29 April 2014

Penumpang Feri Yang Terlalu Taat

[Kredit]

Baru-baru ini dunia digemparkan dengan kejadian sebuah feri yang diberi nama 'Sewol' yang terbalik dan tenggelam di Korea Selatan. Tragedi feri karam itu telah mengorbankan lebih 300 orang penumpang, yang kebanyakannya adalah para pelajar Sekolah Tinggi Danwon. 

Ada banyak teori yang dilontarkan untuk menjelaskan bagaimana tragedi itu boleh terjadi. Ada yang mengatakan bahawa muatan kargo di dalam feri itu telah melebihi had yang ditetapkan. Ada juga yang mendakwa feri itu dipandu lebih laju daripada biasa.

Kejadian ini telah menimbulkan kemarahan yang luar biasa pada rakyat Korea Selatan. Pihak kerajaan telah dihentam dengan begitu teruk sehinggakan mana-mana pihak yang didapati mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak sensitif atau melakukan perkara-perkara bodoh yang boleh menyemarakkan lagi kemarahan rakyat akan dipecat atau diminta untuk meletakkan jawatan. Terbaru, Perdana Menteri Korea Selatan, Jung Hong-won telah meletakkan jawatan kerana merasa bertanggungjawab atas tragedi yang berlaku.

Di sebalik semua itu, apa yang lebih menyayat hati adalah apabila ramai yang terkorban dan majoriti daripadanya adalah anak-anak remaja. Diceritakan bagaimana detik-detik sebelum feri itu karam, arahan telah dikeluarkan oleh anak kapal agar para penumpang tenang dan duduk di tempat masing-masing.

Namun yang paling tidak boleh diotakkan adalah apabila kapten dan anak kapal lari menyelamatkan diri dan membiarkan para penumpang terkapai-kapai menyelamatkan diri masing-masing! Walhal mereka mengeluarkan arahan agar para penumpang tenang dan tidak perlu berbuat apa-apa! Kegilaan.

Arahan itulah yang mungkin telah membunuh begitu banyak nyawa pada hari itu. Dilaporkan bahawa para penumpang yang 'degil' dan tidak mengikut arahan itu sempat menyelamatkan diri dengan terjun keluar dari feri sebelum ia karam. 

Namun yang lebih menggaru kepala adalah hakikat bahawa sebahagian besar daripada para penumpang yang terkorban, taat dan patuh pada arahan tersebut. Para penganalisis mengaitkan situasi ini dengan budaya dan tradisi rakyat Korea yang sudah dididik sejak kecil untuk sentiasa patuh dan tidak mempersoalkan apatah lagi melawan orang yang lebih dewasa atau orang yang punya kedudukan yang lebih tinggi. 

Meski teori ini masih boleh diperdebatkan, namun dari suatu sudut ada kebenarannya. Dalam suatu budaya di mana elemen ketaatan sudah dibasuhotakkan dan diterapkan sejak kecil lagi, tidak mustahil hatta dalam situasi yang mendesak sebegitu rupa, mereka tidak mampu berbuat apa-apa melainkan patuh dan tunduk pada arahan. Meski arahan yang akhirnya membuatkan mereka sendiri terkorban.

Ketaatan yang akhirnya membawa padah. 

Tragedi feri Sewol akan terus dikenang sebagai antara sebuah tragedi kesilapan manusia yang terburuk dalam sejarah. [Kredit]

Betulkan kolar. Duduk tegak. Ok anda yang di bawah umur bolehlah pergi bermain polis sentri. Kerana penulisan selepas ini mungkin tidak sesuai dengan anda. Wahai!

Dalam beramal jamai'e, elemen ketaatan merupakan suatu perkara yang tidak dapat dinafikan kepentingannya. Tanpa ketaatan, sesuatu jemaah akan goyah dan akhirnya hancur, kerana ahli-ahlinya yang masing-masing mahu membawa kepala sendiri. Jemaah yang tidak tersusun adalah jemaah yang tidak munzim dan pastinya sukar sekali untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan oleh jemaah tersebut. 

Maka tidak hairanlah, Almarhum Imam al-Banna meletakkan taat sebagai salah satu rukun dalam rukun bai'ah; rukun yang keenam selepas faham, ikhlas, amal, jihad dan pengorbanan. Kerana pentingnya untuk para jundullah taat kepada arahan qiyadah (kepimpinan) bagi memastikan pergerakan para jemaah Islam dapat disusun dengan baik dan berkesan.

Sebagaimana kata-kata Saidina 'Ali r.a.:

"Kebatilan yang tersusun akan mengalahkan al-haq yang tidak terancang."

Namun malangnya, ada pihak-pihak yang sering menyalahgunakan elemen ketaatan ini. Ketaatan dijadikan senjata untuk menundukkan orang bawahan. Ketaatan dijadikan cemeti untuk menghukum sesiapa sahaja yang mungkin berlainan fikiran dengan kepimpinan. Ketaatan dibuat pasung untuk mengikat para jundiy yang dilihat melawan arus dan tidak mahu mengikut arahan. 

Walhal ketaatan itu tidak boleh dipaksa-paksa. Ketaatan itu lahir dari rasa tsiqah dan hormat pada kepimpinan. Malah ketaatan itu lahir dari hati yang ikhlas, rasa kasih dan sayang seorang tentera dalam barisan kepada jeneralnya yang mengeluarkan arahan.

Taat dengan sukarela, bukan paksarela!

Tarbiyah tidak sepatutnya melahirkan para tentera yang dungu, yang hanya mengikut-ngikut tanpa menggunakan kebijaksanaan sendiri untuk berfikir. Tarbiyah itu sifatnya mengembangkan potensi dan bukannya membantutkan diri. Tarbiyah yang melahirkan para jundiyy pak turut dan 'Ya Tuan!' adalah tarbiyah yang gagal dan jumud.

Mungkin sebab itulah, taat diletakkan selepas faham, ikhlas, amal, jihad dan pengorbanan. 

Perlu faham dahulu peranannya sebagai 'abid dan khalifah di muka bumi. 

Perlu ikhlaskan diri, segala sesuatu hanya untukNya. 

Perlu beramal yang akan melahirkan pengalaman.

Perlu berjihad, bersungguh-sungguh dalam berjuang.

Dan perlu berkorban, agar dari pengorbanan itu akan lahirlah kelazatan iman.

Nah, selepas itu baharulah seorang jundiyy itu diminta untuk taat. Kerana selepas semua itu, baharu bermakna erti sebuah ketaatan itu. Baharu benar ketaatan yang diberikan.

Bukan ketaatan yang sebarangan. Bukan ketaatan yang semberono. Tapi ketaatan yang lahir dari aset pengalaman dan kebijaksanaan. 

Perlu juga disebut di sini, Risalah Taalim yang ditulis oleh Imam al-Banna itu (rukun bai'ah yang sepuluh terkandung di dalamnya) ditujukan khas buat ikhwan mujahid, yakni mereka yang sudah benar-benar terbukti jihadnya untuk Islam. Maknanya, sebelum mahu berbai'ah dengan jemaah Islam, mesti ada ciri-ciri dan kriteria tertentu yang perlu dahulu dipenuhi. Agar mereka yang sudah menyatakan kerelaan dan kesanggupan untuk bersama dengan jemaah perjuangan Islam terdiri dalam kalangan mereka yang benar-benar layak dan berkualiti!

Kerana itu juga, dalam fiqh dakwah, amal jamai'e itu hanya datang selepas aqidah yang mantap dibumikan dan dakwah yang kencang dilaksanakan! Kerana fungsi amal jamai'e itu sendiri adalah agar usaha-usaha kita untuk mendekatkan diri kepada Allah itu jadi lebih mudah dan berkesan. 

Mungkin akan ada yang mengkuot ayat 59 surah an-Nisa' yang femes itu untuk menjustifikasikan ketaatan tanpa sempadan kepada pihak pemerintah/pimpinan.

 "Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan Rasul dan ulil amri (pemegang kekuasaan) di antara kamu."
[an-Nisa', 4:59]

Benar ia adalah firman Allah. Benar ia adalah perintah agung dan suci. Namun jangan lupa, sebelum ayat 59 itu ada ayat 58:


"Sungguh, Allah menyuruhmu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaknya kamu menetapkannya dengan adil."
[an-Nisa', 4:58]

Arakian sebelum ketaatan itu boleh dituntut, terlebih dahulu hak-hak yang sepatutnya mesti dipenuhi. Sebelum mahu para jundiyy taat kepada pimpinan, ada amanah yang perlu dipenuhi. Dan ia mesti dipenuhi dengan adil dan saksama. Wahai!

Baharulah sinergi antara jundiyyah dan qiyadah akan berlaku dengan penuh bergaya. Si jundiyy memandang sang qaid (pemimpin) dengan penuh rasa hormat dan kasih. Dan si qaid pula melihat sang jundiyy dengan penuh harapan mata bersinar-sinar berkaca-kaca agar dapat menggantikan saf-saf jemaah pada suatu hari nanti.

Sebuah jemaah itu juga boleh diibaratkan seperti feri atau kapal yang berlayar di lautan. Ada nakhodanya. Ada anak-anak kapalnya. Ana peonnya. Dan ada para penumpangnya. Benar, si nakhoda dan anak-anak kapalnya lebih arif akan fungsi kapal, lebih berpengalaman akan keadaan laut dan lebih pakar dalam mengemudikan perjalanan. Sayugia bagi memastikan perjalanan berjalan dengan lancar dan mudah dan keselamatan seluruh isi kapal terjamin, adalah menjadi tanggungjawab ahli-ahli kapal dan para penumpang yang lainnya taat dan patuh pada arahan mereka ini. 

Namun para penumpang perlu bijak untuk membezakan, arahan mana yang dikeluarkan untuk kepentingan bersama atau kepentingan diri. Sama ada arahan yang diberikan mengarut atau patut. Dapat membedakan arahan yang baik dan buruk.

Ini.. Ini.. Dalam. Sumpah dalam! [Kredit]

Kerana ketaatan itu pertama-tamanya pada Allah yang Maha Agung, keduanya pada ar-Rasul yang maksum dan baharulah kepada manusia yang layak menerima ketaatan itu; manusia yang tidak mungkin sempurna buat selamanya! Berpada-padalah dalam ketaatan, jangan sampai ketaatan yang kita berikan itu membawa lebih banyak mafsadah dan mudharat, daripada maslahah dan manfaat.

Jika tidak, andai kapal yang dinaiki mahu karam, maka kita juga akan ikut tenggelam! 

-gabbana-  

25 April 2014

Agama Ini Bukan Untuk Orang Baik-Baik Sahaja

[Kredit]

Sejak belog ini mula dihasilkan sekitar tahun 2008, telah banyak perubahan dan trasnformasi yang berlaku. Alhamdulillah, perubahan terbesar yang telah menimpa belog ini adalah halatuju dan tema penulisannya. Kini ia jauh lebih kool dan bergaya.

Buat-buat batuk. Pandang kiri, pandang kanan.

Err maksud saya, kini penulisannya tidak boleh lari daripada berbicara tentang isu-isu tarbiyah dan dakwah. Saya cuba dengan sebaiknya untuk mengaitkan setiap penulisan saya dengan Islam, kerana sememangnya ad-deen inilah yang sewajarnya mencorakkan kehidupan kita sehari-hari.

Alhamdulillah, segala puji-pujian selayaknya untuk Allah semata kerana telah mengurniakan saya dengan nikmat yang meluhur dan membersihkan ini.

Namun ada satu kegusaran dan kerisauan yang tidak dapat saya hilangkan sejak dahulu; siapa dan jenis apa orang yang membaca belog saya ini.

Oh sila jangan salah faham dan berburuk sangka. Ijinkan saya untuk menjelaskannya terlebih dahulu.

Saya tahu dan yakin, ramai ikhwah dan akhawat di luar sana yang membaca belog ini. Err bukan mahu bajet dan perasaan, namun taburan pembaca belog ini bersesuaianlah dengan tema dan pembawaannya. Saya juga tahu, ramai juga yang di luar bulatan pengaruh (Baca: Circle of influence) ikhwah dan akhawat yang membaca belog ini, termasuklah rakan sekerja Puan Mama. Aduhai.

Alhamdulillah, sekali lagi, segala puji-pujian hanya berhak untukNya dan untukNya sahaja.

Namun kebanyakan daripada mereka ini adalah dalam kalangan mereka yang sudah baik. Maksud saya, jenis yang memang sukakan kebaikan dan sentiasa mencari-cari peluang untuk berbuat baik. Arakian sudah tentu belog ini kena dengan selera dan minat mereka, biidznillah.

Nah, inilah kerisauan saya. Bagaimana dengan golongan 'nakal' dan err, tidak berapa baik di luar sana? Adakah mereka membaca belog saya ini? Adakah mesej-mesej tarbiyah dan dakwah yang ingin saya kongsikan sampai kepada mereka ini?

Kemungkinan besar tidak. Kerana mereka tidak pernah mendengar dan tidak peduli pon tentang belog ini, apatah lagi membacanya.

Dan boleh jadi, mereka langsung tidak berminat untuk membaca tulisan-tulisan saya adalah kerana mereka tidak percaya kepada apa yang ingin saya sampaikan. Gelombang pemikiran dan cara fikir mereka jauh berbeda sekali dengan mesej-mesej yang ingin saya sampaikan kepada umat manusia.

Nanti dahulu. Sabar dahulu. Saya tidak menghukum sesiapa. Saya tidak menyalahkan sesiapa.

Analoginya begini. Pernahkah anda terfikir, sangat pelik bukan jika seorang pendakwah Islam yang ingin menyampaikan Islam kepada mereka yang belum lagi Islam (sama ada menganuti agama yang berbeza atau langsung tidak percaya kepada agama) menggunakan dalil-dalil dan hujah daripada al-Quran dan hadith? Kerana dalam tempat pertama, mereka tidak percaya dan yakin dengan Islam pon!

Kurang lebih begitulah.

Saya sangat khuatir saya terjebak dalam sindrom dai'e yang syok sendiri. Berdakwah pada mereka yang sudah baik dan soleh pon. Hanya tinggal menunjukkan tariq amal dan fiqh dakwah di samping menaikkan hamasah. Kemudian rasa a sense of accomplishment, seolah-olahnya saya telah berbuat sesuatu yang cukup besar dan bermakna. Lantas mengambil selfie dengan muka penuh kebanggaan dan keterujaan. Ok sila abaikan itu.

Walhal umat di luar sana sedang sakit tenat. Jumlah anak remaja yang berzina semakin bertambah setiap hari. Jumlah mereka yang murtad tidak berkurang. Rasuah dalam kalangan umat Islam sudah tidak dapat dibendung lagi. Kecurangan dan kemungkaran berlaku di mana-mana. Jahiliyyah dan taghut bermaharajalela.

Dan apa yang telah kita lakukan?

Sibok bertelagah tentang kalimah Allah. Rancak bergaduh sama ada boleh ucap RIP atau tidak pada Karpal Singh mati. Asyik memwahabikan orang ini dan mensalafikan orang itu. Berjela-jela forum berbincang tentang kaedah berwudhu' yang paling tepat dan cara angkat takbir yang paling dekat dengan sunnah Nabi SAW.

Kita lupa, agama ini bukan untuk orang yang baik-baik sahaja. Tetapi agama ini juga untuk orang yang kurang dan tidak baik. Agama ini untuk kedua-dua orang miskin dan kaya. Agama ini sesuai baik untuk yang tua atau yang muda. Agama ini untuk semua; tiada siapa yang dikecualikan daripada faedah dan manfaatnya.

Malangnya sikap kita yang terlalu jumud dan sempit dalam melihat agama ini, menjadikan semakin ramai orang yang lari menjauhinya. Sikap kita yang terburu-buru menghukum dan melabel mereka yang kononnya tidak sepandai dan sefaham kita ini menjadikan mereka fobia dan trauma dengan golongan agama. Akhlak kita yang telah tersasar jauh daripada akhlak seorang dai'e ilallah yang sebenar, telah membawa fitnah besar kepada agama kita yang terchenta ini.

Potong bawang seguni.

Saya amat terkesan dengan tulisan Syaikh Yasir Qadhi tentang isu salafi baru-baru ini. Meski teguran dan kritikannya khusus untuk mereka yang ekstrem dalam salafi, namun saya kira, ia masih boleh digunapakai dalam konteks para dua't pada hari ini. Katanya:

"The challenges facing the Ummah are no longer about the misinterpretation of Allāh's Names and Attributes or the validity of celebrating the mawlid. No doubt, some people, at some level, do need to discuss the reality of the mawlid, and the Attributes of Allāh and other aspects of faith. But these are not the problems of our time, nor do they present major challenges to the faith of our young men and women."

(Terjemahan: Cabaran yang dihadapi ummah di masa kini bulan lagi berkaitan dengan salah faham tentang kalimah Allah atau keabsahan menyambut Maulid. Tidak dinafikan, ada segelintir pihak, pada tahap tertentu, perlu berbincang tentang realiti Maulid, sifat-sifat Allah dan lain-lain aspek dalam agama. Namun hal ini bukanlah masalah-masalah di masa kini, dan bukan juga cabaran utama kepada keimanan anak-anak muda kita.)

Katanya lagi: 

"But the vast majority of our youth couldn't care less about such abstract non-tangible theoretical discussions. They are struggling to retain faith in their religion, problematizing Darwinism and secularism and post-modernism and humanism and liberalism and a thousand other 'isms', while Salafīs (and Deobandis, and Ashʿarīs, and Sufīs) still debate in their circles matters that only concern the 0.1 %." 

(Terjemahan: Namun sebahagian besar daripada anak-anak muda kita tidak peduli tentang perbincangan teori yang abstrak dan tidak mengesankan ini. Mereka bertarung untuk mengekalkan kepercayaan mereka dalam agama ini, terpaksa berhadapan dengan Darwinisme dan sekularisme dan pasca-modernisme dan humanisme dan liberalisme dan entah pelbagai lagi 'isme-isme' yang lainnya, sedangkan golongan Salafi (dan Deobandi dan Ashaari dan Sufi) masih berdebat dalam kalangan mereka tentang perkara-perkara yang hanya melibatkan 0.1% (daripada masalah umat yang ada).)

(Tulisan penuh Syaikh Yasir Qadhi boleh dibaca di sini.)

Aduh! Terasa macam kena lempang berapi!

Bakaaarr! Bakaarr sampai hanguussss! [Kredit]

Fenomena MukaBuku, Pengicau, Instagram dan segala tok nenek aplikasi alam maya yang seangkatan dengannya, telah menjadikan apa yang sedia ada bertambah buruk. Berkicau status agama itu sudah dikira sebagai suatu pencapaian dakwah yang besar. Mendapatkan dalil dari Syaikh Wiki dan Ostad Gugel itu sudah dilihat sebagai usaha gigih menuntut ilmu. Berbahas dan berdiskusi di MukaBuku itu sudah diiktiraf sebagai suatu pertemuan intelek yang menyegarkan dan menghidupkan.

Alahai.

Walhal manusia itu fitrahnya memerlukan sentuhan; sentuhan rabbani pada hati-hati yang dahagakan perhatian. Sentuhan al-haq pada jiwa-jiwa yang mendambakan kebenaran. Sentuhan kasih-sayang pada sukma yang sudah kontang kekeringan. 

Tidak cukup dengar sekadar memberitahu di MukaBuku. Tidak cukup dengan setakat poke dan like. Tidak cukup dengan membuat vlog atau video-video kesedaran TiubAnda. Tidak cukup dengan hanya menulis di belog-belog marhaen seperti APG ini. Adeh. 

Bukan, bukan untuk merendah-rendahkan amal sesiapa. Bukan mahu mendhaifkan mana-mana sumbangan atau kerja-kerja kebajikan. Bukan.

Tapi saya merasakan, manusia seperti saya ini, bisa sahaja melakukan lebih lagi. Terlebih mampu untuk keluar ke luar sana dan menyentuh lebih ramai hati-hati dan jiwa-jiwa yang memerlukannya. Punya cukup kekuatan dan kemampuan untuk menyantuni bukan sahaja manusia-manusia yang sejak dalam kandungan sudah pandai membaca Quran dan menghafal hadith, tapi juga mereka yang sering dipinggirkan oleh golongan agamawan ini.

Pendek kata, saya belum benar-benar beramal dan bekerja.

"Katakanlah, 'Apakah perlu Kami beritahukan kepada kepadamu tentang orang yang paling rugi perbuatannya? (Iaitu) orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia, sedangkan mereka mengira telah berbuat sebaik-baiknya."
[al-Kahfi, 18:103-104]

Nanges laju-laju.  

Saya begitu terkesan apabila seorang al-akh berkongsi, bagaimana begitu sukar mahu menyantuni seorang mad'unya yang pernah beberapa kali terjebak dengan zina. Dia tidak bisa menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk mendekatinya; sebaliknya dia terpaksa menggunakan hujah-hujah logik dan akal. Sangat berbeza keadaannya dengan menDF dan mendekati hadek-hadek comel berlari riang bersama-sama arnab gemok di tengah-tengah rimbunan bunga tulip dan dafodil. Eh. 

Sukar. Menggaru kepala. Dan mengalirkan peluh besar.

Namun kalau bukan kita yang mahu menyentuh hati-hati mereka ini, siapa lagi? Jika bukan kita yang mahu membimbing dan menuntun tangan mereka, menyelamatkan mereka dari jurang api neraka, siapa lagi? Kalau bukan kita yang mahu mendidik jiwa-jiwa mereka menjadi hamba, bebas daripada belenggu syaitonirojim yang mencengkam, siapa lagi? 

Kitalah yang sepatutnya berkongsikan poin-poin menarik ceramah Ostad Azhar Idrus dengan mereka.

Kitalah yang sepatutnya duduk-duduk dan mendengar segala luahan isi hati mereka.

Kita yang sepatutnya mengajak mereka ini ke masjid dan majlis-majlis ilmu yang ada.

Kitalah yang sepatutnya menDF mereka ini dengan penuh sabar, tekun dan istiqamah, sehingga mereka mahu berbulatan gembira.

Dan kitalah yang sepatutnya berkongsikan pautan-pautan artikel Angel Pakai Gucci dengan mereka ini dan membelikan mereka barang senaskah dua buku 'Ikhwah Pakai Jeans: Kerana Akhirnya Ikhwah Itu Seorang Lelaki' untuk mereka.

Ehemmm. Batuk berdarah. 

Kerana jika bukan kita, siapa lagi?

Cukuplah. Cukuplah kita larut dalam keasyikan kita berqasidah dan berzikrullah sehingga kita lupa pada kesakitan umat di luar sana.

Sudahlah. Sudahlah kita dengan ukhuwwah fillah abadan abadaa bercipiki cipika sehingga kita lalai pada maksiat yang raksasa di luar sana.

Dan hentikanlah. Hentikanlah keterujaan dan keseronokan kita mahu membina al-Baitul Muslim sehingga kita langsung terleka memikirkan dan bekerja untuk masalah-masalah lain yang lebih utama. 

Ketahuilah, agama ini untuk semua. Bukan hanya untuk kita yang konon-kononnya baik ini.

Jangan sampai kita dipersoalkan di akhirat nanti, mengeksklusifkan agama ini sehingga ramai manusia di luar sana yang teraniaya. 

Moga Allah ampunkan dosa-dosa kita semua.

-gabbana- 

Seperti biasa, sentapan seratus lapan puluh lapan darjah untuk diri saya dahulu sebelum menyentap anda semua. Adeh.

Doakan urusan saya membuat pemeriksaan akhir untuk buku 'Ikhwah Pakai Jeans' berjalan lancar dan dipermudahkanNya, biidznillah.

Moga Allah redha. 

21 April 2014

Budak Usrah Bukan Malaikat

[Kredit]

"Kata je ikut usrah, tapi subuh tahap tenuk Sumatera. Solat jemaah entah ke mana. Baik takyah ikut usrah camtu."

"Eh mamat tu bukan budak usrah? Tapi apsal perangai macam... Haram..? Tak boleh harap..? Ceh."
 
"Entahlah akhi. Ana risau la dengan budak-budak tu. Dah ikut usrah, tarbiyah semua. Tapi jahiliyyah masih berkarat. Kapel la, game la, apa la... Buat fitnah je kat dakwah. Haihhh."

Tekaan saya, anda yang sudah bersama gerabak tarbiyah dan dakwah ini, pasti pernah mendengar dialog-dialog seperti di atas, sekurang-kurangnya sekali dalam hidup anda. Sama ada dari kenalan yang tidak ikut berbulatan gembira atau dari ikhwah akhawat sendiri.

Bukan?

Daripada satu perspesktif, ada benarnya dakwaan-dakwaan ini. Kita yang sudah mengambil keputusan untuk bersama-sama menceburkan diri dalam konspirasi tarbiyah ini, punya amanah dan tanggungjawab untuk menjadi qudwah kepada manusia-manusia di sekeliling kita. Kita akan sentiasa diperhatikan dan dinilai oleh mereka ini, apatah lagi apabila mereka mula melihat adanya perubahan-perubahan pada diri kita.

Kita yang dahulunya jarang sekali solat berjemaah, kini lebih rajin menapak ke masjid. Kita yang dahulunya aliif baa taa pon merangkak-rangkak, kini bolehlah jadi imam solat dengan tarannum ala Syaikh Shuraim. Dan kita yang dahulunya seorang yang amat pemarah dan cepat melenting, kini lebih penyabar orangnya dan kadangkala menyisipkan sekuntum bunga mawar merah di telinga. Eh.

Maka suka atau tidak, kita perlu berhadapan dengan jangkaan atau sangkaan orang ramai yang seharian bergaul dengan kita. Mereka mengjangkakan yang kita akan baik sentiasa. Mata-mata mereka akan sentiasa memerhatikan kita, mengharapkan tidak kurang yang terbaik daripada kita.

Tarik nafas. 

Namun saya suka melihatnya dari perspektif yang sedikit berbeza. Begini.

Kebanyakan daripada komen-komen atau keluhan yang pernah saya dengari tentang ikhwah yang tidak menunjukkan qudwah yang terbaik ini adalah merujuk kepada mereka yang masih setahun jagung dalam tarbiyah. Masih hingusan dan merangkak-rangkak lagi mahu mengenali dakwah. Tak sampai setahun ikut usrah! 

Justeru, hukuman-hukuman yang dikenakan ke atas mereka berbentuk penilaian dan kritikan-kritikan pedas dan tajam, saya kira tidak adil dan kejam. Yalah, baru mahu berubah, tetapi sudah diserang dengan kata-kata yang meludah. Baru mahu mengenali erti hijrah, sudah ditampar dan dilempang dengan tangan-tangan yang serakah.

Aduhai. 

Walhal jika diperhatikan dengan teliti, sedikit penghargaan wajar diberikan kepada mereka ini atas perubahan dan hijrah yang mereka lakukan. Daripada seorang perokok tegar, kini sudah berjaya meninggalkan tabiat itu. Dari seorang berambut bebas (Baca: Free hair) kini sudah mahu mengenakan tudung dan hijab. Dari seorang yang tidak pernah mendirikan solat, kini sudah rajin membentang sejadah meski kadangkala seorang diri atau di hujung waktu.

Ah perubahan itu sedikit demi sedikit kan? Bertahap dan berdikit-dikit kan?

Bukan mudah tahu, mahu meninggalkan tabiat-tabiat lama yang sudah sebati dan mengkar di dalam jiwa? Bukan senang tahu, mahu mengikis habis dan membuang licin karat-karat jahiliyyah yang sudah melekat di hati? Dan bukan senang tahu, mahu bermujahadah, agar tidak kembali jatuh ke dalam lembah maksiat dan jurang hitam yang lama? 

Berikan mereka ini sedikit ruang. Nilai mereka dengan saksama. Bantu dan bimbing mereka untuk istiqamah di atas jalan perubahan ini.

Bukan kondem. Bukan caci. Bukan kutuk.

"Eh kau dah ikut usrah tapi masih tak tahu nak bezakan antara mad arid li sukun dengan mad iwad? Biar betul!"

"Omakhang! Bukan hang ni dah ikut tarbiyah ka? Tapi awat hang borak dengan pompuan macam nak buat marka? Awat lagu tu?

"Laaaah buat apa sibok berbulatan gembira dan berkonferens riang bagai kalau tak nak amalkan sunnah Nabi? Ini wahhabi! Eh."

Aduh.

Bukanlah niat untuk mempertahankan sebarang perbuatan jahiliyyah atau perangai yang tidak senonoh mereka ini. Apatah lagi mahu memberi lampu hijau kepada sebarang perbuatan-perbuatan yang jelas menyalahi akhlak seorang dai'e.

Saya cuma mahu berlaku adil. Dan memberi ruang kepada mereka ini untuk bernafas, agar tidaklah tercekik dengan jangkaan dan sangkaan orang ramai yang kadangkala benar-benar menyesakkan.

Benar tidak ada percampuran antara al-haq dan batil. Sungguh tidak mungkin dalam menjadi seorang mu'min yang sejati itu, hatinya boleh dilumuri dengan lumpur maksiat. Dan tiada keraguan lagi kita mesti berjihad melawan nafsu dan bisikan-bisikan jahat dengan sepenuh jiwa dan raga kita.

Itu pasti. Tiada kompromi.

Namun proses perubahan itu ada tahapannya. Jalan perubahan itu panjang, maka ada liku-likunya. Jalan menuju keredhaanNya itu bukanlah lebuh raya yang lurus terus, tanpa ada halangan-halangannya.

Nabi SAW sendiri mengambil masa hampir tiga belas tahun untuk mentarbiyah para sahabat sebelum benar-benar dapat menyuburkan jiwa-jiwa mereka dengan iman yang benar. Tiga belas tahun bukanlah tempoh yang sebentar. Dalam masa tiga belas tahun, seorang anak yang tidak tahu berjalan dan mengenal apa-apa, sudah baligh dan membezakan apa yang baik dan apa yang buruk.

Selama itulah tempoh yang diambil baginda SAW untuk menyentuh jiwa, melebur ego dan membentuk fikrah para sahabat sehinggalah mereka ini taat dan patuh sepenuhnya kepada Allah dan ar-RasulNya. Hanya setelah itu, apabila ayat pengharaman total arak diturunkan, para sahabat benar-benar dapat beriman dengannya. Hanya setelah itu, apabila kewajipan menutup rambut dan kepala diperintahkan bagi kaum perempuan, mereka tanpa ragu dan soal lagi terus melaksanakannya. 

Percayalah, mereka yang mengikuti tarbiyah, apabila mereka istiqamah dan tsabat dengannya, mereka akan menjadi seorang manusia yang benar-benar hebat. Hanya apabila mereka dibimbing dengan taqwa dan diasuh dengan penuh amanah dan timbang rasa, gergasi di dalam mereka akan berjaya dikejutkan. Apabila mereka ini diberi ruang dan peluang yang sebaiknya, mereka bukan sahaja akan mengubah dunia, malah menggegarkannya dengan gempa revolusi yang tiada tandingannya. 

"Manusia itu ibarat logam. Mereka yang terbaik semasa jahiliyyah, terbaik juga semasa Islam."

[Hadith riwayat Muslim]

Arakian hentikan kutukan dan cacian yang merosakkan. Sudah-sudahlah dengan kecaman dan kritikan yang membawahkan. Cukup-cukuplah dengan umpatan dan kejian yang membunuh dan menghiris jiwa dan perasaan.

Tegurlah dengan kasih-sayang. Bimbinglah dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Tunjukkanlah jalan yang lurus.

Jangan lupa suatu ketika dahulu kita juga pernah berada di dalam kasut yang sama. 

Suatu ketika kita juga gemar memakai jeans yang koyak-rabak menampakkan lutut kita yang buruk itu.

Suatu ketika kita juga suka memakai skirt pendek ke disko dan parti-parti liar bersama boipren yang kerap bertukar tangan.

Suatu ketika sejadah dan Quran itu juga amat asing buat kita.

Suatu ketika pergaulan lelaki dan perempuan itu bagi kita ibarat menggaulkan nasi dengan kicap manis cap kipas udang. 

Suatu ketika kita juga tidak pernah kenal siapa itu Syaikh Yusuf al-Qardhawi atau Syaikh Saad al-Ghamidi.  

Akhirnya kita ditampar makcik Hidayah dan mula mahu berubah. Kita dibelasah pakcik Taufiq dan sudah mula mahu berhijrah.

Dan kita tahu betapa peritnya erti istiqamah di atas jalan perubahan. Kita tahu betapa sukarnya mujahadah itu kerana ia memerlukan pengorbanan. Dan kita juga tahu betapa payahnya mahu berjumpa dengan insan-insan yang ikhlas mahu menghulurkan tangan.

Ingat itu.

Dan andai kita tidak termasuk dalam kalangan mereka yang punya sejarah gelap, lahir-lahir dahulu sudah pandai membaca Quran dan mentasmik hadith, punya keluarga yang amat menitikberatkan pendidikan agama, kita tetap tidak punya hak untuk menghukum secara semberono dan menilai dengan penuh ego. 

Ingat itu.

Kerana budah usrah bukan malaikat. Dan anda juga bukan malaikat.

-gabbana-

Tapi kalau sudah tiga empat tahun bersama tarbiyah, perangai masih lagi seperti raksasa gorgon, rasanya wajib dipiat telinga atau dicubit perut anda yang gebu itu.

"Adoiii sakitlaaah Inche gabbanaaaaaaa!"

Padan muka. Wahai! 

14 April 2014

Surat Terbuka Untuk Ostad Don

[Kredit]

Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Salaam a'laikum warah matullahi wabarakatuh. 

Ke hadapan Ostad Don Daniyal yang dihormati, moga anda dan keluarga berada di bawah lembayung kasih sayang dan rahmatNya, InshaAllah. 

Wahai Ostad,
Baru-baru ini seantero Tanah Melayu gempar dengan dua dakwaan anda:

  1. Bani Tamim itu merujuk kepada Tanah Melayu
  2. Fatwa Syaikh Ali Jumaah tentang halalnya darah ikhwan itu benar

Saya tidak mahu mengulas panjang perkara nombor satu itu, memandangkan sudah ramai cerdik pandai dan tokoh-tokoh agama menegur dan mengkritik anda untuk itu. InshaAllah saya yakin ostad dapat menerima teguran-teguran yang dilontarkan dengan baik dan berlapang dada. Cuma saya masih ternanti-nanti sekiranya ada video atau rakaman suara anda yang meminta maaf dan menarik balik kenyataan itu. Sekiranya ada, bolehlah sesiapa letak pautannya pada ruangan komen post ini.

Wahai Ostad,
Tujuan surat ini ditulis adalah untuk bertabayyun dengan anda, sepertimana yang diseru oleh anda sendiri. Secara spesifiknya tentang dakwaan anda yang nombor dua itu. 

(Untuk rekod, saya sudah menonton video berdurasi empat belas minit tentang kenyataan anda menyokong fatwa Syaikh Ali Jumaah dan bagaimana anda amat tsiqah padanya. Saya juga sudah menonton video balas anda yang berdurasi tujuh belas minit itu, yang mahu menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku. Saya amat tidak bersetuju dengan kenyataan anda dalam video yang pertama itu. Dan saya sedikit kechiwa dengan video anda yang kedua itu, kerana anda sebenarnya tidak menjelaskan/menjawab apa-apa pon tentang tuduhan anda bahawa ramai ikhwan yang wahhabi/salafi dan ada ura-ura ikhwan mahu menutup Universiti al-Azha, juga dakwaan-dakwaan anda yang lain.

Saya belum lagi berkesempatan untuk menonton video penuh yang berdurasi satu jam setengah itu. Jujur, sukar untuk saya mencari masa selama itu untuk duduk diam dan menonton anda bercakap untuk satu tempoh yang cukup panjang. Tapi akan saya usahakan juga, inshaAllah.)*

*Dikemaskini

Oleh sebab itu, saya mohon maaf awal-awal, andai ada perkara-perkara yang disebutkan di sini tidak tepat dan tersasar daripada apa yang anda maksudkan. Untuk mengelakkan kontroversi dan daripada berlaku tidak adil kepada anda, apa yang akan saya tuliskan akan bersifat lebih umum dan meluas. Harapnya begitulah.

Wahai Ostad,
Sebelum itu, ingin saya jelaskan di sini, betapa saya amat menghormati anda. Anda merupaka figur agama yang amat diminati masyarakat. Anda sentiasa menjadi rujukan dan ikutan masyarakat dek besarnya pengaruh anda dalam kalangan mereka.

Malah saya sendiri pernah mendengar ceramah anda secara langsung suatu ketika dahulu. Jujur, saya amat terhibur dan kagum dengan perkongsian yang anda berikan. Apatah lagi anda berceramah ketika itu dengan memakai kot sepasang, lengkap dengan cermin mata hitam. Fuh. Anda adalah manifestasi bahawa untuk menjadi seorang ostad, tidak semestinya perlu sentiasa memakai serban dan jubah. Dengan pendekatan anda ini, anda telah berjaya menarik minat ramai anak muda untuk lebih dekat dan selesa dengan agama. Bukan anak-anak muda sahaja, malah makcik-makcik juga. Eh.

Oleh sebab itu, topi saya untuk anda. Bukan semua tokoh agama berjaya mencapai status dan kejayaan seperti yang anda kecapi sekarang. 

Wahai Ostad,
Namun kebenaran tetap kebenaran. Meski pahit, saya wajib menegakkannya. Saya menulis ini dengan penuh sedar bahawa saya mengambil risiko yang besar untuk ditempelak dan dikritik habis-habisan oleh para peminat anda. Saya sanggup mengambil risiko itu.

Mungkin sudah banyak teguran dan kritikan yang ostad terima tentang isu ini. Saya tidaklah berniat untuk menambahkan lagi beban dan keserabutan pada anda. Namun saya merasakan, perlu untuk saya menyuarakan pendapat dan pandangan saya selaku wakil kepada ramai anak muda yang tidak bersetuju dengan kenyataan anda itu. Ok perasan la pulak bila masa kau orang lantik saya jadi wakil kan. Eheh. 

Saya bukanlah apa-apa. Bukan juga siapa-siapa jika hendak dibandingkan dengan anda. Saya hanyalah seorang insan yang masih lagi hingusan dan bertatih untuk menjadi seorang hamba yang diredhaiNya. Saya tiada sijil agama dari mana institusi pengajian. Juga tidak pernah mendapat tauliah untuk memberikan ceramah agama.

Yang saya ada hanyalah ilmu-ilmu yang saya perolehi dari bulatan gembira dan konferens riang yang saya hadiri. Juga kadang-kadang tu adalah bertalaqqi ilmu dengan seorang dua ostad yang saya kenali. Dan sudah tentu, banyak juga ilmu dan pengetahuan yang saya perolehi daripada bacaan-bacaan yang saya lakukan. Selain itu, saya bukanlah seorang tokoh agama pada pandangan mata masyarakat.

Namun itu tidak bermakna saya tidak berhak untuk menyuarakan rasa hati dan pendapat saya. Apatah lagi dakwaan dan tuduhan anda itu amat berat dan dekat dengan diri saya.

Wahai Ostad,
Dengan bersetuju malah menyokong fatwa yang dikeluarkan oleh Syaikh Ali Jumaah yang menghalalkan darah ikhwan dan sesiapa sahaja yang menentang kerajaan di Mesir, anda telah membuat suatu kesilapan yang besar. Sebagai seorang figur yang berpengaruh dalam masyarakat, anda telah memberi isyarat bahawa darah seorang Muslim itu halal apabila dia menentang kerajaan yang memerintah.

Entahlah, mungkin ada hadith-hadith atau ayat-ayat al-Quran yang membenarkan hal tersebut, tetapi jika mahu diikutkan dengan ilmu saya yang seciput ini, hasil daripada pembacaan yang saya tidak seberapa ini, darah seorang Muslim itu amat tinggi nilainya di sisi Allah, malah lebih bernilai lagi daripada Kaabah di Mekah itu! 

"...bahawa barangsiapa membunuh seseorang, bukan kerana orang itu membunuh orang lain, atau bukan kerana berbuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh semua manusia."
[al-Ma'idah, 5:32]

Sedangkan nyawa bukan Islam pon diangkat martabatnya oleh Islam, apakan lagi nyawa kita sesama Muslim.

"Ketika itu kami berada di tempat ibadah bukan Islam, lalu dilalukan di hadapan kami jenazah bukan Islam. Maka kami berdiri. Dikatakan kepada kami bahawa itu ialah mayat seorang majusi. Maka kami berkata kepadanya, “Sesungguhnya pernah dilalukan di hadapan Nabi SAW seorang jenazah bukan Islam, lalu Nabi SAW berdiri. Dikatakan kepada Nabi SAW bahawa itu adalah jenazah Yahudi, maka baginda berkata kepadanya, “Bukankah ianya juga adalah insan yang bernyawa."

[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim] 

Wahai Ostad,
Kalaupon benar ikhwan dan mereka yang menentang kerajaan itu adalah golongan bughah, takkanlah bunuh itu adalah satu-satunya solusi yang ada? Adakah darah dan nyawa saudara sesama Islam itu begitu rendah harganya, hanya kerana mahu menegakkan sebuah kerajaan yang zalim?

Dan jika benar Syaikh Ali Jumaah itu seorang ulama' yang adil dan mulia, mengapa dia tidak mengeluarkan fatwa yang sama ketika puak-puak tamarrud merancang makar-makar untuk menjatuhkan Presiden Mursi..?? 

Maaf, tapi saya langsung tidak boleh menerimanya apabila hujah anda untuk menyokong hujah Ali Jumaah adalah kerana dia pernah bermimpi bertemu Rasulullah SAW dan kononnya, baginda lah yang mengarahkan agar dilakukan pembantaian kejam dan zalim terhadap penyokong Mursi dan penentang kerajaan al-Sisi. 

Aduhai Ostadku.  

Agaknya sebab itulah, pengasas Ikhwanul Muslimin, Almarhum Imam Hassan al-Banna datang dengan Usul 20nya, di mana pada Usul 3, dinyatakan dengan jelas:

"Iman yang benar, ibadah yang sahih dan mujahadah mengandungi cahaya dan kemanisan yang diberikan Allah ke daalam hati hambaNya yang dikehendaki. Namun ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah dalil hukum syarak dan tidak diambil kira kecuali jika tidak bercanggah dengan hukum-hukum dan nas-nas agama."

Usul ini amatlah relevan kerana rupa-rupanya di zaman ini, memang wujud ramai golongan yang mendakwa bermimpi itu dan ini untuk menjustifikasikan tindakan atau rancangan mereka yang terang tang tang menyalahi syarak! Menggunakan hujah mimpi untuk kepentingan diri sendiri!

Lahawla wala quwwata illa billahil 'alliyil adzim.

Dr. Asri Zainul Abidin juga telah menjawab isu ini di dalam penulisannya. Anda bolehlah membacanya di sini

Tak cukup dengan Dr. Asri, Syaikh Yusuf al-Qardhawi juga pernah menempelak fatwa Ali Jumaah itu. Kritikan Syaikh Yusuf Qardhawi, seorang ulama' kontemporari ulung di era moden ini terhadap kecurangan Syaikh Ali Jumaah boleh dibaca di sini.

Wahai Ostad,
Berkaitan dengan isu salafi dan wahhabi ini, saya mahu bertanya kepada anda. Jika benar lah ahli ikhwan itu ramainya terdiri daripada golongan salafi dan wahhabi, mengapa di Mesir itu mereka tidak sertai sahaja parti Salafi an-Nur, yang sememangnya sudah terang lagi bersuluh merupakan jemaah dan perkumpulan golongan Salafi?  

Adakah mereka itu musuh dalam selimut, api dalam sekam, gunting dalam lipatan dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin? Sungguh, saya tidak dapat mengotakkan fakta itu.

Lucu sekali apabila difikirkan, selama ini geng-geng salafi sering menuduh ikhwan sebagai ahli bidaah. Di satu pihak pula, geng-geng tarikat sufi menuduh ikhwan sebagai salafi dan wahhabi. Yang untung siapa? Musuh-musuh Islam yang menyaksikan perbalahan sesama Muslim ini dengan penuh riang gembira dan keterujaan sambil makan popkon panas perisa karamel masin.

Saya hanya mampu menggeleng kepala.

Wahai Ostad,
Poinnya adalah, anda adalah seorang figur yang disegani oleh ramai orang dan sebahagian besar daripada masyarakat di Malaysia ini. Anda bertanggungjawab dengan apa yang anda katakan, apatah lagi apabila ia memberi pengaruh yang besar kepada sudut pandang dan perspektif mereka.

Dengan mengatakan ikhwan itu wahhabi, anda secara efektifnya juga telah melabel semua orang yang menyertai bulatan gembira (Baca: Usrah) itu juga wahhabi. Itu adalah satu tuduhan berat yang tidak boleh diterima akal. Dan disebabkan oleh anda yang cukup berpengaruh itu, tidak mustahil sekiranya ada orang yang akan lari dan menolak ajakan-ajakan untuk menyertai bulatan gembira kerana takut dilabel sebagai salafi dan wahhabi. Aduhai.

Oleh sebab itu saya katakan di awalan tadi, tuduhan/dakwaan anda itu amat berat dan sangat dekat dengan saya dan saya yakin, berat dan dekat juga dengan ramai lagi orang di luar sana. 

Anda menyeru agar asatizah dan ramai orang di luar sana untuk bertabayyun dengan anda. Bagaimana pula sikap anda dengan ikhwan? Apa mereka tidak layak untuk mendapat tabbayun daripada anda? Adakah anda sudah meneliti fakta-fakta yang ada, membuat kajian dengan terperincinya, sebelum membuat tuduhan yang semberono yang sebegitu rupa?

Wahai Ostad,
Izinkan saya menutup penulisan ini dengan sepotong hadith:

"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam."

[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]

Harapnya anda dapat menerima teguran ini dengan baik dan berlapang dada. Tidaklah ada niat lain saya menulis ini melainkan sebab rasa hormat dan kasih saya kepada anda fillah. 

Moga anda dapat merenungi kembali dakwaan dan kata-kata anda yang menimbulkan kontroversi itu. Dan sekiranya perlu, saya amat berharap anda dapat menarik kembali kenyataan anda itu dan membuat permohonan maaf kerana sungguh, anda telah mengguris banyak hati dan perasaan di luar sana. 

Dan sekiranya saya telah mengguris hati atau perasaan anda atau keluarga, saya memohon maaf sesungguhnya. Bukan untuk mencari populariti. Bukan juga untuk mendamba publisiti. Cuma saya tahu ramai yang tidak bersetuju dengan pendapat anda yang satu ini dan saya merasakan perlu untuk saya menyampaikannya.

Moga Allah ampunkan dosa-dosa saya, anda dan kita semua, biidznillah.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
Inche gabbana
Angel Pakai Gucci 

Nota kaki berkematu: Surat ini bukanlah ditujukan pada Ostad Don sangat pon. Jika dia baca, alhamdulillah. Jika tidak pon, alhamdulillah.

Nama pon surat terbuka. Mungkin ramai dalam kalangan kita yang kurang faham konsep surat terbuka. 

Penulisan ini lebih ditujukan kepada anda semua di luar sana, bagi meluruskan salah faham yang mungkin timbul sebagai kesan langsung daripada video Ostad Don itu. Sebab saya tahu, peminat Ostad Don sangat ramai. Maka sangat tidak adil sekiranya mereka hanya mendengar dari sebelah pihak sahaja. 

Video itu dibuat secara terbuka dan disebarkan kepada umum. Arakian surat ini juga bersifat terbuka dan sesiapa sahaja boleh membacanya. Tiada serangan peribadi terhadap Ostad Don dan tidak pula saya memburuk-burukkannya. Tidak timbul soal saya perlu menghantar surat ini secara peribadi kepadanya.

Allahu ta'ala a'lam. Saya terus meraikan dan menghargai sebarang kritikan dan teguran. Tegurlah saya, agar hati saya tidak mati.

Moga Allah redha. Kerana akhirnya, itulah saya yang kejar, itulah yang saya damba. 

Aman, tanpa perang. 

10 April 2014

Buah-Buah Chenta

[Kredit]

Antara perkara yang paling sukar dalam hendak menjadi baik dan osem pada pandangan mataNya adalah konsisten dengan kebaikan dan keosemnessan itu. Atau dengan bahasa yang lebih tarbawinya, istiqamah.

Ya, istiqamah.

Istiqamah membaca Quran setiap hari, meski ada banyak perkara-perkara lain yang lebih menyeronokkan diri.

Istiqamah memakai tudung labuh meski teringin juga bergaya mekap tebal seinci seperti wanita-wanita lainnya.

Istiqamah berbulatan gembira walau tersangatlah sibuk mengalahkan Perdana Menteri Sudah Selatan.

Istiqamah bangun malam bermunajat kepadaNya walau sudah hampir setiap hari mata lebam menjadi zombie.  

Istiqamah mengeluarkan infaq mingguan atau bulanan, meski poket kiri dan kanan sudah rabak minta simpati.

Ya, istiqamah untuk taat dan melaksanakan apa yang disukai Allah itu amat sukar. Dan berat.

Begitu berat sehinggakan dikisahkan bagaimana ar-Rasul SAW sendiri beruban apabila turun wahyu yang satu ini:

"Maka tetaplah engkau (di jalan yang benar), sepertimana yang telah diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sungguh, Dia Maha Melihat apa yang kau kerjakan."
[Huud, 11:112]

Fastaqim kamaa umirta. Tetaplah engkau. Istiqamahlah engkau.

Sekiranya kita faham betapa signifikan dan seriyesnya ayat ini, saya jamin kita semua akan turut beruban seperti baginda. Silap haribulan, botak licin terus! Wahai! 

Arakian tidak hairanlah, istiqamah ini adalah amalah yang paling dichentai Allah. Walau kecil istiqamahnya. Meski sedikit istiqamahnya.

"Amalan yang paling disukai Allah adalah amalan yang berterusan walaupon sedikit."

[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]

Lantas, bagaimana mahu istiqamah? Bagaimana mahu konsisten dan berterusan dalam beramal dan mendekatkan diri denganNya? Bagaimana mahu tidak berasa lelah dan payah melaksanakan segala arahanNya dan meninggalkan segala laranganNya..?   

Memikirkannya sahaja sudah bisa mengalirkan peluh besar. Waduh.

Jangan khuatir! Jawapannya sudah termaktub di dalam al-Quran. Allah sudah lama membekalkan kita dengan panduan dan bimbingan untuk beristiqamah menerusi ayat-ayat chentaNya.

Ayuh kita sama-sama tadabbur ayat lejen dari surah Ibrahim ini:

"Tidakkah kamu melihat memerhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik adalah seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit.

(Pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat."
[Ibrahim, 14:24-25]

Aik? Kenapa ayat ini pula Inche gabbana? Apa kena-mengena pokok dengan istiqamah? Garu kepala. 

Ha, itulah yang mahu saya kongsikan tu! 

Istiqamah itu berasal dari perkataan 'qama' yakni berdiri tegak dan lurus. Maka perumpamaan apakah yang lebih baik untuk menggambarkan hakikat berdiri tegak dan lurus kalau bukan sebuah pohon yang baik, yang akarnya membumi dan cabangnya melangit? 

Sungguh mengujakan bukan?

Nah, apakah rahsia untuk istiqamah yang terkandung di dalam dua ayat chenta ini?

Pertama: Akarnya kuat
Akar yang kuat adalah manifestasi kepada aqidah yang mantap dan membumi. Hanya mereka yang benar-benar beriman dan chenta kepadaNya dengan sepenuh jiwa dan raganya sahaja yang benar-benar dapat memaknai istiqamah. Hanya mereka yang sudah tersibghah dengan manhaj dari langit itu sahaja yang akan terus kuat, tabah dan tidak berputus-asa dalam menjadi hamba kepadaNya.

"Sesungguhnya orang-orang yang berkata, 'Tuhan kami adalah Allah,' kemudian mereka tetap istiqamah, tidak ada rasa khuatir dalam diri mereka dan mereka pula tidak bersedih hati."
[al-Ahqaf, 46:13]

Orang yang dengan penuh keyakinan dan keimanan mengaku bahawa "Tuhan kami adalah Allah" tidak punya sebab untuk berasa khuatir, sedih dan takut apabila berhadapan dengan dunia di luar sana. Dia merasakan dirinya sentiasa dibimbing oleh tanganNya dan dipandu oleh nur dan cahayaNya. Apabila dia ditimpa musibah atau bencana, dia tetap bersabar menghadapinya kerana dia tahu bahawa perancangan Allah pastilah yang terbaik untuk dirinya. 

Oleh sebab itu, aqidah yang mantap adalah asas untuk beristiqamah.

Kedua: Cabangnya menjulang ke langit
Akar yang jauh membumi, pasti akan menghasilkan cabang dan ranting yang melangit tinggi. Aqidah yang mantap, pasti akan melahirkan fikrah yang sejahtera pula. Fikrah di sini bermaksud cara fikir atau ideologi yang memandu hidup kita sehari-hari. 

Andai aqidah kita komunis, pastilah secara otomatik kita akan berfikrah komunis. Jika kita beraqidahkan kapitalisme, cara fikir juga sudah tentu akan berpaksikan kapitalisme. 

Sayugia apabila akar aqidah kita berpaksikan Islam yang tulen, sudah tentulah cara fikir kita dalam menjalani hidup kita diredhaiNya dan sangat hampir dengan cara hidup Rasulullah SAW. 

Hanya fikrah yang benar-benar sejahtera sahaja yang dapat mengekalkan diri kita untuk terus istiqamah. Apabila kita punya fikrah yang benar, hidup kita sehari-hari akan jadi lebih mudah dan menyeronokkan. 

Nak pakai seluar tiga suku boleh atau tidak. Mahu makan cokolat Ferrero Rocher boleh atau tidak. Mahu masuk ke dalam panggung wayang boleh atau tidak. Mahu lompat banji bersama rakan taulan boleh atau tidak. Mahu berpegangan tangan bermesra dengan zaujah terchenta di khalayak ramai boleh atau tidak. Ehemmm.

Malah fikrah yang sejahtera ini teramatlah penting bagi seorang manusia yang bergelar dai'e ilallah. Hanya dengan fikrah yang jelas dan sahih sahaja dia dapat menentukan apakah thariq amal (jalan amal) dan fiqh dakwah (cara berdakwah) yang paling tepat untuk dilaksanakan dalam sesuatu tempat dan masa. 

Sesuai atau tidak mahu berdakwah kepada bukan Islam. Bagus atau tidak mahu berdebat tentang kalimah Allah. Apa keperluan untuk beryahanana. Perlu atau tidak melakukan kerja-kerja kebajikan ketika umat sedang tenat. Adakah sudah sesuai untuk memasuki fasa dauli (negara) atau belum lagi. 

Begitulah.

Ketiga: Menghasilkan buahnya pada setiap waktu
Buah kepada aqidah yang mantap dan fikrah yang sejahtera, sudah tentu adalah amal yang bermanfaat bukan sahaja kepada diri sendiri, malah setiap orang yang berada di sekitarnya. Untuk istiqamah, seseorang itu mestilah beramal dengan apa yang dia faham dan imani, agar dia sendiri dapat merasakan betapa enak dan lazatnya nilai sebuah amal itu. 

Apabila melihatkan orang lain mendapat faedah daripada amalnya, berasa seronok dengan sentuhan-sentuhannya dan hidup dengan bimbingan dan tunjuk ajarnya, baharulah seseorang itu berasa kuat dan bersemangat untuk kekal konsisten dan teguh di atas jalan amal ini.

Dan hebatnya orang yang istiqamah ini, 'tu'ti ukulahaa kulla hiin'; dia bukan sahaja menghasilkan buah, bahkan dia menghasilkan buahnya pada setiap waktu! Walawehhh!
 

Buah durian pon ada musimnya. Pokok manggis pon bukan setiap masa berbuah. Buah mangga manis belakang rumah jiran kita yang selalu kita curi semasa kecil-kecil dahulu, itu pon bukan setiap waktu ia ranum berputik.

Tapi orang yang istiqamah..? Buahnya ranum dan lazat, manis dan segar, dapat dinikmati oleh sesiapa sahaja setiap masa dan ketika.

Allah Allah. Nanges. 

Lihat sahaja kepada Nabi SAW yang amat kita chenta itu. Dakwahnya mengambil masa dua puluh tiga tahun lamanya - tiga belas tahun di Mekah dan sepuluh tahun di Madinah. Namun buahnya? Subhanallah, sehingga kini kita dapat menikmati manis dan lazatnya Islam!

Terima kasih kepada istiqamahnya Nabi SAW dan para sahabat baginda, buah-buah chentaNya tumbuh subur dan dapat dipetik oleh setiap orang yang melalui pohon Islam  yang rendang dan dedaunnya yang merimbun, lebih seribu empat ratus tahun lamanya.

Tu'ti ukulahaa kulla hiin.

Senyum, lap air mata.   

Keempat: Dengan izin Tuhannya
Akhirnya, istiqamahnya kita di atas jalan ini hanya sahaja dengan ijinNya. Hanya sahaja. 

Maka jangan sesekali lupa untuk bermunajat dan sentiasa memanjatkan doa-doa chenta kepadaNya, agar ditetapkan hati kita di atas jalan ini. Agar dikuatkan jiwa dan ruh kita untuk sentiasa berpegang teguh dengan kebenaran

"Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk (dalam semua kebaikan dunia dan akhirat); dan barangsiapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tidak akan mendapat seorang penolongpun yang dapat memberi petunjuk kepadanya."
[al-Kahfi, 18:17]

Sungguh Allah lah yang memegang hati-hati kita. Dia lah yang menguasai seluruh alam buana dan apa-apa sahaja yang terkandung di dalamnya. Jatuh bangunnya kita, ke depan ke belakangnya kita, maju undurnya kita, semuanya adalah di bawah kekuasaan dan pengetahuanNya yang Maha Agung itu. Arakian siapa lagi yang boleh kita harapkan dan bergantung kalau bukan padaNya..?

Allahumma ya muqallibal qulub, tsabbit qalbi 'ala deenik. Wahai Allah yang membolak-balikkan hati, Kau tetapkanlah hati kami di atas agamaMu.

Semoga kita semua kekal istiqamah dan tsabat di atas jalan kebenaran ini, biidzni rabbiha. 

Tarik nafas. 

Nah, bagaimana?

Tidak begitu susah kan mahu jadi istiqamah? Tidak mustahil bukan untuk dilakukan?  

Apa? Anda masih ragu-ragu? Masih rasa sukar dan perit? Payah macam nak buat kuih semperit? Eh.

Nah, mungkin ini akan membantu.


"Sesungguhnya orang-orang yang berkata 'Tuhan kami adalah Allah' kemudian mereka istiqamah, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), 'Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu bersedih hati; dan bergembiralah kamu dengan sorga yang telah dijanjikan kepadamu.'"
[Fussilat, 41:30]

Kalau bukan malaikat-malaikat yang turun untuk menenangkan kita, saya tidak tahu apa lagi yang dapat memujuk kita untuk istiqamah.

Kalau bukan kerana janji Allah berupa sorga yang luasnya lebih luas lagi dari langit dan bumi, saya tidak tahu janji apa lagi yang dapat membahagiakan kita untuk istiqamah. 

Dan kalau bukan kerana Nabi SAW dan para sahabat telah pon menunjukkan jalan-jalannya kepada kita, saya tidak tahu apa lagi yang dapat meyakinkan kita untuk kekal istiqamah. 

Istiqamahlah, agar kita dapat merasakan betapa lazat dan manisnya buah-buah chentaNya.

Senyum.

-gabbana-

Maaf, terasa begitu lama tidak menulis. Semuanya gara-gara sibuk menguruskan tempahan buku pertama saya.

Doakan agar ia tidak menjadi fitnah, apatah lagi jahiliyyah yang menghambat jiwa. Doakan agar ia akan menjadi buah-buah chenta, yang dapat dinikmati anda semua. Senyum.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP