Uswah

29 May 2013

Surat Dari Pembaca #3: Ini Sungguh Jujur!

[Kredit]

Sudah lama saya tidak buat slot 'Surat Dari Pembaca.' Jujurnya, banyak emel dan mesej-mesej Mukabuku yang saya terima. Untuk pengetahuan anda, semua emel dan mesej akan saya baca satu-persatu. Cuma saya tidak berkemampuan pada tahap ini untuk memberi maklum balas kepada semua emel dan mesej yang dihantar.

Muka bersalah. 

Hari ini saya ingin berkongsikan satu emel yang diterima semalam, yang dihantar oleh Cik Q. Emelnya simpel dan lurus ke hadapan sahaja. Tetapi entah, saya dapat merasakan kejujuran pada emel ini. Tulisannya tulus dan saya percaya, terbit dari jiwa si Cik Q yang bersih. 

Oleh sebab itu, saya merasakan wajar untuk saya kongsikan dengan anda semua. Semoga kejujuran Cik Q dapatlah menyentuh hati-hati anda di luar sana. Senyum.

Seperti biasa, saya telah pon mendapat keijinan si penulis emel terlebih dahulu, Cik Q, sebelum berkongsikannya di sini. Dan seperti biasa juga, dengan sesuka suki hati saya, saya telah mengedit susun atur, huruf besar huruf kecil, tanda baca, ejaan dan sebagainya, untuk keselesaan dan kemaslahatan anda yang membaca. Ok saya tahu saya ada OCD. Peluh kecil.

Baiklah. Selamat membaca surat ini dengan popkon panas perisa karamel dan jus oren sejuk!

***

Salam buat inche gabbana.. (Kenapa gabbana ye? Hehe)

First, terima kasih sudi baca email ni.

Second, tujuan saya tulis email ni adalah untuk menghabiskan sisa masa yang ada sambil tunggu kawan datang. Hehe.. Saya baru lepas baca blog inche, so tergerak hati nak berkongsi cerita dengan Inche. Saya ada sorang kawan cina yang sangat baik.. Sangat baik sampai saya rasa sangat sayang dia bukan seorang muslim. Bila saya baca quran dan sampai kat ayat yang sentuh tentang azab untuk orang kafir mesti saya rasa sedih, sebab saya bayangkan alangkah kesiannnya kawan saya tu. Sekarang saya sedang cuba untuk perkenalkan Islam kepada dia. Alhamdulillah dia sangat terbuka untuk perbincangan agama. Cuma yang menjadi masalah sekarang dia lebih berminat kepada Kristian kerana dia telah didakwah oleh mubaligh Kristian dari sekolah menengah lagi. Setiap minggu pasangan mubaligh Kristian tu datang ke rumah dia untuk mengajar tentang Bible dari dia kecik lagi sampai sekarang. (Betapa hebatnya semangat diorang untuk menyebarkan Kristian kan. Beza sangat dengan kita :'( )

Sekarang setiap minggu kawan saya akan pergi church. Agak sukar untuk saya menjelaskan pada dia tentang Islam kerana dia seperti telah terpengaruh 100% dengan ajaran Kristian (tapi dia mengaku belum Kristan). Kadang-kadang ada masanya saya rasa macam give up untuk berbincang dengan dia sebab dia seperti tidak menunjukkan respon pada perbincangan kami. Dia macam main tarik tali dengan saya. Ada masa dia mengaku yang Allah tu benar tapi dia tak percaya pada Nabi Muhammad (mungkin dia dah terpengaruh dengan ajaran Kristian yang tak percaya pada Rasulullah). Tapi saya tau jalan dakwah memang panjang, perlukan kesabaran dan kecekalan yang tinggi. Saya terfikir, ni baru sorang manusia saya cuba untuk kenalkan kepada Islam, Rasulullah dulu beratus-ratus ribu, tapi Rasulullah tetap sabar kan? :')

Indahnya jalan dakwah kalau kita yakin pada Allah. Yang kemenangan pasti berpihak pada jalan yang benar. Doakan kawan saya tu diberikan hidayah untuk memeluk Islam, juga doakan saya semoga terus sabar dalam perjuangan dakwah ini.

Ok. Tu saje. Kawan saya pun dah datang. Terima kasih sudi baca. Salam.

***

Kan kan kan? Jujur bukan..?

Kesat air mata. 

Untuk Cik Q, teruskan dengan usaha-usaha dakwah anda. Makcik Hidayah itu milik Allah dan Dia boleh suruh Makcik Hidayah langgar sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

Tugas kita? Berusaha dan berusaha dan berusaha, untuk menghalakan Makcik Hidayah kepada mereka ini. Eheh. Tanpa lelah dan mengenal erti putus-asa.

Siapa tahu, suatu hari nanti dia akan tersentuh juga. Hasil senyuman anda yang tidak putus-putus itu. Hasil kesabaran anda menjawab setiap persoalan yang ditanyakan. Hasil kesungguhan anda memujuk dan terus-menerus mencari peluang untuk memperkenalkan keindahan Islam kepadanya. Hasil kejujuran anda yang benar-benar mahu rakan anda itu bersama-sama anda di dalam sorga nanti!

Saya yakin, tiada sebab untuk Allah tidak membuka pintu hatinya untuk menerima Islam andai anda benar-benar ikhlas mahu menariknya ke arah agama yang mulia ini. Saya yakin, berkat kejujuran dan kesabaran anda, Makcik Hidayah pasti akan mengetuk pintu hatinya. Saya yakin, suatu hari nanti dia akan jatuh chenta pada Islam juga akhirnya! 

Dan oh, jangan lupa doakan untuknya! Biarlah si Pemilik Jiwa yang memegang hatinya itu melembutkan egonya dan mencairkan bongkah ais yang menghalang dirinya daripada jatuh chenta pada Islam. Kita berusaha dan meletakkan ikhtiar; selebihnya kita bertawakkal kepada ketentuanNya! 

Apa yang penting?? Kerjasama! Ok tetiba.

Oldebes kepada Cik Q! Moga Allah permudahkan usaha-usaha murni dan mulia anda itu! Dan saya doakan agar suatu hari nanti, akan terbuka jua pintu hati rakan anda itu untuk menerima Islam!

Senyum pipi kembung.

-gabbana-

Hari ni rasa tak sedap badan pula. Takkan nak demam lagi kot? Adoiii banyaknya dosa saya ni! Nanges. 

27 May 2013

Saham-Saham Sorga

Ada sesapa terasa macam nak gigit pipi budak ni tak...?? Eerrgghhhh! [Kredit]

Telah bersabda junjungan kita yang mulia lagi terchenta, seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. adanya, termaktub dalam riwayat sahih oleh Imam Muslim:

"Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara; sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang berdoa kepadanya."

Ya, sumber saham-saham sorga kita setelah kita mengucapkan oktengsbai kepada dunia yang fana ini.

1) Sedekah jariyah, yakni harta kita yang disedekahkan untuk amal kebaikan
2) Ilmu yang bermanfaat, yang dikongsikan dan diamalkan oleh orang yang mendengarnya daripada kita
3) Doa anak yang soleh

Tahukah anda, ketiga-tiga jenis saham ini mudah dan pantas diperoleh apabila anda bersama-sama dengan gerabak tarbiyah dan dakwah?

Oh tak usah garu kepala anda yang tidak gatal itu, tanda anda tidak percaya. Ijinkan saya untuk menjelaskannya secara penuh bergaya. Ewah! 

Untuk (1), agak lurus ke hadapan. Segala tok nenek harta yang anda infaqkan untuk kepentingan tarbiyah dan dakwah, insha Allah manfaatnya akan terus anda nikmati meski jasad anda sudah bersemadi di dalam liang lahad.

Wang yang anda sedekahkan untuk ikhwah di kawasan X untuk membantu mereka dalam membiayai kerja-kerja dakwah mereka. Anda bayangkan, setiap orang yang berjaya mereka tajmik (kumpulkan) hasil daripada sumbangan anda, kemudian mereka bersemangat pula untuk menyebarkan syahadatul haq, pergh, berapa banyak pahala yang akan anda peroleh? 

Atau wang yang anda infaqkan agar ikhwah dan akhawat di negara Y dapat membeli kuda dakwah mereka sendiri, agar mudah untuk mereka ke sana dan ke mari melakukan konspirasi tarbiyah mereka. Bayangkan, setiap roda yang berpusing untuk menuju destinasi dakwah mereka, setiap kali itu juga anda akan peroleh ganjarannya. Walaweh! 

Atau anda bayarkan tiket penerbangan ostad atau ostajah, ikhwah atau akhawat, yang diperlukan untuk membantu tarbiyah dan dakwah di negara Z. Bukan sekadar itu, anda bekalkan juga mereka dengan wang perbelanjaan yang mencukupi agar mudah untuk mereka bergerak di negara Z. Nah, anda bayangkan, untuk setiap jiwa yang dibasahi dengan taujihat oleh ostad ostajah atau al-akh al-ukt tersebut, berapa banyak saham yang akan anda kutip? Bayangkan pula, mereka ini terus-menerus, istiqamah dalam kerja-kerja tarbiyah dan dakwah mereka, sebahagiannya berpunca daripada taujihat membara yang disampaikan oleh ostad ostajah atau al-akh al-ukth tadi. Pergh, itu epik! 

Meleleh air liur beb. 

Untuk (2) juga agak lurus ke hadapan. Sebagai seorang murabbi yang membawa bulatan gembira, atau muwajjih yang menyampaikan perkongsian atau ceramah yang membara dan menerbangkan tudung labuh di konferens-konferens riang, sudah pasti berlambak ilmu-ilmu yang bermanfaat yang telah anda kongsikan.

Dari sekecil-kecil ilmu seperti kebaikan dan manfaat mengukir senyuman manis nampak gigi setiap masa dan ketika, kepada sebesar-sebesar ilmu seperti makrifatullah dan kaedah-kaedah berkesan dalam menyampaikan dakwah, semuanya itu dikira bermanfaat dan akan menjadi saham-saham sorga anda di akhirat kelak.

Apatah lagi apabila ilmu yang anda kongsikan diamalkan secara terus-menerus dan konsisten oleh mereka yang mendengarnya. Kemudian mereka sebarluaskan pula ilmu yang telah anda sampaikan itu. Wahai, tidak terbayang beribu-ribu lemon pahala yang bakal anda kutip dan laburkan dalam Amanah Saham Sorga di akhirat kelak! Ohoi!   

Bagaimana pula dengan (3)? Doa anak yang soleh?

Oh kami tahu Inche gabbana! Ia bermakna, kena kahwin dengan akhawat berapi agar dapatlah memperoleh anak-anak yang comel lagi gebu yang sama-sama bersemangat di atas jalan dakwah ini! Kan kan kan..??

Err. Pandang kiri. Pandang kanan. Tangan letak di dada, mata terkedip-kedip. 

Boleh jadi begitu. Mata pandang ke atas. 

Tetapi ada suatu tafsiran yang cukup menarik tentang frasa 'anak yang soleh' dalam hadith tersebut. Hadith tersebut menggunakan perkataan 'Waladun soleh' yang tidak membawa maksud anak kandung. Seandainya anak kandung yang dimaksudkan dalam hadith tersebut, sudah pasti perkataan 'Banin soleh' yang digunakan.

Jadi apa implikasinya apabila perkataan 'waladun soleh' yang digunakan?

Seorang murabbi di Indonesia memberikan makna yang cukup hidup dan menarik kepada penggunaan frasa ini. Katanya, ia juga boleh membawa maksud anak-anak usrah yang disentuh, dibina dan diacu oleh para murabbi dan murabbiah.

Mulut ternganga.

Masha-Allah! Anda tahu apakah maksudnya ini...??

Berlari-lari pantas keliling kampung buat muka penuh tak percaya, seperti mahu menyebarkan berita paling gembira abad ini. 

Ia bermakna, peluang untuk mendapatkan sumber saham sorga yang satu ini terbuka luas pintunya. Kini, selain daripada sedekah jariyah dan ilmu yang bermanfaat, anda juga boleh mendapatkan doa anak-anak yang soleh meski anda tidak berkahwin lagi. 

Ehem. 

Lagi ramai hadek-hadek bulatan gembira yang berjaya anda perdayakan dan jerat, arakian lebih besarlah peluang untuk anda didoakan. Lebih banyak jiwa-jiwa yang tersentuh hasil tarbiyah di dalam bulatan yang cukup menggembirakan dan mengasyikkan, sayugia lebih tinggilah peluang anda untuk didoakan oleh 'anak-anak' soleh yang terhasil. Dan lebih banyak bulatan gembira yang anda bawa dan pimpin, lebih banyak jugalah doa-doa yang akan mengalir kepada anda usai anda meninggalkan dunia yang fana ini!

Wah! Wah! Wah! 

Kini saya lebih bersemangat untuk menjadi murabbi agung kembang kempis hidungnya, untuk mentarbiyah dan menyentuh sebanyak-banyaknya jiwa di luar sana! Kini tekad saya lebih membara untuk menarik lebih ramai manusia di luar sana bersama-sama dengan gerabak ini! Kini mata saya lebih bersinar-sinar untuk saya bawa sebanyak-banyaknya bulatan gembira, tanpa mengenal erti lelah dan putus-asa!

Kerana saya mahukan doa anak-anak yang soleh yang tidak berhenti-henti mengalir kepada ruh saya di alam barzakh nanti! Kerana saya mahukan mahligai yang bercahaya terang di alam kubur nanti! Dan kerana saya mahu mengatakan dengan penuh gembira dan bergaya sambil buat-buat terkejut di Mahsyar nanti, "Eh, mana datang pahala aku banyak-banyak ni...??"

Osemness.

Lah, tunggu apa lagi tu...?? Ayuh kita perbanyakkan infaq kita di atas jalan dakwah ini, kita sebarluaskan ilmu-ilmu yang bermanfaat untuk mengajak orang kembali kepadaNya dan sentuh hati-hati di luar sana dengan penuh riang gembiranya! Kerana semuanya itu adalah pelaburan kita untuk saham-saham sorga! 

Hoyeah. Buat tanda aman sambil tersenyum penuh kebahagiaan.

-gabbana-

Terasa tamak pula, mahu menyentuh sebanyak-banyaknya hati di luar sana! Wahahaha gelak keji watak jahat dalam cerita adiwira. Eh.

26 May 2013

Islam Takkan Menang Dengan Dai'e Yang Gemok

[Kredit]

Marcapada ini, semakin ramai yang mula berborak dan berbincang tentang kemenangan Islam. Prospek tentang tertegaknya kembali Islam sebagai Ustadziyatul 'Alam di muka bumi ini. Kembalinya Islam sebagai pemerintah dan pemakmur seluruh alam. Khalifah yang kacak bergaya menjadi pemerintah yang adil lagi saksama bagi alam buana.

Alhamdulillah, ia merupakan suatu perkembangan yang sangat sihat dan baik, apatah lagi yang banyak berbicara tentang hal ini adalah golongan muda yang bersemangat waja. Sekiranya sepuluh dua puluh tahun yang lalu, anak-anak muda lebih gemar berbicara tentang hiburan, malam ni nak tengok movie apa, hujung minggu ni nak berjimba di mana, anak-anak muda zaman sekarang juga gemar berbicara tentang hiburan, malam ni nak tengok movie apa dan hujung minggu ni nak berjimba di mana. Eh?

Cuma semakin ramai anak-anak muda yang semakin sedar akan tanggungjawab mereka sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini. Semakin ramai anak-anak muda yang rajin ke masjid bukan sahaja untuk solat berjemaah, tetapi duduk mendengar majlis ilmu yang ada. Semakin ramai anak-anak muda yang berbulatan gembira dan keluar di hujung minggu untuk berkonferens riang menambahkan ilmu dan memantapkan iman di dada.

Ya, ia suatu fenomena baru yang semakin mendapat tempat dalam kalangan anak-anak muda zaman moden ini. Jika dahulu anak-anak muda lebih ramai yang flip rambut tengah dan rambut panjang mengurai, sekarang ini lebih ramai yang flip janggut dan tudung labuh! Wahahaha..

Tetapi... Jika kita lihat sekeliling, Islam masih tidak menang-menang. Umat Islam masih lagi ditindas di mana-mana. Negara yang paling mundur adalah negara yang paling ramai umat Islam di dalamnya. Keganasan masih dikaitkan dengan Islam. Palestin, Syria, Somalia, Kashmir dan Chechnya masih dilanda krisis yang seolah-olahnya tiada kesudahannya. Mengapa begini..? Mengapa kemenangan Islam tampak masih jauh lagi, meski sudah semakin ramai yang tersedar dari lena mereka, bahawa menjadi tanggungjawab mereka untuk menegakkan kembali Islam di muka bumi..?

Kerana hanya berbicara kencang dan berborak lebat tidak akan mengembalikan kemenangan Islam. Manis di bibir dan ada taman dalam hati semata-mata tidak akan menegakkan kembali al-haq di muka bumi. Kembang-kempis hidung di perhimpunan-perhimpunan girang semata tidak akan menjadikan Islam kembali menjadi Ustadziyatul 'Alam.

Kata Imam as-Syahid Hassan al Banna, "Medan khayal lebih besar daripada medan bercakap. Medan bercakap lebih besar daripada medan amal. Medan amal lebih besar daripada medan jihad. Dan medan jihad lebih besar daripada medan jihad yang muntij."

Berangan-angan memang mudah bro. Cakap lebat memang senang sis. Tapi nak buat dan amal? Nak perjuangkan bersungguh-sungguh dengan sepenuh dan seikhlas hati..? Belum tentu lagi.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."
[Muhammad, 47:7]

Allah sama sekali tidak memerlukan pertolongan kita. Hakikatnya, agama Allah yang agung tetap akan menang. Dia tetap akan menyempurnakan cahaya agamaNya yang mulia ini.

Namun Allah meletakkan syarat, untuk kita mengecapi dan menggapai kemenangan itu, kita dahulu perlu membantu agama Allah. Give and take. Kita nak Allah bantu kita, kita dahulu perlu berusaha untuk memenangkan agama ini. Kita tak nak tolong? Tadehal. Tapi kita kena tahanlah, kena pijak dan hina dengan orang-orang kafir dan musuh-musuh Islam!

Kerana sunnah perjuangan ini, ia bukan perjuangan yang berasaskan bunga-bunga dafodil dan arnab-arnab gemok. Ia bukan jalan yang ditaburi dengan gula-gula Hacks perisa limau gedang dan jika keletihan, ada air mangga lassi sejuk yang menunggu di tepi. Ia bukan gerabak yang dilengkapi dengan pendingin hawa dan sofa empuk yang selesa. 

Benar, Islam itu agama yang paling benar. Benar, Islam itu satu-satunya agama yang diredhai Allah. Dan benar, Islam itu yang paling mulia dan yang paling tinggi.

Tetapi itu tidak menjamin kemenangan umat Islam. Itu tidak memberi sebarang gerenti yang kita pasti akan menguasai dunia. Ia tidak memberi kuasa sakti yang pasti akan memuliakan kedudukan kita di muka bumi.

Kerana Islam itu bukan agama ajaib. Andai ia agama sakti yang penuh dengan keajaiban, tidak perlulah Nabi SAW dan para sahabat dahulu bersusah-payah menyebarkan dakwah sehingga terpaksa menanggung derita diseksa dan dipulaukan saudara-mara. Sekiranya Islam itu agama magis yang tidak memerlukan sebarang usaha untuk memenangkannya, tidak perlulah Nabi SAW dan para sahabat menanggung luka dan cedera di medan Uhud, hanya semata-mata kerana mahu mempertahankan kemuliaan Islam. Jika benar Islam itu agama yang tidak perlukan para pejuangnya berkorban jiwa dan harta untuk memenangkannya, cukuplah Nabi SAW membuat Kamehameha atau menggerakan kayu saktinya untuk meyakinkan kafir Quraisy tentang Islam.

Gituh. 

Kemenangan Islam dibina di atas peluh dan darah para hawariyyunnya. Islam hanya akan tertegak bila mana para pejuangnya ikhlas sepenuh hati, tidak punya kepentingan diri dan sanggup mengorbankan apa sahaja pada dirinya untuk agama yang terchenta. Islam hanya akan menang semula apabila para dua't yang menyebarkan risalah kebenaran ini berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunnah. Islam akan kembali memerintah dunia apabila mereka yang memegang obornya menjadikan Allah sebagai satu-satunya tujuan yang utama. Dan Islam akan menjadi professor kepada alam ini, pusat rujukan kepada seluruh alam buana bila mana ikhwah dan akhawat yang menjadi penegak Syahadatul Haq ini, benar-benar ikhlas dalam melaksanakan amanah ini. 

Islam tidak akan menang apabila para dua't hanya tahu berangan-angan dan goyang kaki.

Islam tidak akan tertegak apabila para pejuangnya masih bermain-main dengan jahiliyyah dan maksiat.

Islam tidak akan kembali memerintah dunia apabila para penolong agama ini tidak bersungguh, bermalas-malasan dalam bekerja untuk agama.

Islam akan terus dihina, dihinjak dan dicerca apabila al-Quran dan as-Sunnah terus dipandang sepi.

Islam akan terus dipandang seperti sampah dan disepak macam tin kosong apabila para dua't yang kononnya memperjuangkan Islam ini lebih suka tidur dan banyak memberi alasan.

Islam tidak mungkin diminati dan dijadikan contoh tauladan kepada umat manusia apabila para pejuangnya punya karat-karat 'ujub dan takabbur di dalam hati, tidak ikhlas dan punya banyak kepentingan diri. 

Dan Islam tidak mungkin akan mengibarkan panjinya tinggi di puncak juara apabila kita, umat Islam masih chentakan dunia dan gemok dengan dosa dan noda.

Ya, itulah sunnah perjuangan. Itulah fitrah agama ini. Itulah hakikat kebenaran ini. Ya, ia pahit. Ia masin. Ia sakit. Tetapi ia kebenaran yang perlu dikunyah, ditelan dan dihadam.

Take it, or leave it. 

Dan ketahuilah, apabila hal ini terus berpanjangan dan tiada siapa yang peduli mahu memperbaikinya, Allah pasti akan menggantikan kita dengan golongan yang benar-benar ikhlas dan bersungguh dalam memperjuangan agama ini.

"Wahai orang-orang yang beriman! Barangsiapa di antara kamu yang murtad (keluar) dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum; Dia menchentai mereka dan mereka pon menchentaiNya, dan bersikap lemah-lembut terhadap orang beriman, tetapi bersikap keras terhadap orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Itulah kurnia Allah yang diberikanNya kepada siapa sahaja yang Dia dikehendaki. Dan Allah Maha Luas (pemberianNya), Maha Mengetahui."
[al-Maidah, 5:54]

Gulp. Telan air liur sambil meleleh air mata. 

Ya, inilah hakikat agama ini. Inilah sunnatullah sejak zaman-berzaman. Inilah undang-undang alam yang tidak ada diskaun atau kompromi.

Kerana Islam itu bukan agama ajaib. Ia bukan agama sakti. 

Dan ia takkan menang, tidak akan sesekali menang apabila para pejuangnya gemok dengan maksiat, berlemak dengan dosa dan noda! 

Ohoi!

-gabbana-

Harapnya tidak ada yang terasa atau berkecil hati dengan perkataan 'gemok' yang digunakan. Setelah habis membaca artikel ini, saya pasti ada faham dengan apa yang saya maksudkan.

Senyum. 

23 May 2013

Apa Ertinya Saya Berbulatan Gembira?

[Kredit]

Bulatan gembira.

Bulatan sorga.

Study circle.

Halaqah.

Usrah.

Bolatan gemok-gemok makan popkon panas sambil usap kepala arnab gebu

Eh.

Panggillah dengan panggilan apa sekali pon, ruhnya tetap sama. 

Saya mengenali bulatan gembira seawal usia tiga belas tahun lagi, ketika itu di Sekolah Bintang. Buat pertama kalinya dalam hidup saya, saya diperkenalkan dengan sesuatu yang cukup, err, lain daripada yang lain.

Untuk seorang kanak-kanak ribena yang dibesarkan sepenuhnya di bandar, yang hidupnya sentiasa penuh dengan hiburan dan segala tok nenek hedonisme yang ada, pastinya konsep bulatan gembira a.k.a. usrah ini adalah sesuatu yang cukup janggal buat saya. 

Diperkenalkan dengan tiga rukun usrah; taaruf, tafahum dan takaful (meski tergeliat-liat lidah untuk menyebutnya), buat pertama kalinya mendengar nama Imam as-Syahid Hassan al-Banna (terbayang-bayang dia menaiki kuda sambil memegang pedang) dan belajar agama luar daripada kelas Pendidikan Islam, merupakan sesuatu yang boleh tahan mengujakan buat saya ketika itu. 

Walaupon jujurnya tidak banyak yang dipelajari dan diperolehi daripada bulatan gembira yang ada, namun perjumpaan sekali seminggu itu sentiasa dinanti-nanti dan ditunggu-tunggu. Apatah lagi abang naqib saya ketika itu merupakan seseorang yang cukup baik orangnya; lagilah menjadikan bulatan gembira saya ketika itu benar-benar menggembirakan.

Kemudian ketika di tingkatan tiga, saya pula dilantik untuk menjadi naqib bulatan gembira untuk hadek-hadek tingkatan satu. Wah, terujanya bukan kepalang! Saya yang sememangnya suka pada hadek-hadek pipi tembam berwajah comel *koff koff*, cukup memandang ke hadapan pada bulatan gembira saya yang sendiri. Saya berazam untuk menjadikan bulatan gembira saya itu segembira, segirang dan seriang yang boleh. 

Namun masalahnya, jujurnya kami menjadi nuqaba' tanpa bimbingan dan panduan yang baik dan tersusun. Tidak ada silibus yang tetap. Tidak ada tema atau halatuju yang ingin dicapai. Tiada bahan yang tersusun untuk dibawa. Pendek kata, bulatan gembira yang kami bawa adalah bulatan neraka. Entah macam-macam bidaah dan ilmu sesat yang kami sebarkan! Peluh besar. 

Habis pendidikan menengah di Sekolah Bintang, saya melanjutkan pula pelajaran di sebuah kolej di tempat jin bertendang. Rupa-rupanya di sini juga ada bulatan gembiranya yang tersendiri. Di tahun pertama saya berbasa-basi sahaja mengikuti bulatan gembira, sementelah bulatan yang ada bersifat umum dan dibuka untuk semua. Tahun kedua, sekali lagi saya dilantik menjadi naqib. Angkat kening. Kali ini lebih raksasa lagi; saya telah dilantik menjadi naqib 'terapung' di mana memandangkan saya sudah pon memegang jawatan yang agak besar dan penting ketika itu (ehem), jadi saya tidak punya bulatan yang spesifik dan oleh sebab itu, bila-bila masa yang saya suka, saya bolehlah menyertai mana-mana bulatan gembira yang ada. Itu gila bukan? 

Tambahan pula ketika ini adalah masa-masa hitam di mana saya mula berkecimpung dengan jahiliyyah-jahiliyyah berkarat yang bisa menggelengkan kepala sesiapa sahaja yang mengenali saya. Istighfar. Jadi kerjaya saya sebagai naqib ketika itu sememangnya tidak kena dan melanggar etika dan tatasusila skop bidang tugas saya sebagai naqib, meski naqib yang terapung.

Maka sedikit demi sedikit, sama ada secara sedar atau tidak, kepercayaan saya terhadap sistem ini semakin terhakis. Saya tidak nampak di mana hebat dan berkesannya sistem bulatan gembira ini. Saya tidak mendapat manfaatnya dan tidak pula merasakan kelazatannya.

Hal ini terbawa-bawa sehinggalah saya ke luar negara. Siapa sangka, di luar negara ada juga bulatan gembira hey! Terasa bawah lah juga pada mulanya apabila diajak untuk berbulatan gembira di sebuah negara omputih. Yalah, kita punyalah dah rancang nak berhuha-huha bagai, berlari riang ke sana sini, berseronok tak ingat dunia seperti omputih juga lagaknya. Alih-alih, kena berbulatan gembira juga! 

Tidak hairanlah di peringkat awal itu, moto hidup saya adalah 'Catch Me If You Can!' Wahahaha.. Bukanlah saya melarikan diri terus atau buat-bua tlanggar bahu di tepi jalan kemudian tak kenal, bukan. Saya masih menyertai bulatan gembira yang ada. Apabila diajak, saya pergi. Cuma tidaklah semangat hidung kembang kempis seperti sewaktu di sekolah menengah daulu. Pergi pon ala kadar je. Pergi pon semata-mata mahu memuaskan hati murabbi yang sudah berpenat-lelah berusaha menangkap saya. Eheh. 

Hah?? Usrah...?? Lari lariiiiiii! [Kredit]

Namun benarlah hidayah itu milik Allah. Kita merancang dan Dia juga merancang. Hakikatnya, peracanganNya Dia jugalah yang paling osem. Nak buat macam mana, kita ni hamba marhaen sahaja. Hohoho.. Lama kelamaaan, saya mula kenal dengan bulatan gembira yang sebenarnya. Adab-adabnya. Prosedurnya. Kaedah membawanya. Tips-tips menjadikannya riang gembira. Ruhnya yang sebenar.

Dan hanya selepas saya membawa bulatan gembira saya yang sendiri, baharulah saya benar-benar menghargai apa itu bulatan gembira. Selepas berjerih-perih, bertungkus-lumus menangkap, menjerat dan menyembelih menjaga hadek-hadek sendiri, baharulah kita tahu tinggi rendahnya kasut tumit tinggi minah omputih di sana. Eh. Selepas bertepuk-tampar, bergolok-gadai (ewah kau!) dan berpeluh ketiak berusaha bagi memastikan bulatan gembira sendiri hidup dan berjaya, baharulah kita sedar dan faham betapa penting dan berkesannya bulatan gembira sebagai wasilah untuk menegakkan al-Haq di muka bumi ini. 

Maka pada hari ini (Ya, yang semua tadi tu hanya muqaddimah semata-mata. Silalah terjegil biji mata) saya ingin berkongsi dengan anda semua, apa ertinya saya berbulatan gembira. Mengapa ia begitu berharga dan punya nilai yang tidak terkira di sisi saya. Mengapa saya begitu yakin dengan wasilah ini dalam mengembalikan Islam sebagai Ustadziyatul 'Alam ke muka bumi. Dan mengapa saya beriya-iya mempromosikan bulatan surga yang sumpah menggembirakan ini. 

Harapannya, selepas anda membaca warkah marhaen ini, anda turut dapat sama berkongsi semangat dan keterujaan saya. Kepada anda yang belum berbulatan gembira, harapnya selepas membaca ini akan lebih yakin dan semangat untuk berbulatan gembira. Dan yang lebih utama, kepada anda yang selama ini sibuk berdolak-dalih, banyak memberikan seribu satu alasan, melompat ke sana, berlari ke sini, besar harapan saya usai membaca artikel ini, mata anda akan bersinar-sinar cerah untuk membawa bulatan gembira sendiri.

Baiklah. Anda semua sudah bersedia..? Marilah!

Apa Ertinya Saya Berbulatan Gembira?

1) Bulatan gembira mengajar saya erti sebuah keluarga

Ok lame sedikit di situ. Sebabnya, memang perkataan 'usrah' itu maksudnya adalah keluarga. Tetapi betullah, bulatan gembira, yang menghimpunkan anda dan anda daripada latar belakang yang berbeza, boleh berpeluk mesra bercipiki cipika, berkongsi makanan dan rasa, bersenda gurau dan bergelak tawa seperti sebuah keluarga bahagia lagaknya. Malah saya yakin, pasti ada dalam kalangan anda yang berbulatan gembira berasa lebih 'keluarga' dan mesra dengan bulatan gembira sendiri jika hendak dibandingkan dengan keluarga yang sebenar, bukan..? Itulah ajaibnya bulatan gembira.

Malah di dalam bulatan gembira ada sesi berqadhaya, yakni sesi berkongsi masalah, baik masalah peribadi atau masalah dakwi (masalah yang berkaitan dengan isu dakwah). Sesi qadhaya ini, sekiranya dilaksanakaan dengan telus dan bersungguh, benar-benar dapat merapatkan hubungan antara ahli-ahli bulatan gembira kerana masing-masing meminjamkan telinga untuk mendengar masalah masing-masing, di samping bersama-sama berusaha untuk mencari jalan penyelesaiannya. Epik bukan? Ala-ala tengok drama Jepun sambil berdiri di tepi pantai memerhatikan matahari terbenam gitu. Eh.

2) Bulatan gembira mengajar saya erti sebuah pengorbanan

Saya masih ingat lagi, suatu ketika saya meminjam wang yang agak besar jumlahnya daripada Inche Murabbi. Pada mulanya saya agak skeptikal yang dia akan memberikan pinjaman tersebut kerana jumlahnya yang besar. Namun dia tanpa banyak tanya mahupon surat jaminan, terus meluluskan permohonan saya. Pergi bank pon belum tentu lagi lulus kau! 

Peristiwa tersebut benar-benar mengesan di hati saya. Ia mengajar saya betapa ikhwah adalah spesis manusia yang tidak berkira. Ia juga mengajar saya erti pengorbanan. Kerana nak jadi murabbi ni, rupa-rupanya banyak pengorbanan yang perlu dilakukan.

Bukan sahaja pengorbanan dari segi harta, tapi dari segi masa, tenaga dan juga emosi. Bulatan gembira yang sedang saya bawa sekarang ini misalnya. Saya terpaksa bermusafir menaiki unta bonggol tiga beribu batu jauhnya sebelum saya sampai ke destinasi. Ok itu dusta. Wahahaha.. Tapi poinnya adalah, bulatan gembira benar-benar memberikan definisi baru apa itu pengorbanan. Dan ia benar-benar mendewasakan saya.

3) Bulatan gembira mengajar saya erti sebuah perkongsian

Ya, berkongsi. Siapa yang suka berkongsi? Tetapi bulatan gembira telah mengubah paradigma ini. Pelbagai perkara yang perlu dikongsikan bersama. Kasih-sayang murabbi, chenta rasa sesama ahli bulatan gembira, ilmu, tenaga, wang ringgit (Kalau di Kerajaan Bersatu dahulu wang pound sterling. Eheh!), makanan dan sebagainya. Semuanya perlu dikongsikan!

Yang paling indah adalah kerana perkongsian ini adalah perkongsian sukarela, kadang-kadang paksarela. Tapi elemen 'rela' itu masih ada. Hihihi. Ia lahir daripada hati yang ikhlas insha Allah, jiwa yang tulus dan ruh ukhuwwah yang membara. 

Perkongsian juga mengajar diri untuk menjadi manusia yang rendah egonya dan tidak pentingkan diri. Betapa dahulu saya amat sukar berkongsi bilik dan rahsia peribadi. Namun akhirnya sedikit demi sedikit, saya membuka pintu untuk berkongsi. Dan lama-kelamaan, saya pula yang menjadi seronok untuk berkongsi. Senyum.

4) Bulatan gembira adalah lubuk ilmu buat saya

Siapa sangka, di bulatan gembiralah pelbagai khazanah ilmu yang telah saya pelajari. Baik ilmu duniawi berupa cara-cara untuk memasak kek cokolat berkacang almond (Ok dalam mimpi saya je kot) atau ilmu ukhrawi yang pelbagai rupa dan rasa. Kadang-kadang belajar ilmu al-Quran, di hari lain belajar ilmu hadith pula. Ada masanya belajar seerah dan ada masanya belajar keadaan sosio-politik dan ekonomi umat Islam seluruh dunia. 

Itu belum lagi dikira perkongsian ilmu setiap hari dalam tazkirah-tazkirah harian dan ilmu-ilmu besar di konferens-konferens riang. Cukup mengujakan! Dan bulatan gembiralah yang bertanggungjawab memperkenalkan saya kepada semua ini. 

Dan kini, sebagai murabbi, tidak tergambar perasaan saya apabila melihatkan kepuasan dan kegembiraan terpancar pada wajah hadek-hadek setiap kali apabila saya selesai memberikan perkongsian. Pergh makan aiskrim cokolat dengan kacang badam pon tidak sepuas itu!

5) Bulatan gembira mengajar saya erti ukhuwwah fillah

Ya, di sinilah pertama kalinya saya merasakan kelazatan ukhuwwah fillah. Bagaimana ada ahli-ahli bulatan yang sentiasa mengambil berat tentang diri kita. Demam sakitnya kita benar-benar dibelai dan dijaga. Sentiasa bertanyakan perihal keluarga kita di rumah. Risau melihatkan kita yang terlalu banyak huha huha sampai tak ingat nak menelaah pelajaran. Pergi ke perpustakaan bersama-sama, meski masing-masing mengambil subjek yang berbeza. Masakkan makanan kegemaran kita. Buatkan teh tarik untuk kita nikmati bersama. Waduh. 

Semuanya ini tidak mungkin saya rasakan andai saya tidak berbulatan gembira. Sumpah! (Nak cerita lebih-lebih, khuatir pula stok bawang yang akan kehabisan!)

6) Bulatan gembira mengajar saya untuk meraikan perbezaan

Memandangkan ahli-ahli bulatan gembira ini terdiri daripada pelbagai spesis dan baka, sudah tentunya masing-masing punya perlbagai karenah dan ragam. Saya ni pula, memang terkenal dengan keras kepalanya. Mesti sentiasa nak menang dan jadi juara! 

Namun bulatan gembira telah mengajar saya erti perbezaan dan bagaimana meraikannya. Tiada yang tak machonya apabila kadangkala kita mengalah dan memberi laluan kepada orang lain untuk memenangkan pendapatnya. Apatah lagi dalam bulatan gembira, yang penting adalah persefahaman (tafahum) yang disemai, bukannya siapa yang lagi hebat dan siapa pula yang lagi terer. 

7) Bulatan gembira mengajar saya erti, ehem, chenta

Sungguh klise bukan? Tetapi benar, terlalu banyak yang saya belajar dan peroleh daripada bulatan gembira, sehingga menyebabkan mustahil untuk saya tidak jatuh chenta pada bulataan gembira. Ke mana-mana sahaja saya pergi, saya akan bawa sama chenta ini; saya akan promosikan bulatan gembira dan mengapa ia begitu penting sekali. Mengapa semua orang perlu berbulatan gembira dan mengapa semua orang perlu membawanya pula.

Bulatan gembira telah menyebabkan saya jatuh chenta pada tarbiyah dan dakwah. Pada ikhwah dan ukhuwwah. Pada hadek-hadek dan perhubungan suci yang menghubungkan kami. Pada al-Quran dan al-Hadith. Pada seerah dan kisah para sahabat. Bulatan gembira telah menyebabkan semuanya itu menjadi suatu kemungkinan. 

Bulatan gembira. Bulatan chenta. Senyum. 

Amacam? Sekarang bersinar-sinar mata tak nak berbulatan gembira?? Eheh. [Kredit]

Uh oh, cukuplah sekadar ini. Jujur, jika saya mahu senaraikan satu-persatu manfaat dan kelebihan yang saya perolehi daripada bulatan gembira, nescaya saya tidak habis tulis post ini. 

Saya pasti, anda punya pengalaman peribadi dan kisah sendiri yang menarik juga untuk dikongsikan tentang bulatan gembira anda, bukan..? 

Kerana bulatan gembira bukan sekadar bulatan. Ia bukan sekadar halaqah atau usrah. Tetapi ia adalah nukleus, unit kecil yang menghimpunkan jiwa-jiwa yang segar dan hidup, kepada sebuah jemaah tarbiyah dan dakwah yang lebih besar. Ia adalah manifestasi kepada kechentaan dan kesungguhan kita pada ad-deen yang mulia ini, dan ruh-ruh kita dihubungmesrakan dengan fikrah membumi yang sama. InshaAllah.

Ia bukan sekadar bulatan yang menghimpunkan hati dan jiwa sekali seminggu. Tetapi ia adalah bulatan sakti yang menghidupkan, yang menyambung silaturrahim dan perhubungan, yang memberi makan pada jiwa-jiwa yang kehausan dan kelaparan.

Ia adalah bulatan kehidupan. Bulatan chenta yang penuh kesegaran. Bulatan sorga yang menyiram keimanan.

Arakian apa ertinya saya berbulatan gembira?

Segala-galanya! 

Senyum.

-gabbana-

21 May 2013

Selazat Ferrero Rocher

[Kredit]

"Kak, kenapa perempuan kena pakai tudung? Ya, saya tahu, Allah suruh, Allah wajibkan. Tapi... Uhm, takpelah."

Farisya memerhatikan wajah anak usrahnya dengan pandangan sedikit pelik. Dah tanya boleh gostan pulak.

"Tapi..? Eh cakap je la. Kalau akak boleh jawab, akak jawab insha Allah."

Farisya memberikan senyumannya yang paling manis buat Ija. 

"Uhmmm. Macam ni. Budak-budak macam saya ni, kuriyes. Banyak tanya. So instead of just cakap yang kitorang kena pakai tudung sebab Allah suruh, we need more than that. We crave for more logical answers. Bukan sayalah. Tapi orang-orang macam saya. Huhu.. Kak faham tak?"

"Faham."

Farisya tersenyum lagi. Dia memang kenal benar feel spesies macam Ija ni.

"So bila ada logical answers, answers that can satisfy our intellectual need, senang la sikit nak terima. Senang la sikit nak ajak orang pakai tudung sama."

Farisya mengangguk tanda setuju. 

"Camne akak..? Akak boleh bantu saya?"

Farisya tersenyum, sehingga berlekuk pipinya. Dipegangnya tangan Ija dengan penuh mesra.

"Insha Allah, sudah tentulah boleh."

Farisya menarik nafasnya. Kemudia dihelanya perlahan-lahan. Dia berkira-kira, dari sudut pandang manakah dia mahu menjawab persoalan anak usrahnya itu. Silap jawab nanti, semakin parah pula jadinya!

"Begini Ija. First and foremost, sama ada kita suka atau tak, kita kena faham dan terima yang perintah menutup aurat tu memang diwajibkan oleh Allah. Oleh sebab Dia Tuhan dan Tuan kita, maka nak tak nak, kita kena patuhi dan akui. Asal kepada ibadah adalah syariah, dan bukannya hikmah. Maknanya, tak perlu cari hikmah-hikmah yang tersembunyi, kerana memang Allah dah suruh.

Macam solat lah. Kita solat sebab Allah yang wajibkan. Bukan sebab bila sujud, ada urat celah mana dalam otak yang akan terbuka, lantas darah boleh masuk dalam urat tu. Bukan bukan. Itu hanyalah bonus daripada solat. Hatta kalau takde faedah sebegitu pon, kita tetap kena solat sebab Allah dah wajibkan.

Sama juga dengan larangan untuk memakan babi. Kita umat Islam diharamkan maan babi sebab apa? Sebab Allah sebut dalam al-Quran kan? Memanglah kajian sains ada membuktikan yang daging babi ni mengandungi sejenis cacing pita yang tak boleh nak dihapuskan walau dengan cara apa sekalipon. Dan melihatkan kepada cara hidup babi yang pengotor dan jijik tu, ergghh, siapa yang lalu..? But just assuming, one day saintis berjaya mencipta babi yang comel berlari-lari riang di padang rumput bersama arnab-arnab gemok, lagi pembersih, yang takde seekor pon cacing pita dalam daging dia. Ketika itu adakah hukum memakan babi menjadi halal? Tidak! Ia tetap haram, sepertimana yang sudah termaktub dalam al-Quran!"

Berkobar-kobar Farisya memberi muqaddimah. Terkebil-kebil Ija mendengarnya.

"Betul kak, Ija faham je. Tapi tu lah. Manusia kan. Tak puas hati setakat penjelasan yang Allah wajibkan. Kalau boleh nak tahu juga apa bonus pakai tudung ni."

"Betul betul. Akak faham. Sebab tu penting untuk kita sendiri, melatih diri kita dan mengajak keluarga dan kawan-kawan kita untuk jadi orang-orang yang beriman. Sebab bila dah beriman, dia tak akan persoalkan lagi kenapa Allah suruh begini dan begitu. Bila dia dah kenal Allah, dah makrifatullah, dia dah jatuh chenta dengan Allah, dia akan faham mengapa Allah minta dia taat kepada segala perintahNya. Malah dia akan buat dengan sukarela dan penuh rasa tanggungjawab dan chenta. Sebab tu dalam tarbiyah kita Ija, kita ajak orang untuk kenal Allah dulu. Ajak orang untuk jatuh chenta dengan Allah dulu. Siapa Allah tu. Apa sifat-sifat Dia. Kenapa Dia turunan Nabi Muhammad sebah khatimul anbiya'. Kenapa al-Quran diturunkan berperingkat-peringkat. Supaya nak bina aqidah dan iman tu dulu. 

Aurat ni, kosmetik je Ija. Maksudnya, menutup aurat adalah manifestasi kepada kefahaman aqidah yang benar. Macam akak cakap tadi lah, bila dah kenal Allah, bila dah beriman, insha Allah otomatik seorang perempuan tu akan terus menutup aurat tanpa sebarang kompromi dan ragu-ragu lagi."

Ija mengangguk-angguk kepalanya tanda setuju. Jauh di sudut hatinya, dia masih berharap kalau-kalau kak naqibahnya akan bercerita juga tentang bonus mengenakan tudung. 

"As for hikmah bertudung... Banyak sangat Ija. Banyak sangat. Pertamanya adalah untuk melindungi diri kita daripada panahan-panahan berapi nafsu syaitonirojim kaum lelaki. In a way, kita nak bantu mereka juga. Kalau dalam artikel #Perempuan, Inche gabbana ada cakap yang nafsu lelaki ni lain sikit. Diorang ni sudah boleh terangsang hanya dengan melihat sahaja. Lagi labuh tudung yang kita pakai, lagilah selamat dan terlindung kita rasa. 

Allah ciptakan fizikal perempuan dan lelaki tak sama. Kita ada kelebihan yang tidak ada pada lelaki. Tetapi kelebihan-kelebihan ni bukanlah untuk ditonjolkan, dipamerkan sesuka hati Ija. Ia adalah anugerah Allah untuk kita. Ia adalah ujian untuk kita. Allah dah tengok, kita ni boleh jaga dan lindungi anugerah yang Allah bagi ni dengan baik, atau kita buat dia macam barang yang tidak berhaga, boleh beri dan tayang pada sesiapa sahaja  yang kita suka.

Dia macam mahkota jugalah Ija. Bayangkan kita ada mahkota yang paling mahal dan berharga. Kita nak main pakai macam tu je ke? Tayang kat orang hari-hari sesuka dan segirang hati? Kita mesti nak jaga dengan rapi kan? Kita masuk dalam peti dan kunci? Kita pakai pada hari-hari keraian dan kebesaran tertentu sahaja. Kalau tak, habislah nanti orang ambil dan curi!"

Ija tersenyum. Ada logiknya di situ.

"Dan Ija..."

Tiba-tiba Farisya tersipu-sipu. Ija menggaru-garu kepalanya, sedikit pelik dengan reaksi spontan kak naqibahnya itu.

"Aurat kita ni... Hanya berhak untuk si dia yang halal sahaja. Sebab tu dalam al-Quran, Allah tak kata yang kena tutup aurat pada semua. Tapi ada golongan-golongan tertentu sahaja yang kita perempuan ni, dituntut untuk menutup aurat kita.

Suatu hari nanti, kita aka berkahwin insha Allah..."

Merah padam pipi Farisya.

"Ketika itu, tiada lagi aurat antara kita dan suami. 

Uhm, akak nak tanya Ija. Mestilah kita nak beri yang terbaik pada suami kan..? Kalau sebelum tu kita dah dedah sana, dedah sini... Dah, tinggal apa je lagi untuk suami nanti? Kasihan la pada suami kita nanti, seandainya diri kita ni, sudah pon ditatapi dan 'dirasai' oleh mata-mata rakus lelaki-lelaki lain di luar sana, dek kelalaian dan kebodohan kita sendiri. 

Dia macam makan Ferrero Rocher la Ija. Mana lagi nikmat; makan Ferrero Rocher yang dah siap dibuang pembalutnya yang berwarna emas itu, atau perlahan-lahan kita buka pembalut tu, dengan harapan untuk menikmati coklat rangup berintikan kacang yang lazat? Perggghhh. Hehehe.. 

Mestilah yang nak kena buka pembalut tu kan! Dia built up the expectation! And the suspense! The thrill! And the ultimate joy bila dapat makan coklat bulat tu! 

Itulah hadiah kita untuk suami kita nanti insha Allah! Biar dia ternanti-nanti. Biar kita built up the expectation! Semoga dia gembira, teruja dan bersyukur dengan apa yang dia bakal dapat nanti!"

Ija tersenyum lebar mendengarkan penjelasan Farisya. Ferrero Rocher. Tidak pernah terlintas langsung di kepalanya. 

"Dan Ija... Wanita beriman itu Allah khaskan untuk lelaki beriman. Itu janji Allah. Kita kena banyakkan bersabar. Kena yakin dengan janji Allah. Suatu hari nanti Dia akan hantar juga the knight in shining armour untuk kita. Kalau bukan di dunia ni pon, Insha Allah di sorga sana."

Farisya tersenyum dan terus dia memeluk erat Ija dengan penuh kasih mesra. 

"Jazakillahu khairan katheraa jaza' kak. Sekarang Ija lebih yakin kenapa Ija kena pakai tudung. Bukan setakat tudung, tapi tudung DBKL! Hehe.. Dan Insha Allah lebih yakin juga untuk ajak kawan-kawan lain nak pakai tudung sama!"

"Dia tak semestinya pakai tudung Ija. Pakai kotak atau baldi pon boleh. Asalkan tutup aurat!"

Berderai mereka berdua ketawa.

"Kak, dok sebut pasal Ferrero Rocher, lapar pula perut ni. Hihihi.. Jom makan? Saya belanja! 

Farisya tersenyum. 

"Jom! Tapi sebelum tu, akak ada sesuatu untuk Ija."

Farisya bangkit dan menuju ke almarinya. Dia membuka laci yang pertama dan mengambil sesuatu dari dalamnya. 

"Nah!"

Dia menghulurkan sebiji bungkusan emas berbetuk bulat. Ferrero Rocher. 

Ija tertawa kecil melihatnya.

Mereka berdua perlahan-lahan dan berhati-hati membuka pembalut coklat itu. Usai membukanya, mereka saling memerhatikan coklat masing-masing sebelum tertawa lagi. 

Ija menyuapkan semuanya sekaligus, sedangkan Farisya memakannya perlahan-lahan.

Ija dengan sabar memerhatikan Farisya menghabiskan coklatnya.

"Selazat Ferrero Rocher, kan kak...?"

-gabbana-

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP