30 January 2014

Sunnah Si Panda Gemok

[Kredit]

Keluarga saya ada membela seekor kucing yang diberi nama Snowy. Mengapa Snowy? Kerana beliau dilahirkan dengan bulu berwarna putih. Klise bukan?

Sudah lebih sembilan tahun Snowy bersama-sama keluarga kami. Jika dihitung umur Snowy menurut perspektif kucing, Snowy kini sudah berusia enam puluh tiga tahun. Ya, beliau sudah boleh dianggap sebagai kucing yang tua.

Snowy tidak semanja kucing-kucing tipikal yang lain. Entah mengapa, sejak kecil lagi, Snowy sedikit garang dan sukar untuk bermanja-manja dengannya. Lebih selalu daripada tidak, kucing-kucing liar di luar sana jauh lebih manja gebu-gebu berbanding Snowy. Lebih mudah untuk bermain dengan perut kucing-kucing liar berbanding dengan perut Snowy yang gemok itu. Ah. 

Namun begitu, Puan Mama dan Inche Papa sangat-sangat menyayangi Snowy. Walhal kedua-duanya tidak menyukai kucing suatu ketika dahulu. Kehadiran Snowy di dalam keluarga kami telah mengubah segala-galanya. Kini kadangkala kami adik-beradik merasakan mereka lebih menyayangi Snowy berbanding anak kandung mereka sendiri. Peluh besar. Bayangkan Inche Papa sanggup bangun jam dua tiga pagi hanya semata-mata mahu memberi makan kepada Snowy? Wahai.

Paling mencuit hati adalah apabila melihat Puan Mama berborak manja dengan Snowy. Meski Snowy lebih 'tua' dari Puan Mama, namun Puan Mama melayannya seperti seorang bayi comel yang mempunyai pipi tembam geram-geram. Anak bongsu katanya. Dan yang kadangkala mengalirkan peluh kecil adalah apabila Inche Papa turut terlibat sama di dalam konspirasi melayan Snowy seperti anak kecil sendiri. Err.

Yang lebih menarik adalah layanan Snowy yang kasar terhadap Puan Mama. Dalam banyak-banyak orang di rumah itu, Puan Mamalah yang paling sering dicederakan Snowy. Puan Mama sering menjadi mangsa gigitan, cakaran dan amukan Snowy. Entah mengapa, beliau seperti menjadi Puan Mama tempat untuk melepaskan geramnya. Namun Puan Mama terus menyayangi Snowy seperti anaknya sendiri. Meski Snowy sudah sepatutnya disumpah menjadi batu atau pokok epal, Puan Mama tetap memaafkannya dan terus melayaninya seperti hari-hari biasa yang cerah dengan awan yang gebu dan langit yang biru.

Snowy telah mengubah Puan Mama dan Inche Papa menjadi seorang aktivis penchenta haiwan yang tegar.

Pernah suatu hari saya bertanya kepada Puan Mama, mengapa dia begitu rajin melayan kucing-kucing di rumah itu (meski secara rasminya kami hanya membela Snowy seekor, namun setiap hari pasti akan ada kucing-kucing liar yang datang ke rumah kami untuk makan, sehingga sudah menjadi seperti kucing peliharaan kami). 

Ini jawapan Puan Mama:

"Dah korang tak bagi [Puan Mama] cucu nak main, terpaksalah layan kucing-kucing ni!"

Jatuh kerusi.

Err Puan Mama, sejak bila anda belajar menjadi seorang BOB ini...? Wahahaha.

Garu kepala. 

Di sebalik kegarangan dan kegengsteran Snowy, apa yang menyebabkan saya kagum adalah semuanya itu dilakukan beliau di dalam rangka sebagai seekor hamba yang taat kepada Allah. Ya, gigitannya terhadap Puan Mama adalah tanda beliau taat kepada Allah. Gaya baringnya yang terlentang dan comel tahap terjun gaung itu adalah tanda beliau taat kepada Allah. Apabila beliau mengada-ngada dan mengusap kepalanya ke kaki tanda mahu makan, itu adalah tanda beliau taat kepada Allah. Malah apabila beliau sengaja berbaring dan buat biskut di atas sejadah tatkala saya sedang bersolat, itu juga tanda beliau taat kepada Allah.

Segala apa yang dilakukan Snowy dan haiwan-haiwan yang melata di muka bumi ini, adalah sesuai sepertimana yang diperintahkan oleh Allah. Bukan setakat itu, mereka juga tidak pernah berhenti-henti daripada memuji dan membesarkan Allah. 

Di mata kita si arnab gemok itu sedang berlari-lari riang di tengah-tengah padang bunga dafodil yang tumbur mekar melebat. Sebenarnya beliau sedang menjalankan tugasnya sebagai seekor hamba yang taat sambil tidak berhenti-henti berzikir kepada Allah.

Di mata kita si ikan emas dengan mata terjojol dan pipi menggelembung itu hanyalah seekor ikan yang bermalas-malasan dan buat penghias akuarium sahaja. Hakikatnya, beliau juga sebenarnya sedang mentaati perintah Tuhannya dan tidak jemu-jemu mengagungkan kebesaranNya.

Dan di mata kita si koala gemok itu hanya tahu tidur, makan dan rilek-rilek di atas pokok sambil membuat gaya comel agar dapatlah kita menangkap gambarnya. Walhal apa yang dilakukannya itu tidak melanggar batas-batas syarak untuk dirinya sebagai beruang koala dan beliau tidak pernah leka daripada terus memuji Allah. 

Mungkin kerana itulah, Allah berfirman di dalam al-Quran:

"Dan pada penciptaan dirimu dan pada maklhluk bergerak yang bernyawa yang bertebaran (di bumi) terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) untuk kaum yang meyakini."
[al-Jatsiyah, 45:4]

Sungguh, pada makhluk bernama haiwan itu, begitu banyak pelajaran dan pengajaran yang boleh kita ambil iktibarnya.

Daripada semut kita belajar erti kerajinan, disiplin dan kerjasama.

Daripada lebah kita belajar erti pengorbanan dan kesabaran.

Daripada burung kita belajar erti tawakkal dan kekuasaan Allah.

Daripada lalat kita belajar erti tidak berpantang ajal.

Daripada harimau kita belajar erti keberanian dan kemachoan sebenar. 

Daripada anjing kita belajar erti kesetiaan dan kepatuhan.

Daripada kucing kita belajar erti kecomelan. Err. 

Punyalah sayang Allah kepada kita, sehingga Dia ciptakan pelbagai jenis haiwan melata di muka bumi untuk menjadi pengajaran dan ibrah kepada kita semua. 

Di sebalik semua itu, manusia tetap makhluk teristimewa diciptakan oleh Allah, kerana manusia dikurniakan akal untuk berfikir. Haiwan-haiwan ini kekal taat kepada Allah kerana mereka adalah muslim ijbari, yakni mereka tidak punya pilihan lain melainkan untuk taat dan patuh pada sunnatullah dan perintah Allah. Walhal manusia itu asalnya adalah muslim ikhtiari, yakni kita diberi pilihan oleh Allah sama ada mahu menjadi seorang hamba yang taat atau sebaliknya. 

Malangnya, ramai daripada kita yang memilih untuk menjadi seorang hamba yang ingkar. Sungguh ramai daripada umat manusia, sama ada secara sedar atau tidak, telah membuat keputusan untuk tidak taat kepada Allah. Meski diberi akal untuk berfikir, kita seringkali menuruti kedangkalan hawa nafsu kita lantas mebuat keputusan yang bukan sahaja merosakkan diri sendiri, malah alam buana keseluruhannya.

Tidak hairanlah Allah telah pon mengingatkan hal ini di dalam al-Quran:

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai."
[al-A'raf, 7:179]


Mulianya manusia itu adalah apabila dia memanfaatkan hatinya untuk menginsafi hakikat kejadian alam ini.

Tingginya darjat manusia itu hanya apabila dia menggunakan matanya untuk merenung dan mentadabbur alam.

Hebatnya manusia berbanding dengan ciptaan Allah yang lain adalah kerana dia memastikan apabila telinganya mendengar, telinganya itu dapat menapis mana perkara yang baik untuk diambil dan diteladani dan mana pula yang tidak.

Dan andai makhluk bernama manusia itu gagal untuk berbuat demikian, apalah beza dirinya dengan haiwan? Malah lebih teruk dan sesat lagi, kerana manusia sudah diberikan berbagai-bagai jenis kekuatan dan kelebihan, namun memilih untuk ingkar pada Tuhan! 

Gulp. 

Lantaran itulah, Allah banyak sekali memberikan perumpamaan di dalam al-Quran, termasuklah dengan memberikan contoh melalui haiwan-haiwan ciptaanNya. Kerana manusia yang punya hati, mata dan telinga itu, sewajarnya mampu untuk mentafsirkan contoh-contoh yang diberi, lantas merasa rendah hatinya dan kecil egonya di sisi Tuhan Yang Maha Agung itu. 

Agar kita berasa malu pada haiwan-haiwan yang sentiasa taat dan akur pada perintah Allah itu.

Agar kita berasa 'izzah dan kagum pada kehebatan dan kekuasaan Allah yang mampu mencipta haiwan-haiwan yang pelbagai jenis dan rupa itu.

Agar kita berasa lebih dekat dengan si Pencipta, yang menjadikan kita lebih mulia daripada makhlukNya yang bergelar haiwan itu.

Dan anda tahu, apa yang lebih menggugah jiwa daripada semua ini...?

"Dialah (Allah) yang telah menciptakan segala apa di muka bumi untukmu..."
[al-Baqarah, 2:29]

Ya, segala-galanya, dari beruang polar di Artik dan beruang panda di China, ayam serama dan itik serati, babun buntut merah dan Orang Utan Malaya, paus biru dan ikan sepat, lalat buah dan lebah tanah, semuanya itu diciptakan untuk kita. 

Untuk apa? Untuk kita.

Dan bagaimana kita mampu untuk memaknai hakikat ini, andai kita sendiri tidak dapat memahami apa tujuan kita diciptakan...?

-gabbana-

InshaAllah akan mula bermusafir malam ini untuk suatu jaulah ukhuwwah, mentadabbur alam dan menghayati kebesaran Allah.

Tolong doakan agar perjalanan kami diberkati ya..? Senyum.

27 January 2014

Sesat

[Kredit]

"Bang, kita nak ke mana ni...?"

Lutfi menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Kedengaran bunyi penggera menandakan pintu monorel yang dinaiki akan ditutup.

Ketiaknya masih melekit dengan peluh dek berjalan kaki dari Stesen LRT Dang Wangi ke Stesen Monorel Bukit Nanas. Sudahlah cuaca di siang itu cukup panas. Menggigit-gigit kulitnya.

Dikebas-kebasnya baju kemeja yang dipakainya pada angin pendingin hawa monorel. Hidungnya sedikit kembang dek bau masam bajunya. Matanya masih tertumpu pada Shahrizan, masih ternanti-nanti jawapan daripada murabbinya itu.  

Shahrizan hanya tersenyum. Nakal. 

"Tunggu je lah. Nanti anda tahulah."

Lutfi menyepetkan mata dan mengerutkan dahinya, tanda tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Namun dia terpaksa mendiamkan diri sahaja, mengenali diri si murabbi yang kuat berahsia. Dia menjeling kepada ahli-ahli usrahnya yang lain - Azril, Anis, Rayyan, Yazid dan Maulana - dengan harapan ada dalam kalangan mereka yang tahu arah tujuan mereka hari itu.

Melihatkan wajah-wajah mereka yang blur, Lutfi hampa. Mereka juga seperti Lutfi, tertanya-tanya ke manakah Shahrizan akan membawa mereka.

Lutfi mengambil keputusan untuk menikmati sahaja pemandangan di luar monorel. Dia merapatkan badannya pada tingkap monorel. Nafasnya yang panas membentuk wap pada tingkap kaca yang sejuk. Dicampakkan pandangannya pada pemandangan di luar sana.

Bangunan pencakar langit. Manusia berlari-larian mahu melintasi jalan. Kereta beraneka warna dan rupa dipandu perlahan. 

Hutan batu. Hutan batu di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.   

"Raja Chulan. Raja Chulan."

Lutfi melirih pandangannya pada Shahrizan, mahu tahu sama ada itu adalah stesen perhentian mereka. 

Senyuman. Hanya senyuman. 

Lutfi menggeleng kepalanya sambil tersenyum kelat. Lantas, dia menyambung aktivitinya menikmati pemandangan di luar.

Melintasi bangunan HSBC yang cukup tinggi, kini bilangan jumlah pejalan kaki bertambah ramai. Sibuk. Jalan juga semakin sesak. Dari atas, Lutfi dapat melihat beraneka ragam dan rencam manusia.

Ada yang memegang beg-beg kertas yang banyak, baharu pulang dari membeli-belah agaknya. Dan kebanyakan golongan ini adalah sepasang lelaki dan perempuan; yang lelaki berseluar tiga suku dan berjambang dan yang perempuan pula kebanyakan bertudung labuh hitam. Ada yang berpurdah. Pelancong dari tanah Arab.

Ada yang berkulit hitam, berbaju kemeja cerah dan berseluar jeans. Lutfi tidak dapat membezakan sama ada mereka ini orang Pakistan atau Bangladesh. Tetapi jumlah mereka agak ramai.

Dan sudah tentu, tidak kurang juga bilangan orang Malaysia sendiri yang berpeleseran, sama ada berdiri, menunggu untuk melintas jalan atau berjalan-jalan seperti tiada arah tujuan. Ada yang bertudung, berseluar pendek, berbaju T, bertopi, Melayu, Cina, India... Semuanya ada!

Entah mengapa, hati Lutfi tidak semena-mena berdebar-debar. 

"Bukit Bintang. Bukit Bintang." 

Shahrizan mencuit bahu Lutfi. Dia tersenyum. Dia menggerakkan kepalanya, isyarat untuk turun di stesen itu. Shahrizan juga memberi isyarat pada yang lain bahawa mereka perlu keluar sekarang.

Bukit Bintang...? 

Terbeliak sedikit mata Lutfi, tanpa disedari dirinya. Spontan.

Nak buat apa kat Bukit Bintang? 

Lebih separuh orang di dalam monorel itu turut turun di stesen Bukit Bintang. Namun dalam sekelip mata, monorel itu dipenuhi semula oleh mereka yang sudah lama menunggu untuk tren datang. Sukar juga untuk mereka keluar dari tren dek orang ramai yang merempuh masuk, tidak sabar-sabar untuk menaiki tren.

"Err kita nak buat apa bang kat Bukit Bintang? Abang nak beli gajet ke?"

Soalan itu terpacul keluar dari mulut Yazid. Soalan yang terbuku di hati semua anak usrah Shahrizan. 

Sekali lagi, Shahrizan menghampakan mereka dengan hanya gelengan dan senyumannya. Dia hanya mengisyaratkan anak-anak buahnya itu untuk mengikutinya sahaja. 

Mereka akur. Meski perasaan ingin tahu itu cukup kuat, namun mereka terpaksa mengikut rentak permainan Shahrizan. Dan jauh di sudut hati mereka, mereka tahu yang Shahrizan tidak mungkin akan mengecewakan mereka.

Mereka menuruni anak tangga, menyertai puluhan, mungkin ratusan manusia yang memenuhi kaki-kaki lima kawasan Bukit Bintang. Suasananya cukup hiruk. Manusia dengan beraneka ragam dan perangai yang bermacam, menyebabkan segelintir daripada mereka kecut perut. 

Untuk Rayyan dan Maulana, itulah pertama kali mereka menjejakkan kaki ke Bukit Bintang. Berasal dan dibesarkan di kampung, belum sampai setahun lagi mereka bermastautin di Kuala Lumpur. Selama ini mereka hanya mendegar sahaja kelejenan tempat itu. Namun hari itu buat pertama kalinya mereka berpeluang untuk melihat sendiri apa yang hebat sangat tentang kawasan yang terletak di dalam segi tiga emas Kuala Lumpur itu. 

Shahrizan berjalan laju, mendahului mereka semua. Azril yang khusyuk memerhatikan gelagat manusia, terkejar-kejar untuk menyertai mereka apabila menyedari yang dia sudah tertinggal di belakang. 

Dari jauh kelihatan logo McDonalds yang cukup besar, gah menghiasi premis restoran makanan segera itu. Lutfi dan Anis saling berpandangan dan serentak mereka menyebut, "Boikot!" Mereka tertawa kecil. Shahrizan turut tersenyum melihatkan telatah anak-anak buahnya. 

Di simpang empat berhampiran McDonalds itu, Shahrizan berhenti. Dia memberi isyarat kepada anak-anak buahnya untuk melintas jalan. Mereka menunggu lampu isyarat untuk bertukar merah dan isyarat melintas jalan bertukar hijau. 

Sebaik sahaja lambang lelaki melintas bertukar hijau dan mengeluarkan bunyi, mereka segera melintas jalan, bersama dengan puluhan pejalan kaki yang lain. Mereka bertembung dengan begitu ramai pelancong asing dari arah bertentangan.

"Weh, rasa macam bukan kat Malaysia pulak. Ramai gila pelancong asing!"

Rayyan berbisik kepada Lutfi. Lutfi hanya menganggukkan kepalanya. Dia juga menyedari perkara yang sama.

Meski Lutfi adalah anak jati Kuala Lumpur dan itu bukanlah pertama kali dia ke kawasan Bukit Bintang, namun entah mengapa, perasaannya lain macam hari itu. Pertama, mungkin juga kerana sudah lama dia tidak menjejakkan kaki ke situ. Dan keduanya, itulah pertama kali dia ke situ sejak bersama-sama dengan gerabak tarbiyah dan dakwah. 

Dia terasa janggal. Tidak selesa.

Dahulu, dia dan rakan-rakannya sering juga ke kawasan Bukit Bintang. Terutamanya ke Sungei Wang untuk lepak-lepak dan berpeleseran. Kadangkala ke tingkat paling atas, tempat ramai remaja sebaya dengannya berhibur. Kadangkala, mereka akan ke Berjaya Times Square untuk menonton wayang dan bermain boling. Atau kadangkala, sekiranya ada wang saku yang lebih, mereka akan ke Pavillion untuk berkaraoke dan melepak di kedai kopi dengan secawan kopi berharga lebih RM8! Pendek kata, Bukit Bintang bukanlah tempat yang asing buat Lutfi. Bukit Bintang adalah sorga dunia!

Ah jahilnya aku.

Terasa mahu berdarah mata Lutfi melihat wanita-wanita berambut perang dan bermata biru yang mengenakan pakaian seakan-akan pakaian musim panas di negara mereka. Wanita-wanita tempatan boleh tahan juga, sehingga kadangkala Lutfi tidak mahu percaya bahawa mereka adalah wanita sebangsa dan seagama dengannya. Bukan sekali dua Lutfi terlanggar orang ramai yang berjalan dari arah bertentangan, semata-mata kerana mahu menundukkan pandangannya. 

Jika dahulu sudah pasti dia... Astaghfirullah.

Lutfi sempat menjeling pada ahli-ahli usrahnya yang lain. Melihatkan raut wajah mereka, Lutfi tahu mereka juga berkongsi ketidakselesaan yang sama dengan apa yang Lutfi rasakan. 

Tiba-tiba, entah mengapa, timbul pula rasa geram pada Shahrizan dalam benak Lutfi. 

Ish apa yang dia nak buat ni? Apa yang dia nak buktikan...??

Ketika itu juga Maulana mencuit lengan Lutfi. Matanya sedikit terbeliak.

"Lut.. Kau tengok tu.. Allah..."

Lutfi segera memandang pada arah yang ditunjukkan Maulana. Beberapa orang lelaki Arab sedang khusyuk menghisap syisya sambil bergelak tawa. Pada raut wajah mereka tampak jelas yang mereka sedang menikmati keseronokan. Keasyikan. 

"Ha, kenapa...?"

"Ish... Orang Arab pon hisap syisya ke Lut...? Selama ni, aku punyalah respek pada deme ni. Aku anggap, deme ni lah gambaran orang Islam yang sebenar. Nabi kan ke turun kat Arab..? Bukan patut deme ni ke yang paling faham Islam..? Tapi..."

Jelas terpancar kekecewaan pada raut wajah Maulana. Berkali-kali Maulana menggelengkan kepalanya.

Lutfi hanya tertawa kecil. Tidak disangkanya Maulana selurus itu. Namun dia dapat memahami perasaan sahabatnya itu. Malah jauh di sudut hati Lutfi, dia juga dapat merasakan perasaan yang sama. Kecewa.

Tiba-tiba langkah Shahrizan terhenti. Yang lain-lain turut ikut berhenti. 

Sharizan memandang ke atas. Ke aras papan tanda yang menjadi identiti kepada bangunan yang tersergam indah dan mewah di hadapan mereka itu.

Piccolo Hotel.

Rata-rata mereka terbeliak mata apabila melihat Shahrizan berjalan selamba dan melangkah masuk, menuju ke lobi hotel. Shahrizan sempat berpaling dan memberikan senyuman nakal kepada mereka semua. 

"Eh awat tercegat lagi tu? Meh ah. Kita dah sampai destinasi kita."

Yazid dan Anis berpandangan. Begitu juga Azril, Rayyan dan Maulana. Seperti tidak mahu percaya. Namun mereka segera mengorak langkah apabila melihat Lutfi mendahului mereka.  

Masing-masing terpaku melihat Shahrizan berurusan di kaunter hotel. Dengan pantas dan mudahnya, Shahrizan sudah memperolehi kunci bilik.

Lutfi mengangkat kening.

Uishh. Biar betul. Hebakkk!

"Ok jom, bereh dah."

"Err jom? Jom pegi mana bang?"

"Jom naik bilik ah!"

Shahrizan tersenyum lagi. Senyuman kepuasan. 

Masing-masing tidak tahu bagaimana mahu memberikan maklum balas. Mereka seakan-akan terkesima. Seperti dijampi serapah, menjadikan mereka tidak dapat berfikir dengan sendirinya.

Mereka hanya menuruti Shahrizan yang sudah pon berjalan menuju ke lif. Terkulat-kulat Rayyan, kagum melihat keindahan dan kemewahan lobi hotel. Pertama kali agaknya dia masuk ke dalam hotel seurban itu. 

Shahrizan menekan butang lif untuk ke tingkat atas. Lutfi dan yang lain-lain berdiri di belakangnya. Berdebar-debar. Entah mengapa kali ini tidak terpacul dari mulut sesiapa pon, apakah gerangan yang akan berlaku. Tidak berani agaknya untuk bertanya. Atau tidak mahu merosakkan kejutan yang bakal dibongkarkan. 

Sebaik sahaja pintu lif terbuka, beberapa orang keluar dari dalam lif. Dua orang mat saleh. Sebuah keluarga yang nampaknya seperti dari India. Dan seorang petugas hotel. Shahrizan mengangguk hormat pada petugas hotel tersebut, sebelum masuk ke dalam lif. Yang lain-lain langsung menurutinya dengan patuh. 

Shahrizan menekan butang angka '9' sebelum menekan butang tutup. Hanya mereka sahaja yang ada di dalam lif. Mujur. Tiada siapa yang bersuara di dalam lif. Diam membatu. Hanya bunyi nafas segelintir daripada mereka yang kedengaran. 

"Berrrpppp. Oppss asif. Alhamdulillah."

Sendawa Anis itu memecahkan keheningan. Gelak tawa yang menyusul akhirnya mengendurkan ketegangan suasana.

Tiba di tingkat sembilan, Shahrizan mengisyaratkan untuk kesemua mereka keluar. Dia yang terakhir keluar sebelum pintu lif tertutup. 

Dia mencari-cari papan tanda yang mempamerkan nombor bilik. Jelas keterujaan pada matanya apabila akhirnya dia ketemu apa yang dicari. Pantas dia berjalan menelusuri koridor hotel sebelum dia berhenti di hadapan sebuah bilik. 

Bilik 924.

***

Malam itu mereka keluar untuk menyaksikan gelagat manusia di Bukit Bintang. Jam ketika itu menunjukkan pukul sebelas tiga puluh tiga minit malam.

Kini baharulah Lutfi faham mengapa Shahrizan sengaja memilih lokasi panas itu sebagai tempat pertemuan mereka hari itu. 

Siang tadi, selepas berehat-rehat sebentar di bilik, Shahrizan akhirnya menjelaskan kepada mereka semua apa tujuannya mereka berusrah di Hotel Piccolo, di tengah-tengah Bukit Bintang itu. Shahrizan mahu mereka merasakan sendiri apakah yang dimaksudkan dengan jahiliyyah. Shahrizan mahu mereka melihat sendiri realiti umat manusia di zaman ini. 

Selama ini mereka hanya mendengarnya di daurah dan majlis-majlis ta'lim. Selama ini mereka hanya mengangguk-angguk di dalam usrah, mempercayai sahaja apa yang diceritakan kepada mereka. Dan selama ini, mereka hanya membacanya sahaja, sama ada di alam maya atau media massa. 

Kali ini mereka bakal merasainya sendiri. Kali ini mereka akan melihat dengan mata kepalanya sendiri. Dan kali ini, mereka akan lebih faham mengapakah taghut dan jahiliyyah itu adalah musuh besar yang sentiasa bekerja keras untuk menghancurkan perjuangan dakwah.

Ainul yaqin. Haqqul yaqin.

Di kesempatan itu, Shahrizan mengajak anak-anak buahnya untuk duduk dan membedah Muqadimmah Fi Zilal al-Quran, karya agung Sayyid Qutb itu. Sepanjang tempoh itu, Shahrizan tampak benar-benar serius. Dengan penuh perasaan dan emosi, dia menghuraikan satu-persatu kata-kata nukilan Sayyid Qutb.

"....jahiliyyah berkecamuk di muka  bumi ini dan aku melihat cita-cita penduduk-penduduk dunia ini amat kecil dan kerdil, aku melihat pemuja-pemuja jahiliyyah itu berbangga-bangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka, iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak, kefahaman dan pemikiran kanak-kanak, minat dan cita-cita kanak-kanak sama seperti pandangan seorang tua kepada mainan kanak-kanak, percubaan kanak-kanak dan keteloran lidah kanak-kanak. Aku berasa kaget dan hairan mengapa manusia jadi begini, mengapa mereka jatuh ke dalam lumpur yang kotor dan penuh penyakit ini? Mengapa mereka tidak mendengar seruan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Besar, iaitu seruan yang dapat meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang?"

Meremang bulu roma Lutfi mendengar perkongsian Shahrizan yang penuh bersemangat. Tidak pernah dilihatnya Shahrizan sebegitu rupa sebelum ini. Hidup. Berapi. Benar-benar menggugah! 

Dan malam itu, mereka menjadi saksi kepada kata-kata Sayyid Qutb itu.

Keluar sahaja dari perkarangan hotel, maksiat sudah terbentang di depan mata. Tidak jauh daripada tempat mereka berdiri, kelihatan sekumpulan anak gadis berpakaian seksi terkinja-kinja menari. Mereka dikelilingi oleh makluk-makhluk rakus yang menunggu masa untuk menerkam mangsanya. Muzik yang membingitkan menjadi wirid dan zikir mereka.

Bukan setakat Rayyan dan Maulana yang terbeliak mata melihat gelagat manusia di Bukit Bintang itu, hatta Yazid dan Azril, yang kononnya budak bandar itu pon seperti tidak percaya dengan apa yang mereka lihat. 

Itu belum lagi dikira dengan anak-anak muda yang berpeleseran dengan pasangan masing-masing. Tiada batas yang menghalang. Tiada siapa yang menentang. Bebas. Bebas! 

Mat-mat Saleh dengan tin-tin arak mereka. Minah-minah Saleh yang terhuyung-hayang, bergelak tawa, berpelukan dengan pasangan masing-masing. Yang tak Saleh pon tidak mahu ikut ketinggalan! Tiada beza pada perilaku dan akhlak mereka. Yang membezakan mereka hanyalah warna kulit dan rambut mereka sahaja! 

Lutfi mengurut dadanya. Dia hanya mampu beristighfar. 

Maulana datang mendekatinya. Lutfi terkejut. Ada air mata yang membasahi pipi sahabatnya itu.

"Lut.. Tolong aku Lut. Tolong aku... Aku tak sanggup. Jom lah balik. Jomlaaah... Kenapa kita ada kat sini...?"

Lutfi hanya mampu memeluk sahabatnya itu dan mengukirkan senyuman buatnya. Sekuntum senyuman yang pahit. 

Lantas Lutfi teringatkan sepotong ayat dari surah al-Falaq, yang sering dikongsikan olehnya dengan anak-anak usrahnya. 

"...dan dari kejahatan malam apabila telah gelap-gelita."

Aku berlindung denganMu dari kejahatan makhlukMu yang bernama manusia, ya Allah!

Tidak lama selepas itu, Shahrizan mengajak mereka untuk duduk dan bermuhasabah, di tengah-tengah lautan maksiat itu. Dia memilih suatu tempat yang sedikit sunyi, agak jauh dari hiruk-pikuk kekalutan manusia. 

"Nah, anda semua sudah melihatnya sendiri bukan...? Anda sendiri sudah menjadi saksi betapa sakit dan nazaknya umat ini! Umat ini sedang menuju kehancuran tanpa mereka sendiri menyedarinya. Umat ini sedang kelemasan tanpa ada sesiapa yang mahu menyelamatkan mereka!

Dan kita masih mahu berdiam diri..? Dan kita masih mahu larut dan leka dengan bulatan-bulatan gembira kita? Masih mahu berlakon pada pentas dakwah kita? Dan terus membiarkan mereka ini hanyut dan terus hanyut...??

Kita zalim ikhwah! Zalim! Apabila kebenaran yang telah kita perolehi, nikmat hidayah yang telah kita nikmati, tidak kita kongsikan dengan sejumlah besar manusia di luar sana. Kita zalim apabila kita bermalas-malasan, tidak bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan umat manusia yang sedang tenat itu. Kita zalim masa yang kita ada, kita bazirkan untuk perkara-perkara lagha, perkara-perkara yang langsung tidak menguntungkan dakwah ini! 

Kita masih mahu berlengah-lengah..?? Kita masih mahu memberikan alasan...?? Apa yang kita nak jawab di hadapan Allah nanti..? Apa yang kita nak jawab di hadapan sekalian manusia ini nanti...??"

Sebak Lutfi mendengarnya. Dia tidak berani mengangkat mukanya. Tidak berani untuk berhadapan dengan realiti. 

Maulana yang duduk di sebelahnya teresak-esak. Naik turun bahunya. Naik dan turun. 

"Dan kita..."

"Kamu semua ni buat apa di sini..?"

Tidak semena-mena seorang lelaki datang menegur mereka. Rupa-rupanya pengawal keselamatan yang bertugas di bangunan tempat mereka duduk-duduk itu. 


Shahrizan memandang lelaki itu dengan penuh mesra dan hormat.

"Saja duduk-duduk bang. Borak-borak sikit."

"Kamu ni mesti tengah bincang benda-benda yang ekstrem kan? Sudah sudah! Kamu tidak boleh berkumpul macam ni. Lewat-lewat malam pulak tu. Balik balik!"

Shahrizan mengerut dahinya. Tampak rasa tidak puas hati pada raut wajahnya. Namun Anis dahulu yang bersuara.

"Lah bang, apa yang tak boleh berkumpulnya? Ekstrem? Tu ha, budak-budak kat sana tu. Terkinja-kinja macam monyet. Lagi ekstrem! Dia orang berkumpul macam tu boleh pulak...??"

"Diorang tu bukan hal saya. Diorang tak duduk dekat bangunan ini. Kamu semua dah kira menceroboh harta benda peribadi!"


Anis dan Yazid mahu memprotes, apabila Shahrizan memberikan isyarat agar mereka bersabar.

"Baik bang. Maafkan kami. Kami tak tahu ni harta benda peribadi. Maaf ye?"

Timbul rasa kagum dalam diri Lutfi melihatkan akhlak yang ditunjukkan murabbinya itu. Jika diikutkan hatinya, dia sendiri terasa seperti mahu menghadiahkan pengawal keselamatan itu dengan sebiji penumbuk. 

Mereka semua mengambil keputusan untuk berjalan pulang ke hotel sahaja. Menyambung sesi muhasabah di dalam bilik sahaja. Lebih tenang. Tidak perlu pening-pening.

Dalam perjalanan pulang, tiada tanda-tanda bahawa aktiviti-aktiviti sekalian kupu-kupu dan laron-laron malam akan reda. Malah kelibat-kelibat manusia yang mahu berhibur dan berpeleseran tampak semakin rancak. Muzik semakin kuat.Asap roko dan syisya semakin menebal.

Jelas pada raut wajah Lutfi dan rakan-rakannya kesugulan yang mencengkam. Muram. Benci. Sedih. Jujur mereka keliru. Mereka dihambat dengan pelbagai rasa dan emosi. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan umat manusia yang sedang nazak itu. 

Maulana sempat berbisik kepada Lutfi.

"Sumpah inilah kali pertama dan terakhir aku jejakkan kaki ke Bukit Bintang ni!"

Lutfi hanya mampu memandang sahabatnya itu dengan pandangan belas.  

Lutfi memandang manusia-manusia di sekelilingnya. Dia menarik nafas yang dalam dan menghembusnya perlahan-lahan. Dia simpati. Kasihan. 

Sampai bilakah mereka akan terus sesat sebegini..?

"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan sepengetahuanNya dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya serta meletakkan penutup atas penglihatannya?"
[al-Jatsiyah, 45:23]

Atau aku yang sesat? Tersesat di sebuah planet asing bukan untuk manusia bergelar hamba...?

-gabbana- 

Cerpen ini diolah berdasarkan kisah sebenar. Saya sendiri sebak apabila mendengar kisah ini daripada mulut seorang al-akh terchenta. 

Pengalaman yang cukup ngeri, namun menghidupkan. Pengalaman yang cukup memukul dan menyedarkan.

Moga kita semua bangkit dari lena yang panjang ini. Nanges.

22 January 2014

Daging Rosmah Masak Kicap

[Kredit]

"Daging Bung Mokhtar masak lemak cili api satu!"

"Ha, kamu makan kat rumah ye malam ni? Mak masak sedap! Daging Muhyiddin goreng halia."

"Mamak! Roti naan keju satu! Lepas tu semangkuk kari daging Najib ye?"
 
Pandang kiri, pandang kanan.

Kita mungkin merasakan dialog-dialog di atas adalah fiksi semata. Jika ada pon, hanya di dalam mimpi ngeri tak basuh kaki segelintir daripada kita.

Tapi sedarkah kita, kita sebenarnya melakukannya hampir setiap hari? Ya, memakan daging-daging mereka ini, malah ramai lagi...?

Anda tidak percaya? Baiklah. Bersedia untuk ditampar kuat oleh ayat chenta ini?

"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), kerana sebahagian daripada prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah sebahagian kalian mengumpat (ghibah) sebahagian yang lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang."
[al-Hujuraat, 49:12]

Gulp.

Ya, ghibah. Atau dalam Bahasa Melayu daftar kata modennya, menganyam ketupat. Err, maksud saya, mengumpat. 

Apa itu ghibah?

Sabda Nabi SAW, "Tahukah kalian apakah ghibah itu?" Mereka (para sahabat) menjawab, "Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui." Baginda bersabda, "Iaitu engkau menyebut saudaramu dengan sesuatu yang dibencinya." Ditanyakan, "Bagaimana halnya jika apa yang aku katakan itu (memang) terdapat pada saudaraku?" Baginda menjawab, "Jika apa yang kamu katakan terdapat pada saudaramu, maka engkau telah mengumpatnya (melakukan ghibah) dan jika ia tidak terdapat padanya maka engkau telah berdusta atasnya."

[Hadith Riwayat Muslim]

Mudahnya begini. Kita bercakap sesuatu yang buruk dan hodoh tentang Ibrahim Alias (meski apa yang dikatakan itu benar). Andai Ibrahim Alias ada di hadapan kita dan dia mendengar dengan telinganya sendiri apa yang dikatakan dan dia membencinya, ha, itulah yang dikatakan sebagai ghibah. Dan sekiranya apa yang kita cakapkan itu adalah tidak benar, itu dikira sebagai buhtan (dusta). 

Nah, sekarang kiralah, berapa kati daging-daging saudara-saudara seIslam kita yang telah kita kunyah dan hadam setiap hari...?

Mata terbeliak. 

Mengumpat sudah menjadi begitu mainstream, begitu kebiasaan dalam kehidupan kita sehari-hari, sehingga kita langsung tidak berasa bersalah tentangnya. Sehinggakan borak-borak kita yang biasa-biasa itu hari-hari pasti akan disulami dengan sesi menganyam ketupat dengan riang gembira sekali, tanpa ada langsung rasa bersalah yang melekat di hati. 

Kegemaran masyarakat massa marcapada ini dengan bahan-bahan berita berbentuk tabloid dan gosip-gosip liar memburukkan lagi keadaan. Keburukan dan kelemahan orang ramai diraikan. Kepincangan dan kebobrokan individu diperbesarkan dan disensasikan. Malah media-media massa sentiasa mencari-cari dan mengorek-ngorek rahsia-rahsia peribadi atau keburukan orang tertentu untuk melariskan jualan surat khabar dan makalah mereka.

Ini benar-benar bertentangan dengan akhlak asas seorang Muslim. Geleng kepala.

Apatah lagi pada zaman era MukaBuku, Pengicau dan Instagram ini, semakin mudahlah berita-berita yang berbicara tentang keburukan orang lain disebarluaskan. Dengan hanya sekali klik, tabiat Dato' Kelvin Klein yang suka memakai seluar dalam berwarna merah  jambu dihebahkan. Dengan hanya sekali tekan, gambar Kak Sarkonah sedang mengacau rendang sambil menggaru punggung pantas dikongsikan. Dan dengan sekali sentuh, mesej pergaduhan antara Azmin Sali dan Khalid Ismail tentang arnab siapa yang lebih gemok diperbesar-besarkan. 

Budaya troll yang semakin popular dalam kalangan generasi muda terutamanya juga menjadikan cacian dan umpatan bukan sekadar kebiasaan, tapi kemestian. Dikongsi pula gambar-gambar yang mengaibkan atau dialog-dialog jujur yang memalukan secara berantai di Waksep, Line dan sebagainya! Mudahnya nak buat dosa-dosa kering secara percuma di zaman ini kan?

Hmmm. Sedap kan bau daging-daging manusia bakar...?

Lebih menakutkan dan mengerikan lagi, apabila di dalam bulatan-bulatan gembira yang sepatutnya diisi dengan pengisian dan perkongsian tarbawi dan menggugah jiwa itu, juga dihidangkan dengan daging-daging manusia panggang dan goreng tepung. Secara sedar atau tidak, perbincangan yang berbicara tentang keburukan dan kebejatan orang lain, begitu rancak dan seronok dilakukan di dalam pertemuan-pertemuan berkala ini.

"Ana perasan, akh Nobita tu dah lama tak berbulatan gembira. Mesti dia dah futur kan? Ish ish ish. Itulah tebal sangat jahiliyyah tu!"

"Enti tau tak, ukhti Barbie tu ponteng konferens riang minggu lepas? Entah, dengarnya sebab hal keluarga. Tapi rasanya dia memang malas nak pergi tu."

"InshaAllah hari ni kita nak berbicara tentang Akhbar Alam Islami. Uhm ana nak kongsikan tentang cincin yang dibeli oleh Rosnah Matnor. Dengarnya dia beli pakai duit zakat. Betul ke?"

Tersembur air suam-suam kuku.

Konon nak bermuhasabah, tapi sebenarnya sedang cari masalah. Konon nak ambil iktibar, tapi sebenarnya membuat onar. Konon nak sama-sama ambil pengajaran, walhal apa yang dilakukan sebenarnya mencari kemurkaan!

Potong bawang. 

Koyak. Rabak. [Kredit]

Dan hal ini tidak hanya melibatkan rakan-rakan dan keluarga terdekat. Sebenarnya ghibah ini teraplikasi kepada mereka yang tidak ada hubungan saudara-mara, kenalan, persahabatan hatta bau-bau bacang sekalipon! Termasuklah para artis dan selebriti, para pemimpin negara dan parti politik dan sesiapa sahaja di luar sana, termasuklah abang Pakistan yang menjual cendol pulut jagung di tepi jalan itu! Err.

Ya saya tahu. Saya tahu. Memang ada situasi di mana dibenarkan ghibah ini. Contohnya, mengadu kepada hakim tentang orang yang zalim atau dalam hal meminta fatwa. engan syarat-syarat dan keadaan tertentu, sememangnya dibenarkan untuk kita mengunjing dan mengumpat ini.

Namun saya khuatir, apabila kita sengaja mereka-reka alasan, mencari-cari helah untuk 'menghalalkan' umpatan dan cacian kita. Berhujah dengan penuh semangat shiuhh shiuhh rambut menggerbang ditiup angin, mempertahankan tindakan kita mengumpat dan mengata orang atau individu tertentu, walhal tidak perlu pon untuk kita berbuat sebegitu.

Mengapa mahu sengaja mencampakkan diri kita ke dalam kawasan samar-samar, yang tidak hitam dan tidak juga putih? Mengapa sengaja mahu melakukan sesuatu yang syubhah (tidak pasti) sedangkan perkara yang pasti lagi jelas sudah trang tang tang di depan mata? Mengapa mahu sengaja cari fasal sedangkan kita punya pilihan yang jauh lebih selamat dan berkat..?

"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam..."

[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]

Melainkan kita benar-benar pasti bahawah ghibah yang bakal kita lakukan itu benar-benar dibenarkan dan halal di sisi syari'e, lebih baik kita mengambil langkah selamat dengan berdiam diri sahaja. Dan berdiam diri di sini, termasuklah tidak berkongsikan gambar-gambar atau kuot-kuot yang mengaibkan di alam maya!

Dan tidak mahukah kita aib-aib kita yang memalukan dan mengalirkan peluh besar itu ditutup Allah di Mahsyar nanti, apabila kita menutup aib orang lain di dunia ini? Meskipon ia adalah keaiban yang sahih dan sudah terbukti benar?

Tidak takutkah kita di Hari Pengadilan nanti, tatkala kita menyangka kita sudah terjamin masuk sorga, hanya berputih mata melihat segala amal kita berterbangan ibarat debu di padang pasir, satu persatu diambil dan diberikan secara percuma kepada mangsa-mangsa kanibalisme kita ketika di dunia dahulu? Tidak ngerikah kita, andai kita dicampak, diseret mulut dan wajah kita di atas lantai neraka, hanya kerana kelancangan mulut kita berkata-kata sewaktu kita hidup dahulu? 

"Barangsiapa menolak (ghibah atas) kehormatan saudaranya, niscaya pada hari kiamat Allah akan menolak menghindarkan api neraka dari wajahnya."

[Hadith Riwayat Ahmad] 

Habuk masuk mata.

Benar, kezaliman itu perlu ditentang. Penindasan itu perlu diperangi dengan sehabis baik. Tapi bukan dengan cara kita menzalimi diri sendiri apatah lagi orang lain. Bukan dengan cara kita menjadi kanibal, memakan daging saudara-saudara kita dengan rakus sekali! 

Saya khuatir sekali, andai tabiat dan budaya mengumpat ini tidak dibendung dengan seriyes, arakian semakin kurus keringlah umat Islam dek banyaknya daging-daging mereka yang dimakan. Eh. Maksud saya, risau andai tabiat mengunjing dan menganyam ketupat ini menjadi kebiasaan dan tabiat harian kita semua, sehingga hati kita menjadi keras dan kering, tidak lagi dapat membedakan antara dosa dan pahala. Umat Islam sering bercakaran, memburuk-burukkan antara satu sama lain dan saling menjatuhkan dek tempias umpatan yang beracun dan memunuh ini.

Maka berhentilah. Berhentilah daripada memakan daging-daging saudara-saudara kita, walau selemak dan segebu mana pon ia. Kerana ia bukan sahaja akan menggemokkan kita dengan dosa dan noda di dunia, ia juga akan menjejaskan kesihatan tubuh badan kita di akhirat nanti.

"Celakalah setiap pengumpat dan pencela!"
[al-Humazah, 104:1]

Celakalah! Celakalah!

Gulp.

-gabbana-

Ketika saya berkongsikan status yang membawa maksud yanghampir serupa di laman MukaBuku saya, ada satu komen yang cukup lucu dan menggelikan hati. Ia berbunyi kurang lebih begini:

"Daging Rosmahlah yang paling banyak aku makan. T.T"

Lucu, tetapi ada benarnya di situ. 

Moga kita terhindar daripada tergolong dalam kalangan kanibal tanpa sedar ini. Tsk.

21 January 2014

Mujahadah Itu Tidak Selazat Kek Lapis Sarawak

[Kredit]

Mujahadah.

Pertama kali saya benar-benar menghargai erti perkataan ini adalah selepas saya menyertai gerabak tarbiyah dan dakwah. Sebelum itu mujahadah hanyalah satu perkataan Arab yang ada dimuatkan di dalam buku-buku teks Pendidikan Islam.

Satu perkataan, tapi cukup bermakna.

Satu perkataan, namun cukup berkuasa.

Satu perkataan, tapi dapat merungkaikan segalanya. 

Sekiranya ada yang bertanya kepada saya, apakah elemen terpenting untuk menjadi seorang dai'e ilallah, tanpa ragu-ragu dan kompromi lagi saya akan katakan: MUJAHADAH. 

Malah saya yakin, sekiranya Wonderpets berbulatan gembira dan menyertai konspirasi tarbiyah ini, mereka juga pasti akan bersetuju dengan saya: "Apa yang penting? Mujahadah!" Wahahaha. 

Mengapa?

Kerana untuk ikhlas itu memerlukan mujahadah.

Untuk faham itu memerlukan mujahadah.

Untuk meninggalkan jahiliyyah itu memerlukan mujahadah. 

Untuk membawa bulatan gembira itu memerlukan mujahadah.

Untuk istiqamah dalam tarbiyah dan dakwah itu memerlukan mujahadah. 

Pendek kata, hampir segala-galanya dalam tarbiyah dan dakwah itu memerlukan mujahadah. 

Nah, apa pengertian mujahadah?

Jika ditanya pendapat saya, tiada perkataan dalam Bahasa Melayu yang benar-benar menggambarkan mujahadah. Benar, ia diterjemahkan sebagai bersungguh-sungguh. Namun pengertiannya lebih besar daripada itu. Erti mujahadah itu jauh lebih signifikan dan bermakna daripada sekadar bersungguh-sungguh.

Mujahadah bermakna berkorban segala apa yang ada pada diri kita. Mujahadah beerti bersungguh-sungguh dengan segala daya upaya untuk mencapai sesuatu. Mujahadah bermaksud sanggup mati dan menggadaikan jiwa hanya kerana mahu mengejar impian dan tekad.

Kerana itu saya berani kerat jari untuk mengatakan, tarbiyah dan dakwah itu hilang maknanya tanpan elemen mujahadah ini. Mana-mana ikhwah atau akhawat yang lemah, longlai, sayur, biskut meri dan gemok untuk bermujahadah, akan mendapati dirinya semakin tertinggal di belakang dari gerabak yang bergerak laju ini.

Suatu ketika saya pernah ditanya, bagaimana saya sanggup untuk mengembara begitu jauh semata-mata mahu membawa bulatan gembira di Kolej Maha Busy dahulu. Err, tidaklah jauh mana pon, tetapi mungkinlah sedikit jauh daripada standard biasa. Hampir-hampir dibenarkan untuk jamak dan qasar solat jugalah. Eheh. 

Jawapan saya mudah: mujahadah. Ok klise. Wahahaha. Tetapi benar, saya tidak punya jawapan yang lain melainkan mujahadah. Tanpa mujahadah, saya tidak mungkin mampu untuk memandu sebegitu jauh, pulang lewat di tengah malam bertemankan pokok-pokok kelapa sawit di kiri dan kanan jalan dan makcik berbaju putih yang menjual nasi lemak kukus di tepi jalan. Eh. Tanpa mujahadah, saya tidak mungkin sanggup untuk berbelanja besar untuk duit minyak dan tol. Tanpa mujahadah, saya tidak mungkin cukup kuat untuk bergegas membawa bulatan gembira selepas habis bekerja dan bertarung pula dengan kesesakan di jalan raya.

Hanya dengan mujahadah sahaja saya mampu untuk melakukan itu semua. 

Malah saya berasa berat sewaktu saya terpaksa melepaskan bulatan gembira yang saya bawa di kolej itu. Kerana sudah 'hilang' satu elemen mujahadah saya. Mujahadahlah yang menjadikan saya bertenaga. Tidak perlu minum Livita atau Kerbau Merah, apatah lagi Kopi Jantan. Err. Mujahadahlah yang buatkan saya teruja untuk bertemu dengan hadek-hadek bulatan gembira. Dan mujahadahlah yang menghidupkan jiwa saya. Senyum.

Pernah suatu ketika, hadek-hadek pulang bercuti ketika itu. Atas kesedaran untuk memastikan tarbiyah mereka sentiasa berjalan hatta ketika cuti, kami telah membuat bulatan gembira atas talian (Baca: Usrah online). Masha-Allah, betapa 'syok'nya bulatan gembira atas talian ini! Saya mengendalikan bulatan tersebut dengan duduk di atas katil dengan pendingin hawa yang terpasang. Kadangkala itu bercakap sambil tutup mata kerana mengantuk. Dan usai sahaja bulatan gembira, tutup laptop dan bam! Boleh terus berbaring dan tidur!

Menyeronokkan bukan...? Peluh besar. 

(Nota: Tidak berniat untuk memperkecil atau mempersenda para murabbi di luar sana yang membawa bulatan gembira di atas talian. Saya hanya mahu berkongsikan perasaan dan pengalaman saya ketika itu.)

Dan saya juga perasan, ketika mana saya malas untuk bermujahadah, malas untuk memandu jauh-jauh semata-mata kerana mahu menghadiri suatu program tarbiyah, kedekut untuk mengeluarkan infaq hanya kerana merasakan saya memerlukan wang itu, tidak segera menyahut tawaran untuk membantu ikhwah, gemok untuk turun padang bermuayasyah dengan hadek-hadek, berat mata untuk bangun solat malam dan sebagainya, ketika itu entah mengapa, saya dapat merasakan seolah-olahnya hati saya kotor dengan bintil-bintil hitam. Terasa seperti lebih dekat dengan jahiliyyah dan jauh daripada hidayah.

Tunggu sebentar. Saya mahu buat lompatan tiruk ke dalam gaung. 

Lantaran itu, mujahadah itu juga bermakna, kita perlu memaksa diri kita meskipon kita tidak menyukainya. Kita perlu menolak kuat dan menyebat diri kita, agar kita melakukan perkara-perkara di luar zon selesa kita. Dan kita perlu melatih diri kita untuk membiasakan diri kita dengan kesusahan dan kepayahan.

Kerana akan tiba suatu hari nanti, apabila mujahadah kita akan benar-benar diuji. 

Apabila kita telah berkahwin nanti *batuk berdarah* adakah kita sanggup meninggalkan isteri terchenta kerana memenuhi tuntutan dakwah?

Apabila kita sudah punya anak yang comel-comel dan gebu-gebu nanti, adakah kita sanggup melepaskan keseronokan mendukung, mencubit pipi dan bermain sep-sep dengan mereka hanya kerana terpaksa menyertai konferens riang?

Dan apabila seruan jihad yang sebenar nanti dipalu, di mana ketika itu kita terpaksa mengangkat senjata dan meninggalkan segala-galanya - harta, kereta, isteri, anak dan kerjaya - tanpa jaminan yang kita akan kembali bernyawa... Sanggupkah kita...? 

Pandang ke langit. Air mata tumpah bercucuran.

Kerana itu, mujahadah adalah jihad yang paling hampir dengan diri kita. Mujahadah adalah jihad yang paling dekat di hati. 

Andai mujahadah itu tidak kita semaikan di dalam diri kita, tidak kita latih dan terapkan setiap masa dan ketika, maka hilanglah makna dan kelazatan sebuah perjuangan. Lahirlah sekumpulan para dua't yang manja, gemok dan sering merengek apabila dijentik. 

Dan hanya selepas kita menjiwai dan menghayati erti mujahadah yang sebenar, hanya selepas kita bersungguh-sungguh, berkorban segala-galanya demi menggapai redhaNya, baharulah kita dapat memaknai ayat chenta sakti yang satu ini:

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik."
[al-Ankabut, 29:69]

Nanges.

Ya, mujahadah itu payah, namun kepayahan itulah yang menghidupkan.

Ya, mujahadanh itu susah, namun kesusahan itulah yang menyegarkan.

Ya, mujahadah itu sakit, namun kesakitan itulah yang memberi kelazatan kepada sebuah keimanan

Ya, mujahadah itu perit, namun keperitan itulah yang memberi makna kepada erti sebuah perjuangan.

Ya, mujahadah itu pahit, kerana sorga itu manis.

Senyum.

-gabbana-   

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP