29 May 2014

From Babi With Love

[Kredit]

Ke hadapan umat Melayu Muslim sekalian,

Hamba menulis warkah ini dengan penuh rasa keinsafan dan kesedaran bahawa hamba ini hanyalah makhluk yang marhaen lagi hina jika hendak dibandingkan dengan kalian yang diciptakan sebagai sebaik-baik ciptaan. Hamba juga menulis luahan rasa ini dengan niat yang baik, penuh dengan rasa mahabbah dan mawaddah pada kalian semua. Langsung tidak terlintas untuk menghina atau merendah-rendahkan martabat kalian sebagai manusia layaknya.

Begini.

Seperti yang tersebar dalam surat khabar dan media massa kalian, baru-baru ini telah heboh dengan berita bahawa DNA spesies kami ini ditemui dalam beberapa keluaran cokolat Cadbury. Rentetan daripada itu, telah berlaku kekacau-bilauan dan kehuru-haraan dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Ada makcik-makcik yang menanges-nanges sebab merasakan diri mereka tidak suci lagi. Ada yang telah mengisytiharkan jihad pada syarikat Cadbury. Ada yang mahu menyamak mulut dengan pasir. Ada juga yang mahu mencuci dan membuat pemindahan darah kerana merasakan darahnya sudah kotor dan jijik. 

Alahai. Berguling-guling jugalah hamba dan rakan-rakan gamba tergelak.

Benarlah hamba ini hina. Tetapi tindakan dan reaksi yang keterlaluan sebegitu rupa, menambahkan penghinaan ke atas golongan hamba ini. Apa perlu begitu bersungguh bertindak sedemikian rupa?

Hamba yang tak belajar ikut sistem formal ini pon tahu, apa-apa sahaja yang dilakukan secara tidak sengaja atau tidak tahu, hukumnya tidak berdosa. Cukuplah sekadar beristighfar atau melakukan solat sunat taubat sekiranya masih merasakan tidak sedap hati atau tidak senang duduk.

Daripada mahu mengisytiharkan jihad kepada Cadbury, lebih baik kan isytihar jihad pada Israel laknatullah atau Bashar al-Assad itu...? Daripada mahu saman Cadbury, kenapa tak saman sahaja kerajaan yang membiarkan kasino-kasino judi terus berleluasa, Da Mai Cai dan Magnum 4D terus beroperasi, kilang-kilang arak dan rokok terus maju dan berkembang...??

Hamba pon musykil juga, sebab setahu hamba, dalam kita agung nan suci bernama Quran itu, Allah hanya berfirman bahawa daging hamba ni haram dimakan. Itu sahaja. Itu pon dalam keadaan-keadaan tertentu, terpaksa atau kebuluran yang mendesak misalnya, daging hamba ini boleh sahaja dijamah dengan syarat pada kadar yang paling minimum dan bukan untuk mengenyangkan. 

Yang pasti, barangsiapa yang termakan daging hamba, malah sengaja makan sekalipon, tiadalah pula hukuman di dunia yang akan dikenakan. Sekadar berdosa sahajalah.

Tapi kalau berzina? Boleh kena sebat atau rejam sehingga mati.

Kalau mencuri? Boleh kena potong tangan.

Minum arak? Wajar disebat.

Mengambil riba'? Allah isytihar perang!

Dah kenapa hamba ini yang kalian benci sangat? Dan pada masa yang sama, masih ramai dalam kalangan kalian yang main judi, yang main perempuan, main nombor, main riba' dan bermain-main dengan agama ini? Mengapa kalian tak benci dan jijik pada mereka ini seperti benci dan jijiknya kalian pada golongan hamba? Apa kalian tak baca Quran kah?

Betullah mencari yang halal itu wajib bagi umat Islam. Dan betullah daging hamba ni haram. Tapi mengapa ada diskriminasi pada perkara-perkara haram yang lain? Apa sebab kalian melihat hamba ni lebih haram daripada perkara-perkara lain yang lebih jelas haramnya? Apa sebab kalian ni alerjik tahap dewa dengan hamba dan kaum-kerabat hamba?

Sebab rupa hambakah? Sebab hamba pengotorkah? Sebab hamba ni gemok dan gebukah?

Seharam-haram hamba ni, sekurang-kurangnya hamba cuba untuk taat dan patuh pada Allah. Kalian? Yang Allah beri akal dan hati untuk berfikir dan menghayati alam ciptaanNya ini, bagaimana...?

"Tidakkah engkau tahu bahawa apa-apa yang ada langit dan apa-apa yang ada di bumi bersujud kepada Allah, juga matahari, bulan, bintang, gunung-gunung, pohon-pohon, haiwan-haiwan yang melata dan banyak antara manusia? Tetapi banyak (manusia) yang pantas mendapatkan azab. Barangsiapa dihinakan Allah, tidak seorang pon yang akan memuliakannya. Sungguh, Allah berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki."
[al-Hajj, 22:18]

Nah, itu kata Tuhan hamba. Tuhan kalian juga. Apa kalian berani mahu menyangkalnya?

"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada sesuatu pon melainkan bertasbih dengan memujiNya, tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka. Sungguh, Dia Maha Penyantun, Maha Pengampun."
[al-Isra', 17:44]

Sejijik-jijik hamba, hamba tidak pernah letih dan penat bertasbih padaNya. Dah, kalian bagaimana..? Masa-masa kalian yang terluang, kalian buat apa? Bermaksiat? Mengumpat? Merasa diri hebat?

Sungguh hamba benar-benar tidak dapat mengotakkan tindakan keterlaluan segelintir daripada kalian. Maaf, hamba tak boleh nak garu kepala kehairanan kerana tangan hamba tak sampai.

Kadang-kadang hamba terfikir juga, mengapalah Allah menciptakan makhluk seperti hamba ini, jika Dia mahu mengharamkannya pula. Kadang-kadang itu terasa bawah juga. Terasa benar-benar hina dan tidak berguna. 

Kemudian hamba terfikir. Boleh jadi, hamba ini diciptakan olehNya untuk menjadi ujian dan cubaan untuk kalian. Boleh jadi, hamba dilahirkan ke muka bumi ini agar dapat melihat siapa dalam kalangan hamba-hambaNya, yang benar-benar bersyukur dan bertaqwa!

"Maha Suci Allah yang menguasai (segala) kerajaan. Dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun."
[al-Mulk, 67:1-2]

Dengan kegilaan yang terbaru ini, hamba bertambah yakin dengan tujuan hidup hamba. Mungkin Allah nak uji kalian, adakah kalian benar-benar memaknai erti haramnya daging hamba untuk dimakan. Mungkin juga Allah nak uji kalian, apa sebab kalian benar-benar membenci golongan hamba. Dan mungkin juga Allah nak lihat kalian, sama ada kalian benar-benar faham tujuan hidup kalian sebagai khalifah di muka bumi ini.

Awas. Dalam kalian membenci sesungguh hati hamba dan sepupu-sepapat hamba, silap haribulan, kalian sebenarnya sedang menghina ciptaan Allah. Hamba yakin, bukan kebetulan Allah menciptakan makhluk seperti hamba ini.

Dan awas. Orang kata, jika benci, jangan benci terlalu benci. Sebab nanti, boleh jatuh hati! Ewah.

Baiklah. Itu sahaja yang hamba ingin luahkan.

Maaf andai ada yang terkasar bahasa. Maaf andai ada yang terguris rasa. 

Hamba hanyalah seekor babi yang hina. 

Oh ya. Mungkin ada yang tertanya-tanya. Mengapa hamba membahasakan diri hamba sebagai 'hamba,' bukan saya, gua, aku dan sebagainya?

Kerana hamba juga seekor hamba. Hamba padaNya.

Sekian.

-gabbana-

Berdebar-debar menanti-nanti komen dan reaksi untuk post ini.

Yang pasti, mesti ada yang sinis dan provokasi dengan mengeluarkan kata-kata seperti:

"Oh Inche gabbana ni babi rupanya." atau

"Nak sangat jadi babi!" atau

"Gila Inche gabbana ni. Dalam banyak-banyak benda, babi yang mahu dipertahankannya!"

Tidak mengapalah. Kontroversi itu memang ada hubungan persaudaraan dengan saya. Jika ini caranya kebenaran dapat ditegakkan, saya rela!
 
Moga Allah redha! 

28 May 2014

Antara Pendekar Mustar, Kungfu Panda dan Menjadi Murabbi

[Kredit]

Antara filem yang telah berjaya melonjakkan nama P. Ramlee sebagai maestro dalam bidang perfileman adalah filem Pendekar Bujang Lapok. Filem yang sering saya tonton sewaktu kecil-kecil dahulu, terutamanya ketika waktu sahur di bulan Ramadhan. Diulang tonton beberapa kali tanpa berasa bosan.

Antara babak yang sering mencuit hati adalah bagaimana Pendekar Mustar melayan karenah Ramli, Sudin dan Ajis (semuanya telah kembali ke rahmatullah) yang mahu menuntut ilmu persilatan daripadanya. Tidak pasti sama ada Pendekat Mustar berjaya menurunkan ilmu dan kepakarannya kepada para pendekar bujang lapuk itu. Yang pasti, ketiga-tiga mereka dijulang sebagai hero di akhir filem kerana berjaya menyelamatkan Ros, anak gadis Pendekat Mustar yang diculik oleh sekumpulan samseng.

Di dalam filem animasi Kungfu Panda pula - filem yang berjaya menyebabkan ramai orang ketawa berdekah-dekah lupa diri dan jatuh berguling-guling sehingga hampir-hampir tercekik popkon perisa karamel - Po, watak utama di dalam filem itu, yang merupakan seekor panda gemok gebu-gebu, berjaya menewaskan Tai Lung, seekor harimau bintang salji, selepas mendapat didikan dan tunjuk ajar daripada Shifu. Meskipon pada awalannya Shifu skeptikal pada kemampuan Po kerana luarannya langsung tidak gaya seperti seeekor perwira yang boleh menewaskan Tai Lung, namun akhirnya dia menyedari Po mempunyai kebolehan dan potensi yang tersendiri lantas melatih Po dengan teknik dan kemahiran kungfu yang diwarisinya sejak turun-temurun.  

Tidak pasti pula sama ada Po atau suku-sakat kaum kerabatnya adalah antara kaum panda yang terpilih dan bertuah untuk diterbangkan ke Malaysia untuk tinggal di dalam zoo hotel bertaraf lima bintang. Eh.

Lari laju-laju.  

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Imam Ahmad dan Imam Termizi yang menceritakan tentang seorang ghulam (budak/pemuda), dikisahkan bagaimana ghulam tersebut yang pada awalannya dipilih untuk menuntut ilmu dari ahli sihir diraja, bertemu dengan seorang rahib (murabbi/guru) dan akhirnya berminat untuk berguru dengan rahib tersebut.

Diringkaskan cerita, setelah beberapa ketika ghulam tersebut berbulatan gembira bersama rahib tersebut, dia telah mendapat satu peluang untuk beramal dengan ilmu yang dituntutnya. Di sebuah jalan yang sering dilalui oleh orang ramai, ada seekor raksasa/binatang buas yang menghalangi jalan tersebut. Ghulam telah memberanikan dirinya untuk menghalau binatang tersebut. 

"Pada hari ini aku akan tahu, siapakah yang lebih afdhal, tukang sihir atau rahib," getus si ghulam.

Lalu diambilnya seketul batu dan dibaca:

"Wahai Tuhanku, sekiranya rahib lebih Kau chentai daripada tukang sihir, maka bunuhlah binatang ini dan berilah laluan kepada orang ramai."

Ditakdirkan Allah, binatang tersebut berjaya ditewaskan/dihalau hasil daripada ikhtiar dan usaha ghulam itu. 

Mendengarkan peristiwa ini, si rahib telah mengungkapkan kata-kata yang sungguh lejen, yang akan menjadi fokus kepada perbincangan tulisan saya kali ini.

Kata sang rahib:

"Wahai anakkau. Engkau pada hari ini lebih afdhal daripada diriku. Engkau telah sampai pada peringkat yang dapat aku lihat hari ini."

Lejen. Sungguh lejen.

Pada kata-kata si rahib, terbit sifat-sifat seorang murabbi sejati. Seorang murabbi yang amat menchentai dan mengasihi mutarabbinya. Seorang murabbi yang ikhlas dan tulus dalam menuai hasil tanamannya suatu ketika dahulu.

Meski ghulam sudah menjadi lebih pawer dan haibat dari si rahib, langsung tidak ada rasa dengki atau hasad pada diri si rahib. Malah dia berasa gembira dan terharu melihatkan perkembangan ghulam yang kini sudah melangkaui kehebatannya sendiri. Inilah sikap seorang dai'e murabbi sejati yang benar-benar faham dan ikhlas dalam menelusuri jalan perjuangan ini.

Berbeza mungkin dengan sikap segelintir mahaguru persilatan contohnya, yang menyimpan buah terakhir dan terhebat untuk dirinya sendiri, agar anak-anak murid yang berguru dengannya tidak mungkin dapat menewaskannya suatu hari nanti. Atau dengan pendekatan sesetengah senior di kantor-kantor yang kedekut ilmu dan tidak mahu berkongsikan pengalaman dan kemahiran yang ada pada dirinya, kerana tidak mahu junior-junior mereka naik tangga keparat dahulu. Err maksud saya, korporat. 

Ehem. 

Tarbiyah telah mengajar kita sesuatu yang berbeza. Tarbiyah telah memaknai erti menjadi murabbi yang sebenar. 

Seorang murabbi yang jujur dalam membimbing mutarabbinya pasti gembira apabila anak-anak didikannya menjadi jauh lebih baik dirinya. Tiada kegembiraan dan kepuasan yang dapat menandingi apa-apa selain melihat insan-insan yang dibinanya menjadi seorang manusia yang jauh lebih berkemampuan dan berkebolehan daripada dirinya. Tiada rasa dengki. Tiada hasad. Tiada.

Malah seorang murabbi itu seharusnya berusaha sebaiknya untuk mentarbiyah anak-anak didiknya sehingga ke tahap mereka ini pada bila-bila masa sahaja layak dan mampu untuk menjadi seorang mursyid am! Walaweh!  

Hal ini begitu dihayati dan dijiwai sekali oleh Syaikh Abdul Qadir al-Kailani. Katanya:

"Maha Suci Allah yang telah menggerakkan hatiku untuk memberi nasihat kepada manusia dan telah menjadikan kerja itu sebesar-besar cita-citaku.


Apabila kau melihat wajah seorang murid sodiq yang lahir di bawah bimbinganku, aku berasa kenyang, puas, bangga dan gembira. Bagaimana dia boleh lahir dari bimbinganku?"

- Al-Fathu al-Rabbani, ms 27. Dipetik dari al-Muntalaq, bab Pelukan Cendekiawan

Subhanallah. 

Dan anda tahu apa yang lebih mengujakan daripada semua itu?

Pada masa yang sama, Islam menganjurkan umatnya agar berlumba-lumba dalam mengejar kebaikan. Allah memerintahkan agar kita bersegera ke arah keampunanNya. 

Bayangkan, manusia jenis apa yang akan lahir agaknya, apabila sang murabbi yang sepatutnya mendidik dan membina mutarabbinya menjadi lebih baik daripada dirinya sendiri, pada masa yang sama berusaha dengan gigih untuk meningkatkan kapasiti dirinya agar dia sendiri tidak tertinggal jauh ke belakang? Pastilah dunia ini dipenuhi dengan manusia-manusia yang Super Saiya yang boleh berterbangan di udara dan berjalan laju di atas air. Epik.

Itulah indahnya tarbiyah. 

Seorang murabbi itu sanggup mengorbankan dirinya semata-mata mahu melihat mutarabbinya menjadi seorang manusia berjiwa hamba.

Seorang murabbi itu sanggup bersengkang mata, bangun di tengah-tengah malam untuk mendoakan keteguhan jiwa buat mutarabbinya.

Seorang murabbi itu sanggup berbelanja besar, menginfaqkan hartanya asal mutarabbinya senang dalam menuntut ilmu dan bahagia.

Seorang murabbi itu sanggup melepaskan tawaran-tawaran dunia yang fana, hanya kerana mahu menanam sendiri akar-akar tarbiyah yang membumi dalam jiwa-jiwa mutarabbinya.

Dan seorang murabbi itu, akan bersungguh-sungguh mentarbiyah dan menjaga dirinya sendiri, akan terus dan kekal menjadi qudwah pada pandangan mata mutarabbinya.

"Syaikh al-Kailani kemudiannya meringkaskan sifat-sifat dai'e dan syarat-syarat tauthiq di dalam satu sifat yang ringkas dan padat; iaitu sifat tajarrud kamil dan tenggelam sepenuh dirinya ke dalam dakwah. Dai'e itu lupa dirinya. Dia tidak nampak kecuali mad’unya. Perkataannya hanya yang memberi kebaikan kepada mad’unya. Dunia dai'e adalah luas tanpa had, tanpa perniagaan, tiada keinginan sendiri dan tiada mengejar pangkat. Semua itu tiada dalam dunianya. Yang ada di dalam dunia dai'e hanyalah para mad’u yang didakwahnya. Itulah perniagaannya, keseronokannya dan pangkatnya."

-al-Muntalaq, Jihad Hujjah

Betapa besarnya pengorbanan seorang dai'e murabbi itu!

Allahu. Nanges.

Manusia-manusia yang lahir daripada madrasah tarbiyah yang luhur dan suci ini, pasti akan melahirkan rijal-rijal yang bukan sahaja soleh dan musleh, malah mampu untuk menggegarkan dunia.

Sepertimana para sahabat yang lahir daripada madrasah tarbiyah ar-Rasul SAW.

Sepertimana Tariq bin Ziyad yang dihasilkan daripada sentuhan Musa bin Nusayr.

Sepertimana Sultan Muhammad al-Fateh yang lahir dari rahim tarbiyah Syaikh Syamsuddin.

Sepertimana Imam Hassan al-Banna yang dibentuk dan diacu oleh tangan ayahnya sendiri.

Sepertimana Erdogan yang dibimbing dan dididik dengan begitu baik oleh Erbakan.

Dan sepertimana Son Goku yang tanpa Datuk Kame pastilah tidak akan mampu menghasilkan Kamehameha. Eh.

Kerana pada sosok seorang manusia yang hebat itu, pasti ada murabbi yang cukup berjasa di belakangnya.

Senyum, kenyit mata.

-gabbana- 

Sangat sibuk sekarang ini kerana menguruskan hal-ehwal buku IPJ. Tiada apa yang saya inginkan melainkan memberi yang terbaik kepada anda semua. Insha-Allah anda yang telah menempah dan membuat pembayaran (untuk gelombang yang pertama), paling lewat minggu hadapan saya menjangkakan anda akan mula dapat menikmati helaian-helaian IPJ.

Moga Allah redha dengan usaha-usaha kecil untuk menyebarkan fikrah Islam dan dakwah ini. Mohon doa kalian semua! 

23 May 2014

Siddratul Muntaha Aku Datang (Lagi)!

[Kredit]

Maha Suci Allah yang memberikan kekuatan (qawiyyah) dan kemahuan (iradah) kepada saya untuk menyambung perkongsian tadabbur surah al-Isra' ayat satu, selanjutnya menyambung pengembaraan kita dalam menyelami ruh dan ibrah peristiwa Isra' wal Mi'raj.

Tarik nafas. Baiklah.  

Ayuh kita sambung semula. 


سُبْØ­َانَ الَّØ°ِÙŠ Ø£َسْرَÙ‰ٰ بِعَبْدِÙ‡ِ Ù„َÙŠْÙ„ًا Ù…ِÙ†َ الْÙ…َسْجِدِ الْØ­َرَامِ Ø¥ِÙ„َÙ‰ الْÙ…َسْجِدِ الْØ£َÙ‚ْصَÙ‰ الَّØ°ِÙŠ بَارَÙƒْÙ†َا Ø­َÙˆْÙ„َÙ‡ُ Ù„ِÙ†ُرِÙŠَÙ‡ُ Ù…ِÙ†ْ آيَاتِÙ†َا ۚ Ø¥ِÙ†َّÙ‡ُ Ù‡ُÙˆَ السَّÙ…ِيعُ الْبَصِيرُ 

"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya di malam hari, dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesunggunya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat."
[al-Isra', 17:1]


Kita sudah pon melihat apa signifikannya surah ini dimulakan dengan kalimah suci 'subhanallah.' Ia membersihkan dan menyucikan Allah daripada sifat-sifat mustahil yang tidak mungkin boleh diasosiasikan denganNya.

Dan dengan kudrat dan iradahNya, Dialah "...yang telah memperjalankan hambaNya di malam hari, dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkahi sekelilingnya..." Ia adalah suatu bentuk proses; proses tarbiyah yang perlu dijalani baginda SAW.

Untuk apa?

"...agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami."

Nah, perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dalam satu malam itu, bukan semata-mata mahu menghiburkan hati baginda yang gundah gulana dek pelbagai peristiwa dan kejadian yang menekan dirinya. Namun yang lebih utama daripada itu, adalah agar Allah dapat memperlihatkan kepada baginda sebahagian tanda-tanda kebesaranNya. 

Satu perkara yang amat menarik perhatian saya adalah bagaimana Allah memanggil Rasulullah SAW sebagai 'hambaNya' di dalam ayat ini. 

Err. Apa yang menariknya Inche gabbana..? Kan ke kita manusia ni memang hamba kepadaNya..? 

Garu-garu kepala.

Eh menariklah! Rasulullah SAW, yang merupakan kejadian paling sempurna di sepanjang zaman dan seluruh alam semesta, manusia yang paling dichentai Allah, manusia yang paling dekat denganNya itu pon, Allah menyifatkannya sebagai hambaNya. Maknanya, Rasulullah SAW itu adalah tanda aras bagi seorang hamba!

Gulp.

Anda tahu apa maksudnya itu? Sekiranya kita benar-benar mahu menjadi hamba kepadaNya, maka Rasulullah SAW adalah qudwah dan rujukan utama kita! Dialah hamba yang paling hamba di sisiNya! Dia adalah hamba yang paling sempurna pada pandangan mataNya! 

Agak-agaknya lah kan, kita ni layak dipanggil hambaNya tak kalau begitulah gayanya..? Atau tahap pencacai sahaja...?

Nanges. 

Pengembaraan baginda yang sungguh epik itu bertujuan agar Allah dapat memperlihatkan tanda-tanda kebesaranNya kepada baginda. Bukan, bukan baginda masih tidak beriman kepadaNya. Bukan, bukan juga baginda sudah futur, tidak lagi yakin dengan risalah yang dibawaNya.

Namun sepertimana Nabi Ibrahim AS yang meminta kepada Allah agar ditunjukkan kepada baginda hakikat hidup dan mati agar hatinya menjadi lebih tenang, sebegitu juga agaknya dengan perjalanan Rasulullah SAW menempuh keheningan malam, dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan seterusnya membelah langit menuju Siddratul Muntaha - agar Allah dapat menenangkan hati baginda dan menambahkan keyakinan baginda, bahawasanya segala mehnah dan tribulasi yang sedang baginda lalui hanyalah secebis daripada perancangan Allah yang Maha Agung itu. 

Dan apakah hasilnya daripada pengembaraan baginda itu? Apakah output yang diharapkan daripada perjalanan suci itu?

"Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat."

Pembumian keimanan yang jitu, bahawasanya segala sesuatu yang berlaku itu adalah dalam pengetahun, penglihatan dan pendengaranNya. Setelah melalui satu perjalanan yang cukup ajaib dan penuh keterujaan, diperlihatkan dengan sebahagian tanda-tanda keagungan dan kebesaranNya, sudah tentu hasilnya adalah keimanan yang bertambah kukuh dan ketaqwaan yang semakin mantap.

Ewah.

Apakah manifestasi kepada keimanan dan ketaqwaan yang semakin padu ini?

Perintah solat lima kali sehari itu. Yang diperoleh Rasulullah SAW ketika bertemu dengan Allah di Siddratul Muntaha.

Nah, anda sudah nampak permainannya di situ? Senyum.

Lantas, bagaimana dapat kita aplikasikan semua ini dalam kehidupan kita sehari-hari...?

Kehidupan kita ini juga merupakan suatu pengembaraan. Sejak ruh kita diciptakan sehinggalah kita akan bertemu dengan Allah nanti.

Dan sepertimana Masjidil Aqsa menjadi persinggahan Rasulullah SAW sebelum naik bertemu dengan Allah, begitu juga dengan dunia yang fana ini, menjadi tempat persinggahan kita sebelum kita mati menuju alam barzakh.

Dari Abdullah bin Umar, r.a., katanya, "Rasulullah SAW memegang bahuku lalu bersabda, 'Jadikanlah dirimu di dunia ini seolah-olah engkau orang dagang bahkan seolah-olah orang yang dalam perjalanan musafir.'"

[Hadith RIwayat Bukhari]

Lalu apa tujuan kita mengembara dan singgah di dunia ini? Sekiranya kita hidup untuk bertemu denganNya semata-mata, apalah guna kita dihidupkan di dunia?

Agar dapat Dia perlihatkan kepada kita sebahagian tanda-tanda kebesaranNya.

Untuk apa...?

Agar kita pulang bertemu denganNya, dalam keadaan iman dan taqwa. Agar kita kembali ke pangkuanNya, dalam keadaan redha dan diredhaiNya.

Tarik nafas.

Begitulah. Begitulah ibrah dan hikmah yang boleh saya kongsikan dengan anda semua, daripada sepotong ayat dari surah al-Isra' itu. Moga selepas ini, kita melihat peristiwa yang agung itu dengan kaca mata yang lebih bergaya.

Isra' wal Mi'raj bukan hanya hikayat Rasulullah SAW menaiki buraq semata. Ia bukanlah pengkisahan Rasulullah SAW naik ke langit dan melihat pelbagai fenomena mistik dan luar biasa. Bukan juga rakaman dialog antara baginda dan Jibril, Nabi Musa AS dan yang lain-lain sahaja.

Namun ia lebih daripada itu. Ia jauh lebih bermakna dan berharga daripada itu.

Ia adalah sebuah kisah agung, dirakamkan dengan rapi di dalam Quran, agar menjadi panduan kepada kita dalam kita menelusuri pengembaraan sebuah kehidupan yang panjang ini. Agar kehidupan kita bukan suatu kehidupan yang sia-sia. 

Senyum.

-gabbana-

I hope I did justice to whatever Ustaz Hasrizal had shared. Silalah tegur mana-mana yang terkhilaf dan terkurang ya?

Akan melakukan sesuatu yang gila esok. Sumpah serabut.

Doakan agar semuanya berjalan lancar!


22 May 2014

Siddratul Muntaha Aku Datang!

[Kredit]

Sempena bulan Rejab yang mulia ini, saya ingin berbicara tentang Isra' wal Mi'raj.

Apabila mendengar peristiwa Isra' wal Mi'raj, apa yang terbayang di dalam kepala kita? 

Perjalanan penuh mistik Rasulullah SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, berakhir dengan pertemuan baginda dengan Allah di Siddratul Muntaha? 

Buraq, sejenis makhluk ajaib yang dinaiki Rasulullah SAW, yang dikatakan bergerak selaju seluas mata memandang? 

Pelbagai peristiwa pelik dan ajaib yang dialami Rasulullah SAW, termasuklah bertemu dengan para anbiya' sepanjang zaman juga bakal ahli-ahli neraka? 

Seketul batu besar yang dikatakan terapung kerana mahu mengikut Rasulullah SAW naik ke langit? 

Rasulullah SAW bersiar-siar riang gembira ke Baitulmaqdis kemudian melancong ke langit pula?

Tersedak.  

Macam-macam.

Manusia memang amat mudah terpengaruh dengan kisah-kisah dan hikayat-hikayat, apatah lagi apabila ia ditambah dengan rempah ratus Adabi dan rencah Ajinomoto. Tambah-tambah orang Melayu kita. Goreng pon sodap!  

Hakikatnya, ruh atau ibrah daripada peristiwa Isra' wal Mi'raj telah dirakamkan dengan penuh jelas dan simplistik di dalam Quran. Allah berfirman:

سُبْØ­َانَ الَّØ°ِÙŠ Ø£َسْرَÙ‰ٰ بِعَبْدِÙ‡ِ Ù„َÙŠْÙ„ًا Ù…ِÙ†َ الْÙ…َسْجِدِ الْØ­َرَامِ Ø¥ِÙ„َÙ‰ الْÙ…َسْجِدِ الْØ£َÙ‚ْصَÙ‰ الَّØ°ِÙŠ بَارَÙƒْÙ†َا Ø­َÙˆْÙ„َÙ‡ُ Ù„ِÙ†ُرِÙŠَÙ‡ُ Ù…ِÙ†ْ آيَاتِÙ†َا ۚ Ø¥ِÙ†َّÙ‡ُ Ù‡ُÙˆَ السَّÙ…ِيعُ الْبَصِيرُ 

"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya di malam hari, dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesunggunya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat."
[al-Isra', 17:1]

Mari kita tadabbur ayat ini agar dapatlah kita lebih menjiwai salah satu peristiwa yang terpenting dalam sejarah Islam ini.

Ehem. Betulkan kopiah, walhal tak pakai kopiah pon tapi sebab nak bagi tadabbur mestilah berlagak alim sikit. Eh.

Pertamanya, perhatikan bagaimana Allah memulakan ayat ini dengan 'Subhanalladzi' atau dalam bahasa ibundanya, Maha Suci Allah. Nampaknya seperti tiada apa-apa yang istimewa kan? Namun setiap sesuatu yang tertulis di dalam al-Quran itu bukan kebetulan. Pasti ada sebab-musabab yang cantik lagi mengujakan. 

Untuk memahami apa signifikannya Allah memulakan ayat ini dengan kalimah suci itu, penting untuk kita mengetahui apakah sebab Allah telah memperjalankan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dalam peristiwa yang sungguh epik itu.

Ada beberapa pendapat daripada para ulama' mufassirin dan muhaddithin tentang sebab terjadinya peristiwa Isra' wal Mi'raj ini. Antara yang paling popular termasuklah:
  • Berlakunya tahun kesedihan di mana Rasulullah SAW kehilangan dua insan yang paling rapat dengannya; Abu Talib dan Ummahatul Mu'minin, Khadijah binti Khuwailid r.a.
  • Penolakan dakwah baginda di Thaif, yang merupakan kemuncak kepada mehnah dan tribulasi yang dihadapi baginda
Makanya, Allah memulakan ayat tersebut dengan kalimah 'subhanallah' adalah untuk mesucikan zatNya daripada sebarang prasangka yang mungkin timbul, rentetan daripada ujian demi ujian yang diterima Rasulullah SAW.

Eh takkanlah Allah tak dengar doa Nabi?

Ish zalimlah Allah ni, buat Nabi sampai macam tu!
 

Bagaimana mungkin Allah tidak melihat kesengsaraan baginda...??

Kemungkinan ada para sahabat (atau kita sendiri) yang berfikiran sebegitu, apabila melihatkan ujian dan cubaan yang bertubi-tubi dan bertalu-talu yang menyerang Rasulullah SAW.

Maha Suci Allah. Bukan Allah tidak dengar. Bukankah Dia itu Maha Mendengar?

Maha Suci Allah. Bukan Allah tidak melihat. Bukankah Dia itu Maha Melihat?

Maha Suci Allah. Jauh sekali Allah bersifat zalim. Bukankah Dia itu Maha Adil, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang?

Apatah lagi terhadap sosok yang bernama Muhammad bin Abdullah SAW itu, yang merupakan manusia termulia dan yang paling hampir denganNya!  

Aplikasinya sangat besar dalam kehidupan kita sehari-hari. Bukankah Allah yang Maha Agung itu sendiri berfirman:

"Hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."
[ar-Ra'ad, 13:28]

Tapi... Mengapa apabila kita sakit perut tercirit-cirit sampai naik biru muka kita, kita bertasbih, sakit itu masih tidak hilang..?

Mengapa apabila kita dilanda tekanan perasaan yang amat sangat kerana kucheng kita mati dilanggar lori, kita bertasbih, namun perasaan kita masih tidak senang...?

Mengapa bila mana kita dimarahi oleh Puan Mama kita kerana terlupa nak tutup gas dapur sehingga meletup hangus dapur rumah kita, kita bertasbih, perasaan muram dan geram masih tidak tenang...?

Kerana kita masih belum mensucikan Allah daripada prasangka dan dzan-dzan kita terhadapNya. 

"Wahai Allah. Sampai hati Kau zalimi diri aku begini. Solat aku tak pernah tinggal. Puasa Isnin Khamis aku buat. Sedekah aku perbanyakkan. Tapi mengapa Kau masih timpakan bala bencana sebegini rupa..?"

"Ya Alllllaaaaahhh!! Kenapa ya Allaaaaahhh! Kenapa Kau amik dia dari akuuuu...?? Kenaaappaaaaa....??"

Ok drama.

"Ya Tuhan, saban hari aku tidak berhenti berdoa padaMu. Saban hari aku menanti-nanti Engkau memakbulkannya. Dan saban hari juga Kau terus mengechiwakan aku. Haila."

Subhanallah. Maha Suci Allah daripada prasangka dan su'udzan kita yang tidak bertepi itu. 

Kita dianjur untuk berzikir dengan tasbih, tahmid dan takbir tiga puluh tiga kali setiap kali lepas waktu solat itu, bukan semata-mata mahu menambahkan saham-saham sorga kita. Tetapi yang lebih utama daripada itu, adalah untuk membumikan jauh ke dalam hati kita, bahawa Allah itu benar-benar Tuhan kita yang satu. Bahawasanya Dialah yang Maha Agung dengan sifat-sifatNya yang mulia. Dan betapa Dia bebas dan suci daripada sifat-sifat makhluk yang penuh dengan kelemahan itu.

Aplikasinya dalam tarbiyah dan dakwah juga amat praktikal dan tidak kurang pentingnya. Surah dai'e itu, pertama-tamanya menyeru orang kepada Allah. Dakwahnya adalah dakwah rabbani. Perjuangannya adalah mengajak orang untuk memperhambakan diri mereka kepada Allah. Pengorbanannya tidak dan tidak bukan adalah hanya untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi.

Namun apa reaksi kita andai seruan kita ditolak? Apa tindakan kita sekiranya kita dicaci, dihina malah diugut dan dicederakan hanya kerana risalah yang kita bawa? Apa perasaan kita apabila tiada orang yang mahu menyahut panggilan dan seruan kita? 

Adakah kita pantas berprasangka pada Allah? Atau mungkin kita memarahi Allah, mencercaNya dengan sangkaan-sangkaan kita yang nista? Atau mungkin kita berputus-asa, tidak yakin lagi dengan kemenangan yang dijanjikanNya...?

Subhanallah. Maha Suci Allah daripada sangkaan-sangkaan kita yang hina lagi jijik itu. Allah, Tuhan yang Maha Gagah dan Perkasa itu, bersih dan suci daripada semua sifat yang tidak selayaknya disifatkan padaNya itu.

Nah, kerana itulah ayat satu surah al-Isra', yang merakamkan peristiwa yang cukup signifikan dan penting itu, dimulakan dengan kalimah tasbih, agar kita menelusuri seluruh peristiwa itu dalam keadaan hati kita yang senang dan tenang dengan perancangan Allah. Agar kita berasa takjub dan kagum dengan ketentuan Allah yang Maha Hebat itu. Agar kita tahu, bahawa perjalanan dakwah Rasulullah SAW adalah perjalanan yang rabbani lagi suci. 

Fuh. 

Itu baharu satu kalimah. Kalimah tasbih sahaja!

Saya kira cukup dahulu buat masa ini. Khuatir pula saya ada yang terlentok-lentok keluar air liur basi andai artikel ini dijadikan lebih panjang lagi.

InshaAllah, sekiranya diberikan kekuatan dan kesempatan, saya akan menghabiskan taddabur ayat satu surah al-Isra' itu, dalam pengembaraan kita merungkaikan rahsia perjalanan Nabi SAW bertemu dengan Allah 'Azza Wajalla. Biidznillah.

Jangan ke mana-mana!

-gabbana-

Jazakallahu khairan katheera, sedikit rakaman penghargaan buat al-Fadhil Ostad Hasrizal Abdul Jamil, yang telah memberikan perkongsian yang cukup menarik dan berkesan tentang peristiwa Isra' wal Mi'raj semalam. Kebanyakan poin-poin di dalam post ini (dan sambungannya nanti inshaAllah) diambil daripada perkongsiannya.

Moga Allah merahmati dirinya. Senyum. 

20 May 2014

Sukarnya Menjadi Orang Yang Beragama

[Kredit]

Penulisan kali ini mungkin lebih seriyes daripada biasa.

Seriyes.

Semalam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah usai kerja, seperti biasa yang saya menghabiskan sedikit masa untuk memeriksa hapdet-hadpet terbaru di Mukabuku. Ketika sedang asyik menatal garis masa MukaBuku, saya terbaca sesuatu yang amat menyedihkan saya.

Seseorang telah berkongsikan keratan akhbar tabloid Metro, akhbar yang paling laris jualannya dalam kalangan para pembaca Melayu. 

"Kitab Ibn Qayyim sesat."

Not again. Getus hati saya.

Perkataan sesat itu diboldkan dan dimerahpekatkan.  

Yang saya sedihkan dan kesalkan bukanlah sangat hinaan dan cercaan terhadap Ibn Qayyim itu, meski saya tetap berasa tidak senang dengannya.

Namun dengan trend dan budaya label-melabel, kafir-mengkafir dan sesat-menyesat yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Sikit-sikit kafir. Sikit-sikir bidaah. Sikit-sikit wahhabi.

Aduhai, lancang benar mulut kita mengeluarkan kata-kata yang cukup nista! 

Buka sahaja MukaBuku, tidak sah kalau tidak jumpa orang ini bertelagah dengan orang tu. Tidak lengkap sekiranya tiada pertengkaran antara kumpulan ini dan kumpulan itu. Pelik benar andai dalam satu hari, MukaBuku aman dan tenang daripada jiddal dan perdebatan antara puak ini dan puak itu.

Alahai. Alahai. Alahai. 

Lantas ia membawa saya kepada suatu persoalan yang lebih besar; sampai bila kita harus begini? Sampai bila umat Islam akan tersu bercakaran, bergaduh dan berperang sesama sendiri? Sampai bila orang-orang yang marhaen, jahil dan tidak berilmu seperti saya ini, akan terus menjadi penonton kepada para ulama', masyaikh dan asatizah yang terus bertikam lidah sesama sendiri? 

Yang lebih menakutkan dan mengerikan adalah pergaduhan dan pertelingkahan yang berlaku antara gerakan-gerakan Islam, yang sepatutnya menjadi benteng paling hadapan dalam memperjuangkan dan mempertahankan Islam. Ahli-ahli daripada gerakan-gerakan ini yang tampaknya paling galak dalam melabel orang ini dan menyesatkan golongan itu. Mereka yang kononnya mengaku dirinya berjemaahlah yang paling banyak mendatangkan fitnah kepada agama ini.

Na'udzubillah. Moga Allah menjauhkan kita semua daripada bala bencana besar ini.

Tidak hairanlah ramai manusia di luar sana yang fobia dengan agama ini. Padanlah ramai orang di luar sana yang tidak bersedia, rimas dan tidak berminat untuk menyertai mana-mana jemaah dakwah. Patut sangatlah begitu ramai orang yang skeptikal, prejudis dan bersangka buruk terhadap jemaah-jemaah haraki yang ada di Malaysia ini.

Kerana tanpa kita sedar, kadangkala kitalah yang sebenarnya telah mencalitkan lumpur pada jemaah atau gerakan yang kita sertai. Sikap kita yang terlalu emosional dan terburu-buru telah memadamkan kebenaran yang sepatutnya jelas dapat dilihat. Akhlak kita yang amat mudah dipengaruhi oleh isu dan propaganda seringkali tidak menggambarkan akhlak Islam yang sebenar.

Pada kita mereka tidak nampak qudwah dan tauladan.

Pada kita mereka tidak merasakan betapa istimewanya Islam dan makna sebuah perjuangan.

Pada kita mereka tidak dapat menghargai erti kelazatan iman.

Pada kita yang mereka lihat hanyalah pergaduhan dan pertelingkahan.

Dan pada kita, mereka tidak lihat adanya solusi dan harapan.

Nanges.

Inilah yang saya rasakan ketika ini. Inilah perasaan dan luahan rasa yang ingin saya kongsikan dengan anda.

Sudahlah mahu berubah dan menjadi yang lebih baik itu sudah cukup sukar, rupa-rupanya mahu mempertahankannya jauh lebih sukar lagi. Sudahlah mahu mengajak orang lain untuk bersama-sama kita sudah cukup sulit, mahu meyakinkan mereka untuk terus dan kekal bersama-sama dengan kita rupa-rupanya jauh lebih sulit lagi. 

Aduh. Sukarnya mahu menjadi orang yang beragama!
 
Air mata mengalir perlahan. 

"Abdul Wahhab Azzam rahimahullah telah melawat sebahagian besar dunia Islam. Beliau telah menjelajah dunia Arab, Turki, India, Pakistan dan lain-lain lagi untuk mengkaji realiti umat Islam secara dekat. Akhirnyanya beliau membuat kesimpulan bahawa umat Islam tidak kekurangan apa-apa kecuali perpaduan." - al-Muntalaq, Panji Kebaikan

Perpaduan. Ya, itulah yang amat kita perlukan sekarang ini!

Orang yang baik sudah cukup ramai di luar sana. Orang yang berilmu dan bersijil ijazah sarjana muda dan tua juga sudah cukup ramai di luar sana. Orang yang berharta dan punya aset yang tidak ternilai harganya, juga sudah tidak terkira. 

Yang kita perlukan sekarang ini, adalah untuk kita sama-sama ketepikan perbezaan dan kekhilafan antara kita yang sedikit itu, dan tumpukan sepenuh tenaga dan upaya kita untuk menguatkan dan memantapkan lagi titik-titik persamaan yang ada. 

"Janganlah kamu berasa tertipu dengan kerosakan yang zahir dan kejahatan yang melata di sana sini dalam kalangan umat Islam. Janganlah kamu gentar mendengar orang ini dan itu sudah rosak. Orang yang baik sebenarnya lebih ramai daripada orang yang jahat. Tetapi, golongan jahat mengibarkan bendera mereka lalu orang jahat dan pengikut mereka berhimpin di bawah naungannya. Golongan yang baik lalu lari, tidak bersama-sama golongan jahat ini dan suara mereka tidak kedengaran apa-apa.

Sekiranya panji kebaikan dikibarkan, tentu mereka yang baik-baik itu berkumpul di bawahnya. Golongan jahat tentu akan diam dan mereka tidak akan menjadi mahsyur lagi." - al-Muntalaq, Panji Kebaikan

Meski kadangkala saya sendiri sukar untuk mempercayainya, dengan kekacauan-bilauan dan kekucar-kaciran umat Islam hari ini, melihatkan pertelingkahan mereka yang mengaku diri sebagai dua't seperti tidak akan ada titik noktahnya, namun jauh di sudut hati, saya tahu harapan itu masih ada. 

Ini adalah fasa ujian. Fasa mehnah dan tribulasi yang menggila. Fasa di mana mereka yang mengaku dirinya sebagai para pejuang agamaNya akan ditapis dengan sebersih-bersihnya.

Kita akan dibelasah teruk, dipijak, dipukul, dilempang, disilambam, dihina, dicaci dan diludah, sehingga kita menjadi lumat. Layu. Lesu.

Sehingga kita sendiri tidak pasti, sama ada kita akan sempat untuk menyaksikan kemenangan yang agung itu. Yang lebih merbahaya, kita akan diuji dan diuji, sehingga kita sendiri merasakan, seolah-olahnya harapan itu sudah mati.

"Ramai manusia yang baik sebenarnya menjadi bingung. Bila mereka lihat besarnya kerosakan di negeri mereka, melihat lintag-pukang neraca dan nilai, melihat orang jahat berkuasa, mereka mula menyangka bahawa semua benda telah hancur punah dan tida dapat dibaiki lagi. Kufur telah berkuasa penuh menyebabkan mereka terpaksa memilih sama ada diam membisu atau berhijrah ke negeri yang kurang kejahatannya dan 'menganggur' di sana." - al-Muntalaq, Panji Kebaikan

Dan kita akan terus diuji dan ditapis, dicuba dan dibersihkan, sehinggalah yang tinggal dalam kalangan kita ini, yang benar-benar ikhlas dan tulus dalam memperjuangkan panji-panji kebaikan ini. Sehingga yang tinggal, hanyalah mereka yang benar-benar sabar dan yakin dengan ketentuanNya. 

Hanya yang benar. Dan sabar.

"Wahai Rasulullah, sekiranya kita berada di pihak yang benar, mengapa engkau tidak mendoakan sahaja kemenangan untuk kita?" 

Tanya seorang sahabat, Khabab bin al-Arat r.a. kepada Rasulullah SAW pada suatu hari.

Apa jawapan baginda?

"Sesungguhnya sebelum kamu terdapat lelaki yang telah digalikan lubang untuknya, ditanam, kemudian didatangkan dengan sebilah gergaji diletakkan diatas kepalanya dan menggergaji sehingga dipotong dua, mereka yang disikat dengan sikat besi – sehingga bercerai daging dan tulangnya - tetapi perkara tersebut tidak dapat menghalangnya daripada agamanya, sesungguhnya Allah akan menebus perkara ini sehingga manusia boleh berpergian dari San’a ke Hadhramaut tanpa rasa takut kecuali kepada Allah dan serigala terhadap ternakannya, tetapi kamu tergesa-gesa."

Allah Allah. Nanges laju-laju.

Bersabarlah wahai hati. Sungguh kemenangan itu sudah tidak jauh lagi.

"Aliif laam miim. Apakah manusia mengira mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji?"

[al-Ankabut, 29:12]

Ya, menjadi orang beragama itu memang sukar. Kerana kelazatan dan kenikmatan yang menanti tidak mungkin tergambar!

-gabbana-

Seperti masih ada yang tersisa di hati, yang mahu diungkapkan dan dikongsi. Tetapi entah... Cukuplah setakat ini.

Moga Allah kuatkan hati ini. Moga Allah redha. 

16 May 2014

Dah Kau Ni Kenapa? (Episod Dua Yang Tidak Disangka-sangka)

Asalnya tidak berniat pon nak sambung cerita pendek ini. Namun atas permintaan ramai (bajet la) dan ada pula idea untuk menyambung, maka terimalah...

***

[Kredit]

Bakhtiar hampir-hampir sahaja menekan brek keretanya sebaik sahaja mendengar perkataan keramat itu.

Usrah. Usrah!
 
Seperti tidak percaya, sahabat baiknya itu, yang dahulu sering menjadi partner in crime dalam serba-serbi perkara, yang dahulu sering menemaninya ke panggung wayang dan karaoke, yang dahulunya sering double dating dengannya, kini sudah menyertai usrah.

Usrah tu bukan untuk orang-orang ekstrem ke...??

"Kenapa senyap bro? Kau tak percaya aku dah join usrah?" 

Azwad memberikan senyuman nakal pada Bakhtiar. 

Bakhtiar tidak tahu apa yang patut dikatakannya.

Usrah?? Kau gila ke Wad...?? Apa dah takde benda lain kau nak join kat obesi tuuu?!? Joinlah geng hitch hike ke, bungee jumping ke, Euro Trip ke.. Ini usrahhh...??

Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja Bakhtiar berteriak sebegitu. Tapi dia gumam. Benar-benar tergamam dengan pendedahan yang baharu sahaja didengarinya tadi. 

Keadaan di dalam kereta sunyi sepi. Tiada apa yang kedengaran melain bunyi enjin kereta yang menderam dan bunyi penghawa dingin yang sudah lama tidak diservis mungkin. Radio sudah pon dimatikan oleh Bakhtiar. Tidak sanggup dia mahu mendengar karut-marut di IKIM.fm itu. 

"Dah... Dah lama kau join usrah Wad..?"

Keheningan dipecahkan. Bakhtiar hanya memandang ke hadapan, tidak sanggup dia memandang wajah sahabatnya itu.

"Hahaha. Kau tanya macam lah usrah tu bunuh orang."

Azwad menggeleng-geleng perlahan.

"Adalah tujuh, lapan bulan. Dua tiga bulan lepas aku sampai France." 

Azwad merenung ke luar. Ternanti-nanti agaknya, apa pula soalan yang bakal ditanya Bakhtiar.

"Ok."

Sunyi. Sepi.

"Sebab tu ke... Kau clash dengan Sofea?"

Azwad tesenyum. Tidak disangkanya, dalam banyak-banyak soalan, soalan itu yang akan ditanya Bakhtiar.  

Azwad mengira-ngira bagaimana mahu menjawabnya. Dia tidak mahu jawapannya nanti akan mendatangkan fitnah pada usrah yang disertainya pula. 

"No lah. It was totally my decision. Lecehlah long distance ni."

Bakhtiar tidak yakin.

"Takkan sebab tu je kot bro? Kamonlah."

Azwad menjeling Bakhtiar. Dia tahu, Sofea dan Murni, gelpren Bakhtiar, bersahabat baik. Itu pon sebab Azwad dan Bakhtiar yang menemukan mereka. Kini sudah jadi best friend forever. Konon. 

"Kau nak aku jujur ke bro?"

Kali ini Bakhtiar merenung Azwad. Seperti tidak percaya pula itu yang akan terpacul dari mulut Azwad.

"Eh wajiblah! Sejak bila pulak kau berselindung dari aku Wad?"

Azwad menggeleng-gelengkan kepalanya. Tersenyum lagi. Tidak pasti sama ada Bakhtiar sudah bersedia untuk mendengar jawapannya. 

"Sebab kapel tu haram." 

Tersedak dibuatnya Bakhtiar mendengar jawapan Azwad. Mujur dia bukan sedang mengulum gula-gula atau mengunyah kacang bijak. Silap haribulan, boleh mati tercekik dibuatnya. 

"Ekstrem."

Bakhtiar berbisik perlahan, tapi cukup kuat untuk didengari Azwad.

"Kau tak faham bro."

That's it. Azwad baharu sahaja memetik suis kemarahan Bakhtiar. Gunung berapi Vesuvius sudah bersedia untuk meletup. 

"Aku tak faham...?? Aku yang tak faham atau kau yang tak faham Wad...?? Ya, memang aku tak faham! Aku tak faham kenapa kau sanggup lepaskan pompuan secantik Sofea tu lepas ikut usrah! Aku tak faham kenapa kau berubah lepas ikut usrah! Aku tak faham kenapa kau sanggup korbankan masa depan kau sebab usrah!"

Bakhtiar meninggikan suaranya. 

"Dan.. Dan aku tak faham kenapa kau join usraaahhh!" 

Sunyi. Sepi.  

Sebuah motor laju memotong. Kalau mahu dzan, gaya macam mat rempit.

Tidak semena-mena Azwad tertawa. Kuat. Lantang. Terbahak-bahak.

Lama dia tertawa. Sehingga berair-air matanya.

Bakhtiar jadi berang.

Orang seriyes. Dia boleh gelak pulak!

"Dah..."

Belum sempat Bakhtiar menghabiskan kata-katanya, Azwad potong dahulu.

"Dah.. Dah kau ni kenapa...?!"

Kata-kata Azwad itu menyebabkan Bakhtiar pula tertawa. Azwad yang baharu sahaja mahu reda dari tawanya, kini kembali tertawa.

Lama mereka begitu. Azwad sehingga terpaksa mengurut-ngurut perutnya; sakit dek terlalu banyak dan galak ketawa. Keadaan yang tegang dan panas tadi, kini menjadi reda. 

Setelah masing-masing mula tenang, Azwad memulakan bicara.

"Apa yang kau nampak hari ni bro, bukan jadi sehari dua. It was a tough decision, tapi aku gembira aku lalui jalan ni."

Azwad terdiam sebentar. Bakhtiar fokus, tidak mahu terlepas setiap butir kata yang keluar dari mulut sahabat baiknya itu.

"Ya, Sofea seorang perempuan yang cantik. Dan baik. Aku mungkin rugi sebab melepaskannya. Tapi bro... Aku yakin Allah akan gantikan dengan seseorang yang jauh lebih baik, InshaAllah."

Tenang. Tulus. Kata-kata itu benar-benar datang dari sudut hati yang paling dalam.

"Aku tak rasa aku berubah pon bro. This is me. It's just that, I have discovered myself. My trueself."

Azwad memandang Bakhtiar. Ada butir-butir kaca pada di sudut matanya. Cepa-cepat Azwad mengalihkan pandangannya dan mengelap matanya dengan hujung lengan bajunya.

"Aarrgghh ni yang aku tak suka cakap pasal benda ni. Buat aku emo je. Hahaha."

Azwad bermonolog sendirian, tapi cukup kuat untuk didengari Bakhtiar. 

Bakhtiar tidak pasti sekiranya dia perlu berkata apa-apa. Dia memilih untuk diam sahaja, mahu mengikut rentak Azwad. Pentas itu Azwad yang punya; sekurang-kurangnya untuk waktu itu. 

"Don't worry bro. I am still the Azwad you knew all this while, InshaAllah. Kita dah berkawan sejak kecik bro. Aku rasa kau lah satu-satunya orang yang betul-betul kenal aku ni  siapa, macam mana orangnya."

Kata-kata itu menyentuh hati Bakhtiar. Matanya terasa seperti masuk habuk. Namun Bakhtiar mengawalnya. Kawal macho la konon. 

"Dah la bro. Nanti bila-bila ada masa, kita borak lagi pasal ni. Dan aku pon nak bawak kau jumpa kawan-kawan aku yang aku kenal kat sana. Kawan-kawan yang dah banyak tolong aku kenal diri aku yang sebenar. They are amazing people. Amazing. 

Sekarang ni kau kena tunaikan janji kau dulu. Perut aku ni dah lama tak merasa dhal sambal Masood!" 

Bakhtiar hanya tersengih. Jujur, dia tidak mampu untuk memberikan apa-apa respon lagi. 

Jauh di sudut hatinya, entah mengapa dia berasa gembira dengan perubahan Azwad. Lebih tenang. Lebih matang. Azwad yang sekarang tidak sama dengan Azwad yang dahulu. Luarnya mungkin sama, tapi intinya berbeza. Dan meski Bakhtiar benci untuk mengakuinya, namun dia tahu, inti yang sekarang ini adalah yang terbaik, sekurang-kurangnya untuk diri sahabatnya itu. 

Percutian Azwad selama kurang lebih tiga bulan di Malaysia terasa begitu pantas berlalu. Walaupon Bakhtiar tidak berkesempatan untuk meluangkan banyak masa dengan Azwad dek Azwad yang terlalu sibuk dengan entah bermacam program (Konferens riang? Kembara buru redha Allah? Benda apa tu?), namun dia berasa puas. Apatah lagi Bakhtiar berpeluang untuk berkenalan dengan rakan-rakan Azwad seperti yang telah dijanjikan.

Meski Bakhtiar berasa kekok pada mulanya, terutamanya apabila ada rakan-rakannya yang memeluknya dan berlaga-laga pipi dengannya (Kasar weyhh jambang kauuu!), ada pula yang ber'ana-anta' sesama mereka, lama-kelamaan Bakhtiar menjadi selesa dengan mereka ini. Dia dilayan mereka seolah-olah mereka telah lama mengenal Bakhtiar. Dan Bakhtiar benar-benar dapat merasakan seperti dia juga sebahagian daripada mereka. Sehinggakan di hujung pertemuan mereka itu, Bakhtiar terasa seperti mahu membeli tiket kapal terbang sehala ke Perancis dan berpindah ke sana! 

Bakhtiar sentiasa ternanti-nanti Azwad mengajaknya untuk menyertai mana-mana aktiviti atau program yang boleh disertainya. Sepanjang cuti Azwad itu, Bakhtiar telah ikut serta dalam beberapa program, antaranya Ihya Ramadhan, program riang ria bersama dengan para pelajar yang bakal menyambungkan pelajaran ke Perancis dan riadhah bersama ikhwah (kini Bakhtiar sudah biasa dengan terma-terma sebegitu rupa). 

Bakhtiar terasa seronok. Hidup. Jiwanya terasa segar. Sudah lama dia tidak merasakan perasaan sedemikian rupa.

"Wad... Aku nak tanya something boleh...?"
 

Mereka dalam perjalanan menghantar Azwad ke KLIA, untuk terbang pulang ke Perancis.

"Ha, tanyalah."

Sekilas Bakhtiar memandang Azwad. Kemudian dia memandang ke hadapan semula. Ada Nissan Murano berawar merah gelap tidak jauh di hadapannya. 

Bakhtiar menarik nafas. Panjang. Dalam. Dia memerlukan keberanian yang luar biasa untuk menanyakan soalan itu.    

"Kenapa... Kenapa kau... Tak pernah ajak aku join usrah?"

Terbeliak mata Azwad mendengarnya. Namun pantas ia digantikan dengan seukir senyuman.

"Sebab... Aku nak dengar daripada mulut kau sendiri." 

Azwad memandang Bakhtiar dengan senyuman yang penuh makna. Dia menepuk-nepuk bahu sahabatnya itu, seolah-olah memberikan isyarat bahawa dia sudah bersedia untuk mendengar Bakhtiar bertanyakan soalan cepu gangsa. Soalan itu.

Namun Bakhtiar diam seribu bahasa. Ada sesuatu yang bermain di dalam kepalanya.

Azwad memilih untuk membiarkan Bakhtiar begitu. Dia tidak mahu menyerabutkan lagi fikiran Bakhtiar. Pada masa yang sama, berulang-ulang dia berdoa di dalam hati, agar Allah membukakan pintu hati sahabatnya itu.

Doa yang sering dizikirkannya sejak dahulu lagi. Sejak dia berkenalan dengan tarbiyah dan dakwah. 

Bakhtiar menghantar Azwad sehingga ke batas terakhir untuk pelawat. Mereka berpelukan dan seperti biasa, membuat gaya salam unik dan bro fist yang sentiasa menjadi tanda persahabatan mereka. Cuma kali ini, Azwad memasukkan juga upacara bercipiki-cipika. 

Kakak berbaju seragam biru pekat yang bertugas untuk memeriksa dokumen penumpang hanya tersenyum melihat gelagat mereka. 

Azwad seperti berat hendak meninggalkan Bakhtiar. Dan Bakhtiar juga seperti ada sesuatu yang disimpannya. Namun tinggal sejam lebih sedikit sebelum kapal terbang Azwad berlepas. Dia harus segera menuju ke balai berlepas. 

Azwad sudah bersedia untuk turun. Diambilnya passport dan pas masuknya dalam poket jaketnya, bersedia untuk diserahkan kepada kakak petugas yang sejak dari tadi sibuk memerhatikan mereka.

 "Wad..."

Azwad segera berpaling. Jantungnya berdegup kencang. Entah mengapa.

"Boleh... Boleh aku join usrah...?"

Tidak semena-mena mengalir air mata membasahi pipi Azwad. Dia sudah boleh mengagak yang Bakhtiar akhirnya akan bertanyakan soalan itu. Namun dia tidak menyangka secepat itu.

"Dah kau ni kenapa..?"

Berderai mereka tertawa. 

Tawa yang akan membawa mereka ke sorga.

>> Dah Kau Ni Kenapa? (Episod Satu)

-gabbana- 

Meski cerita pendek ini semacam tiada kena mengena dengan Hari Guru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru dan Selamat Hari Murabbi kepada semua yang pernah secara langsung atau tidak, mendidik diri ini. Siapa saya hari ini, sedikit sebanyak adalah hasil daripada lenturan tangan-tangan kalian. 

Moga doa saya yang ghaib untuk kesejahteraan kalian di dunia dan akhirat, sampai kepadaNya. Moga Allah redha dengan kalian.

Dari hati yang paling nurani, jazakumullahu khairan katheera. 

Senyum. 

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP