Uswah

30 April 2013

Haiya 'Alassalah!

[Kredit]

Ini adalah peringatan yang mungkin sudah basi. Ini adalah tazkirah ringkas yang saya pasti sudah anda dengari berkali-kali. Ini adalah nasihat yang saya fikir, pasti ada sudah bosan dan lali.

Tapi itulah. Manusia perlu sentiasa diingatkan. Kerana manusia itu sifatnya pelupa. Dan peringatan itu bermanfaat, baik untuk orang-orang mukmin.

Hari ini saya ingin mengingatkan diri sendiri dan anda semua tentang solat. Ya, ritual sehari-hari yang kita lakukan etlis lima kali sehari itu. Oleh sebab kita sudah terlalu terbiasa dengannya, terlalu rutin, kadangkala kita terlupa, terlalai dan terleka dengan ruh solat itu. Kita lupa akan kelazatannya. Kita alpa dengan kenikmatan mengangkat takbir dan melaungkan kebesaranNya serta sujud merendahkan diri kepadaNya. 

Seagung mana solat itu? Rasulullah SAW terpaksa menghadap Allah di Sidratul Muntaha sana untuk diberi watikah solat.

Seutama mana solat itu? Amalan pertama yang akan dihisab di Mahsyar kelak adalah solat.

Sepenting mana solat itu? Walau dalam keadaan apa sekalipon; lumpuh, sakit gigi, gempa bumi, tsunami, solat wajib ditunaikan tanpa sebarang kompromi. 

Senikmat mana solat itu? Rasulullah SAW akan menyuruh Bilal bin Rabah untuk merehatkannya dengan laungan azan, kerana rehat itu hanya pada solat. 

Sehebat mana solat itu? Ia diletakkan sebagai rukun Islam yang kedua selepas melafazkan syahadah.

Ya, solat adalah manifestasi keIslaman seseorang itu. Solat adalah terjemahan kepada berimannya seseorang mukmin itu. Dan solat adalah ilustrasi kepada kechentaan seorang hamba kepada Tuannya.

Apakah rahsia keagungan pada solat?

Ia adalah tiang, asas kepada kehidupan seorang mukmin. Sehinggakan seseorang yang menjaga solatnya dengan sempurna, pasti akan terhindar daripada menjadi hamba yang ingkar dan bermaksiat.

"Sesungguhnya solat itu mencegah daripada fahsya' dan mungkar."
[al-Ankabut, 29:45]

Fahsya'. Perbuatan keji. Mungkar. Keingkaran.

Nah, kehidupan bagaimana lagi yang kita inginkan, daripada kehidupan aman dan bahagia, bebas daripada perbuatan yang keji dan keingkaran kepadaNya..? Tak mencuri, tak berzina, tidak berjudi, tidak makan rasuah, tidak pecah amanah, tak minum arak, tidak mengkeji sesama sendiri, tidak mengumpat, tidak marah penuh emosi, tak korek hidung. Eh.

Ibaratnya, berlari-lari riang penuh kegembiraan di tengah-tengah taman bunga-bunga dafodil yang dipenuhi dengan arnab-arnab gemok berlari riang. Indah bukan? 

Tapi lihatlah sekeliling! Maksiat berleluasa! Fahsya' bermaharajalela! Mungkar berkuasa! Syaitonirojim dipuja..! Dan yang banyak sekali menyokong semua ini adalah mereka yang mengaku dirinya Muslim!

Pengsan. Berbuih mulut. 

Oh tidak perlu pergi jauh-jauh. Tidak perlu pantas menuduh. Cuba tengok diri sendiri dahulu.

Ehem. Sudah bersedia untuk dilempang dua ratus tujuh puluh lima darjah dengan kekuatan lapan perpuluhan tiga skala richter..? 

Berapa kali dalam sehari kita sibuk mengumpat dan mengata orang? Mata, telinga dan hati kita terjaga daripada zina? Duit kita habis diboroskan ke mana? Nafsu makan kita ingat dunia? Masa kita dihabiskan untuk apa? Maksiat di depan mata kita buat apa? Otak dan fikiran kita melayang ke mana? Kaki kita banyaknya melangkah ke mana..?

Adeh. 

Sedangkan kita bersolat. Bukan hanya bersolat, siap solat jemaah lagi. Bukan setakat solat berjemaah, siap solat berjemaah di awal waktu lagi. Tidak cukup dengan itu, kita tambah lagi dengan solat-solat sunat. 

Tapi diri kita masih bermaksiat. Jiwa kita masih berkarat. Hati kita dan kemungkaran masih bersahabat. 

Bukankah solat itu mencegah fahsya' dan mungkar..? Lalu bagaimana solat kita..? Adakah kita bersolat atau kita 

"Maka celakalah orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai terhadap solatnya..."
[al-Ma'un, 107:4-5]

Adoiii dah dah la tu Inche gabbana oiii! Sakit kot lempangan bertubi-tubi anda ni..!

Err.. Hati dan jiwa saya pon tengah parah, tengah dibelasah ni tahu...?? 

Ya, solat kita tidak berjaya menjadi benteng kepada perbuatan keji dan kemungkaran adalah disebabkan oleh kelalaian kita dalam melaksanakannya. Ketidak-seriyesan kita dalam memenuhi tuntutannya. Sikap sambil lewa kita dalam memastikan kita melakukannya dengan prestasi yang paling sempurna. 

Takbir kita dipenuhi dengan ingatan tengan kari kepala ikan yang baharu kita bedal siang tadi.

Al-Fatihah kita diselang-seli dengan lirik Gwiyomi yang kia tonton di TiubAnda.

Rukuk kita sibuk merenung kuku kaki yang tidak dipotong lagi.

I'tidal kita dicemari dengan berangan nak kahwin dengan akhawat mana.

Sujud kita mahu tak mahu, haru-biru.

Tahiyyat kita pantas dan laju, tak sabar nak sambung hapdet MukaBuku.

Sudah, kalau begitu, apa nilai solat kita? Agak-agaknya jika begitu, solat kita akan diangkat hingga bertemuNya di langit petala, atau akan dicampak semula ke muka kita dengan penuh murka..? 

Nanges laju-laju.

Lalu, bagaimana solat yang sebenarnya..? Solat bagaimana yang dapat mencegah fahsya' dan mungkar? Solat yang macam mana dikira berjaya lagi bergaya?

Solat yang menggementarkan hati si hamba.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementar hatinya dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah (kuat) keimanannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal."
[al-Anfal, 8:2]


Solat yang difahami segala makna bicara dan maksud kata-kata.

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dekati (mengerjakan) solat sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengetahui apa yang kamu katakan..."
[an-Nisa', 4:43]

Solat yang akan menyebabkan kita jatuh chenta padaNya. 

"Sungguh, Aku ini Allah, tidak ada Tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan laksanakanlah solat untuk mengingat Aku."
[Thaaha, 20:14]

Pendek kata, solat yang khusyu', penuh dengan tawadhu'.

"Sungguh beruntung orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyu' dalam solatnya.."
[al-Mu'minun, 23:1-2]

Baharulah betul, selepas salah, adanya falah. Selepas solat, datangnya kejayaan!

Tidak hairanlah, kita dituntut untuk memohon kemenangan dengan solat dan sabar!

"Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan (solat) itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu'."
[al-Baqarah, 2:45]

 
Pergh. Dah nampak dah permainannya kat situ..? 

Nak solat tak boleh main-main. Nak solat kena khusyu'. Nak khusyu' bukannya mudah, dengan beraneka tok nenek raksasa gorgon dan syaitonirojim yang sentiasa mencari peluang untuk membuatkan kita alpa dan terleka. Oleh sebab itu kena bersabar. Sabar dalam melaksanakan solat. Sabar dalam mencari ruh dan kelazatan solat. Sabar dalam memburu keredhaanNya. 

Selepas itu baharulah kita dapat merasakan nikmatnya dan indahnya solat; bebas daripada perbuatan keji dan mungkar. Terasa begitu dekat denganNya. Dapat berchenta, berdua-dua denganNya, hanya kita dan Dia, meski di tengah lautan manusia yang lainnya.

Mata berkaca-kaca, bersinar-sinar.

Arakian selepas ini, jika ada yang bertanya kepada saya, apa solusi kepada permasalahan itu dan ini, pasti solat akan menjadi jawapan saya.

"Inche gabbana, saya ada masalah ukhuwwah dengan ikhwah tempat saya belajar. Diorang tu semua pentingkan diri. Asyik-asyik saya sorang je yang buat kerja. Macam mana saya nak tegur mereka ye..?"

Uhm. Solat anda bagaimana..? Di awal waktu tak? Berjemaah tak?

"IG, saya selalu rasa tak tenang. Rasa macam.. Semua orang kat dunia ni tak suka kat saya. Semua benda tak kena. Ada apa-apa tips..?"

Aaah. Wudhu' anda bagaimana..? Sudah sempurna? Sebelum solat fardhu, ada buat solat sunat rawatib dulu? Waktu solat rasa tenang atau makin runsing..? 

"Ana.. Ana malu nak mengaku la akhi. Tapi.. Tapi ana rasa kes ana sebijik macam Junaidi dalam Zilal. Ikhwah songsang. Guane eh..?"

Waktu anda baca al-Fatihah, apa yang bermain dalam kepala? Allah atau ikhwah? Anda ingat Tuhan atau keseronokan?

"Akhi, hadek-hadek saya susah betul nak buang jahiliyyah! Gamenya, PESnya, DOTAnya, kapelnya.. Dah macam-macam saya buat! Semua tak jadi! How now brown cow?"

Sebelum tuding jari pada hadek-hadek, kita koreksi diri dulu. I'tidal anda ketika solat bagaimana? Ada tama'ninah? Waktu sujud, waktu yang paling dekat dengan Allah, anda perbanyakkan doa untuk hadek-hadek atau banyak menguap..?

"Aku ada masalah ikhtilat la bro. Senang sangat tewas dengan ajakan perempuan. Susah la nak jagaaa.. Adoi, macam mana ah..?"

Mudah. Waktu solat, fokuskan sepenuh perhatian pada Allah. Perbanyakkan ingat Allah dalam solat, dan bukannya perempuan. Bercurhat dan berbuallah dengan Allah. Anda pasti jatuh chenta padaNya!

"Anda, saya tak tahulah nak undi saya PRU ni. Tak nampak lagi sapa yang akan menguntungkan agama, negara dan bangsa! Waduh, bagaimana..??"

Err.. Dah solat belum..? Jangan sibuk berkempen sahaja tahu..??  

"Encik gaban boleh bagi nasihat sikit pada mereka yang malas belajar ni..? Asyik-asyik nak buat dakwah, tapi belajar malas. Boleh..?"

Boleh. Suruh berdiri tegak menghadap kiblat, luruskan saf, ikhlaskan niat dan tunaikan solat dengan khusyu' lagi tawadhu'!

Ohoiii!

Kerana solat itu mencegah fahsya' dan mungkar!

Kerana solat itu yang membedakan antara orang-orang yang beriman dengan mereka yang kufur!

Dan kerana lepas as-salah, baharu ada al-falah!

Senyum.

-gabbana-

Di sebalik kesibukan dan kehangatan pilihan raya, jangan abaikan dan lalaikan solat kita! Jangan sibuk berkempen, meraih undi bagai sampai solat ditinggalkan! 

Ingat! Kita ada kemenangan yang lebih besar dan agung untuk dikejar; kemenangan di akhirat sana! Ayuh kejar solat yang sempurna!
 

29 April 2013

Zilal: Epilog

[Kredit]

"Ukhti.. Uhmmm.. Jap, saya rasa saya perlu beritahu anda sesuatu."

Junaidi membetulkan tempat duduknya. Dia gementar. Gugup. Masakan tidak, ini adalah sesi taaruf yang pertama buat dirinya. Dan mungkin juga yang terakhir.

Bersama-samanya adalah Ustaz Faizal, murabbinya. Di pihak akhawat, ada Sarah Alia dan Ustazah Jamilah, isteri kepada Ustaz Faizal. 

Junaidi menghela nafas. Dia tidak pasti sama ada dia perlu menceritakan segalanya kepada Sarah. Jika diceritakan, ada kemungkinan yang Sarah tidak mahu bersuamikan dirinya. Tetapi jika tidak diceritakan dan andai Sarah menerima dirinya, Junaidi akan menyimpan satu rahsia besar, satu beban berat yang akan dibawa ke kuburnya nanti. Sampai mati. 

Sebelum itu, dia terlebih dahulu sudah berbincang dengan Ustaz Faizal. Ustaz Faizal tidak menggalakkan, tidak pula melarang. Dia menyerahkan keputusan akhir kepada Junaidi, di samping menyuruhnya untuk perbanyakkan doa dan solawat, agar urusannya dipermudahkan pada hari itu. 

Tempatnya di sebuah rumah kedai dua tingkat. Selepas Isyak. Junaidi bertemu dengan Ustaz Faizal di bahagian bawah bangunan, sebelum mereka berdua naik ke atas. Ustazah Jamilah dan Sarah sudah setia menanti di atas. 

Itulah pertama kali Junaidi bertemu mata dengan Sarah. Jujur, Sarah cantik orangnya. Berketerampilan. Pakaiannya kemas dan bersih. Wajahnya redup. Kulitnya hitam manis. Matanya bundar, hidungnya mancung. Mulutnya mulus. Dagunya sedikit berlekuk. Ada tahi lalat di bawah bibirnya. Manis. Tidak tinggi dan tidak pula pendek orangnya. Tidak gemuk dan tidak pula terlalu kurus. Sedang. Molek. 

Kalaulah bukan kerana Junaidi adalah Junaidi, sudah pasti dia akan jatuh chenta pandang pertama pada Sarah. Namun Junaidi hanya memandang Sarah sebagai seorang perempuan Melayu, seorang Muslimah, seorang ukhti yang dianugerahkan oleh Allah dengan kecantikan dan keindahan rupa. Tidak lebih daripada itu. Moga akhlaknya juga mulia.

Sesi taaruf berjalan dengan lancar. Soalan-soalan lazim ditanyakan dan dijawab balas oleh kedua-dua pihak. Tiada apa yang luar biasa. Tiada apa yang membeliakkan mata atau buatkan mulut ternganga. Dan semuanya menjangkakan sesi taaruf itu akan berakhir dengan baik dan berjaya.

Sehinggalah Junaidi mengubah fikirannya.

Aku mesti berlaku jujur. Aku mesti beritahu kepadanya segalanya. It's now or never. 

"Sebenarnya.. Uhmmm.. Saya berkira-kira juga nak beritahu enti pasal ni. Tapi... Saya rasa lebih baik saya beritahu. Sekurang-kurangnya, saya tak merasakan diri saya menipu enti nanti. Tidak berahsia atau menyimpan apa-apa yang saya khuatir...akan menyebabkan saya menyesal di kemudian hari."

Sarah cuba menyembunyikan perasaan curiga dan ragu-ragunya. Namun keningnya telah mengkhianatinya; sedikit terangkat, memberi isyarat dia tidak menjangkakan kejutan itu. 

Ini adalah sesi taaruf yang kedua buat Sarah. Akh yang pertama dahulu telah terpaksa ditolak Sarah atas sebab-sebab tertentu. Dan akh itu juga seperti Junaidi, membuka cerita ketika sesi taaruf yang menyebabkan Sarah tidak dapat menerimanya.

Maka permintaan Junaidi itu membuatkan hatinya berdebar. Dia tidak mahu jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali. 

"Saya harap enti bersedia dan berlapang dada dengan apa yang bakal saya ceritakan ni. Dan andai enti tak dapat menerimanya sekalipon, harapnya ia berakhir di sini. Minta tolong sangat-sangat agar tidak dihebahkan kepada sesiapa. Biarlah empat dinding ini menjadi saksi. Boleh kan..?"

Sarah terdiam. Ustazah Jamilah memandangnya, mengharapkan maklum balas daripadanya. Sarah akhirnya menggangguk perlahan, tanda setuju.

Junaidi menarik nafas. Mulutnya terkumat-kamit, berselang-seli dengan zikrullah dan solawat. 

"Baiklah. Begini ukhti.. Saya.. Saya tidak senormal seperti orang lain. Seperti lelaki lain.."

Maka bermulalah pengkisahan hidup Junaidi kepada Sarah. Dia bercerita bagaimana zaman kanak-kanaknya terpalit dengan memori hitam yang amat pahit untuk ditelannya. Ia gelap. Kotor. Jijik. Namun itulah takdir Allah buat dirinya.

Rentetan peristiwa itu, ia telah mengubah orientasi seksualnya. Dia mula berminat terhadap lelaki. Ia berlaku secara semulajadi. Tiada apa yang dapat dilakukannya untuk mengubahnya. Itu sangkaannya dahulu. 

Junaidi tidak sanggup untuk menceritakan perbuatan dan jahiliyyahnya yang terkutuk semasa di sekolah menengah. Cukuplah dia hanya membayangkannya sahaja, dengan harapan Sarah boleh faham-faham sendiri. Apatah lagi dia tidak mahu membuka aibnya sendiri, dengan harapan Allah akan menutupnya di akhirat nanti. 

Junaidi juga bercerita tentang Farid; bagaimana bekas murabbinya itulah yang menariknya masuk ke dalam gerabak tarbiyah dan dakwah ini. Bagaimana dia jatuh hati dengan Farid. Bagaimana hubungan 'chenta' mereka berakhir dan bagaimana pertemuan mereka yang terakhir telah memukul dan menyedarkan Junaidi. 

"Ukhti.. Berat untuk saya cakap benda ni. Dan saya pon tak pasti kenapa saya nak cerita ni pada enti. Tapi inshaAllah saya yakin ini yang terbaik, andai kita nak melayari bahtera bersama-sama nanti.

Uhmm.. Jujurnya, perasaan saya masih pada lelaki. Dan saya tak tahu sama ada boleh ubah perasaan ini sampai bila-bila atau tidak."

Terbeliak sedikit mata Sarah mendengarnya. Ustazah Jamilah juga tidak dapat menyembunyikan perasaan terkejutnya. Mujurlah kedua-duanya merenung lantai, sepanjang sesi 'pengakuan' Junaidi. 

"Cuma... Saya tak mahu enti fikir, keputusan saya untuk mendirikan baitul muslim ni adalah sebagai jalan pintas untuk menguburkan masalah saya ni. Tidak. Bukan eskapisme. Bukan. 

Tetapi ia adalah sebahagian daripada usaha saya untuk mengubah diri saya. Untuk mentarbiyah diri saya. Untuk cuba menyelesaikan masalah ini. 

Dan... Dan.. Murabbi saya pernah sebut dulu.. Chenta itu adalah  kata kerja. Kita kena berusaha untuk mendapatkannya. Chenta itu boleh jadi datang sendiri. Beruntunglah mereka yang jatuh chenta tanpa perlu berusaha.

Namun lebih beruntung mereka yang meraih chenta selepas penat dan puas berusaha. Kerana chenta ketika itu, lebih lazat dan nikmat rasanya. Dan saya benar-benar mahu merasakannya...

Ini adalah sebahagian daripada usaha saya untuk menchentai manusia yang bernama perempuan. Saya teringin untuk merasakan perasaan fitrah itu. Saya mahu menjadi seorang manusia normal.. Seorang al-akh yang dapat memenuhi muwasofat tarbiyahnya. Yang dapat menaiki tangga amalnya..

Saya harap.. Saya harap ukhti dapat pertimbangkan.. Harap.. Tidak gopoh dalam membuat keputusan. Berdoalah padaNya, berbincanglah dengan mana-mana pihak yang enti percaya dan akhirnya, bertawakkallah kepadaNya...

Apa-apa pon keputusan enti nanti, saya redha inshaAllah. Saya redha. Moga Allah permudahkan. 

Dan moga enti sentiasa berada di bawah zilalNya..."

***

"Papa, papa! Sapa Farid..?'

Junaidi berkerut. Sudah lama dia tidak mendengar nama itu. Farid. Tiba-tiba memori lama menerjah dirinya. Bertalu-talu. Farid.

"Mana.. Mana Fiya jumpa nama tu..?"

Junaidi berjalan mendekati Safiyah, anak sulung kesayangannya itu. Baru berusia empat tahun tetapi sudah petah bercakap. Bijak.

"Ni hah, kat buku ni..!"

Dia mengusap rambut Safiyah. Diambilnya senaskah buku tebal pada tangan anaknya itu.

Fi Zilalil Quran. Di bawah bayangan al-Quran. 

Dihadiahkan oleh Farid sewaktu hari lahirnya yang ke-duapuluh.

Dia membelek-belek buku itu. Sudah lama tidak disentuhnya. Naskhah Zilal yang ada padanya kini adalah versi elektronik, yang disimpan dalam tabletnya. 

"Kat mana Fiya jumpa nama Farid tu..?"

Safiyah menyelak kulit buku berwarna kehijauan itu. Kusam. Dia membuka helaian yang pertama. 

"Ni hah, F.A.R.I.D. Farid. Kan..? Sapa dia Papa..?"

Pada helaian yang terkandung tajuk buku, kelihatan tulisan tangan Farid dengan pen basah berwarna biru. Tulisannya pendek sahaja, tapi cukup bermakna.

"Selamat mendekati mati! Moga sentiasa berada dalam zilal chenta dan kasihNya. ;)"

Kemudian ditandatangani dengan namanya. Farid. Terabadi selamanya. 

"Oh. Uncle Farid. Dia..."

Tidak semena-mena gugur air mata panas di pipi Junaidi.

"Eh? Kenapa Papa nanges..?"

Junaidi tertawa kecil. Cepat-cepat dia menyeka air matanya.

"Takde apa Fiya. Teringat kat Uncle Farid ni. Dia best friend Papa dulu. Baik orangnya. Sangat baik.. Dah lama Papa tak jumpa dia.."

"Oohh. Jomlah kita jumpa dia! Nak..?"

Safiyah tersenyum lebar. Ikhlas. Jujur. Beriya-iya.

Junaidi hanya mampu tersenyum. Diusapnya rambut anaknya sebelum diangkatnya dan dikucup pipi tembam Safiyah.

"InshaAllah Fiya, inshaAllah."

Air mata Junaidi mengalir lagi.

Farid, jangan lupa janji kita. Kita akan bertemu semula di sorga. Di bawah zilalNya. Di bawah zilal kasih dan chentaNya. 

Dan kita akan berchenta semula. Di sana. Buat selamanya...

- TAMAT -

-gabbana-

Alhamdulillah, Allah ijinkan saya untuk menghabiskan karya Zilal ini. Dari segi menyusun jalan cerita, menata kata dan mereka gaya, jujur, tidaklah sukar untuk menghabiskannya. Namun yang sedikit sukar adalah memastikan jalan ceritanya terus kekal segar, sejajar dengan niat asal penulisan ini; tidak lain untuk mengajak anda semua kembali kepadaNya. Juga untuk memastikan ia tidak terlalu bermain dengan emosi. Dengan nafsu diri. 

Tema yang diketengahkan di dalam Zilal mungin kontroversi. Namun ia adalah realiti, walau  ia pahit dan tidak enak untuk ditelan. Komen-komen pada Zilal bahagian-bahagian yang sebelum ini menjadi manifestasi betapa tema yang cuba digarap bukannya suatu fantasi, tetapi hakikat yang perlu dihadapi kita semua. Dan saya juga pernah menulis tentang hal ini dalam 'Ikhwah Songsang' meski ia tidaklah sejujur Zilal. 

Persoalannya kini, bagaimana kita membantu golongan ini? Dengan mengasingkan mereka? Dengan mencela orientasi mereka ini? Dengan buat-buat biskut, seolah-olah mereka ini tidak ada dan tidak pernah wujud..? 

Ketahuilah, mereka ini tidak meminta untuk dijadikan sedemikian rupa (Kecualilah mereka yang sememangnnya memilih untuk menjadi sebegitu. Pilihan dalam keadaan sedar dan atas kerelaan sendiri. Na'udzubillah.) Saban hari, mereka terpaksa bertarung, bergaduh dan bermujahadah melawan nafsu yang membuak di dalam diri. Belum lagi dikira serangan dan bisikan syaitan yang bertali arus, tanpa belas kasihan atau penat lelah. 

Ada yang menang. Tapi ada juga yang tewas. Dalam keadaan sebegini, adilkah kita untuk terus menuding jari, meletakkan bebas kesalahan kepada bahu mereka semata..? 

Di dalam Zilal, saya tidak menawarkan apa-apa solusi yang konkrit. Saya tidak juga menjanjikan pengakhiran yang berbahagia buat selamanya (Baca: Happily ever after). Kerana walau ia indah dan enak dibaca, saya tidak mahu memberikan harapan palsu kepada golongan ini.

Realiti tetap realiti. Ia tetap perlu dipijak, walau keras, meski menyakitkan. 

Kisah yang digarap dalam Zilal adalah kisah rekaan semata-mata. Meskipon saya tidak dapat untuk mengelak daripada mengaitkannya dengan beberapa kejadian atau peristiwa yang pernah berlaku atau dalam pengetahuan saya.

Mohon maaf andai ada yang terasa dan terguris dengan penulisan ini. Jujur, tiada yang lain yang saya dambakan melainkan penulisan ini akan memberi manfaat yang melimpah-ruah kepada anda yang membacanya. Tiada yang lain yang saya rindukan melainkan keredhaanNya semata.

Kepada golongan yang mungkin merasakan tulisan ini ditujukan kepada anda, doa saya bersama anda. Walau saya cuba untuk memahami penderitaan dan sengsara yang sedang anda alami, anda lebih mengetahui betapa peritnya ujian Allah yang satu ini.

Bersabarlah. Bersabarlah. Bersabarlah. Pasti akan ada sinar bahagia di hujung anda, andai anda terus sabar dan percaya.

Sabar. Istiqamah. Ikhlas. Dan mujahadah.

Moga Allah redha.

"Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?"

Zilal. Hakcipta terpelihara (C) 2013.


28 April 2013

Zilal: Bahagian V


[Kredit]

“Aku nikahkan dikau, Ahmad Junaidi bin Ahmad Ilyas dengan Sarah Alia binti Boestamam.. Dengan mas kahwin lapan puluh ringgit.. Tunai.."

Junaidi menggenggam tangan tok kadi dengan kuat. Tapak tangannya berpeluh. Dia gusar. Dia tidak pasti.

Berkali-kali dia melafazkan basmalah di dalam hati. Dia merenung wajah tok kadi, seolah-olah mahu menyuruhnya berhenti. Dia tidak pasti.

Dia memejamkan matanya. Ditariknya nafas yang ada dengan dalam. Terbayang-bayang wajah Farid di kepalanya.

“Ju.. Ju tahu, hubungan yang Ju impikan takkan ke mana kan..? Mustahil Ju, mustahil..”

Terngiang-ngiang kata Farid kepadanya beberapa tahun yang lalu.

Farid.. Di mana kau, di saat aku paling memerlukan dirimu..?

Junaidi membuka matanya semula. Tok kadi masih di hadapannya. Hadirin masih di sekeliling, memerhatikan mereka dengan penuh pengharapan. Realiti. Dia tidak bermimpi.

Sudah tiada jalan keluar. Inilah takdir yang telah ditentukan Allah buatnya. Dia yakin, pasti besar hikmahnya. Dia yakin, inilah yang terbaik buat dirinya. InshaAllah. InshaAllah. InshaAllah. Inilah..

“Aku terima nikahnya, Sarah Alia binti Boestamam, dengan mas kahwin lapan puluh ringgit, tunai.”

Sekali lafaz. Sahlah Junaidi dan Sarah bergelar suami isteri.

Air mata Junaidi mengalir perlahan. Begitu gembira sehingga basah matanya. Itu sangkaan orang di sekelilingnya.

Namun hakikatnya, dalam hatinya, siapa yang tahu, melainkan dirinya sahaja..?

***

Junaidi menunggu dengan penuh resah. Dia terasa mahu membatalkan sahaja pertemuan seperti yang telah dijanjikannya dengan Farid. Apabila teringatkan kembali peristiwa dia meluahkan perasaan chentanya kepada Farid, dia berasa terlalu amat malu untuk bertemu dengan murabbinya itu.

Kenapalah aku bodoh sangat, setuju je nak jumpa dia…? Bunuh diri.

Jika ada mana-mana sudut dunia yang bisa untuk dia melarikan diri, sudah pasti dia berlari laju menujunya. Sekiranya anda mana-mana lubang yang paling dalam untuk dia menyorokkan dirinya, sudah tentu dia akan terjun ke situ. Andai  ada lautan luas untuk dia menyelam jauh, jauh daripada daratan dunia, sudah pasti dia akan melakukannya.

Tapi Junaidi sudah berjanji pada Farid. Dia bukanlah orang yang mudah memungkiri janji. Dan jauh di dalam sudut hatinya… Dia sebenarnya amat rindu untuk bertemu dengan Farid. Ahh.

Farid dan dirinya sememangnya amat rapat. Hampir setiap hari mereka akan berhubungan. Sekiranya Farid tidak menelefonnya, sekurang-kurangnya dia akan menghantar mesej ringkas, di Whatsapp atau sms sahaja. Junaidi selalunya membiarkan Farid untuk menghubunginya dahulu. Jual mahal. Dan Farid tidak pernah mengecewakannya.

Biar mesejnya seringkas “Salaam! Pekaba iman?” Meski percakapan mereka di telefon tidak lebih dua tiga minit. Biar mesej di Whatsapp hanya berupa emotikon senyum kenyit mata. Farid tidak pernah mengecewakannya.

Setiap panggilan dari Farid, setiap mesej Farid yang masuk, pasti akan membahagiakan Junaidi. Hidupnya pasti tidak lengkap, rasa tidak kena andai seharian berlalu tanpa Farid menghubunginya.

Selain itu, seringkali selepas habis sahaja usrahnya bersama Farid, pastilah Junaidi yang akan paling akhir sekali berpisah dengan Farid. Sama ada dia akan menunggu Farid yang sibuk bermuayasyah dengan ahli-ahli usrah yang lain, atau Farid sendiri yang akan memintanya untuk pulang bersama-samanya.

Junaidi tahu, ahli-ahli usrah lain tahu dan sedar betapa istimewanya dia di sisi Farid. Dan hal itu kadangkala menyebabkan dirinya rasa bersalah. Dia tahu, ada rakan-rakan seusrahnya yang cemburu dengan hubungan rapatnya dengan murabbi mereka itu. Dan hal itu sering menyebabkan fikirannya kacau.

Namun cukuplah jawapan Farid merungkaikan segala-galanya. Apabila Junaidi bertanyakan hal tersebut kepada Farid, Farid hanya tertawa, sebelum memberikan jawapan yang tidak mungkin akan dilupakan Junaidi buat selamanya.

“Ju… Setiap manusia Allah kurniakan dengan seketul daging yang amat istimewa sifatnya. Hati. Daging tu dikenali sebagai hati. Dan dengan hati ni, Allah masukkan pula suatu perasaan yang cukup luar biasa, yang tidak Allah kurniakan pada makhluk selain daripada manusia. Itulah chenta.”

Junaidi mendengar dengan penuh minat. Berdebar-debar hatinya apabila perkataan chenta disebut Farid.

“Chenta ni, adalah suatu perasaan yang cukup istimewa, namun misteri sifatnya. Ia tidak boleh dipaksa. Ia tidak boleh dipinta. Dan Ju.. Chenta itu adalah kata kerja. Untuk jatuh chenta, berguling-guling, seseorang itu perlu berusaha untuk lari laju-laju, tersadung dan akhirnya jatuh. Haha..”

Farid merenung wajah mutarabbinya dengan penuh kasih.

“Berchenta bukan untuk memiliki, Ju. Kita boleh sahaja menchentai seseorang itu dengan sepenuh hati, dengan segala rasa, dengan sehangat jiwa. Tapi belum tentu orang yang kita chentai itu menchentai kita kembali..”

Berderau darah Junaidi. Adakah dia menchentai aku, sepertimana aku menchentainya..?

“Samalah Ju. Kalau seseorang itu sudah menchentai seorang yang lain, tiada siapa yang dapat menghalang perasaan chenta itu. Andai perasaan chenta itu sudah berapi membara, tiada siapa yang dapat memadamkannya. Jika perasaan chenta itu sudah berakar membumi, tiada siapa yang dapat menghamburkannya keluar.

Kecuali… Dia. Allah. Kerana chenta itu milikNya. Dialah yang memberikan perasaan chenta ni Ju. Bila-bila masa, Dia boleh menarik kembali perasaan yang agung ni. Oleh sebab itu, kita kena selalu bersyukur padaNya. Kita kena taat padaNya. Kita kena buat apa yang Dia suruh. Dengan harapan, Dia akan terus bagi perasaan yang cukup nikmat dan lazat ini.”

Setiap bait-bait yang keluar dari mulut Farid ditangkap satu-persatu oleh Junaidi. Tekun. Khusyu'.

“Dan kalau kita benar-benar menghargai perasaan chenta yang Allah beri ni, kita kena sebarkan chenta. Kita kena raikan chenta. Bagi semua orang pon dapat rasa, betapa hebat dan nikmatnya perasaan ini. Dengan cara apa..? Dengan kita rapatkan ukhuwwah. Dengan kita buat tarbiyah. Dengan kita berdakwah.

Di atas jalan inilah kita telah dipertemukan Ju. Bukan kebetulan. Bukan saja-saja. Tapi dengan inayah dan cahayaNya, kita telah dihubungkan. Allah sebut dalam al-Quran, kalau kita infaqkan seluruh harta di muka bumi ni pon, kita takkan dapat satukan hati-hati manusia. Tapi dengan rahmatNya lah, kita bersatu.”

Farid tersenyum lagi. Diperhatikannya reaksi Junaidi, sebelum menyambung semula.

“Allah memilih, Ju. Bukan semua makhlukNya yang benar-benar dichentaiNya; hanya mereka yang taat dan benar-benar berjiwa hamba sahaja yang akan dikasihiNya. Dalam kalangan banyak-banyak hambaNya, Muhammad SAW adalah penghulu segala kekasihNya. Baginda adalah makhluk yang paling dichentai Allah. Allah memilih.

Rasulullah juga memilih. Walaupon semua sahabat baginda merasakan merekalah yang paling istimewa di sisi baginda, namun daripada seerah, kita tahu bahawa Abu Bakr adalah sahabat baginda yang paling istimewa. ‘Umar al-Khattab yang paling berhikmah dan tajam firasatnya. Abu ‘Ubaidah al-Jarrah adalah orang yang paling baginda percaya. Dan seterusnya.. Rasulullah memilih.

Apatah lagi kita, manusia yang punya banyak kelemahan dan kekurangan ni, Ju. Manusia yang sering tewas dengan chenta. Yang sering terkalah dengan chenta. Kerana chenta itu amat luar biasa. Chenta itu amat berkuasa. Ia adalah perasaan agung, daripada Tuhan yang Maha Menchentai kepada hamba-hambaNya yang sentiasa mendambakan chenta. Ia tidak boleh dipaksa. Ia bukan untuk dimiliki..

Dan saya telah memilih, Ju.. Di atas jalan dakwah ini, saya…”

Farid terdiam sebentar. Dia tersenyum lebar, hingga matanya menyepet. Keningnya terangkat. Tanda dia teruja. Jantung Junaidi berdegup kencang, mahu pecah, tidak tertahan lagi menunggu jawapan yang bakal keluar daripada mulut Farid.

“…Saya menchentai Ju kerana Allah.”

Tidak tertahan air mata Junaidi mendengarnya.

“Laaah. Nanges pulak dia..! Ahahaha.. Orang baru nak jiwang karattt!”

Junaidi tertawa, dalam air mata. Cepat-cepat dia menyeka air matanya.

Dan air matanya jugalah yang mengejutkan dirinya daripada lamunan yang panjang. Dia tertawa lagi seorang diri. Tawa yang belum pasti bahagia.

Kedengaran bunyi enjin kereta datang menghampiri. Proton Saga. Farid.

Secara spontan, Junaidi berdiri. Jantungnya berdebar. Jiwanya bergetar. Gugup.

Enjin dimatikan. Perlahan-lahan pintu kereta dibuka. Farid, berbaju Melayu-Jawa putih bersulam, berseluar jeans dan bercermin mata hitamnya. Kacak.

Farid menanggalkan cermin mata hitamnya. Dia tersenyum apabila melihat kelibat Junaidi yang setia menantinya. Namun senyumannya hambar. Tawar. Dia lantas berjalan mendekati Junaidi.

“Ju…”

Dia menghulurkan tangannya untuk bersalaman. Tiada pelukan. Tiada laga pipi.

Teragak-agak Junaidi menyambutnya. Tangannya berpeluh. Resah.

“Kita duduk kat situ jom..?”

Junaidi mengangguk setuju. Mereka berjalan ke arah gazebo yang dimaksudkan. Mulanya Junaidi menyangka, pastilah Farid mahu duduk bertentangan dengan dirinya. Setelah apa yang berlaku, dia menjangkakan Farid seboleh-bolehnya tidak mahu mendekatinya. Namun dia silap. Farid memilih untuk duduk di sebelahnya.

“Ju sihat..?”

Farid memulakan bicara. Matanya memandang ke hadapan.

“Ehm.. Alhamdulillah. Abang macam mana..?”

Junaidi juga sama. Berkata-kata tanpa memandang wajah Farid.

“Alhamdulillah..”

Sunyi. Lama begitu. Hanya kedengaran angin sepoi-sepoi yang bertiup menerbangkan dedaunan kering. Juga kereta dan motor yang sekali-sekali melalui jalan yang berdekatan.

Farid berkira-kira untuk memulakan perbincangan pada hari itu. Junaidi sudah pastinya memilih untuk diam membisu, melainkan jika ditanya.

Farid tekad untuk menyelesaikan isu antara mereka berdua pada hari itu juga. Bismillah.

“Ju.. Mula-mula sekali, saya nak minta maaf pada Ju. Sebab selama saya jadi murabbi Ju, saya tak pernah tahu pon Ju ada masalah.. Jujur, I had no idea. Saya murabbi yang gagal Ju..”

Perlahan sahaja Farid melafazkannya. Sayu Junaidi mendengarnya.

“Dan Ju.. Whether we like or not.. Selepas apa yang berlaku.. Uhhmm... Hubungan kita dah tak sama lagi.. Saya cuba untuk buang perasaan ni jauh-jauh.. Tapi… Susah Ju.. Mustahil..”

Farid tunduk apabila melafazkannya. Hancur hati Junaidi mendengarkannya. Tapi dia sudah boleh mengagak sebenarnya.

"Tapi bang.. Abang cakap.. Abang chentakan saya kerana Allah..? Ke mana...ke mana perginya chenta itu..?"

Ada muqadimmah sebak pada kata-kata Junaidi. Dia cuba menahannya. Farid mengangkat wajahnya dan buat pertama kalinya, memandang tepat wajah Junaidi. Kemudian dia memandang ke hadapan, tidak sanggup merenung wajah mutarabbinya itu lama-lama.

"Ju.. Ju.. Sewaktu saya ucapkannya sewaktu ketika dahulu.. Saya benar-benar maksudkannya. Wallahi.. Dan InshaAllah, saya masih sayangkan Ju keranaNya. Tapi Ju.. The situation is different now. Very much different. You tell me.. Kalau Ju berada di tempat saya sekarang ni, apa yang Ju akan rasa..?"

Junaidi tertunduk. Menitik air matanya. 

"Sukar untuk saya nyatakan ni Ju. Tapi saya rasa.. Ini adalah keputusan yang terbaik. Saya dah berbincang dengan beberapa orang ikhwah.. Dan saya dah istikharah.. Sumpah Ju, memang sukar untuk saya buat keputusan ni.. Tapi.. Inilah je yang mampu saya lakukan.. Saya.. Saya.."

Berdebar-debar jantung Junaidi, menanti-nanti Farid untuk menghabiskan kata-katanya. Namun Farid tidak mampu untuk menghabiskannya. Suaranya tidak terkeluar. Yang keluar hanyalah dengusan nafasnya, menahan sebak. Dadanya berombak.

Diambilnya tangan Junaidi dan digenggamnya dengan kuat. Dipejamkan matanya. Nafasnya ditarik dalam.

"Saya rasa... Lebih baik kita tidak berjumpa lagi. Jika dengan keberadaan saya buatkan Ju tidak tentu arah, berangan-angan pada sesuatu yang mustahil, memendam rasa yang tak mungkin akan terluah... Lebih baik rasanya untuk kita berjauhan.

Dan.. Dengan saya berada bersama Ju akan membuatkan syahwat Ju bergejolak.. Haram sebenarnya untuk kita bersua..."

Farid melepaskan genggamannya. Air mata panas habis membasahi pipinya yang berlekuk itu. 

Junaidi seperti tidak terpercaya dengan apa yang didengarinya. Tidak disangka-sangkanya, Farid akan mengambil keputusan sedrastik itu. Takkanlah sampai tak nak berjumpa..?

"Ta..tapi bang..."

"Ju.. Jangan pujuk saya.. Saya dah tekad. Saya rasa inilah yang terbaik. Untuk Ju. Untuk saya. Kita berdua."

Junaidi tidak tertahan lagi. Tidak semena-mena dia berasa berang dengan apa yang baharu sahaja dihamburkan Farid. Marah. Geram. Keliru!

Junaidi bangkit. Dia merasakan tidak ada faedahnya lagi dia meneruskan perbualan itu dengan Farid. Farid sudah pon membuat keputusannya.

"Eh Ju? Ju nak ke mana..? Saya.. Saya tak habis lagi ni!"

Junaidi menjeling tajam Farid. Gunung berapi bakal meletup.

"Apa lagi yang abang nak daripada saya..?? Dah abang kata tak nak jumpa dengan saya kan..?? So...?? Saya nak berambus lah ni..!

Farid terkesima. Terkejut. Matanya membundar. Mulutnya sedikit terlopong. Langsung tidak dijangkanya Junaidi akan menjawab sedemikian rupa.

"Ju.. Maafkan saya Ju.. Maafkan saya.. Sabar Ju.. Kita habiskan dulu. Saya ada lagi benda nak kena cakap pada Ju ni.."

"Apa lagi bang..?? Abang tahu tak abang zalim pada saya..? Abang nak tinggalkan saya terkontang-kanting macam ni...? Abang nak biarkan saya kembali ke jurang neraka yang pernah saya tinggalkan dahulu...?? Apa abang nak jawab apa depan Allah nanti hahh...???"

Pecah dua empangan; empangan mata Junaidi dan empangan mata Farid. Mereka yang lalu-lalang ada yang berhenti, tertarik dengan apa yang berlaku. Drama apa pula ni..? 

"Sabar Ju, sabar.. Istighfar Ju, istighfar.. Duduk dulu. Tenang Ju, tenang.."

Astaghfirullah.. Astaghfirullah.. Mujur Junaidi mendengar nasihat yang diberikan Farid. Dia sedikit tenang selepas duduk semula dan beristighfar panjang. Namun hatinya masih panas. Kepalanya kusut. 

Setelah Farid yakin yang Junaidi sudah sedikit tenang, dia kembali memulakan bicara.

"Ju, sebab saya sayangkan Ju lah saya buat keputusan macam ni. Sebab saya nak bantu Ju lah, saya rasakan inilah keputusan yang paling baik sekali.. 

Jujur Ju, saya tak tahu macam mana nak bantu Ju... This has never happened to me before. Tidak juga pada ikhwah lain.. 

Dan saya tahu.. Untuk saya katakan pada Ju, "Haram Ju! Ju kena tinggalkan semua ni!" atau "Ju Allah laknat perbuatan kaum Nabi Lut tahu??" dan apa-apa lah along those line, it's not gonna work. Saya tahu.. Ia tidak semudah itu.. 

Sebab ia bermain dengan hati. Dengan perasaan. Dengan chenta. Benda-benda yang main dengan perasaan ni... Saya tahu, memang susah untuk kita tinggalkan.. Apatah lagi chenta itu buta dan membutakan..."

Junaidi hanya mampu untuk memejamkan matanya. Dia mahu memberontak. Protes. Tapi dia tahu dia tidak mampu. Dan dia tahu, apa-apa yang dikatakan oleh Farid, banyak benarnya.

"Ju.. Kalau bukan saya yang menjadi watak utama dalam cerita kita ni.. Haha.. Wallahi, I am more than happy to help you. To be with you all the time, untuk bantu Ju keluar daripada kegelapan ini. Tapi Ju.. Sebab hal ini melibatkan saya secara langsung.."

Farid memandang ke atas. Seperti mengharapkan wahyu dari langit untuk memudahkan urusannya ketika itu.

"Saya terpaksa ambil keputusan ni.. Berat Ju, memang berat.. Tapi.."

"Tapi bang.."

Junaidi memotong. Dia mahu bersuara.

"Saya tak mampu nak hadapi ni sorang-sorang bang.. Kalau bukan abang yang nak bantu saya.. Siapa lagi..?"

Sayu. Sebak. 

"Ju... Senang untuk saya berkata-kata, sebab akhirnya, Ju yang menanggung derita. Kan..? Tapi Ju, saya yakin.. Bukan sengaja-sengaja Allah berikan Ju ujian sehebat dan seberat ini. Mengapa dalam banyak-banyak manusia di dunia, Allah pilih Ju..? 

Saya yakin, Kalau diberi pilihan, Ju pon tak rela benda ni dalam diri Ju kan..? Saya tahu Ju sengsara. Saya tahu Ju terseksa. Dalaman. Batin. Emosi.. 

Tapi inilah perjuangan Ju. Inilah mujahadah Ju. Inilah pengorbanan Ju. Kalau orang lain dapat pahala sebab buat kebaikan, Ju akan dapat lebih lagi.. Sebab.. Sebab apa yang Ju terpaksa lalui sekarang bukan benda kecil. Bukan benda remeh. Ju kena lawan Ju. Ju kena kuat..

Apatah lagi Ju sudah berkenalan dengan tarbiyah. Sudah jatuh chenta dengan dakwah. Saya yakin Ju lebih kuat sekarang ni. Lebih matang."

Junaidi hanya mampu tertunduk. Kelopak matanya masih belum kering dibasahi air.

"Allah tu Maha Adil, Ju. Maha Pengasih. Maha Penyayang. Takkan saja-saja Dia nak biarkan Ju terseksa macam ni. Takkan suka-suka Dia nak tengok Ju menderita..

Saya yakin Ju, ada benda yang lebih besar yang Allah nak tunjukkan pada Ju.. Ada permata bersinar cemerlang yang Allah nak keluarkan daripada arang yang menghitam. Ada cahaya cerah secerah mentari yang Allah nak tunjukkan pada Ju di hujung terowong yang maha gelap ni.

Tapi Ju, Ju kena banyakkan bersabar.. Sabar. Istiqamah. Ikhlas. Dan mujahadah. Ju kena pegang empat benda ni sampai bila-bila."

Junaidi sudah semakin tenang. Kata-kata Farid benar-benar menusuk kalbu. Bait-bait yang dilafazkan Farid berjaya menyejukkan jiwanya yang berbolak-balik, mendidih panas sebentar tadi.

"Ju, saya akan terus menyayangi Ju, sebagai seorang al-akh yang amat-amat saya kagumi di atas jalan dakwah ni. Potensi Ju besar. Dan saya yakin Ju boleh pergi jauh. Jangan biarkan emosi dan nafsu menguasai diri, lantas menang besar dalam peperangan ini. Jangan sesekali biarkan kehendak dan kepentingan diri mengatasi ghayah dan tujuan hidup kita. Kita selama-lamanya hamba kepadaNya, Ju. Dan kita mesti menjalankan tugas kita sebagai khalifahNya di muka bumi. Jangan biarkan syaitan dan jahiliyyah menang, Ju. Jangan.. 

Meski saya tiada di sisi Ju, saya akan terus mendoakan Ju. Walau Ju sudah tiada saya untuk membimbing dan menuntun tangan Ju, inshaAllah, saya yakin, ramai lagi ikhwah yang jauh lagi hebat, jauh lagi Super Saiya, yang akan menggantikan tempat saya ni.."

Junaidi mencelah.

"Tapi tak sama bang.. Abanglah yang tarik saya masuk ke dalam gerabak ni. Takkan sama bang. Sampai bila-bila pon.."

Farid menghelas nafasnya. Panjang.

"Ju.. Ju.. Ju tahu hubungan yang Ju impikan takkan ke mana kan..? Mustahil Ju, mustahil.. It won't work. Terimalah Ju, keputusan saya ni dengan redha. 

Dan Ju... Kalau Ju tak jumpa jalan keluar.. Kalau Ju buntu, sesat dan keliru.. Ketahuilah Ju.. Allah kan ada..? Allah sentiasa ada untuk guide dan bantu Ju.. Yakinlah, Ju. Allah sayangkan Ju. Allah chenta Ju. Kalau Ju tiada tempat bergantung, carilah Allah. Burulah chentaNya. Dan Ju tak akan kecewa. Never. Ever. Yakinlah.."

"Abang.."

"Ju.. Dengar sini. Ingat kata-kata saya ni sampai bila-bila. Saya nak masuk sorga dengan Ju. Saya tak mahu janji apa-apa pada Ju, tapi saya nak kita masuk sorga sama-sama.

Biarlah hubungan kita di dunia sampai sini sahaja. Tapi di sorga, siapa yang tahu..? 

Ju... Ingat Ju. Allah sentiasa. Zilal chentaNya akan sentiasa bersama-sama Ju. Yakinlah. Moga Ju sentiasa dalam zilalNya yang agung lagi mulia. Dan moga di mahsyar nanti, kita akan duduk bersama-sama di bawah zilal ArasyNya, kerana kechentaan sesama kita hanya untukNya.. 

Kalau Ju betul-betul sayangkan saya.. Kalau Ju betul-betul chentakan saya.. Kita sama-sama bersabar di dunia ini, dan kita berchenta semula di sorga nanti...

Ok Ju..? Please..?"

Berkerut dari Junaidi. Dipejamkan matanya kuat-kuat. Lama dia begitu. Farid menanti dengan penuh sabar. Debar.

"Ok bang. Ok.."

Air matanya mengalir perlahan. Namun kali ini, terukir senyuman di bibirnya.

"Janji, Ju..?"

Farid pula tersenyum. Lega. 

"Janji. InshaAllah.."

***

Junaidi menyarungkan cincin emas bertakhtakan berlian ke jari manis isteri yang baru dinikahinya. Suatu kucupan ringkas tapi ikhlas dihadiahkan pada dahi isterinya. 

Sarah tersenyum. Dia bangga. Dia gembira. Namun dia tahu cabaran yang bakal dihadapinya sebagai seorang isteri kepada Junaidi.

Junaidi sudah pon menceritakan segala-galanya sebelum mereka bergelar suami isteri. Pada mulanya Sarah enggan menerima hakikat itu. Dia hampir-hampir menolak pinangan Junaidi.

Namun setelah berbincang dengan akhawat yang amat ditsiqahinya, setelah beristikharah dan memohon doa padaNya, isyarat-isyarat yang diterimanya semuanya menghala ke arah Junaidi.

Dia redha. Dia yakin pasti ada hikmahnya. 

Junaidi memimpin Sarah untuk sesi fotografi ringkas. Dia cuba memberikan senyumannya yang terbaik. Dia gembira. Dia bahagia. Malah dia merasakan dirinya amat bertuah dapat memperisterikan Sarah. Namun jauh di lubuk hatinya...

Sabar. Istiqamah. Ikhlas. Mujahadah.

Ya. Sabar. Istiqamah. Ikhlas. Dan mujahadah.

"Maka nikmat Tuhamu yang manakah kamu dustakan..?"

bersambung buat kali terakhir...

-gabbana-

Bagaimana..? Harap tidak ada yang terjun tingkap lapanbelas atau masuk lubuk buaya kerana terpakasa menantikan episod yang terakhir. Eheh.

Sukar juga untuk saya menghabiskannya. Berkira-kira, sama ada ia akan memberikan manfaat kepada anda yang membacanya. Khuatir, ia hanya akan memuaskan nafsu saya untuk menulisnya sehingga habis, dan bukannya untuk berkongsikan ibrah dan pengajaran. Na'udubillah.

Doakan agar saya diberi kekuatan dan kemahuan, untuk menghabiskannya, andai itulah yang terbaik untuk agama ini. Senyum.

Ini kalilah! Eh.

Zilal. Hakcipta terpelihara (C) 2013.

>> Zilal: Bahagian I
>> Zilal: Bahagian II
>> Zilal: Bahagian III
>> Zilal: Bahagian IV   

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP