فِئَةً۬ ڪَثِيرَةَۢ بِإِذۡنِ ٱللَّهِ‌ۗ

Betapa banyak golongan yang kecil mengalahkan golongan yang besar, dengan izin Allah.

Apakah kepercayaan kita selama ini? Apakah pemikiran yang tertanam di dalam otak kita semenjak kita mengenali dunia?

Bahawa yang kuat pasti akan selalu menang. Betapa yang besar dan gagah itu tidak mungkin akan ditumpaskan. Yang kaya, berpengaruh dan hebat itu pasti akan selalunya berada di atas.

Tetapi ayat ini menafikan sangkaan kita. Ayat ini menidakkan sesuatu yang selama ini kita yakin adalah sebahagian daripada hukum alam.

Betapa banyak. Maknanya berulang-ulang kali di dalam sejarah ketamadunan manusia, golongan kecil telah berjaya menewaskan golongan yang lebih banyak, besar dan kuat.

Perang Badar; tiga ratus tiga belas mengalahkan seribu. 

Perang Khandaq; tiga ribu mengkucar-kacirkan sepuluh ribu. 

Perang Mu'tah; tiga ribu menumpaskan dua ratus ribu. 

Perang Yarmouk, empat puluh ribu menang dengan empat ratus ribu.

Perang Qadisiyah; empat puluh lapan ribu menewaskan seratus tiga puluh ribu.

Nah, bukankah semua ini memberikan kita harapan?

Melihatkan keadaan umat Islam pada hari ini, seolah-olahnya tiada harapan lagi untuk kita bukan? Umat Islam yang sentiasa ada sebab untuk bercakaran dan bertelagah sesama sendiri. Umat Islam yang miskin, baik dari segi harta, kekuatan tentera mahupon akhlak. Umat Islam yang sentiasa dipijak dan dihenjak oleh musuh-musuh yang kelihatannya bersatu untuk menghancurkan kita.

Siapalah umat Islam jika hendak dibandingkan dengan kekuatan tentera dan harta Amerika dan koncon-konconya itu?

Siapalah umat Islam jika mahu dibandingkan dengan kekuasaan dan keperkasaan China itu?

Siapalah umat Islam jika mahu dibandingkan dengan kelicikan dan kehebatan Yahudi itu?


Siapalah kita di sebalik semua ini..? Masih ada harapankah untuk kita mengembalikan kegemilangan Islam...??

ڪَم مِّن فِئَةٍ۬ قَلِيلَةٍ غَلَبَتۡ فِئَةً۬ ڪَثِيرَةَۢ بِإِذۡنِ ٱللَّهِ‌ۗ

Betapa banyak golongan yang kecil mengalahkan golongan yang besar, dengan izin Allah.

Ya! Harapannya ada! Kerana berkali-kali kita sudah dipertontonkan pada layar sejarah dunia, betapa banyak golongan yang kecil mengalahkan golongan yang besar! Betapa banyak kelompok yang lemah menumpaskan kelompok yang lebih kuat! Betapa banyak kumpulan yang di bawah dapat menjatuhkan mereka yang di atas!

Kuncinya pada jiwa itu! Ya, kita mungkin kecil, tapi hati kita kena besar! Ya, kita mungkin lemah, tapi semangat kita mesti kuat! Ya, kita mungkin sedikit, tapi kesungguhan kita itu mesti banyak!

Allahu akbar! Walillahil hamd! 

Namun apa syaratnya?

Biidznillah. Dengan izin Allah! 

Ya, semua ini mustahil kalau bukan kerana izinNya! Mana mungkin golongan yang kecil bisa mengalahkan golongan yang lebih besar kalau bukan kerana pertolongan dan inayah daripadaNya? Mustahil untuk golongan yang lemah, yang tidak punya apa-apa mahu menewaskan mereka yang jauh lebih berkuasa dan berpengaruh, kalau bukan dengan kehendakNya?

"Dan ketika mereka maju melawan Jalut dan tenteranya, mereka berdoa, 'Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, kukuhkanlah langkah kami dan tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.'"
[al-Baqarah, 2:250]

Kesabaran. Tekad dan jihad yang kukuh. Pertolongan dari Allah. Sesiapa sahaja boleh menang sekiranya memiliki tiga formula ini.

Dan Daud a.s. memiliki ketiga-tiganya. 

Kemenangan itu milik Allah bukan? Senyum. [Kredit]

Dari Daud a.s. kita belajar bahawa yang lemah itu tidak selalunya kalah.

Dari Daud a.s. kita belajar yang kuat itu tidak semestinya hebat.

Dari Daud a.s. kita belajar bahawa pejuang Allah itu mesti tahan dengan ujian.

Dari Daud a.s. kita belajar erti kesabaran dan keteguhan di jalan chenta para pejuang.

Dan dari Daud a.s kita belajar, kita hanya menang dengan izin Allah. 

Bagaimana? Sudahkah Nabi Daus a.s. membangkitkan kembali semangat kita yang telah lama layu? Memberikan harapan yang telah lama lesu?

Mata bersinar-sinar.

-gabbana-

InshaAllah akan bermusafir malam ini, dijemput untuk berkongsi sedikit pengalaman dengan hadek-hadek di Sekolah Bintang.

Nebes bak hang! Doakan!
 

22 September 2014

Sepuluh Nasihat Buat Para Dua't

[Kredit]

Beberapa hari lepas saya diberi peluang yang cukup berharga oleh Allah untuk bertemu mata dan berborak mesra dengan sahabat lama saya, Inche Q. Beliau adalah bekas ahli sebulatan gembira semasa di Kerajaan Bersatu dahulu.

Sedar tidak sedar, apabila kami melontar semula (Baca: Throwback), sudah kurang lebih tujuh tahun kami menyertai gerabak tarbiyah ini. Ya, tujuh tahun!

Saya tahu, saya tahu. Tidaklah selama masyaikh dan asatizah yang sudah puluhan tahun berjuang dan terus tsabat berada di atas jalan ini.

Namun untuk saya secara peribadi, saya merasakan tujuh tahun itu boleh tahan lamanya. Jika berkahwin tujuh tahun yang lalu, anak pertama saya kini kemungkinan besar sudah bersekolah tadika! Wah! Ahahaha. 

Pandang kiri, pandang kanan. Jalan laju seperti tiada apa-apa yang berlaku. 

Saya amat bersyukur kepada Allah, kerana sehinggi kini, sehingga saat ini, Dia masih lagi mahu memberikan saya peluang dan ruang untuk bersama-sama di dalam gerabak ini. Gerabak yang sentiasa bergerak laju dan akan meninggalkan sesiapa sahaja yang tidak seriyes dan bersedia. 

Segala puji bagi Allah kerana mengurniakan nikmat besar yang meluhuri dan memberkati ini. Sungguh, tiada siapa yang dapat menempuhi sesuatu jalan tanpa inyaha dan izin daripadaNya. 

Nanges sekejap.

Oleh sebab itu, saya ingin berkongsikan nasihat dengan anda semua. Nasihat marhaen datangnya dari seorang yang marhaen juga, yang sudah kurang lebih tujuh tahun berada di atas jalan ini.

Yang memberi nasihat ini, tidaklah lebih baik daripada anda yang menerimanya. Tidak sama sekali. Tetapi tidaklah bermakna saya tidak boleh berkongsikan sedikit pengalaman dan panduan yang mungkin berguna untuk anda semua bukan?

Bukankah agama ini didirikan atas dasar nasihat? Bukankah orang yang rugi adalah mereka yang tidak saling menasihati dengan kebenaran, kesabaran dan kasih-sayang?

Jadi ijinkan saya untuk berkongsi sedikit nasihat- nasihat yang sudah tentunya peringatan untuk diri saya dahulu - agar dapatlah menjadi saham-saham sorga buat saya suatu hari nanti. Nasihat ini terutamanya saya tujukan buat anda yang bergelar dua't. Senyum.

Baiklah. Anda sudah bersedia? Kali ini saya nasihatkan jangan sediakan popkon perisa apa pon, kerana khuatir anda tersedak atau tercekik nanti. Heh. 

Tarik nafas. Bismillah.

Pertama, kena selalu betulkan dan perbaharui niat. Selalu.

Kenapa aku nak join usrah? Kenapa aku bersama dakwah? Kenapa aku nak buat semua kerja-kerja ni? 

Adakah aku punya agenda peribadi? Adakah kerana aku mahu nama dan dipuji? Atau kerana ada akhawat yang dichentai? Ehem. 

Tanya balik diri. Persoalkan semula motif kita mahu bersama gerabak diri. Malah kena muhasabah, adakah keputusan yang telah banyak merubah diri kita ini sebenarnya adalah keputusan yang tepat. 

Kerana saya telah melihat ramai ikhwah (dan mungkin juga akhawat) yang kecundang di atas jalan ini. Tidak mustahil sekiranya mereka bermula dahulu dengan niat yang salah.

Niat yang betul akan memandu kita pergi jauh. Sedangkan niat yang terpesong dan salah, hanya akan membawa kita jatuh ke dalam gaung yang dalam. 

Kedua, mujahadah itu kena besar. Bukan sekadar mujahadah tahu? Tetapi mujahadah yang besar dan benar.

Mungkin ungkapan seperti "Jalan ini tidak dibentangkan dengan permaidani merah" atau "Jalan ini sumpah panjang" atau "Ini bukan jalan arnab gemok berlari riang" seperti sudah klise dan terlalu biasa di telinga kita. 

Namun apabila kita sendiri sudah ditampar, dibelasah dan digomol sehingga terduduk malah terguling-guling, baharu lah kita tahu tinggi rendahnya sang langit biru.

Apa maksud mujahadah yang besar? Hendaklah kita melawan sehabis-habisnya segala bentuk bisikan syaitonirojim mahupon nafsu diri yang mahu kita tunduk kepada ujian dan cobaan yang datang melanda.

Apa pula maksud mujahadah yang benar? Kita bermujahadah kerana Allah. Kita berperang melawan kefuturan kerana kita damba pada chentaNya. Kita bersungguh-sungguh berkorban tidak lain dan tidak bukan hanyalah kerana mahu membela agama ini.

Hanya mujahadah yang besar dan benar sahaja yang akan menyelamatkan kita daripada mehnah dan tribulasi yang melanda. Kerana mujahadah itu menguatkan. Mujahadah itu menghidupkan.

Mujahadah itu pahit kerana sorga itu manis.

"Apakah kamu mengira kamu akan masuk sorga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad dalam kalangan kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar."
[ali-Imraan, 3:142] 

Ketiga, sabar. Bersabar dengan fitrah jalan perjuangan ini yang tidak semudah seperti menjadi Puan Sabariah. Eh. 

Setelah bertahun lamanya berada di atas jalan ini, kita mungkin mengharapkan sekurang-kurangnya akan kelihatanlah sinar di hujung terowong. Akan mula tampaklah mentari yang sudah lama ditutup gerhana. Akan mula keluarlah pucuk-pucuk tunas yang telah sekian lama kita tanam, baja dan jaga biji benihnya.

Tetapi kita hampa. Kita terus tergaru-garu kepala penuh kehairanan.

Bukan sahaja tiada sinar di hujung terowong itu. Bukan sahaja mentari tidak menampakkan wajahnya. Bukan sahaja pucuk tak kembang membunga. 

Namun terowong semakin gelap pekat. Langit semakin mendung kehitaman. Pucuk layu menyembah bumi.

Lihatlah sekeliling! Bukankah nasib umat Islam kian hari makin memburuk? Bukankah penyakit umat Islam semakin lama semakin membusuk?

Pada masa yang sama, kemaksiatan semakin berleluasa. Taghut semakin hebat melebarkan sayapnya. Jahiliyyah pula semakin menjadi-jadi ganasnya.

Sekiranya kita melihat ini dengan pandangan mata orang yang tidak sabar, pastilah kita akan mudah menjadi lemah. Andai kita mengambil kira semua ini sebagai indikator bahawa usaha kita berdakwah adalah sia-sia, sudah tentu kita akan pantas mengalah. Sudah berapa ramai mereka yang gugur dan futur di atas jalan chenta di jalan pejuang ini, hanya kerana mereka tidak mampu bersabar? Aduhai.  
"Dan betapa banyak Nabi yang berperang didampingi sejumlah besar dari pengikutnya yang bertaqwa. Mereka tidak (menjadi) lemah kerana bencana yang menimpanya di jalan Allah, tidak patah semangat dan tidak (pula) menyerah. Dan Allah menchentai orang-orang yang sabar."
[ali-Imraan, 3:146]

Namun sabar itu tidak pula bermakna tunggu dan lihat. Tidak pula sabar itu bermaksud duduk diam goyang kaki tidak berbuat apa-apa. Dan sabar itu tidaklah bererti redha tanpa berbuat apa-apa.

Maksud sabar yang lebih tepat adalah menerima ketentuan dan takdir Allah dengan rasional dan bijaksana; pada masa yang sama berusaha dan bertindak sebaiknya untuk memperbaiki keadaan yang ada, dengan segala wasilah dan kemampuan yang ada. 
"Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah berserta orang-orang yang sabar."
[al-Baqarah, 2:153]

Tak mungkinlah Allah akan menjanjikan sesuatu yang cukup besar kepada mereka yang hanya duduk, tunggu dan lihat sahaja, sekiranya itu yang dimaksudkan dengan sabar, bukan? Senyum.

[Kredit]

Keempat, terbuka dalam menerima kritikan dan teguran. 

Saya rasa sifat ini jarang sekali ada pada diri seorang al-akh atau al-ukht yang pernah saya jumpa di atas jalan ini. Sedangkan sifat ini merupakan penanda aras keberkesanan tarbiyah pada seseorang itu.

Tarbiyah yang benar-benar berjaya akan menundukkan keegoan seseorang itu. Tarbiyah yang meresap ke dalam jiwa akan menghilangkan segala sifat takabbur dan angkuh pada diri seseorang itu. Dan tarbiyah yang benar-benar efektif mampu untuk menghancurleburkan jahiliyyah yang berkarat di hati.

Maka latihlah telinga itu untuk tahan menerima teguran. Anggaplah teguran yang diberikan kepada kita itu adalah tanda kasih dan sayang orang yang menegur. Lihatlah kritikan yang dilontarkan itu sebagai buah-buah yang wangi dan harum, dan bukannya batu-batu yang tajam dan menyakitkan. 

InshaAllah kita akan lebih sejahtera dan bahagia apabila kita tidak lagi menganggap teguran dan kritikan sebagai tanda orang dengki kepada kita, tetapi surat chenta dari Allah untuk memperbaiki kelemahan yang ada. 

Kelima, banyakkan membaca dan bergaul mesra (Baca: Muayasyah).

Sekarang ni zaman intelektual. Maklumat dan info terkini boleh diperolehi bila-bila masa dengan mudah dan pantas.

Kadang-kadang tu terasa seram sejuk dan geli tengkuk juga, apabila mendengar orang-orang yang mendakwa diri sebagai pejuang Islam bercakap dengan auta, bukan dengan fakta. Senang-senang je kantoi busuk.

Lebih mengerikan apabila hadek-hadek bertanyakan soalan-soalan isu semasa dan yang mampu kita jawab hanyalah, "Itu perkara furu'. Tak perlu bincang!" atau "Tak bertambah iman lah kalau bincang pasal tu" atau "Masuk sorga ke kalau tahu pasal semua tu?" Alahai pak mat sayang. 

Lengkapkan diri kita dengan bacaan bukan sahaja bahan-bahan fikrah, tetapi dengan ilmu pengetahuan di luar bidang kita. 

Pernah suatu ketika, Imam Hassan al-Banna diuji dan ditanya tentang topik kejuruteraan (sedangkan dia hanyalah seorang guru sekolah rendah) dan beliau dapat menjawab semua soalan dengan cemerlang dan bergaya sekali. Pergh.

Tidakkah itu menambahkan tsiqah (kepercayaan) mad'u yang memerhati?

Tapi err, kalau memang dah dasar malas membaca, kata orang, tak dapek den nak nolong eh! 

Banyakkan juga bergaul dengan masyarakat di sekeliling kita untuk lebih memahami mereka dan membekalkan kita dengan info berguna dalam memberikan rawatan yang paling tepat untuk mereka. Ia dapat mengelakkan kita terus tinggal dalam kepompong kita, larut dan syok sendiri dengan bulatan gembira dan cipiki-cipika!

Keenam, berukhuwwahlah dengan ukhuwwah yang sebenar, keranaNya.

Tiada manusia yang mahu menjadi pulau. Tiada manusia di muka bumi, sekiranya waras dan rasional, mahu dan boleh hidup sendiri.

Apatah lagi dalam menelusuri jalan perjuangan yang penuh dengan onak dan duri ini, kita pastinya memerlukan teman dan taulan, yang dapat bersama-sama kita sepanjang perjalanan ini.

Namun dalam kita mahu membina ukhuwwah fillah, ukhuwwah fiddakwah dan fi semua-semua yang baik itu lah, pastinya ia tidak mudah. Iblis dan konco-konconya mana mungkin akan bertepuk tangan berpom-pom penuh kegembiraan melihat dua sahabat yang saling berkasih-sayang keranaNya, apatah lagi bersahabat untuk menegakkan Islam yang terchenta? Nehi!

Maka ukhuwwah itu pasti akan diuji. Pasti akan ada salah faham. Pasti akan ada pertengkaran dan mungkin percakaran. Itu semua normal.

Persoalan yang lebih utama, bagaimanakah sikap dan akhlak kita apabila berhadapan dengan situasi sebegini? Adakah kita yang akan mengalah dahulu, atau tunggu mahu dipujuk rayu? Adakah kita yang akan meminta maaf dahulu, atau mencebik muka masam seribu?

Apabila kita dikurniakan dengan seorang sahabat yang sentiasa mengingatkan kita pada Allah, hargailah sahabat itu dengan sepenuh jiwa dan raga kita. Kerana ketahuilah, itu adalah anugerah yang cukup besar daripada Allah, kerana Dia mahu kita sentiasa mengingatiNya dan mahu membimbing kita untuk sentiasa berada di atas jalan yang benar. 

Persahabatan biasa hanya puas di dunia. Persahabatan yang hoyeaahh pasti akan membawa ke sorga! [Kredit]
Kerana orang-orang mu'min itu bersaudara, bukan? Senyum.  

Ketujuh, raikanlah perbezaan yang ada. 

Antara isu yang tidak akan pernah surut dalam kalangan para dua't adalah taadud jemaah, atau berbilang jemaah. Dari dulu sehingga kini, isu ini terus hangat dan panas diperdebatkan. Masuk era MukaBuku dan Waksep ini, lagilah galak orang berbicara tentang siapa yang lebih bagus, siapa yang lebih betul.

Hakikatnya, tiada siapa yang boleh mendakwa cara atau kaedah yang digunakannya untuk berdakwah adalah yang paling tepat, paling baik, paling bergaya dan yang paling akan diterima Allah. Erk.

Kadangkala itu saya hanya mampu menggeleng kepala melihat kelakuan mereka yang menggelarkan diri sebagai dai'e, tapi kerjanya hanya memaki dan mencaci mereka yang berlainan kefahaman dan keyakinan. Kata mahu tegakkan Islam, tapi sibuk merendahkan dan menjatuhkan kumpulan yang tidak sebulu dengan mereka. Kata pendakwah, tapi sebenarnya mereka ini penjenayah!

Yang menjadi mangsa sering hadek-hadek yang pening dan rimas melihat abam-abam dan hakak-hakak mereka yang asyik bergaduh dan tak habis-habis bertekak tentang siapa yang lebih baik dan siapa pula yang jahat dan huduh. Akhirnya, mereka ini langsung tidak mahu menyertai mana-mana gerakan Islam kerana jelik dengan perangai dua't yang tidak berakhlak ini. Alahai.

Imam Hassan al-Banna, dalam usul yang kelapan dengan tegas menyatakan:

"Perbezaan pendapat fikah dalam soal kecil tidak sepatutnya menjadi sebab untuk berpecah. Perbezaan pendapat ini tidak sepatutnya menimbulkan permusuhan dan persengketaan kerana setiap mujtahid akan mendapat pahalanya."

Bertaqwalah, dalam setiap tindakan dan perbuatan kita. Kerana taqwa itulah yang paling dichentai Allah.
"Sungguh yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa."
[al-Hujuraat, 49:13]  

Meraikan perbezaan ini bukan sahaja antara jemaah yang berbeza, namun sesama ikhwah dan akhawat juga. Dengan latar balakang tarbiyah yang berbeza, murabbi yang berbeza, susu formula yang diminum sewaktu kecil-kecil dahulu yang berbeza (eh), sudah pastinya akan ada perbezaan dari segi gerak kerja antara ikhwah dan akhawat, meskipon berada di dalam jemaah yang sama. Saya tidak nampak masalahnya asalkan semuanya berpegang pada prinsip yang sama.

Percayalah, kita akan lebih bahagia apabila kita lebih sejahtera dalam meraikan perbezaan. Perbezaan yang ada sewajarnya melengkapkan, bukannya memporakperandakan. Perbezaan yang wujud sepatutnya merapatkan bukan merenggangkan. Dan perbezaan yang timbul seharusnya menguatkan bukan melemahkan. 

Kelapan, berlapang dada dan berbaik sangka.

Semakin lama saya berada di atas jalan ini, semakin saya dapat melihat rasionalnya Imam Hassan al-Banna meletakkan salamatus sadr (berlapang dada) sebagai asas dalam berukhuwwah. Bunyinya seperti mudah, namun betapa sukarnya mahu berlapang dada dan berbaik sangka itu!  

Cabarannya lebih besar di era Waksep, Telegram dan MukaBuku ini, apabila berita-berita terlalu cepat tersebar. Hanya kerana ia disebarkan oleh seseorang yang kita rasakan tsiqah dan berakhlak, tidak bermakna kita wajar mempercayai berita yang disebarkan bulat-bulat tanpa melakukan usul periksa. Apatah lagi apabila berita atau hebahan tersebut melibatkan seorang al-akh atau al-ukht yang sama-sama menelusuri jalan perjuangan ini.

"Akhi, ana dengar Akh XYZ tu nak keluar jemaah. Baik nta jaga-jaga sikit dengan dia tu!"

"Nampak hari tu Ukhti Maria Benado tu pergi makan-makan dengan akhawat dari jemaah X. Ish, macam ada apa-apa je ni!"

"Lama sangat dah Akhi Doremi tak datang bolatan gembira. Dia ni macam futur je ni."

Geleng kepala.  


"Mengapa orang-orang mu'min dan mu'minat tidak berbaik sangka terhadap diri mereka sendiri, ketika kamu mendengar berita bohong itu dan berkata, 'Ini adalah (suatu berita) bohong yang nyata.'"
[an-Nur, 24:12]

Amalan tabayyun (meneliti) sesuatu berita seperti yang dianjurkan dalam surah Hujuurat untuk orang-orang beriman seolah-olahnya tidak wujud atau dilupakan oleh kita. Kita lebih mudah dan suka untuk mempercayai berita-berita yang tersebar daripada terpaksa bersusah-payah dan berpeluh ketiak meneliti kesahihan sesuatu berita. Alahai.

Berbaik sangka itu tidak pula bermakna kita redha dan membiarkan sahaja apabila kemungkaran berlaku di hadapan mata. Berlapang dada itu tidaklah bermaksud kita melugu dan melihat dengan dungu sahaja al-akh atau al-ukt yang kita kenali jatuh ke dalam lubang yang sama berkali-kali. Sama sekali tidak. 

Berbaik sangka dan berlapang dada bukanlah pintu kepada eskapisme untuk kita tidak berlaku pro-aktif dengan kepincangan atau keboborokan yang berlaku. Sebaliknya, di samping berlapang dada dan berbaik sangka dengan apa yang berlaku, kita juga mestilah berusaha untuk menyiasat dan memastikan kesahihan berita tersebut. 

Contoh mudah, sekiranya kita ternampak suatu pasangan muda yang sedang beromen-romen di taman bunga, kita berlapang dada mungkin mereka ini pasangan suami isteri yang berkahwin awal (sebab zaman ni memang ramai orang yang kahwin awal). Pada masa yang sama, pergilah bertanya kepada mereka sama ada mereka benar-benar pasangan suami isteri yang sah. Jika tidak, maka tegur dan nasihati mereka. Jika ya, katakan kepada mereka, "Ini bukan bilik tidur rumah anda tahu?" Eheh. 

Hal ini sewajarnya dipraktikkan juga apabila ia melibatkan ikhwah dan akhawat. 

Maksud anda apabila ikhwah berdating dengan akhawat ke Inche gabbana?

Tersembur. Hoi!

Kesembilan, selalu bertemu janji chenta dengan Allah.  

Sebagai orang yang memikul tugas dan beban dakwah, tiada bekalan yang lebih diperlukan melainkan bekalan ruh yang mengisi jiwa. Jiwa yang sering dipukul dan dibelasah oleh mehnah dan tribulasi di jalan dakwah ini, memerlukan suatu kekuatan yang luar biasa untuk terus kekal kuat dan tsabat.

Kita mungkin penat setelah seharian bekerja dan berdakwah. Kita mungkin tak larat kerana sering pulang lewat malam. Kita mungkin rasa mahu tidur sahaja lama-lama dek tenaga yang sudah habis disedut keluar.

Tetapi yakinlah, bangun malam untuk bertahajjud dan bermunajat kepadaNya itulah yang akan memberikan kita kerbau merah (Baca: Red bull) yang akan mengembalikan tenaga dan hamasah kita. Membaca quran dan berzikrullah di waktu-waktu yang hening, tatkala embun pagi baharu muncul dan ayam jantan masih enak bermimpi, itu lebih menguatkan hati.


"Wahai orang-orang yang berselimut! Bangunlah (untuk solat) pada malam hari, kecuali sebahagian kecil, (iaitu) separuhnya atau kurang sedikit daripada itu. Atau lebi dari (seperdua) itu, dan bacalah al-Quran dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu. Sungguh, bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa); dan (bacca di waktu itu) lebih berkesan."
[al-Muzammil, 73:1-6]

Perbanyakkan juga berdoa kepadaNya. Muhasabah untuk saya sendiri, kadangkala itu terlalu gopoh mahu bangki usai solat, sehingga berdoa pon ala kadar sahaja. Aduhai. Sedangkan doa itu adalah penghulu segala ibadah dan senjata bagi orang mu'min.

Berdoalah agar hati kita ditetapkan di atas jalan dakwah ini. Berdoalah agar dilembuatkan hati-hati mad'u kita agar lebih mudah untuk mereka menerima dakwah ini. Berdoalah agar Allah kurniakan kita dengan kekuatan yang luar biasa untuk menempuhi segala macam ombak dan badai yang datang menyerang. 

Mengadulah kepadaNya. Bercurhatlah denganNya. Meskipon jalan penyelesaiannya tidak gedebap jatuh ke atas riba ketika itu juga, percayalah, anda akan berasa lebih ringan, lebih tenang, selepas anda meluahkan segala-galanya kepadaNya. Bukankah Dia yang memegang hati-hati kita? Senyum. 

Dan kesepuluh, istiqamah yang memutihkan rambut.

Sekiranya istiqamah itu mudah, sudah tentulah rambut Rasulullah SAW tidak beruban kerananya. Gulp.

Untuk istiqamah, ia memerlukan hampir semua nasihat di atas ini; terutamanya niat yang betul, mujahadah dan sabar. Ha, susah kan?

Namun, sekiranya kita berjaya untuk istiqamah di atas jalan yang sumpah panjang Kak Jah oii! Err. Sekiranya kita berjaya untuk istiqamah, nikmatnya tidak mungkin dibeli, mustahil ditukar ganti.

"Sesungguhnya orang-orang yang berkata, 'Tuhan kami adalah Allah' kemudian mereka beristiqamah, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), 'Janganlah kamu berasa takut dan janganlah kamu bersedih hati; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) sorga yang telah dijanjikan kepadamu.'"
[Fussilat, 41:30] 

Pergh malaikat sendiri turun nak sampaikan berita gembira tuuu!

Jalan ini memang payah. Jalan ini sememangnya susah. Jalan ini bukan sahaja dipenuhi oleh duri dan kaca, paku dan paku payung, wahahaha, tapi ia juga dipenuhi dengan pelbagai jenis raksasa, jembalang dan hantu yang sentiasa mencari jalan untuk mengganggu dan mengacau kita.

Jalan ini panjang, susah dan memeritkan. Tetapi ia juga jalan yang menghidupkan! Senyum. [Kredit]

Tidak hairanlah, ramai ikhwah dan akhawat yang gugur di tengah jalan, tidak sempat menghabiskan perjalanan ini. Ramai dalam kalangan kita yang kecundang, yang tidak sanggup lagi untuk mengembara dengan gerabak ini. Ramai yang datang dengan pelbagai alasan dan melontarkan pelbagai hujahan untuk menyedapkan hati dan menjustifikasikan diri agar tidak perlu lagi menelusuri jalan ini.

Kerana itulah, untuk istiqamah di jalan ini memerlukan azam dan tekad yang luar biasa sifatnya. Untuk terus konsisten dan tabah menapak dan menyonsong jalan perjuangan ini, ia bukan sahaja memerlukan tenaga dan semangat yang maha hebatnya, tetapi juga motivasi dan dorongan yang dahsyat dan luar daripada dunia ini. 

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik."
[al-Ankabut, 29:69]


Teruskan perjalanan. Bangkit semula jika tersadung. Bangun semula andai terjatuh. Teruskan melangkah.

Kerana ketahuilah, Allah bersama-sama kita dalam perjalanan ini. Dan ketahuilah, yang menanti kita di hujung sana, adalah sorga. Ya, sorga.

Tarik nafas.

Cukuplah sepuluh nasihat atau perkongsian marhaen daripada saya. Terlebih cakap, menjadi amanah yang cukup besar pula untuk saya untuk melaksanakannya terlebih dahulu. Yang sepuluh ini pon sudah cukup memeluhkan. 

Moga menjadi peringatan yang berguna buat anda semua. Moga menjadi secangkir kopi manis yang panas lagi menyegarkan di saat-saat anda sudah mula layu dan lesu, kepenatan untuk meneruskan perjalanan. Dan moga menjadi tazkirah untuk kita semua, untuk terus kuat dan teguh, menjadi pejuang yang hanya ada dua pengkakhiran untuknya; mati syahid atau hidup mulia.

Moga anda semua menjadi saksi bahawa saya telah pon menyampaikan.

Ya, dari saya, dengan chenta. Senyum.

-gabbana- 

Mula-mula nak kongsi lima nasihat je, lepas tu jadi tujuh, lepas tu lapan, lepas tu sepuluh. Adoyai. 

Moga tidak bosan membacanya. Sila baca dan sebarkan, agar menjadi saham-saham sorga yang beribu-ribu lemon banyaknya untuk saya! 

Moga Allah redha!

15 September 2014

Abam Pisang Goreng Yang Membuktikan Kemanusiaan Masih Wujud

[Kredit]

"[Inche gabbana], nanti balik tolong belikan pisang goreng."

Saya membaca mesej waksep yang dihantar oleh Cik Adik Perempuan. Ketika itu saya masih lagi berada di majlis walimah seorang al-akh seperjuangan sewaktu di Kota London dahulu. 

Sememangnya di dalam kepala saya ketika itu, saya akan pulang ke rumah menggunakan jalan yang akan melalui sebuah gerai menjual pisang goreng. Jadi tiada masalahlah untuk saya memenuhi permintaan Cik Adik Perempuan itu. 

Arakian habis majlis walimah, selepas bercipiki-cipika dengan ikhwah yang ada, saya terus meluncur, memandu untuk pulang ke rumah. Sampai di kawasan gerai pisang goreng yang dimaksudkan, saya mencari tempat untuk memarkir kereta.

Mata saya bersinar melihat pisang goreng yang berlonggok, menanti untuk dibeli. Selalunya pisang goreng yang dijual di gerai itu laris dan cepat sahaja habis. Macam pisang goreng panas lah orang kata! Eh memang pon. 

"Pisang goreng empat ringgit ye bang."

Mata saya melirih pada cempedak goreng yang berjiran dengan pisang goreng.

"Cempedak goreng dua ringgit."

Pantas si abam gerai pisang goreng membungkus pisang-pisang goreng yang ada, dibantu oleh seorang hakak yang membungkus pula cempedak goreng seperti yang dipinta.

Saya mencongak di dalam kepala jumlah yang perlu dibayar. Enam ringgit. Saya mengeluarkan dompet hitam saya dan mula mengira-ngira duit kertas satu ringgit yang sudah menebal di dalam dompet saya.

Satu, dua, tiga, empat, lima, enam. Sekali lagi. Satu, dua, tiga, empat, lima, enam. Ok konfem.

"Enam ringgit."

Dengan yakinnya saya menghulurkan enam keping duit kertas satu ringgit seperti yang telah saya kira tadi kepada abam itu.

"Beli ye."

Saya melontarkan senyuman manis kepada abam itu dan berlalu pergi. Cukup manis, semanis pisang goreng yang dibeli. Ewah kau.

Sedang saya asyik memikirkan pelbagai perkara sambil mahu menghidupkan enjin kereta, cermin kereta saya diketuk. Abam pisang goreng tadi. Saya menurunkan tingkap.

"Terlebih bayar tadi."

Dia pantas menghulurkan sekeping duit kertas satu ringgit.

Saya tergamam. Terkedu dan terkesima.

"Oh ye ke. Terima kasih."

Saya mengambil seringgit yang dihulurkan. Abam itu tersenyum dan berlalu pergi. Di sebalik otak saya yang asyik berhujah betapa tadi rasa macam dah yakin dah kira enam ringgit, timbul rasa kekaguman dan keterharuan kepada sikap abam pisang goreng tadi.

Meskipon tindakannya memulangkan seringgit itu mungkin dianggap tidaklah sehebat tindakan menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan yang lemas atau menghalau seekor harimau yang mahu menyerang seorang penoreh getah, tetapi tindakannya yang pantas dan ikhlas itu hanya membuktikan suatu perkara; bahawa kemanusiaan masih wujud di luar sana (Baca: Faith in humanity restored). 

Saya lantas berkongsikan kejadian ini di MukaBuku dan Pengicau saya. Dan saya juga meminta anda untuk berkongsikan juga kisah-kisah #faithinhumanityrestored anda sendiri, sama ada melalui komen-komen di MukaBuku atau kicauan di Pengicau. 

Tidak lama selepas itu, telefon saya tidak berhenti-henti bergegar menandakan masuknya kicauan-kicauan baru. Semuanya mahu berkongsikan kisah-kisah mengharukan dan menyentuh hati yang telah terjadi kepada mereka. Komen-komen di MukaBuku boleh tahan banyaknya. 

Sekiranya saya boleh kongsikan beberapa kisah yang menarik:

"Tertinggal jam murah 1o hengget jer pun, pakcik teksi dtg, cari kt umh bg blik esknye. Katenye xkire la mahal ke murah ke, brg org tetap brg org, kne pulangkn. Salute pakcik teksi." - Mushi Dibbun, MukaBuku

"motor rosak tepi jalan. banyak kereta yg lalu tapi takde satu pun yg berhenti. tiba2 ada sorang brother ni berhenti. luaran macam mat rempit. seluar koyak2 kat lutut, baju print menakutkan. sekali dia tanya, 'nak saya tolong repair tak?'. dia pergi kedai motor beli barang ganti dan repair. time tu tengahari, matahari atas kepala tak payah cakap panas dia. dia tk mengeluh. bila dah baik, kami nak bayar, dia tolak. dia senyum, naik motor terus pergi. pngajaran: tak boleh judge orang berdasarkan luaran ^_^" - Nurul Husna Mohd Shefee, MukaBuku 

"pernah dua2 lengan bengkak, tak dapat angkat sentuh muka. Akhawat2 yang ambilkan wudu' dan pakaikan telekung. Allah :')" - Vampire Daie (Amboih nama!), Pengicau

"selipar hilang dekat masjid, kawan bagi pinjam selipar dia, dia jalan berstokin" - Anith, Pengicau

"mak sy tercicir RM100 dekat kedai india masa beli sayur.Sbulan lpas tu mak dtg semula kedai tu &aunty bg duit yg tercicir." - ns, Pengicau 

"tgh jln kaki nak gi masjid, someone (non muslim) dtg dari mana entah tumpangkan saya ke masjid. Then dia gi tmpt lain. :')" - Afmar, Pengicau

"pernah nampak nenek cina jalan dlm hujan lebat sorang, otw saya nak tolong, ada mak cik melayu lari dulu payung kan dia." - Agent Rogers, Pengicau

"mse tu kua dr meeting, then teros ke kete nk kejar ke ofis. xpasan fail jatoh dr kete. ade moto dok folo kejar dr blkg, kito cuak, kito lg pecut. gayo mcm mat rempit nk menyamun. insiden kojar mengojar time tu. sampai lmpu isyarat dio ketok cermin keto, tunjok fail hitam. dlm hati mcm konal yo fail tu. rupenye kito pny fail. dio ckp puehh dio kojar ngn moto tu nk bg hint kt kito tp kito poie pecot. alhamdulillah, slmt gak fail tu. pny sumo dokumen ori lg penting dlm tu. nasib ado oag yg masih prihatin. kito berterimo kasih amek ngn brader tu. klu hilg fail tu, mampuih den kono tiaw ngn bos. bilo ingat blik, klaka part kojar mengojar tu. hohohooo.. apo pon syukur masih ado oag yg baik cmtue." - Kak Yong MRosli, MukaBuku

"Balik dari latihan industri pukul 6 petang dgn tak solat asarnye lagi. Bila nak hidupkan enjin kereta, tak nak hidup,sebab pagi tadi lupa nak tutup lampu kereta. Nak menangis sebab keliling dah mulai sunyi. Saya beranikan diri minta tolong kat pak cik mercedes kat sebelah dengan muka 10sen. Pak cik tu terus call pomen chinese dia. Bila saya tnya berapa kena bayar

'tak pe... Jangan risau.. Simpan je nombor uncle. Nanti da keje bayar' ;)"
- Yaumil Hikmah Faisal, Mukabuku
 

"masa sukantara dulu, lepas lari 400m, terus rasa nak pengsan (ye, sgt tak fit) member sorang sanggup dukungkan smpai dorm T.T" - Bijaksana, Pengicau

Ah ramai pula ninja yang memotong bawang di sini!

Dan banyaaaakk lagi kisah-kisah yang dikongsikan. Sekiranya anda rajin dan sudah tidak ada apa-apa lagi perkara berfaedah lain yang mahu dibuat, bolehlah korek dan gali kisah-kisah tersebut di laman MukaBuku atau Pengicau saya. Oldebes! Heh.  

Kebanyakan kisah-kisah yang dikongsikan sama ada berkenaan dengan dompet tercicir/hilang yang dipulangkan, ada orang yang sudi menumpangkan kereta untuk ke destinasi tertentu, ditawarkan tempat duduk di dalam bas atau tren, dibantu oleh orang asing (bukan makhluk asing) yang baik hati atau diberikan makanan/minuman untuk berbuka puasa oleh bukan Islam. 

Hai adik manis. Boleh abam payungkan cik adik? :3 [Kredit]

Semuanya ini membuktikan bahawa kemanusiaan masih wujud di luar sana. Betapa masih ramai orang yang baik hati dan ikhlas di luar sana. Bahawa rasisme itu hanyalah ilusi dan kita sebenarnya boleh duduk dan tinggal secara harmoni dan sejahtera di Malaysia ini.  

Jauh di sudut hati kita, kita tahu bahawa perkara ini benar. Kita tahu sebenarnya sememangnya bilangan orang yang baik-baik sangat ramai di luar sana. Kita juga tahu, sekiranya kita sendiri berhadapan dengan situasi-situasi yang memerlukan kita untuk menghulurkan bantuan dan tangan, tanpa ragu-ragu kita pasti akan berbuat demikian. 

Untuk semua itu, timbul satu persoalan; di sebalik kebaikan yang melimpah-ruah dan wujudnya kemanusiaan yang memberikan harapan, mengapa jenayah masih berleluasa? Ramainya orang baik di luar sana, tetapi mengapa seolah-olahnya kejahatan dan kemungkaran yang bermaharajalela? Ramai orang yang ikhlas dan tidak berkira dalam menghulurkan bantuan apabila diperlukan, tetapi mengapa ketamakan dan kepentingan diri golongan tertentu yang menguasai segenap aspek kehidupan kita di negara ini? 

Syaikh Ahmad Rasyid di dalam bukunya yang epik, Muntalaq, mungkin ada jawapannya.  

Katanya, "Sebenarnya masih terdapat ramai saki-baki mukmin yang bilangan mereka cukup untuk menegakkan kebaikan yang ingin kita capai dan cita-citakan, tetapi dengan syarat mereka mengenali erti tajarrud, merasai keicl dan hinanya dunia, menjauhkan diri dari fitnah-fitnah besar, sabar menghadapi mehnah dan mahir seni memimpin umat."

Padu.

Katanya lagi, "Ya, memang masih banyak suara-suara ikhlas di pelusuk dunia Islam, namun mereka masih tidak mengenali jalan kerja yang sahih. Setengahnya pula tidak mempunyai kemurnian Islam yang sempurna. Ada yang menyaka caranya ialah dengan menulis rencana-rencana atau mengadakan perhimpunan-perhimpunan dan membuat resolusi mengembalikan Islam di atas kertas semata-mata. Suara mereka ini mula terpapar di dada-dada akhbar, disebutkan di atas mimbar-mimbar dan dibincangkan di dalam konferens-konferens. Tetapi kesemua itu hanyalah umpama irama canggung berhadapan dengan lagu perosak yang berada di carta teratas koleksi lagu permintaan umat di masa itu."

Pergh. 

Sebagai pencuci mulut mungkin, as-Syaikh menambah lagi, "...dan telah disimpulkan oleh Amirul Mu'minin 'Umar al-Khattab r.a. dengan satu perkataan yang jamik tatkala beliau ditanya:

"Adakah sebuah negeri itu boleh musnah padahal ia kelihatan makmur dan maju?"

Beliau menjawab,"Ya, apabila orang-orang jahat menguasai orang baik."'

Terduduk.  

Ya, kemanusiaan mungkin masih wujud. Kebaikan hati dan ketulusan hati-hati mungkin masih ada. Masih ramai lagi orang yang ikhlas dan baik di luar sana.

Namun semua itu belum cukup; belum cukup untuk mewujudkan sebuah biah (suasana/persekitaran) yang benar-benar terjamin kebaikan dan kemakmurannya. Orang-orang yang baik sahaja belum cukup untuk menghancurkan kezaliman dan kemungkaran. Orang-orang yang ikhlas sahaja belum cukup untuk menegakkan kebenaran dan memastikan al-haq itu  yang berkuasa. 

Belum. Belum cukup. 

Sementara kemanusiaan masih wujud di luar sana, ia perlu diperkasakan dan dihalakan kepada thariq amal (jalan amal) dan fiqh dakwah (cara berdakwah) yang betul agar ia tidak disia-siakan. Golongan baik yang ada perlu dikuatkan dan dikukuhkan lagi agar mereka ini tidak hanya baik secara individu semata-mata, tapi juga cukup prihatin untuk sama-sama mencegah kemungkaran di luar sana. Orang yang hatinya ikhlas dan jiwanya bersih, perlu dibimbing dan ditunjukkan jalan agar mereka juga punya keazaman dan kesungguhan untuk menghapuskan taghut dan kezaliman, once and for all.

Saya khuatir, sekiranya usaha-usaha tidak digemblengkan untuk menyedarkan golongan yang baik ini, lama-kelamaan, kebaikan juga akan hilang di muka bumi ini. Keikhlasan akan luput. Kemanusiaan akan padam. 

Tiada lagi orang yang memulangkan dompet apabila tercicir.

Tiada lagi orang yang mahu menghulurkan payung apabila hujan.

Tiada lagi lagi orang yang mahu menawarkan tempat duduk di dalam bas atau tren secara sukarela.

Tiada lagi orang yang mahu membantu apabila tayar pancit atau enjin rosak.

Dan tiada lagi abam pisang goreng yang akan memulang duit seringgit apabila terlebih bayar.

Eh.

-gabbana-

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP