Uswah Clothing

27 September 2013

Fair & Lovely

[Kredit]

Bukan, ini bukan promosi ubat pencuci muka yang akan mencerahkan dan memutihkan wajah anda itu.

Pagi tadi ketika sedang menangkap gambar seorang diri untuk sebab-sebab yang tidak dapat saya kongsikan di sini, telah berlaku satu peristiwa yang cukup menginsafkan dan menaikkan bulu roma. Dalam banyak-banyak gambar yang ditangkap, ada satu gambar yang benar-benar menggugah jiwa saya.

Akibat pengcahayaan yang kurang baik ketika gambar itu diambil, wajah saya kelihatan gelap dan hilang serinya. Apatah lagi wajah saya kelihatan seriyes, tanpa senyuman dan seolah-olahnya saya sedang marah. Muram dan tanpa sinar, saya kelihatan benar-benar hodoh ketika itu. Malah saya sendiri berasa cuak dan terkejut melihatkan wajah saya di dalam gambar itu.

Benar-benar mencabar status saya sebagai seorang lelaki kachak bergaya abad ini. Wahahaha.

Peluh kecil. 

Entah mengapa, satu persoalan tiba-tiba menerjah kepala saya. Persoalan yang benar-benar menggugah jiwa dan menghentak sukma. 

Bagaimana kalau wajah saya sememangya tidak bersinar? Tiada cahaya keimanan yang terpancar padanya..? 

Shretttt. Seluar siapa yang koyak tu..? 

Persoalan tersebut tidak semena-semena membuatkan saya gelisah. Tidak senang berdiri dan terasa tidak sedap hati. 

Bagaimana sekiranya sangkaan saya itu benar? Dan apakah penyebabnya..?  

Mungkinkah saya tidak ikhlas dalam beramal selama ini? Mahu riya' dan menunjuk-nunjuk kepada orang lain?

Mungkinkah saya sering mengumpat dan mengata orang lain, sama ada sedar atau tidak?

Mungkinkah saya senang sekali memperkecil dan memperlekeh orang lain, dan sentiasa merasakan diri saya sendiri sahaja yang betul?

Mungkinkah saya sering bermaksiat ketika seorang diri, berlagak seperti seorang soleh kentut bau wangi pijak semut tak mati di hadapan orang lain? 

Atau mungkinkah hidup saya sebenarnya begitu jauh daripada apa yang dikehendaki oleh Allah dan Rasulullah..?

Mungkinkah semua ini yang menjadi penyebab mengapa wajah saya tidak bersinar dengan cahaya keimanan? Mungkinkah semua ini yang telah merompak cahaya gemilang dan sinar cemerlang daripada wajah saya yang berseri-seri dan  boleh tahan tampan itu? Eh. 

Atau mungkinkah sebenarnya selama ini, saya tidak beriman pon; maka mana mungkin ada cahaya..?

Ok itu sentap tahap Otromen Taro. Kasar kot. Wuwuwu. 

Lantas saya teringat kepada beberapa ayat Quran yang berbicara tentang wajah-wajah orang beriman di akhirat kelak. Anda bersedia..? Kerana ia bakal menyakitkan. Dan ada kemungkinan akan berlaku kebakaran. 

Baiklah. Tarik nafas. 

"Pada hari engkau akan melihat orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, betapa cahaya mereka bersinar di hadapan dan di samping kanan mereka, (dikatakan kepada mereka), 'Pada hari ini ada berita gembira untukmu, (iaitu) sorga-sorga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Demikian itulah kemenangan yang agung."
[al-Hadid, 57:12]

Pergh. Epik. Dan apa pula nasib orang yang munafik? Yang memungkiri janji mereka di dunia dahulu?

"Pada hari orang-orang munafik lelaki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman, 'Tunggulah kami! Kami ingin mengambil cahayamu.' (Kepada mereka) dikatakan, 'Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu).' Lalu di antara mereka dipasang dinding (pemisah) yang berpintu. Di sebelah dalam ada rahmat dan di luarnya hanya ada azab."
[al-Hadid, 58:13]  

Sakit punggung. Ada sesiapa yang memerlukan tisu? Apa nak sekotak?

Mari kita lihat satu lagi firman Allah:

"Wajah-wajah (orang mu'min) pada hari itu berseri-seri. Memandang Tuhannya.

Dan wajah-wajah (orang kafir) pada hari itu muram. Mereka yakin akan ditimpakan kepadanya malapetaka yang sangat dahsyat."
[al-Qiyamah, 75:23-25]

Wah, siapa yang potong bawang ni..? Banyak sangat kulit bawang atas lantai ni!
 
Ehem.

Jelas bukan, bagaimana Allah memisahkan orang-orang mu'min dengan orang-orang yang berdosa di akhirat nanti..? Cukup mengerikan, sadis dan mengalirkan air mata sebaldi bukan..? 

Tapi Inche gabbana.. Ayat-ayat tu macam spesifik tuju kat orang-orang kafir je..? Tak pon orang-orang munafik. Ish takkanlah kita ni teruk sangat kottt...

Ha itulah masalahnya. Kita selalu 'bersangka baik' pada diri kita. Kadang-kadang tu terlebih sangka baik pula. Hoh.

"Alaaa. Kan Nabi ada cakap, selagi mana kita ucap kalimah 'Lailaha ilallah,' ha konfem akan masuk sorga. Nak takut apa..?"

"Orang-orang Islam konfem masuk sorga kottt. Kalau dah dicampak ke dalam api neraka sekalipon, nanti masuk sorga jugak. Rilek ah."

"Ish saya ni baik apa. Solat tak tinggal. Puasa Ramadhan penuh. Dosa maksiat tu, ala biasa la kot. Manusia. Takkanlah Allah nak campak saya masuk neraka. Allah tu kan Maha Penyayang..?"

"Ayat-ayat Quran yang cerita pasal azab api neraka lah, seksaan Dia yang maha keras lah, tu semua tuju kat orang-orang kafir. Apa kena-mengena dengan kita..?"

"Pelacur pon Allah bagi masuk sorga. Orang yang dah bunuh 100 nyawa pon Allah ampunkan. Kau nak kecoh apa? Jangan syadid sangat boleh tak..?"

"Ni kalau aku mati ni, InshaAllah masuk sorga ni. Amal aku banyak. Sedekah pon not bad. InshaAllah InshaAllah. Amin."

Terduduk.

Biasa kan dengan dialog-dialog sebegitu rupa? Mana tak biasa, sebab kebanyakannya datang daripada kita juga! Aiseh.

Masalahnya anda semua... Benarkah kita ini muslim..? Betulkah kita sudah benar-benar beriman? Iman bagaimana yang dimaksudkan oleh ar-Rasul itu? Bukankah ayat-ayat Quran diturunkan untuk kita semua dan menjadi tanggungjawab kita untuk memahaminya? Apa cerita di sebalik si pelacur masuk sorga dan lelaki yang diampun dosa-dosanya meski sudah membunuh seratus nyawa..?

Syaikh Abul A'la Maududi, seorang ulama' besar di India memberikan argumentasi yang cukup pedas, tajam lagi mengoyak jiwa tentang status kemusliman seseorang itu, di dalam tulisannya 'Dasar-Dasar Islam.' Katanya, seseorang itu tidak boleh dikatakan muslim apatah lagi beriman, hanya kerana namanya Abdullah, dia tidak makan babi dan sekali-sekala menunaikan solat di masjid! Kerana menurut Syakh Maududi, tidak adillah Allah andai seorang Muslim itu masuk sorga hanya kerana namanya yang bunyi ala-ala Arab itu, dan orang kafir dimasukkan ke dalam neraka!

Ujarnya lagi, seseorang itu hanya benar-benar beriman apabila dia beriman sepenuhnya dengan apa yang diturunkan Allah kepada manusia. Tidak cukup dengan itu, dia juga hendaklah beramal dengannya!   

Dan ayat-ayat Quran sendiri banyak mencela orang-orang fasiq dan orang-orang munafiq; mereka yang banyak bermaksiat dan keimanan mereka yang dusta! Lalu kita memeriksa diri kita; bukankah diri kita ini penuh dengan dosa dan noda..? Bukankah sudah banyak janji-janji kita pada Allah yang kita mungkiri..? Dan anda tahu apa janji Allah untuk golongan sebegini? Neraka! 

Nanges laju-laju. Lap hingus.

Nah, bagaimana..? Masih mahu mendakwa diri itu sebagai ahli sorga? Masih berasa yakin yang diri itu konfem akan menjejakkan kaki ke dalam sorga, meski terpaksa dicampakkan ke dalam neraka? Masih merasakan diri itu sudah beriman..? Dan jujurnya, anda betul-betul nak masuk ke dalam neraka dahulukah..? Anda sanggup..? Gulp.

Jadi... Marilah kita mencari cahaya keimanan itu, yang bukan sahaja akan menyerikan wajah kita dengan sinarnya yang gemilang, tetapi yang bakal menerangkan kubur kita nanti dan yang akan menjadi obor yang menerangi jalan kita ke sorga. Yang akan menjadi hujah dan saksi kita di hadapanNya nanti, yang bakal menjadikan kita sebagai para kekasih yang dirindui Rasulullah dan para penghuni langit sekaliannya. 

Iman yang benar. Bukan plastik. Iman yang mencerahkan. Bukan menggelapkan.

"Muhammad adalah utusan Allah, dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih-sayang sesama mereka. Kamu melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaanNya. Pada wajah mereka tampak tanda-tanda bekas sujud."
[al-Fath, 48:29]

Kita tidak perlukan pencuci muka cap Fair & Lovely untuk kelihatan cerah bercahaya. Kita hanya perlukan keimanan yang benar dan jitu.

"Kak, boleh beri saya pencuci hati cap Fair & Lovely tu tak..?"

Senyum.

-gabbana-

24 September 2013

Dan Kita Kata Kita Sayang Allah?

[Kredit]

Kita kata kita sayang Allah,
Tapi hari-hari kita penuh maksiat,
Buat noda bukan main cepat,
Buah dosa tumbuh bukan main lebat,
Sampai hati tu dah hitam berkarat, 
Jiwa dah keras macam batu bersurat,
Nak bertaubat punyalah liat,
Susah payah nak dirikan solat,
Takkan nak tunggu Puan Mama datang sebat?
Inche Papa tercokoh buat muka kelat?
Dan kita kata kita sayang Allah?

Kita kata kita sayang Allah,
Tapi bila bilal panggil datang solat,
Kura-kura berjalan rasanya lagi cepat,
Kita syok makan popkon perisa cokolat,
Tapi bila adik manis ajak jumpa sat,
Amboih, kitalah paling cepat, paling hebat!
Usain Bolt pon kita boleh hambat! 
Bila Tuan Bos Besar panggil mesyuarat,
Bukan main berdebar pakai semat semat,
Dan kita kata kita sayang Allah?

Kita kata kita sayang Allah,
Tapi Quran kita baca berapa mukasurat?
Kita simpan sampai berhabuk berkulat,
Orang tadabbur kita main lekat-lekat,
Walhal Quran untuk sekalian umat,
Untuk dibaca diambil manfaat! 
Tapi baca manga bukan main semangat,
Tiga kali sehari macam makan ubat! 
Dan kita kata kita sayang Allah?

Kita kata kita sayang Allah,
Tapi arahan Allah kita main rembat,
Sunnah Nabi tak pernah nak dibuat,
Kita hidup macam jin hutan keramat,
Kita rilek macam takkan kiamat,
Kita lupa nyawa kita akan tamat,
Dah dekat akhirat sapa nak bagi syafaat?
Dan kita kata kita sayang Allah?

Kita kata kita sayang Allah,
Tarbiyah dakwah kita rasa berat,
Kita kata oh wajib ke bukan sunat?
Manusia di luar sana sedang sakit tenat, 
Mungkar depan mata kita buat Kasim Selamat,
Kubur masing-masing, kita berdebat,
Dan kita kata kita sayang Allah?

Kita kata kita sayang Allah,
 Tapi tubuh badan kita macam tiada aurat,
Biar nampak peha berbulu lebat,
Lelaki perempuan aih tiada ikhtilat?
Kita ni manusia atau raksasa jahat?
Dan kita kata kita sayang Allah?

Kita kata kita sayang Allah,
Tapi hobi masa lapang kita anyam ketupat,
Mengata orang sudah jadi tabiat,
Amboi, lidah tu nak kena bakar, kena kerat?
Dan kita kata kita sayang Allah?

Kita kata kita sayang Allah,
 Tapi dalam sehari berapa kali kita ingat?
Adakah Dia dalam hati setiap saat?
Dan kita kata kita sayang Allah?

Kita kata kita sayang Allah,
Jangan lambat-lambat takut tak sempat bertaubat!
Dan kita kata kita sayang Allah?

Say what?

Pppfffttt!

-gabbana-

Tamparan seratus lapan puluh darjah untuk diri sendiri dahulu. 

23 September 2013

Kemenangan Adalah Kesabaran Satu Saat

[Kredit]

Tersebutlah kisah dua orang lelaki yang berbalah. Dek rasa tidak puas hati yang amat sangat, salah seorang daripada mereka mengajukan agar mereka bertumbuk untuk membuktikan siapa di antara mereka yang lebih kuat dan anak jantan. 

Namun lelaki yang seorang lagi mencadangkan kaedah lain untuk menunjukkan kekuatan mereka; lawan gigit jari. Ya bunyinya seperti gegurl tetapi sebenarnya ia memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang boleh tahan juga.

Caranya begini; lelaki A menggigit jari lelaki B dan begitu juga sebaliknya. Siapa yang menjerit dahulu akibat tidak tahan kesakitan, dia dikira kalah dan secara otomatiknya, err, dianggap pondan. Eheh.

Maka bermulalah lawan gigit jari antara lelaki A, yang di awalannya mencadangkan agar mereka bertumbuk dan lelaki B, yang mencadangkan perlawanan gigit jari itu. Mengalirlah air mata keduanya menahan kesakitan yang teramat sangat, apatah lagi kedua-dua belah pihak menggigit dengan sekuat hati dan mampu mereka. Gigit-menggigit berlangsung selama beberapa minit sebelum lelaki A akhirnya menjerit kesakitan tidak tertahan lagi. 

"Weyy kau tak sakit ke...?? Nak terputus dah jari aku ni!" teriak lelaki A sambil mengibas-ngibas jari telunjuknya yang digigit lelaki B, yang kini sudah bertukar warna merah padam. 

"Sebenarnya aku pon dah tak tahan dah tadi. Sikit je lagi aku pon dah nak teriak. Tengok-tengok kau teriak dulu! Haha." Lelaki B tersenyum bangga dalam menahan kesakitan. 

Ya, kemenangan adalah kesabaran satu saat. Satu saat. 

Dalam kehidupan kita sehari-hari, berapa kali kita 'kalah' kerana tidak sabar menunggu satu saat..? 

Nasi lemak ayam dara yang kita korbankan kerana tidak tertahan menunggu barisan beratur yang panjang.

Kita menjadi marah dan raksasa gorgon tak tentu hala hanya kerana makcik tua memandu perlahan keretanya di lorong paling kanan.

Ceramah Nouman Ali Khan yang kita lepaskan kerana tidak sabar mencari parkir kereta yang kosong.

Pertemuan dan temu janji yang lambat kita hadiri, hanya kerana mahu menunggu jalan sudah kosong atau tren yang sudah tidak sesak lagi.

Buku bestseller yang telah lama kita nantikan, tapi kita biarkan kerana malas mahu berebut-rebut dengan orang lain. 

Anak dara Pakcik Razali Hashim yang kita tinggalkan kerana dia mahu habiskan ijazah perguruannya dahulu sebelum berkahwin.

Eh. 

Semuanya akibat ketidaksabaran kita menunggu selama 'satu saat.' Rugi. Rugi! 

Namun yang lebih merugikan dan mengerikan, adalah apabila kita tidak mampu bersabar untuk sesuatu yang lebih besar lagi. Kita tidak mampu menunggu satu saat untuk kemenangan agung yang abadi. 

Itulah mengejar keredhaan Allah yang hakiki.

Sudah berapa kali hadek-hadek kita tidak menjadi, hanya kerana kita tidak sabar dalam mendidik dan membentuk mereka?

Sudah berapa kali kita terlepas menghadiri konferens riang yang begitu osem kebabommm! hanya kerana kita malas memandu ke sana?

Sudah berapa kali kita terlepas, memarahi ikhwah yang kita chentai hanya kerana tidak dapat menahan kemarahan kita, meski hal yang dibalahkan itu remeh-temeh sahaja?

Sudah berapa kali kita berputus-asa dengan tarbiyah dan dakwah, hanya kerana sehingga ke hari ini kita masih tidak dapat melihat hasil kerja-kerja kita? 

Sudah berapa kali kita berasa hampa dengan Allah, hanya kerana doa-doa kita masih belum dimakbulkanNya?

Sudah berapa kali kita kalah kerana kita gagal untuk bersabar untuk satu saat sahaja..? 

"Adakah kamu mengira kamu akan masuk sorga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) oleh orang-orang yang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan pelbagai cubaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bertanya, 'Bilakah sampai pertolongan Allah?' Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.'
[al-Baqarah, 2:214]


Ya, kemenangan itu sudah dekat. Sudah teramat dekat sebenarnya. Seolah-olahnya ia sudah berada di luar pintu, hanya sahaja tinggal untuk kita membukanya. Ibaratnya ia sudah berada di sebelah kita, hanya sahaja tinggal untuk kita mendakap eratnya. 

Tetapi kerana ketidaksabaran kita, dek kegopohan kita, hanya kerana sikap kita yang terburu-buru, kemenangan itu tampak payah dan jauh. Pertolongan Allah itu seolah-olahnya mustahil dan tidak akan kesampaian. Sedangkan kemenangan itu sudah dekat. Pertolongan Allah itu sudah terlalu hampir. Hanya sahaja tinggal kita untuk sabar menanti kehadirannya.

Oleh sebab itulah, Allah menyuruh kita untuk meminta pertolongan dengan sabar dan solat.

"Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan (solat) itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu'."
[al-Baqarah, 2:45]


Kerana pada kesabaran itu ada kemanisan iman. Pada solat itu ada kemanisan berhubung dengan Tuhan. Kedua-duanya ini, jika diadun dengan mesra, diuli hingga sebati, adalah resipi kemenangan yang tiada tolok bandingnya. 

Sepertimana Khubaib bin 'Ady r.a., yang bersabar menahan keseksaan dilapah hidup-hidup di tiang salib oleh musyrikin Mekah, kerana dia tahu sorga sedang menantinya. 

Sepertimana kesabaran Bilal bin Rabah r.a. yang diseksa dengan begitu kejam di atas padang pasir yang membakar, kerana dia tahu aqidah yang dipegangnya itu benar.

Atau sepertimana ketahanan Sumayyah r.a., puteri syuhada' yang diperlakukan dengan begitu zalim dan hina sekali, kerana dia tahu janji Allah dan ar-Rasul itu benar. 

Apakah rahsia kehebatan mereka ini..?? Sabar. Hanya perlu bersabar sahaja. Bersabar sedikiiittt sahaja sebelum kemenangan yang agung itu tiba! 

Maka  bersabarlah, meskipon ia payah! 

Allah bersama dengan para penyabar! [Kredit]

Namun sebelum itu, kita akan diuji dan diuji dan diuji, sehingga kesabaran kita sampai ke kemuncaknya, sehingga kebergantungan kita hanya pada Allah semata, sehingga kita tiada tempat mengadu yang lain melainkan Allah...

Ketika itu... Kita akan menang. Ya, menang! Sepertimana para sahabat dan ar-Rasul yang bertanya,

"Bilakah sampai pertolongan Allah..?"

Ketika kita sudah mampu untuk bersabar selama satu saat, ketika itu, pertolongan dan kemenangan akan datang.

Senyum.  

-gabbana-

20 September 2013

Apa Jadi Kalau Orang Terkenal Ikut Tarbiyah

[Kredit]

Anda yang sudah jatuh chenta berguling-guling di lereng bukit ala-ala filem Hindi dengan tarbiyah, pasti amat bersetuju dengan saya, betapa tarbiyah benar-benar telah mengubah hidup kita. Daripada seekor raksasa gorgon yang kerap meranapkan bangunan kehidupan orang lain, dengan kuasa ajaib pada tarbiyah, kini kita sudah bergelar sebagai Otromen Daina yang hidupnya bukan sekadar mengalahkan pula raksasa-raksasa di luar sana, malah sentiasa berlatih dan bersenam untuk memantapkan lagi diri sendiri. 

Ok merepek. 

Dan anda juga pasti akan bersetuju, tanpa tarbiyah, kehidupan kita pada hari ini mesti amat berlainan dan kucar-kacir sekali. Dahulu saya pernah menukilkan andaian-andaian liar saya, bagaimana agaknya kehidupan saya tanpa tarbiyah dalam post "Kalau Saya Tidak Bersama Tarbiyah, Saya Sudah Menjual Dadah. Err." Peluh kecil. 

Tarbiyah benar-benar telah memberikan kita dengan kaca mata kehidupan baru yang benar-benar osem lagi bergaya. Kita tidak lagi melihat dunia dan manusia di luar sana dengan pandangan biasa; pandangan nafsu dan jahiliyyah yang selama ini menjadi darah daging dalam diri. Alhamdulillah, kini kita melihat manusia yang jauh daripada Allah dengan perasaan kasih dan belas, di mana kita benar-benar mahu mereka kembali menjadi hamba yang taat kepadaNya. Dan kita juga memandang dunia ini dengan penuh optimis, betapa suatu hari nanti kita yakin Islam akan tertegak kembali menjadi sistem yang akan memerintah alam buana ini dengan penuh adil dan saksama. 

Betulkan tempat duduk. Betulkan tali leher.  

Nah, pernahkah anda terfikir,  sekiranya tarbiyah punya kesan yang cukup mendalam kepada kita semua, bagaimana agaknya dunia ini andai orang-orang terkenal dan selebriti glamor berjaya diumpan, ditangkap dan dihumban masuk ke dalam sangkar tarbiyah..? Ha, pasti menarik bukan? Mereka yang punya pengaruh yang cukup besar dalam masyarakat dan sering menjadi contoh tauladan, pasti dapat memberikan impak yang cukup signifikan kepada kampung, daerah, negeri, negara, benua dan seterusnya dunia! Wahai!

Jom kita saksikan!  

P. Ramlee
Seniman agung yang karyanya masih lagi dipuja dan dihormati oleh segenap lapisan masyarakat pada hari ini, P. Ramlee yang mengikuti bulatan gembira dan sering menghadiri konferens-konferens riang mendapat ilham untuk menghasilkan filem-filem berunsurkan tarbiyah yang bermutu tinggi. Antara filem-filem yang dihasilkannya termasuklah:

  1. Ikhwah Lapuk
  2. Alif Baa Taa
  3. Tiga Abdullah
  4. Ibu Mertuaku, Bukan Akhawat
  5. Jangan Tinggal Daku, Wahai Hidayah
  6. Mutarabbi Berjanggut
  7. Ustaz Pak Belalang
  8. Ahmad Asbab
  9. Sitora Ikhwah Jadian
  10. Anakku Sazali Kenapa Kau Tak Nak Masuk Usrah?

Filem-filemnya yang cukup berkesan dan menyentuh ramai jiwa di luar sana, menjadikan karyanya adalah suatu hasil seni pasti tonton oleh ikhwah dan akhawat, malah dijadikan silibus wajib dalam bulatan gembira. 

Ada iras-iras Hassan al-Banna tak..? Heh. [Kredit]
J.K. Rowling
J.K Rowling disentuh hidayah ketika menaiki keretapi menuju ke sebuah destinasi. Terus sahaja dia mendapat ilham untuk menulis buku kanak-kanak berunsurkan tarbiyah yang watak utamanya adalah Ahmad Heri. Buku ini ditulis dalam lapan siri kesemuanya dan berjaya menembusi pasaran antarabangsa dalam sekelip mata. Jualan buku Ahmad Heri ini begitu laris sekali sehinggakan J.K Rowling, yang kini merupakan seorang akhawat berapi menjadi salah seorang penulis terkaya di dunia.

Antara siri-siri buku Muhammad Heri termasuklah:

  1. Ahmad Heri dan Bulatan Gembira Pertamanya
  2. Ahmad Heri dan Jaulah Menuju RedhaNya
  3. Ahmad Heri Belajar Berdakwah
  4. Ahmad Heri Mengucapkan Babai Jahiliyyah!
  5. Ahmad Heri dan Syahadatul Haq
  6. Ahmad Heri dan Pengalamannya Membawa Bulatan Gembira Sendiri

Martin Luther King Jr.
Marthin Luther King Jr., merupakan seorang aktivis kulit hitam yang memperjuangkan nasib orang-orang kulit hitam yang ditindas dengan begitu teruk di Amerika. Setelah mendapat sentuhan tarbiyah, perjuangannya bukan sahaja memfokuskan kepada memerdekakan bangsanya daripada penindsan dan kezaliman orang kulit putih, tetapi beliau juga memperjuangkan Islam secara keseluruhannya dan mahu melihat Islam tertegak sebagai khilafah di bumi Amerika. 

Di dalam ucapannya yang begitu terkenal di Washington pada tahun 1963, beliau berkata,

"Saya mempunyai sebuah impian, untuk melihat Islam kembali tertegak sebagai khilafah yang bukan sahaja memerintah Amerika, malah dunia dengan penuh adil dan saksama!

Saya mempunyai sebuah impian, umat Islam dan yang bukan Islam akan tinggal dengan penuh harmoni, saling menghormati di bawah panji negara Islam yang benar-benar menjaga kebajikan manusia keseluruhannya.

Saya mempunyai sebuah impian  baik anak-anak para hamba, mahupon anak-anak para pemilik hamba, akan sama-sama bergandingan bahu, berpegangan tangan menuju redhaNya menjadi hamba yang sebenar.

Dan saya mempunyai sebuah impian, suatu hari nanti kita semua dihakimi bukan dengan warna kulit kita mahupon harta yang ada pada kita, tapi nilai taqwa kita di sisiNya."

Epik. 

Mahatma Gandhi
Siapa yang tidak kenal dengan Mahatma Gandhi? Sehingga ke hari ini, wang-wang kertas India dihiasi dengan wajah si tua yang telah berjaya menggegarkan dunia dengan perjuangan aman dan sivilnya dalam menuntut kemerdekaan yang total daripada pihak British. Setelah berkali-kali berhubungan dan berbincang dengan Syaikh Abul 'Ala al-Maududi, beliau mendapat hidayah lantas matanya bersinar-sinar dengan cahaya tarbiyah. 

[Kredit]

Antara kuot-kuot tarbiyahnya yang begitu femes lagi menyentuh hati:

"Hiduplah seperti anda mati pada esok hari. Dan tuntutlah ilmu seperti anda akan hidup buat selamanya."

"Jadilah perubahan soleh sepertimana yang anda mahu lihat pada dunia ini."

"Sekelumit kesabaran adalah jauh lebih berharga daripada satu tan percakapan."

"Tanpa amal, usaha dakwah anda tidak akan ke mana."

"Si lemah tidak mungkin memaafkan. Sifat pemaaf hanya dimiliki oleh mereka yang qawiyy."

"Anda dapat menggegarkan dunia dengan bulatan gembira." 

"Saya adalah seorang askar; askar kepada Allah!"

"Meskipon ada seorang ghuraba, kebenaran tetap adalah kebenaran."

Beliau akhirnya menukar namanya menjadi Muhammad Gandhi. Lejen.

Steve Jobs
[Kredit]

Siapa sangka, pengasas kepada jenama Apple ini yang telah berjaya mengubah dan merevolusikan dunia digital kita pada hari, sebenarnya telah disapa oleh Makcik Hidayah setelah tersalah muatnaik aplikasi azan ke dalam iPhonenya, dan terus tersentuh apabila terdengar laungan azan Subuh di pagi hari. Setelah itu beliau tidak berpaling ke belakang lagi dan terus menghasilkan produk-produk pintar bermutu tinggi yang mempunyai unsur-unsur tarbiyah dan dakwah. Antaranya:
  1. iTadabbur
  2. iTafsir
  3. iHadith
  4. iMutabaah
  5. iSlam
  6. iKhwah
  7. iSK
  8. iHalaqah
  9. iUsul20
  10. iPK

Sudirman Haji Arshad
Penyanyi terkenal di era 80-an ini telah berjaya menarik ramai orang untuk menyertai bulatan gembira dengan lagu-lagu nasyid dan tarbiyahnya, setelah beliau sendiri berjaya diperangkap masuk ke dalam gerabak tarbiyah dan dakwah oleh para peminatnya yang telah berubah. Konsert nasyidnya di Jalan Chow Kit pada tahun 1986 telah berjaya menarik lebih 100,000 orang peminatnya, bukan sahaja dalam kalangan ikhwah dan akhawat, malah masyarakat umum yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan bangsa. Memang osemness!

Antara lagu-lagu nasyidnya yang begitu menggugah jiwa dan memotong bawang termasuklah:
  1. Balik Kampungku, Sorga!
  2. Di Manakah Nilai Tarbiyahmu
  3. Mari Berbulatan Gembira
  4. Milik Siapakah Ukhti Ini
  5. Akhawat Impian
  6. Buraq Tua
  7. Mat Usrah
  8. Merisik Khabar Dah Nak BerBM
  9. 31 Ogos, Kita Sebenarnya Belum Lagi Merdeka Heyy!
  10. Allahu Ghayatuna

Dato' Sri Najib 1Malaysia
Perdana Menteri Malaysia yang keenam ini terkenal dengan pelbagai agenda tranformasinya. Beliau juga amat terkenal dengan pendekatan unik dan berani dalam mendekati anak muda dan pelbagai lapisan masyarakat. 

Ditakdirkan ketika sedang beriktikaf di Masjid Putra pada bulan Ramadhan yang lalu, beliau telah tersentuh dengan taujihat oleh seorang al-akh dan terus membuat keputusan untuk menyertai gerabak tarbiyah. Sayugia bermulalah era transformasi yang berasaskan Islam pada umumnya dan tarbiyah pada asasnya. Antara polisi-polisi dan agenda yang telah dilaksanakan oleh YAB Perdana Menteri kita:

  1. Bantuan Dakwah 1Ummah (BaDIUmm!). Dana akan diberikan kepada program-program tarbiyah dan dakwah tanpa banyak soal, birokrasi mahupon kompromi.
  2. Islamic Economic Transformation Program (iETP). Sistem ekonomi akan ditukarkan sepenuhnya kepada sistem ekonomi berasaskan syariah. Perbankan yang berasaskan riba' diharamkan sama sekali. 
  3. Perumahan Rakyat Ikhwah Akhawat (PRIWA). Bantuan tambahan akan diberikan kepada mana-mana ikhwah atau akhawat bujang yang mahu menubuhkan Rumah Islam (RI) untuk tujuan dakwah.
  4. Permodalan Tambahan Bulatan Gembira (PERMATA). Ini adalah badan pelaburan milik penuh kerajaan untuk memastikan setiap rakyat yang layak dan berkelayakan untuk direkrut masuk ke dalam bulatan gembira
  5. Bantuan Spesel Baitul Muslim (BSBM). Dana tambahan untuk ikhwah atau akhawat bujang yang mahu mendirikan rumah tangga. Ehemmm. 
  6. Rasuah dibanteras habis-habisan. Mana-mana pegawai kerajaan yang didapati mengambil/menerima rasuah akan dibuang negara.
  7. Harga minyak diturunkan dua puluh lima sen.
  8. Zakat diberikan secara adil dan saksama kepada semua orang yang layak, sehinggakan Pusat Zakat terpaksa pergi dari satu kawasan ke satu kawasan semata-mata mahu mencari mereka yang benar-benar layak menerima zakat bukan hanya tahu beli bangunan mahal-mahal dan buat majlis besar-besaran di hotel. Eh. 
Selain itu, Pilihan Raya Umum yang ke-13 yang lalu merupakan pilihan raya yang paling adil dalam sejarah, apabila semua pihak diberikan platform yang sewajarnya untuk berpolitik. Parti pimpinan Dato' Sri Najib, Saff Nasional (SN) menang besar dek rakyat yang begitu takjub dengan transformasi yang dibawakan beliau. Banyak lagi agenda-agenda lain yang telah dilaksanakan oleh Dato' Sri Najib yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, sehingga beliau dijolok dengan gelaran Amirul Mu'minin Khalifah Najib.

Alhamdulillah, Datin Sri Rosmah Mansur juga sudah mula mengenakan tudung, malah memakai tudung labuh paras lutut dan mula menyertai bulatan gembira. 

Pergh bangga siottt!

Adiwira
Para adiwira tersohor lagi ternama juga rupa-rupanya tidak mahu ketinggalan mengikuti tarbiyah. Alhamdulillah, setelah mendengar pengisian-pengisian berapi seperti Ini Sumpah Kool, Saya Hosem, Babai Jahiliyyah dan sebagainya (juga menghaplod aplikasi pintar ciptaan Steve Jobs seperti di atas), mereka bertekad untuk bukan sahaja terus berbakti kepada masyarakat, malah mengubah penampilan mereka supaya lebih soleh dan musleh.

Antara perubahan drastik yang dilakukan termasuklah:

  1. Superman: Tidak lagi memakai seluar dalam di luar. Bajunya juga lebih labuh dan longgar
  2. Inkredibel Hak: Rasanya dia sudah tidak lagi dapat berkhidmat, kerana setiap kali dia nak marah, pasti dia akan teringat pada hadith Rasulullah SAW, "Jangan marah. Jangan marah. Jangan marah." Wahahaha.
  3. Batman: Kekayaannya yang melimpah-ruah kini diinfaqkan kepada Palestin, Syria dan mereka yang amat-amat memerlukan. Bat Mobile yang dimilikinya juga selalu dipinjamkan kepada ikhwah yang mahu pergi berjaulah atau berehlah. 
  4. Cat Woman: Cat Woman kini sudah memakai tudung labuh dan tidak lagi membuat aksi seksi dan menggatal. Dia sudah menukar namanya kepada Ummi Hurairah. Berjaga-jaga, cakaran tarbiyahnya tajam dan berbisa!
  5. The Flash: The Flash memanfaatkan sepenuhnya kelajuannya untuk tidak lewat ke bulatan gembira mahupon konferens riang. Dia selalunya akan dilantik menjadi runner untuk membantu program-program tarbiyah.
  6. Spiderman: Spiderman masih lagi memanfaatkan kelebihannya untuk menangkap penjahat dan membantu mereka yang lemah. Di masa lapang, dia akan mentadabbur al-Quran sambil bertenggek di tepi dinding bangunan. Surah kegemarannya? Al-Ankabut. Eheh.
  7. Iron Man: Setelah begitu terkesan mendengar hadith logam dalam pengisian Ini Sumpah Kool, Iron Man bertekad untuk menggunakan kelebihan yang ada pada dirinya dengan sebaiknya untuk tarbiyah dan dakwah. Antara gajet yang berjaya diciptanya termasuklah magnet kuat untuk menarik mad'u (sasaran dakwah) di luar sana. Kool.
Mungkinkah ini rupa Superman andai dia mengikuti bulatan gembira..? Eheh. [Kredit]

Ramai lagi orang-orang yang tersohor lagi berpengaruh seperti Leornado da Vinci, Albert Einstein, Abraham Lincoln, Lenin, Mao Tze Dong, X-Men dan Christiano Ronaldo yang pastinya akan memberi impak maksima kepada dunia, andai mereka bersama dengan gerabak tarbiyah. 

Begitulah. Sungguh mengujakan bukan..? Bayangkan dunia yang pastinya berbeza dan lebih riang dengan bunga-bunga dafodil dan arnab gemok berlari gembira apabila ramainya orang-orang hebat bersama dengan tarbiyah.

Anda bagaimana..? Tidak mahu bersama-sama kami dalam gerabak ini untuk mengubah dunia..? Yakinlah, anda mampu melakukannya!

Kerana anda tidak perlu jadi terkenal dan tersohor untuk mengubah dunia. Anda hanya perlu menjadi manusia berjiwa hamba, yang jelas dengan tujuan hidup anda di dunia dan punya azam dan kesungguhan untuk mengubah alam buana!

Anda mampu melakukannya tahu..?

Senyum kenyit mata. 

-gabbana-

Banyak kali tergelak seorang diri tatkala menulis ini. Moga ia menghiburkan anda juga. Dan yang lebih utama, moga ia memberi manfaat yang besar kepada anda yang membacanya!

Aman.

17 September 2013

Kuot-Kuot Osem Dalam Bahasa Omputih

[Credit]

To be honest, I am currently undergoing a state of brain drain, where I don't really know what to write. Yes, it happens to me as well. Not that I have to write eh?

But not to let you - my ever loyal and beloved readers - become frustrated and craving for new posts, eheh, allow me to share some brilliant and awesome quotes that I came across today and the past few days. Most of them are quoted (I have shared some of them in my Facebook) and some of them are my original quotes. I shall indicate which ones are quoted and which ones are mine. 

Smal print: Ok just in case you think I'm being perasan for claiming my quotes are brilliant and awesome, the brilliant and awesome ones are the quoted quotes, and not mine. Meh.

The authors of the quoted quotes are mysterious, up to this point. If you happen to identify any one of them, do tell! 

Of course, the inspiration must have come from the Almighty. Is He not the most inspirational being of all? For that, thank you Allah!

Are you ready..? Lets! 

"Prayer is not a 'spare wheel' that you pull out when in trouble, but it is a 'steering wheel' that directs the right path throughout." - Quoted 

"Friendship is like a book. It takes few seconds to burn, but it takes years to write." - Quoted

"Give God the chance to prove He is right. He is always right; we just need some time to realise it." - Inche gabbana

"All things in life are temporary. If it's going well, enjoy it, that won't last long. If it's going badly, don't worry, that won't last long either." - Quoted

"Often when we lose hope and think this is the end, Allah smiles from above and says, "Relax, sweetheart, it's just a bend, not the end!"" - Quoted

"If you think you are good, think again you should,
We are nothing but dust, be humble we must." 
- Inche gabbana

"When Allah solves your problems, you have faith in His abilities; when Allah doesn't solve them, He has faith in your abilities." - Quoted

"O Allah, forgive me for only remembering You,
When I'm in a mess and don't know what to do."
- Inche gabbana

"Worrying does not take away tomorrow's troubles, it takes away  today's peace." - Quoted

"Be a lion that roars.
Be a flower that blooms.
Be a river that flows.
Whatever you are, just be your best."
- Inche gabbana

And that's that.

Hope they inspire you and brighten your day, as much as they did to me!

Smile with shining yellowish teeth.

-gabbana-

Credit to the one who forwarded most of the quotes to me. May they benefit all. May Allah bless!

15 September 2013

FAQ: Bulatan Gembira

[Kredit]
 
Salaam Inche gabbana. Wah tak sangka kita berjumpa lagi dalam sesi FAQ ni. Glams gituh. Eh. *Betulkan tempat duduk*Betulkan kolar* Ok boleh kita mula?
Err.. Wa'alaikumussalam warah matullah. Marilah!

Ok selalu dengar Inche gabbana sebut pasal bulatan gembira. Makhluk apa tu..? Sejenis raksasa gemok yang sentiasa menggembirakan orang ke macam mana? Bunyi macam Doraemon je. Wahahaha.
*jeling*

Bukanlah. Bulatan gembira ni nama manja bagi usrah. Usrah pula adalah keluarga dalam bahasa Arab. 

Oooh. Dah tu kenapa bagi nama bulatan gembira? Apa kena-mengena?
Sebab kebiasaannya, sesi-sesi usrah ni dibuat dalam keadaan duduk, selalunya dalam bentuk bulatan. Sebab tu kadang-kadang ia juga dipanggil halaqah atau liqa', yang bermaksud bulatan/pertemuan.

Kenapa gembira? Sebab sepatutnya, mereka yang menghadiri usrah ini, akan keluar dalam keadaan hidungnya kembang-kempis penuh dengan kesegaran dan kebahagiaan, kerana mendapat sentuhan-sentuhan jiwa yang membasahkan. Ia lebih menggembirakan daripada berlari-lari riang di tengah-tengah rimbunan bunga dafodil bersama dengan arnab-arnab gemok yang periang!
 
Ok drama gila Inche gabbana ni. Ehem. Aaa, sentuhan-sentuhan jiwa yang membasahkan? Maksudnya..? Sentuh dengan tangan ke apa?
Taklah, sentuh dengan siku. Heh.

Sentuhan yang dimaksudkan adalah sentuhan pada hati. Dengan kata lain, tarbiyah. Usrah atau bulatan gembira adalah salah satu wasilah tarbiyah; yakni salah satu cara untuk menyentuh dan membetuk hati.

Kenapa hati? Sebab hati adalah raja kepada seluruh anggota badan manusia, sesuai dengan hadith Nabi SAW:

"Sesungguhnya di dalam tubuh (manusia) ada seketul daging; jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuhnya, dan jika rosak daging itu maka rosaklah seluruh tubuhnya dan ketahuilah bahawa ia adalah hati."

[Hadith riwayat Bukhari dan Muslim]


Ooohh gitu. Tapi kenapa bulatan gembira? Apa yang speselnya bulatan gembira berbanding dengan kaedah atau teknik yang lain? 
Haaa memang tepat sekali soalan anda tu. Nanti saya belanja teh tarik. Wah!

Ofkos kat galaksi bimaksakti ni, ada beraneka cara dan kaedah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Boleh pergi dengar kuliah-kuliah umum di masjid, boleh pergi bertalaqqi di pondok-pondok, boleh dengar ceramah-ceramah di TiubAnda dan macam-macam lagi. Semua tu inshaAllah dapat menyumbang ke arah mendekatkan diri kita kepada Allah.

Cuma yang sedikit berbeza dan istimewa bulatan gembira ni adalah elemen mutabaah atau follow up yang ada padanya. Setiap orang yang menyertai bulatan gembira sentiasa akan dipantau perkembangan tarbiyahnya dan ada program-program dan aktiviti susulan yang akan memantapkan lagi pembinaan jatidirinya sebagai seorang individu muslim. 

Bulatan gembira yang dibuat sekali seminggu pada kebiasaannya, menjadikan ia bersifat konsisten dan berterusan. Maka tarbiyah individu yang mengikuti bulatan gembira dapat dipastikan berjalan dengan baik dan berkembang dengan gemok dan sihat.

Selain itu, murabbi (orang yang membawa bulatan gembira) sepatutnya akan sentiasa menghubungi si mutarabbi (orang yang mengikuti bulatan gembira) untuk bertanya khabar, memeriksa amal, berborak bantal (Baca: muayasyah) dan sekali-sekali belanja makan cendol jagung. Eheh. 

Bulatan gembira juga ada hadaf (objektif) tertentu yang perlu dicapai, menjadikan ia lebih sistematik dan tersusun. Sepatutnya. Koff koff. Oleh sebab itu, kadangkala silibus disediakan bagi memudahkan para murabbi membawa bulatan gembira dan mencapai objektif yang telah ditetapkan itu. 

Semoga berjaya! Tetiba.

Pergh panjang lebar penerangan Inche gabbana. Ok soalan cepu berlian. Bulatan gembira ni bukan bidaah ke..? Mana ada sebut dalam Quran kan? Dalam hadith pon takde rasanya. Guane tu Inche gabbana?
Tersedak kuih tat nenas.

Anda ni, Tengoklah dulu saya tengah buat apa sebelum nak tanya soalan hangat macam tu.

Ehem.

Begini. Dalam Islam, ada 2 sumber rujukan utama bagi umat Islam dalam membimbing kita melakukan amal ibadah yang sahih lagi sejahtera; al-Quran dan as-Sunnah. Sunnah ar-Rasul SAW pula dibahagikan kepada dua; al-hadith dan seerah Nubuwwah. Al-Quran ni dia macam manual kereta la; dia ada semua maklumat dan informasi yang diperlukan bagi sebuah kereta. Tapi mungkin tak semua yang boleh faham manual tu. Sebab tu Allah turunkan ar-Rasul, 'mekanik' bagi kereta tu. Nak tahu macam mana nak baiki dan operasikan kereta tu dalam keadaan yang paling efisien dan efektif, maka kita kenalah tengok pada bagaimana si mekanik mengendalikan kereta tu, yakni hadith dan seerah. 

Dengan kata lain, al-Quran adalah teori dan hadith pula adalah penjelasan lanjut kepada teori-teori ni secara lebh terperinci dan teliti. Sedangkan seerah adalah bagaimana mahu melaksanakan teori-teori ini, berdasarkan cara hidup ar-Rasul SAW dan para sahabat r.a..

Ok.. Mana dalil kepada bulatan gembiranya Inche gabbana?
Ish sabarlah anda ni. Tak habis lagi. Tu baru muqaddimah tu. Haila.  

Kalau kita tengok dakwah di zaman Mekah contohnya, peringkat awal dakwah dalah dalam bentuk sirr, yakni kerahsiaan. Yang paling femes antara semua adalah bagaimana Nabi SAW menyampaikan risalahNya di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Cuba anda fikir secara logik, takkanlah rumah al-Arqam tu besar macam banglo zaman sekarang ni, jika dilihat kepada sejarah sosio-ekonomi masyarakat Arab jahiliyyah ketika itu. Apatah lagi untuk mengelakkan perhatian dan kesangsian orang lain, tak mungkin lah Nabi menyebarkan dakwahnya pada ramai orang sekaligus. Jadi mungkin Nabi SAW bertemu dalam tujuh ke lapan orang sahabat dalam satu-satu masa, dan kemudian mereka ini pula pergi dari satu rumah ke rumah yang lain untuk menyebarkan dakwah Islamiyyah. 

Ha, inilah yang kita katakan sebagai usrah. Liqa'. Halaqah. Pertemuan. 

Selain itu, apabila kita membaca hadith-hadith Nabi SAW atau membaca kisah hidupnya, kita akan dapati Nabi SAW banyak sekali membuat halaqah-halaqah kecil di bawah pokok misalnya, untuk duduk-duduk dan beriman sejenak bersama para sahabat. 

Jika kita mengkaji perjanjian Aqabah kedua, di situ juga ada unjuran untuk berusrah oleh Nabi SAW apabila baginda melantik dua belas orang naqib dalam kalangan para Ansar yang berbai'ah kepada baginda. Para ulama' yang mengkaji perjanjian Aqabah ini kemudiannya mendatangkan formula bulatan gembira yang paling efisien, apabila bilangan ahli bulatan yang paling optimal adalah seramai lima ke tujuh orang. Bagaimana?

Bilangan lelaki dan wanita Ansar yang pergi berbai'ah kepada Nabi adalah seramai 73 orang. 12 orang dilantik menjadi naqib. 73 - 12 = 61. 61 orang dibahagikan kepada 12 orang naqib, berapa orang untuk setiap bulatan gembira? Ha, anda kiralah sendiri. 

Walaweh! Cukup mengujakan bukan? Semua ini adalah dalil dari seerah untuk bulatan gembira. Anda sudah yakin sekarang..?

Waaah menarik seh! Kenapa tak pernah tahu ek sebelum sebelum ni..? Tak pernah diajar pon dalam silibus sekolah dulu?
Ha tulah suruh baca kitab-kitab seerah, tak mahu, degil! Malas! Gemok! Tapi bila baca manga, komik, URTV, Harry Potter, amboi amboi, cepat je khatam!

Ok sentap. Jangan emo boleh tak Inche gabbana..? Soalan seterusnya. Uhm tapi macam mana boleh datang konsep usrah ni..? Sebab Nabi tak pernah guna kan perkataan usrah..?
Konsep usrah sepertimana yang kita tahu dan faham sekarang sebenarnya disusun dan dipopularkan oleh Imam Hassan al-Banna, pengasas kepada pergerakan Ikhwanul Muslimin (IM).

Ketika beliau menubuhkan IM, ketika itu umat Islam baharu sahaja kehilangan sistem khilafah. Keadaan umat ketika itu sangat teruk dan menyedihkan; serangan berbentuk fizikal mahupon mental datang dari pelbagai arah, menjadikan umat Islam sangat lemah dan tidak bermaya. 

Hal ini amat menggusarkan Hassan al-Banna. Maka setelah mengkaji Quran dan as-Sunnah dengan begitu mendalam dan terperinci, beliau mendapati untuk mengembalikan kegemilangan Islam dan menegakkan semula khilafah Islamiyyah di muka bumi, ia perlu bermula dengan usaha-usaha mentarbiyah individu-individu Muslim yang ada. Dan tidak ada cara lain yang lebih berkesan untuk mencapai niat murni itu melainkan dengan pertemuan-pertemuan secara berkala dan berterusan, bagi memastikan tarbiyah yang berjalan benar-benar mantap dan berkesan.

Sayugia untuk melancarkan dan memudahkan lagi urusan mentarbiah masyarakat di luar sana, beliau menyusun pertemuan-pertemuan ini dengan lebih sistematik dan efisien. Maka lahirlah sistem usrah atau bulatan gembira sepertimana yang kita kenal dan tahu pada hari ini.

Sistem usrah (keluarga) juga merupakan maklum balas langsung dalam menangani dan memberi solusi kepada institusi keluarga yang runtuh dan tidak lagi berfungsi dalam mendidik dan membentuk anak-anak. Begitu. 

Haaa, dah nampak bulatannya di situ..? Gembira kan? Kekeke. [Kredit]

Oooh. *angguk angguk* Err.. Kalau campur lelaki perempuan satu bulatan gembira boleh tak..? Pasti pola pemikiran akan jadi lebih cerdas dan dinamik sebab ada pandangan daripada makhluk berbeza jantina. Perspektif pastinya berbeza. Barulah menarik! Kan Inche gabbana..?
*Terbeliak biji mata*

Saya sama sekali tidak setuju kalau lelaki dan perempuan bercampur dalam satu bulatan gembira. Syubhah dan fitnahnya terlalu banyak. Daripada elok-elok khusyu' mendengar si murabbi memberikan tafsir, mata asyik merenung si akhawat manis dan fikiran mula melayang nak berbuan madu di mana dan nak anak berapa. Adoila.

Bukan saya tak mahu berlapang dada atau berfikiran positif dan lebih terbuka, tapi sekiranya bulatan gembira itu boleh dibuat mengikut jantina dan lebih menjaga pergaulan, mengapa tidak? Apatah lagi si murabbi pastinya mempunyai fokus dan objektif yang mahu dicapai. Kalau sudah bercampur lelaki perempuan, percayalah, fokus ini amat mudah lari dan tergelincir daripada landasan.

Apatah lagi aktiviti-aktiviti dalam bulatan gembira memerlukan banyak penyertaan dan maklum balas daripada ahli-ahlinya. Nak tak nak, perhubungan dan percampuran antara lelaki dan perempuan pasti akan berlaku. Tidak boleh dielakkan. Daripada bulatan gembira terus bertukar menjadi bulatan neraka. Wahai! 

Sekiranya benar-benar mahu bertukar-tukar fikiran antara ikhwah dan akhawat, ia boleh dilakukan dalam wasilah lain seperti konferens riang, nadwah dan sebagainya, yang mana ikhtilatnya lebih terjaga. Percayalah, percampuran lelaki dan perempuan dalam satu bulatan gembira amat sukar sekali dijaga kejernihannya daripada hawa nafsu dan bisikan syaitan. 

Bukankah Allah sudah menyuruh kita agar menjauhi zina..? 

Fine lah, fine lah. *kuis-kuis kaki* Hhmmmm, Inche gabbana, selalu dengar yang 'geng-geng usrah' ni eksklusif. Nak geng sama diorang je. Taknak bergaul dengaan orang lain. Nak masuk sorga dengan puak-puak tuje. Sombong. Angkuh. Kereh ah! Apa komen Inche gabbana..?
Err kenapa anda pula yang emo ni..? 

Nak tahu kenapa mereka kata geng-geng bulatan gembira ni eksklusif? Sebab mereka tak masuk bulatan gembira dan jeles dengan mereka yang berbulatan gembira! Kehkehkeh.

Ok ok, saya seriyes.

Beginilah. Pembentukan individu-individu muslim memerlukan perhatian dan fokus yang besar. Hasil akhir kepada pembentukan individu muslim adalah wujudnya qaedah sulbah (Baca: Kumpulan kental) yang akan menjadi tulang belakang kepada ummah, yang sanggup berkorban jiwa, harta dan tenaga untuk menegakkan Islam dan yang menjadi harapan umat ini untuk mengembalikan sistem khilafah.

Mahu atau tidak, suka atau tidak, pasti akan ada yang tertinggal gerabak, pasti akan ada yang terpaksa ditapis, hanya kerana mahu melahirkan rijal-rijal yang benar-benar komited dan berkualiti. Dan selalunya, penapisan ini datang daripada Allah sendiri. Gulp.

Jadinya, kamilah yang selalunya menjadi mangsa, dituduh dengan tuduhan dan fitnah yang bukan-bukan. Walhal kalau ikutkan hati, kami amat sayang dan chenta pada hadek-hadek yang telah disentuh di luar sana. Kami berkhidmat untuk masyarakat. Kami coba untuk memberikan yang paling osem buat semua. Tapi hakikatnya tidak semudah itu. Nak tak nak, kami terpaksa memilih mereka yang benar-benar mahukan tarbiyah sahaja, agar dapatlah kami memusatkan sepenuh fokus dan perhatian kami terhadap pembinaan rijal-rijal yang qawiyy lagi Super Saiya. Dengan harapan, apabila semakin ramai yang menyertai gerabak ini, semakin banyak tenaga yang kami ada, maka akhirnya akan semakin tersebar luaslah dakwah ini.

Apatah lagi kami sering kekurangan tenaga untuk membawa bulatan-bulatan gembira di luar sana. Ramai yang mahu berbulatan gembira, tapi sayangnya, tidak ramai yang punya kapasiti, mujahadah dan kemahuan untuk menjadi murabbi. 

Oleh sebab itulah kami memerlukan anda. Ya andalah! Senyum lebar-lebar.

Oh, saya ke..? Hidung kembang-kempis. Ok Inche gabbana, count me in! Saya mahukan bulatan gembira sekarang ini juga! Bagaimana saya boleh menyertainya..? 
Anda boleh hubungi saya sama ada di email: dolcegabbana08@gmail.com atau akaun MukaBuku saya menerusi mesej peribadi, disertakan dengan nama, alamat tempat tinggal terkini, apa yang anda buat sekarang (belajar/kerja/tanam anggur) dan bagaimana anda boleh dihubungi. Kemudian saya akan serahkan maklumat anda ini kepada ikhwah atau akhawat yang berkenaan untuk membuat tindakan susulan.

Tetapi saya tidak berani jamin apa-apa lah. Sebab pengalaman saya sering juga mengechiwakan. Kadangkala mereka mungkin sudah terlalu sibuk dan terlalu banyak bulatan gembira yang dibawa. Banyakkan berdoa dan serahkan kepada Allah. InshaAllah, ada rejeki, anda pasti akan berbulatan gembira.

Maaf saya sendiri sudah di luar kemampuan untuk membawa satu lagi bulatan gembira. Saya hanya dapat bantu untuk serahkan nama anda kepada ikhwah atau akhawat.

Pada masa yang sama, saya memerlukan komitmen dan kesungguhan di pihak anda. Sebab banyak juga kes sebelum ni, bukan main lagi pompam pompam minta untuk dibulatangembirakan, namun apabila dihubungi, hanya bunyi cengkerik dan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa yang kedengaran. Aduhai. 

Sekiranya anda ikhlas dan benar-benar bersungguh untuk berbulatan gembira, untuk mentarbiyah diri anda, untuk menjadi seorang manusia yang lebih baik inshaAllah, saya yakin Allah akan permudahkan urusan anda.

Boleh kan..? Senyum.

Pergghh! Baiklah! Ok Inche gabbana, seperti biasa, ada apa-apa pesanan terakhir..?
Bulatan gembira ini hanyalah wasilah atau paltform untuk mencari keredhaan Allah. Ia adalah ijtihad para 'alim ulama' dan ostad ostajah yang mendapati ia adalah satu kaedah yang amat berkesan, bukan sahaja dalam membentuk dan mengacu jiwa-jiwa individu Muslim dengan sentuhan rabbani, tapi juga sebagai titik tolak dalam menyebarkan risalah Allah.

Sesuai dengan firman Allah,

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepadaNya, dan berjihadlah di jalanNya, agar kamu beruntung."
[al-Maidah, 5:35]

Maka sekiranya anda tidak setuju dan tidak yakin dengan cara ini, malah anda menjumpai pula cara lain yang jauh lebih berkesan dalam menjadikan anda lebih dekat kepada Allah, maka silakan bersama cara tersebut dan manfaatkan sebaiknya. InshaAllah saya doakan Allah terima amal anda itu dan angkat darjat anda setingginya.

Tapi janganlah kerana anda tidak bersetuju dengan berbulatan gembira, tidak senang dengan geng-geng bulatan gembira yang ekslusif itu, anda mengadu-domba, mencaci dan menfitnah bulatan gembira dengan tuduhan yang dangkal dan bukan-bukan. Tidak perlulah anda semua terkeluar (Baca: All out) dalam membuat propaganda dan pitnah peah, memburuk-burukkan mereka yang komited dan bersungguh berbulatan gembira dan membawa bulatan gembira. Allah tahu niat dan tujuan anda, dan moga Dia memberi hidayah kepada anda dan membuka hati anda untuk lebih berlapang dada.

Dan kepada anda yang sudah yakin dan merasakan bulatan gembira adalah caranya untuk anda berlari-lari riang dan gembira di tengah-tengah taman berbunga dafodil ditemani dengan arnab-arnag gemok melompat girang, adalah cara yang paling kena dengan anda dan benar-benar dapat menjadikan anda manusia yang lebih baik, lebih dekat denganNya dan bermanfaat kepada semua, ayuh, marilah bersama-sama kami. Senyum.

*Mata bersinar-sinar* Woaaahhh.. Ni yang buat saya lagi teruja ni! Op op, yang terakhir Inche gabbana! Sumpah! Err kalau saya sertai bulatan gembira, akan jadi bolat macam Inche gabbana juga ke..? Lariiii.
Jatuh kerusi lagi sekali. Oyy main kasar nampak...??

-gabbana-

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP