Uswah

28 March 2013

Ini Gila!

[Kredit]
"Nun. Demi pena dan apa yang mereka tuliskan, dengan kurnia Tuhanmu engkau (Muhammad) bukanlah orang gila."
[al-Qalam, 68:1-2]

Gila. Sewel. Tiga suku. Kurang siuman. Kepala ringan.

Nabi Muhammad SAW pernah dituduh gila. Dicaci kononnya dia adalah ahli sihir yang cuba memecahkan tali kekeluargaan dan persaudaraan sesama orang Arab Quraisy. Pernah juga dicela sebagai penyair yang cuba menyesatkan manusia dengan kata-katanya yang indah lagi mempesona.

Pelbagai tuduhan, cacian, tohmahan dan kejian dilemparkan kepada baginda, apabila baginda mula menyebarkan risalah Allah yang benar lagi agung itu kepada seluruh manusia. Adakah kerana baginda seorang yang berakhlak nista? Atau baginda seorang yang keji lagi tamak haloba? Atau baginda adalah seorang yang tidak terpecaya, yang kata-katanya penuh dengan dusta dan tipu daya..?

Tidak. Bahkan baginda adalah seorang manusia yang amat mulia lagi terpercaya, waima sebelum wahyu yang pertama turun lagi. Bukankah baginda digelar al-Amin oleh orang-orang Arab, dek budi pekertinya yang sungguh mulia lagi terpercaya? Malah, sehingga hari baginda mahu pergi berhijrah ke Madihah sekalipon, di sebalik cercaan, tohmahan, seksaan dan pemulauan yang dilakukan oleh orang-orang kafir Quraisy terhadap baginda dan umat Islam, baginda masih lagi setia dan rela menyimpan harta-benda mereka di dalam rumahnya. Pergh memang epik dan sungguh tak tahu malu orang-orang kafir Quraisy itu.

Lantas apakah yang menyebabkan orang-orang kafir ini begitu tegar menentang Nabi? Sehingga dituduhnya baginda gila, penyair sewel dan ahli sihir kurang siuman..?

Ikuti kata-kata Abu Jahal dalam hal ini, seperti yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi:

"Wahai Muhammad... Kami tidak mendustakan dirimu. Tapi kami mendustakan apa yang engkau bawa!"
"Sebenarnya mereka bukan mendustakan engkau, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat Allah."
[al-An'am, 6:33]

Ya, Nabi Muhammad dituduh gila bukanlah kerana dirinya atau akalnya. Tidak. Tetapi kerana risalah yang dibawanya itu benar-benar mencabar kedudukan dan kewujudan para pembesar kuffar Quraisy ketika itu, sehinggakan mereka secara sedar atau tidak, melihatnya sebagi ancaman besar yang perlu ditentang.

La ilaha ilallah. Kalimah agung itu, meski pendek, bernar-benar berkuasa dan berwibawa. Hanya mereka yang benar-benar memahami maksud kalimah ini sahaja yang dapat merasakan betapa haibat dan Super Saiyanya kalimah ini. Al-Haq yang terkandung di dalam kalimah itu benar-benar menyebabkan al-Batil, taghut dan konco-konconya tidak senang duduk dan mengalir-ngalir peluh besar mereka. 

Maka tidak hairanlah, selain penentangan berbentuk fizikal seperti penyeksaan dan pemulauan, perang saraf yang lebih halus dan menggoncang keimanan seperti tuduhan gila, sewel, ahli sihir dan sebagainya itu, dilemparkan bertubi-tubi kepada ar-Rasul SAW dan para pengikut baginda.

Nah, sekarang ayuh kita kembali ke masa sekarang. Anda nampak persamaannya..?

Berapa ramai daripada kita, semenjak dilanggar Makcik Hidayah dan melompat masuk ke dalam gerabak tarbiyah, dituduh sebagai gila, tidak betul, kurang siuman, makhluk pelik dan sebagainya..? Oklah, mungkinlah tuduhan dan cercaan kepada kita tidaklah sekeras itu, tapi bau-baunya ada bukan..? 

"Ish pelik dohh diorang tu. Tak gaul lelaki perempuan. Takde gelpren boipren. Tak faham aku. Macam mana nak enjoy hidup..? Kan Allah cipta lelaki perempuan untuk saling berkenalan..??"

Tersedak.

"Diorang tu ekstrem gile wehh. Kalau yang lelaki, main bola pon pakai seluar panjang. Malam-malam tak tidur buat apa entah, pagi-pagi jadi zombie. Kalau yang perempuan, pakai tudung DBKL; lagi labuh, lagi bagus! Hujung minggu tak reti dok rumah. Keluar aje memanjang. Ekstrem nak mati..!"

Jatuh kerusi.

"Geng-geng tu anti-sosial. Eksklusif sesama mereka je. Tak nak bergaul dengan orang ramai.  Ingat diorang tu bagus sangat ke. Bajet dah konfem masuk sorga. Sudaaaahhlah. Hidup Melayu! Ok tetiba."

Guni beras hempap kepala. 

"Aku rasa dia tu dah kena rasuk dengan jin Selat Melaka la. Drastik sangat perubahan dia tu! Dulu huhahuha jugak, layan rock kapak, lek lek lu isap okok lu. Skang ni.. Pergghh. Pakai jubah, serban bagai. Dah tak layan dah muzik-muzik ni. Ya hanana je! Aku rasa dia ikut ajaran sesat ahhh.."

Tersembur.

"Gila. Sumpah gila! Malam tak tidur. Pagi bangun awal. Malam keluar lagi, berbulatan apa tu? Bulatan sorga? Gila. Hujung minggu keluar lagi, ke sana ke mari, beri ceramah la, apa lah. Dia takde kehidupan ke..? Tak nak berseronok-seronok, rehat-rehat ke dengan keluarga semua..? Gila."

Ternganga. 

Kan kan kan..? Pernah dengar kan..? 

Walhal anda masih Fatimah Endut yang dahulu. Sedangkan anda masih lagi Mustafa Akhlaken yang sama. Anda masih lagi Sarimah Sopaat dan Surahbil Takoyama!

Jadi kenapa anda dituduh gila..? Mengapa anda dicerca sebagai ektrem dan anti-sosial? Mengapa anda disangka pelik dan berbau busuk..? Eh. 

Kerana kalimah itu. Ya, la ilaha ilallah. Tiada Ilah melainkan Allah.

Apabila kalimah suci dan mulia itu mula meresap ke dalam segenap tubuh kita, memasuki setiap pembuluh darah yang melingkari jasad dan menjadi detik nadi kepada kehidupan kita, maka secara otomatiknya, kita akan merasakan perubahan yang tidak pernah kita alami dan rasakan sebelum ini.

Segala perlakuan dan peribadi kita kini hanya tertumpu pada meraih redhaNya. Setiap hari, bangkit dari tidur, tiada yang lain bermain di kepala kita selain untuk menyebarkan risalahNya yang agung. Setiap saat dan dan detik kita diberi peluang untuk bernafas lagi, kitaa manfaatkannya untuk melaksanakan tanggungjawab syahadatul haq kita itu.

Arakian tidak hairanlah orang di luar sana menggelarkan kita gila. 

Dahulunya kitaa yang kaki perempuan dan kuat merokok, kini nak mentarbiyah dan berdakwah kepada masyarakat..? Ini gila!

Kita yang dahulunya amat kedekut tahi hidung masin tetapi boros berbelanja untuk diri sendiri, kini amat pemurah orangnya dan langsung tidak lokek untuk menginfaqkan wang untuk dakwah..? Ini gila!

Kita yang dahulunya nak baca aliif baa taa pon tersekat-sekat keluar keringat, namun kini boleh keluar dalil Quran dan kecek bahasa Arab siuu siuu siuuu macam peluru keluar lebat..? Ini gila!

Kita yang dahulunya kerja saban hari marathon movie, main DOTA tak ingat dunia dan karaoke tak kira siang atau malam, kini singa di siang hari dan rahib di tengah malam..? Ini gila!

Kita dahulu yang pendiam bisu dan tak peramah macam kera sumbang di hutan batu, kini berapi-api memberikan pengisan dan tak boleh tengok ikhwah melainkan mahu bercipiki cipika berchenta kerana Allah yang satu..? Ini gila!

Nah, anda sudah nampak permainannya di situ..?

Kerana walaupon nama kita masih sama di kad pengenalan dan lesen memandu.. Meski misai dan janggut tetap misai dan janggut yang sama.. Walau kita masih suka minum sirap bandung cincau dan pakai kemeja berkotak-kotak..

Hakikatnya ruh kita tidak lagi sama. Kita bukan lagi Mikail Adli atau Sharifah Suhaila yang dahulu, bukan. Tetapi ruh la ilaha ilallah itu sudah merasuki, meresap ke dalam segenap penjuru dan inci tubuh badan kita. 

Ya kita gila. Tapi bukan sebarang gila. Kita gila gila (Baca: Sungguh-sungguh, bukan gila-gila. Eheh.)

Gila gila nak berbulatan gembira! Gila gila nak tangkap mangsa baru. Gelak keji. Gila gila nak berkonferens riang. Gila gila nak kikis jahiliyyah dalam diri. Gila gila nak sebarkan kebenaran. Gila gila nak sampaikan perkongsian. Gila gila nak mentajmik (mengumpulkan) kader-kader baru. Gila gila nak menDF. Gila gila nak hafal Quran dan hadith. Gila gila nak belajar seerah. Gila gila nak infaq. Gila gila nak pergi Palestin. Gila gila nak masti syahid. Gila gila nak kejar sorga..!

Aaarrrrggh...! Bukankah itu satu kegilaan namanya...?? Ahah! 

Seperti gilanya ABu Dzar al-Ghifari yang terus meluru ke Kaabah untuk menyatakan keIslamannya secara terbuka tanpa ragu-ragu!

Seperti gilanya Mus'ab bin 'Umair yang menegetuk setiap pintu di Madinah semata-mata mahu menyampaikan risalah Islam, agar tiada siapa pon yang tertinggal!

Seperti gilanya Sumayyah yang lebih rela ditombak dan disula, daripada menyatakan kekafirannya kembali ke agama nenek moyangnya!

Seperti gilanya para sahabat, yang baharu kehilangan ramai nyawa sahabat mereka yang terchenta dalam perang Uhud dan hampir-hampir sahaja kekalahan, terus kembali ke medan perang atas arahan Allah dan RasulNya!

Seperti gilanya Abu Bakr yang mahu memerangi sesiapa sahaja yang enggan membayar zakat ketika pemerintahannya sebagai khalifah!

Ya, ini suatu kegilaan!

Kerana apa..? Kerana kitalah, Arruhul Jadid fi Jasadil Ummah! Kitalah ruh baharu di dalam jasad ummah ini..!!

"Nun. Demi pena dan apa yang mereka tuliskan, dengan kurnia Tuhanmu engkau (Muhammad) bukanlah orang gila.
...dan sesungguhnya engkau pasti mendapat pahala yang besar yang tidak putus-putusnya."
[al-Qalam, 68:1-3]

Maka jangan bersedih dan bergundah-gulana apabila ada orang yang mudah dan pantas mencerca kita pelik, mengata kita ekstrem dan menuduh kita gila.

Kerana sememangnya kita ini gila. Gila mengejar redhaNya dan gila nak masuk sorga...! 

Wahahahahaha. Gelak menggila. Eh?

-gabbana-

27 March 2013

Ini Kalilah!

[Kredit]

"Satu kesilapan yang paling merbahaya bagi dakwah ialah apabila ia melakukan tajmik (Pengumpulan) yang luas sebelum adanya sekumpulan dai'e yang mampu mentarbiyah mereka yang telah berkumpul di sekelilingnya. Kumpulan dai'e itu sendiri pula mesti memperuntukkan sebahagian daripada waktunya untuk meneruskan tarbiyah diri sendiri dengan ilmu dan ibadah. Jika tidak, hati mereka akan menjadi keras setelah dapat menikmati kelazatan permulaan. Apabila hati telah keras, akan hilanglah pula ruh-ruh ukhuwwah.

Keseimbangan (tawazun) ini bukan hanya khusus untuk permulaan dakwah sahaja, bahkan usaha-usaha tajmi' ini mestilah dikawal di seluuh fasa perkembangan dakwah. Jika tidak, dakwah akan diancam bahaya yang besar.

Oleh itu, perencanaan dakwah pada peringkat permulaannya tidak mampu merangkumkan seramai mungkin orang awam dan orang biasa 'rajul syari', kecualilah jika kita melonggarkan syaat-syarat penggabungan. Adalah satu kesilapan besar jika kita biarkan dakwah cuba mengutip dan beriya-iya mendapatkan rajul syari' sebelum wujudnya kesedaran yang cukup pada mereka dan kita mempunyai bilangan tenaga tarbiyah yang mantap.

Kalangan dai'e yang terlibat dalam politik biasanya mahu supaya dakwah berlumba-lumba dengan parti-parti politik lain untuk menarik seramai mungkin orang awam. Sedangkan kita dapati yang jelasnya orang awam di negara-negara Islam, tabiat biasanya ialah mereka tidak bersedia untuk bersama-sama dalam temph yang lama dalam mana-mana jemaah.

'Rajul syari', ghaugha', duhama' (mob, riffraff & rabble) dan orang ramai yang bising-bising ini biasanya adalah menjadi tonggak utama dan asas hiudpnya parti-parti jahiliyyah. Ini adalah kerana parti-parti ini boleh menukar ganti program dan uslub mereka menurut kehendak pengikut atas pasaran semasa yang laris.

Tetapi dakwah Islam tidak akan menang dengan orang-orang seperti ini. Bukan orang-orang sebegini yang akan mengubah perjalanan sejarah.

Tajmi' orang ramai dalam masa yang singkat adalah suatu kemungkinan, tetapi ia tidak dapat bertahan lama.

Lebih daripada itu, tajmi' yang meluas akan meletakkan dakwah pada situasi baru yang memerlukan tenaga yang besar untuk kerja pengurusan. Ia juga memerlukan kumpulan qudwah bertaraf tinggi untuk mengekalkan tajammu' (penggabungan) pada suasan kerohanian tinggi ketika mengharungi pelbagai peristiwa. Sekiranya kemampuan tenaga dan qudwah tersebut tidak mencukupi sebelum dilakukan tajmi' meluas dan bekerja dengan 'rajul syari' itu, maka ini bermakna dakwah telah menghimpunkan orang ramai yang hanya bernama Islam tetapi mempunyai pelbagai kecenderungan yang tidak terkawal dan tidak boleh tunduk kepada perancangan. Mereka akan bertindak tanpa arah dan tujuan. Mereka mungkin menggunakan Islam untuk membuat sesuatu yang bukan Islam. Bahkan kadangkala memburukkan Islam dengan kefahaman yang bercampur-baur, teori-teori kufur dan aqidah yang bercampur-aduk dengan bidaa'h.

Sikap bermudah-mudah (Tahasul) semasa pemilihan dan tindakan meramaikan kuantiti tanpa kualiti (takaathur la tarkiz) akan melahirkan pelbagai tindakan dan kegiatan yang tidak terancang dan tidak bertujuan. Dalam masa yang lain pula, semagat dai'e untuk menutup kekurangan, rasa tidak mahu dikalahkan oleh golongan jahiliyyah, penyeleweng dan mulhid (Atheis) dan rasa mahu menguasai seluruh medan penglibatan keilmuan (tsaqafiyyah) dan politik yang digunakan untuk memimpin manusia. Itu semua menyebabkan dai'e mula mengikut perancangan kerja parti-parti politik tanpa melihat kemampuannya sendiri. Ini juga mendorong mereka turun ke medan dan pentas gelanggang sedangkan mereka tidak mempunyai persiapan yang cukup."

[al-Muntalaq: Bab 15, Peluasan Yang Seimbang dan Penyebaran Yang Berhati-Hati]

Syok sendiri..? Terlalu idealistik..? Tidak berpijak di bumi yang nyata..?

Ohoi! Dr. Yusuf al-Qardhawi pernah berkata;

"Saya hairan melihat mereka yang berkata, 'Anda berdegil dalam cita-cita. Memelihara idealisme yang tinggi dan pendakian yang sukar. Berhentilah di sini, jangan bersusah-payah. Anda hanya menyemai benih di bumi yang kontang!"

Saya berkata kepada mereka, 'Tunggu! Putus-asa bukanlah sikap saya. Akan saya tabur benih di bumi dan buahnya hanya dari Tuhan. Apabila saya telah sampaikan risalah ini dengan bersungguh-sungguh, kemudian saya dapati tiada yang menyahutnya, apa dosa saya..?"

[Majalah al-Mahabith a-Misriyyah, bil 31, 1951]

Jika ada orang yang bertanya, andai ada yang masih mempertikaikan, sekiranya ada yang terus mencela dan memperkotak-katikkan, ini jawapan saya:

"Ini jalan saya. Saya yakin dengannya. Saya 'izzah dengannya. Dan saya tajarrud serta tsiqah dengannya. Ini pilihan saya. Dan saya yakin, andai saya istiqamah dengannya, inilah jalan yang akan membawa saya ke sorga.

Anda bagaimana..? Sudahkah anda membuat pilihan..? Adakah anda golongan yang bekerja..?

Jom kita sama-sama berlari, menuju sorga..?"

Senyum.

-gabbana-

26 March 2013

Hubb

[Kredit]

Hubb.

Ah menyebutnya sahaja sudah rasa tertusuk hati ini. Basah. Bergetar.

Chenta. Amour. Pyaar. Love.

Hubb. Bukan sekadar kata. Bukan hanya halwa telinga.

Suatu perasaan luar biasa yang Allah kurniakan buat para hambaNya. Istimewa. Mempesona. Benar-benar luar biasa.

Perasaan yang terbit dari ruang hati yang dalam, yang seringkali membuatkan kita tidak keruan dan bingung tertanya-tanya. Duduk tak senang. Berdiri tak jadi. Baring terus tertidur. Eh.

Chenta menyebabkan seorang panglima berbaju kebal berkilat dan kuda putih gesit yang pantas, mengembara ribuan batu jauhnya hanya semata-mata mahu bertemu dengan puteri raja kechentaan hatinya.

Chenta menyebabkan si penyair hebat dan si pengkarya sastera sanggup menghabiskan masanya semata-mata mahu menterjemahkan rasa chenta mereka yang mendalam kepada dunia. 

Chenta menyebabkan ramai tukang batu dan kayu, jurubina dan arkitek bertungkus-lumus membangunkan dan membina monumen chenta yang tak akan lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Chenta menyebabkan ramai yang tidak tidur malam terbayang-bayang, tidak kenyang makan bersenang-senang dan tidak basah mandi sebarang. Ah gila! 

Malah chenta jugalah yang bertanggungjawab menyebabkan ramai manusia-manusia goblok di luar sana, terjun dari bangunan yang tinggi, dari jambatan besi atau di hadapan keretapi!

Ah chenta! Hubb!

Lantas, kerana apa kita berchenta..? Kerana apa hubb itu menusuk ke dalam kalbu yang paling jitu..? 

Saya mula-mula mengenali chenta ketika masih kanak-kanak Ribena. Chenta kepada Puan Mama dan Inche Papa yang menjadi tempat pergantungan sehari-hari. Terasa begitu dimanjakan mereka. Terasa begitu bahagia dan selesa mengetahui bahawa mereka sentiasa ada di sisi, setiap masa dan ketika. 

Kemudian chenta monyet tak ingat dunia, ketika berada di tadika. Berkenan dengan seorang kawan sekelas ini, yang menaiki bas yang sama. Masuk ke sekolah rendah, jatuh chenta pada perempuan yang lain pula! Dasar kasanova bawah umur!

Mujur saya ke Sekolah Bintang untuk pengajian peringkat menengah, kerana para pelajarnya semuanya satu jantina. Namun tidak boleh jamin juga, kerana ada sahaja kes para pelajarnya ditangkap melalukan perbuatan terkutuk kaum Nabi Lut! Waduh, mujur atau terkubur...? Ketika ini juga, hormon sedang memuncak naik. Zaman remaja la katakan. Wahahaha. Setiap kali ada peluang untuk menyertai acara atau pertandingan di luar sekolah, pasti peluang ini tidak akan dilepaskan untuk mencuci mata sepuas-puasnya.

Dan saya benar-benar mengenali makna chenta antara dua jantina ini adalah ketika berada di kolej, ketika mana peluang terbuka luas untuk saya mendekati kaum Hawa ketika umur sudah meningkat dewasa. Matanglah kononnya.

Nikmatnya..? Tidak terkira. Penyesalannya..? Perlukan kalkulator. Sumpah jika Doraemon benar-benar wujud, sudah lama saya pinjam mesin masanya untuk kembali ke masa lampau, mengubah perjalanan chenta saya itu. Penyesalan saya tidak mungkin akan dapat dipadamkan buat selamanya, kerana menikmati chenta yang haram; memetik buah-buah chenta terlarang ketika ia belum benar-benar lagi ranum dan wangi. 

Ah chenta! Hubb!

Akhirnya saya diperkenalkan dengan chenta yang sebenar, chenta yang teragung apabila melanjutkan pelajaran ke luar negara. Siapa sangka, di negara Barat yang penuh dengan najis maksiat dan sekular jahat itulah saya menemukan chenta sejati.

Oh, bukan dengan si rambut perang bermata biru. Bukan juga dengan si rambut hitam berkulit minyak zaitun itu. 

Namanya tarbiyah. Juga dakwah. Ya, saya jatuh chenta dengan mereka berdua, kerana merekalah yang menjadikan saya lebih dekat kepadaNya. Mereka jugalah yang menyebabkan saya jatuh chenta dengan ar-Rasul SAW dan para sahabat baginda. Dan ah, dua makhluk itu jugalah yang menyebabkan mata saya bersinar-sinar, jatuh chenta berulang-ulang kali dengan ukhuwwah fillah penggugah jiwa. 

Ya, chenta. Hubb. Masuk terus ke dalam hati. Sanubari. Tanpa kompromi.

Hanya mereka yang pernah berada di dalam kasut saya mengerti betapa lazat dan nikmatnya chenta yang satu ini.

Lantas, apa itu chenta..? Bagaimana mahu meraikan chenta..?

Chenta, boleh terbit dari pengorbanan yang agung, sepertimana Ibrahim 'alaihi solatu wassalam yang sanggup mahu menyembelih anak kesayangannya sendiri, kerana chentanya yang tidak berbelah bahagi kepada Allah 'azza wajalla.

Chenta, boleh muncul dari rasa ketakutan kepada kemaksiatan, semacam Yusuf 'alaihi solatu wassalam yang melarikan diri dari godaan isteri al-Aziz.

Chenta, bisa juga disemai daripada perasaan cemburu, sebagaimana 'Umar al-Khattab r.a. yang sentiasa cemburu dengan sahabat baik dunia akhiratya, Abu Bakr as-Siddiq r.a.. 

Chenta, boleh jadi tertuai dengan rasa penyesalan yang teramat, taubat yang mencapai kemuncaknya sepertimana Yunus 'alaihi solatu wassalam penuh keinsafan memohon keampunan di dalam perut ikan Nun.

Chenta, boleh juga wujud daripada rasa kebingungan dan hilang arah, semacam Adam 'alaihi solatu wassalaam yang berkejaran penuh kebimbangan mencari Hawa, yang terpisah daripadanya apabila keduanya dicampakkan ke dunia. 

Dan chenta, kadangkala datang dalam bentuk kerinduan yang tersangat, walau kejauhan, meski tidak kelihatan, hatta tidak pernah bertemu kemesraan, sebagaimana ar-Rasul SAW menchentai umatnya seluruhnya dan kita pula menchentai baginda sepenuh jiwa. 

Ah, chenta! Hubb! 

Dan untuk siapakah chenta ini..? Siapakah yang selayaknya merangkul chenta kita yang tidak berbelah bahagi ini..?

Sesiapa pon bisa sahaja memilikinya. Inche Papa, Puan Mama, Puan Zaujah, Inche Zauj, Cik Adik Perempuan, Inche Abang Besar, Puan Kawan Baik, rakan sekerja, kucheng putih gemok gebu di rumah, guru sekolah, ikhwah akhawat fillah, nenek saudara, makcik jual pisang goreng di tepi jalan, tukang kebun sekolah, pemandu bas ekspres... 

Pokoknya dasar chenta itu adalah keimanan. Asas chenta itu adalah ketaqwaan. Dan pertama-tama sekali, rasa kasih dan chenta itu perlu disirami kepada zatNya yang agung dan ar-RasulNya yang mulia.

Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Tiga sifat, barangsiapa mempunyai sifat-sifat yang berikut akan merasai kemanisan iman: Pertama, mereka yang mencintai Allah SWT dan Rasul SAW lebih dari segala sesuatu. Kedua, tidak mencintai seseorang kepada seseorang yang lain kecuali kerana Allah SWT. Ketiga, seseorang yang membenci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api."
[Hadith Riwayat Bukhari]

Ayuh luahkan kechentaan kita kepada Allah! [Kredit]

Sudah, bagaimana kita mahu berchenta..? Kepada siapa yang perlu kita merujuk, untuk menjadi si penchenta tegar..?

"Katakanlah, 'Jika kamu (benar-benar) menchentai Allah, ikutilah aku (Nabi Muhammad), nescaya Allah mengasihani dan mengampuni dosa-dosamu.' Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang."
[ali-Imraan, 3:31]

Ya, si Nabi itu. Si Nabi yang mulia, yang penuh dengan kechentaan dan kerinduan, setiap masa dan ketika. 

Chentanya pada Tuhannya yang satu, tiada siapa yang dapat mempersoal dan mempertikaikannya. Apabila ditanya mengapa baginda terus kuat dan istiqamah bangun malam, bertahajud dan bermunajat kepadaNya, meski baginda bersih dari sebarang dosa apa jawapan tuntas baginda? "Salahkah aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?"

Chenta baginda kepada para sahabatnya juga mulia dan tidak tertanding oleh sesiapa, sehingga baginda mencela sesiapa sahaja yang menghina dan mencaci para sahabat kesayangannya.

Dan tentu, chenta baginda kepada umatnya setinggi langit, seteguh gunung dan seluas laut membiru yang tiada berpenghujung. Sehingga baginda menggelar para penchentanya sebagai saudara-saudaranya di akhirat nanti.

Ah chenta! Hubb!

Perkataan 'hubb' itu sendiri, sekiranya dikaji, mempunyai makna yang cukup mempesona. Al-Hujwiri dalam kitabnya 'Kasful Mahjub' menjelaskan maksud al-hubb (mahabbah) sebagai berasal daripada perkataan 'habbab' yang beerti benih-benih yang jatuh ke bumi padang pasir.

Lantas saya teringat pada ayat chenta yang satu ini:

"Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit, (pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat."
[Ibrahim, 14: 24-25]

Ya, kita menanam benih chenta di dunia, kita siramnya dengan penuh rasa ikhlas dan tulus di jiwa, kita benihnya dengan kelapangan dada dan keredhaan rasa dan kita belai anak-anak benih chenta ini dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. 

Bila masakah kita memetik buah-buah chenta yang meranum, setelah akarnya jauh menghunjam ke dalam bumi, pohon dan ranting-rantingnya menjulang ke langit tinggi..? 

Sorga. Ya, sorga yang abadi. Dengan izin Allah, Tuhan yang hakiki. Itulah pengakhiran episod kisah chenta agung seorang hamba dengan Tuhannya.

Nanges sambil tersenyum penuh bahagia.

Ah chenta! Hubb!

Buat mereka yang tidak pernah merasakan hangat dan berkuasanya chenta, nasihat saya, lebih baik pergi terjun gaung. Ini kalilah! Eh.

Dan buat mereka yang tidak terbit sekelumit rasa mahu menchentai di dalam hatinya, nah, saya hadiahkan sepotong hadith ini untuk anda.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahwa suatu ketika Rasulullah saw. mencium Hasan bin Ali dan berdekatan dengannya ada Al-Aqra’ bin Hayis At-Tamimi sedang duduk. Al-Aqra’ kemudian berkata, “Aku memiliki sepuluh orang anak dan tidak pernah aku mencium seorang pun dari mereka.” Rasulullah SAW segera memandang kepadanya dan berkata, “Man laa yarham laa yurham (barangsiapa yang tidak mengasihi, maka ia tidak akan dikasihi)."
[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]

Nah, bagaimana..? Kini terasa seperti mahu mechentai, sepenuh hati..? Senyum.

Buat akhirnya, saya hadiahkan sepotong ayat chenta, buat kalian yang amat saya chentai keranaNya:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementar hatinya dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah (kuat) keimanannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal."
[al-Anfal, 8:2]

Aduh penangan chenta! Hati yang gementar, bergetar kerana chenta! Iman yang bertambah kukuh, utuh, kerana chenta! 

Ayuh! Mari kita raikan chenta yang suci keranaNya! Mari kita sebarkan chentaNya kepada seluruh umat manusia! Dan mari kita berchenta dalam memburu redha dan kasih-sayangNya!

Fi amanillah, wa fi hubbillah. Moga sentiasa di dalam lindungan Allah dan kechentaanNya yang abadi.

Salaam chenta dari saya. Senyum.

-gabbana-

Chenta bukan segala-galanya, namun segala-galanya bermula dengan chenta. Ya, chenta. 

Senyum lagi.

25 March 2013

Konspirasi Tarbiyah

[Kredit]

SATU

"Pssstt psstt... Cuba kau tengok diorang tu hah. Saspisyes betul lah. Seminggu sekali, mesti ramai-ramai kumpul kat rumah si Badrul Teppanyaki kat hujung tu. Lepas tu semua kasut bawak masuk dalam.. Ish, macam buat benda tak elok je tu."

Azim Ramli memulakan bicara di kedai kopi, sambil tangannya ligat mengatur buah dam.

"Eh yelah, aku pon perasan jugak. Aku kira kira, ada lah jugak tujuh lapan orang yang dok ulang alik, ulang alik. Kuriyes jugak aku nak tahu, apa yang diorang buat kat dalam tu."

Daud Bejana pula memberikan pendapatnya.

"Tak boleh jadi ni.. Kalau dibiarkan, aku rasa mereka akan buat onar kat kampung kita ni! Kita kena buat sesuatu!"

Mereka berdua lantas menyambung main dam, pekena dua tiga cawan kopi berhutang, kemudian bergegas ke rumah Lebai Saifudin Tukiran, imam surau kampung mereka. 

"Pak Lebai! Kita tak boleh biarkan mereka ni terus-menerus bergiat dengan aktiviti mencurigakan mereka tu. Entah-entah mereka sedang sebarkan ajaran sesat! Ish, bahaya ni pak lebai! Bahaya untuk kita, umat Islam seluruhnya.

Azim Ramli bersuara. Pandai pula kau berhujah en. Eh?

Akhirnya setelah puas memujuk Lebai Saifudin Tukiran untuk berbuat sesuatu, Pak Lebai akhirnya bersetuju untuk melakukan Ops Cegah bersama dengan Ahli Jawatankuasa surau yang lain. Minggu hadapan, pada hari yang sama, mereka akan beramai-ramai menyerbu rumah Badrul Teppanyaki untuk menangkap mereka yang terlibat menyebarkan ajaran sesat lagi menyesatkan seperti yang didakwa.

Arakian nak dijadikan cerita, minggu hadapan, segerombolan penduduk kampung yang diketuai oleh Lebai Saifudin Tukiran, dan diapi-apikan oleh Azim Ramli sambil dimeriahkan dengan pukulan gendang oleh Daud Bejana menuju ke rumah Badrul Teppanyaki. Ketika mereka menghampiri rumah Badrul Teppanyaki, semuanya mendiamkan diri kerana tidak mahu mereka yang berada di dalam rumah menyedari  kehadiran mereka semua. 

Sayup-sayup kedengaran orang membaca sesuatu di dalam rumah. Nyaring dan berlagu bunyinya.

"Haaa. Kan aku dah kata, diorang ni bawak ajaran sesat?? Bida'ah! Dolalah!"

Bisik Azim Ramli tak berapa nak berbisik kepada ahli-ahli rombongan yang lain. Selepas mengatur strategi dengan Lebai Saifudin Tukiran, mereka semua bersetuju untuk merempuh masuk rumah tersebut, agar mereka yang berada di dalam tidak punya can untuk melarikan diri.

Gedebuk! Pintu dirempuh.

"Haaaa...! Kamu semua buat apa kat dalam rum...."

Kelihatan sekumpulan lelaki sedang duduk di dalam bulatan, khusyu' membaca al-Quran. Konsentrasi mereka terganggu dengan rempuhan tersebut.

"Salaam a'laikum warah matullah."

Badrul Teppanyaki bersuara.

"Ye saudara-saudara sekalian..? Bagaimana kami boleh membantu anda..? Anda nak sertai bulatan sorga kami, yang penuh bahagia ini..?"

Badrul Teppanyaki tersenyum penuh mesra.

Lebai Saifudin Tukiran tercengang, mulut ternganga. Mata Azim Ramli terbeliak tidak terpercaya. Wajah Daud Bejana merah padam, tidak tahu nak sorok mana. 

***

DUA

"Aku seriyes kuriyes, apa yang si Leha Sudirman dengan Maimunah Ayubi tu buat setiap hujung minggu. Bila tiba hujung minggu je, mereka hilang. Bila mereka hilang je, hujung minggu. Eh."

Maria Mariana menyatakan rasa tidak puas hatinya kepada besfren forevernya, Diana Daniella. 

"Dahla pakai tudung labuh sampai kaki. Tak panas ke...?? Ish."

"Aku rasa lah, diorang simpan bom dalam tudung tu. Setiap hujung minggu tu, diorang pergi belajar macam mana nak pasang bom!"

Berderai hilaian tawa mereka berdua, seperti pontianak lagaknya.

"Ha, kalau kau nak tahu sangat, apa kata kita pergi intip diorang tu hujung minggu ni..?"

Diana Daniella memberikan cadangan yang boleh tahan bernasnya kepada Maria Mariana. Bolehlah tahan. 

"Hmmm. Menarik gak tu. Tapi.. Kalau kantoi dengan diorang tu nanti, macam mana..?"

"Alaaah. Kacang cap Pagoda je tu! Kalau kantoi, cakaplah kita kebetulan ada kat kawasan tu. Nak lagi lebat, kita cakap je kat diorang yang kita berminat nak join diorang tu! Amcama..? Ada bran..?"  

Berkerut dahi Maria Mariana memikirkan cadangan sahabatnya itu. Hallo, susah sangat ke nak buat keputusan? Bukannya sains roket pon. Eh. 

TIdak semena-mena, terukir senyuman sedikit keji di bibir Maria Mariana.

"Deal!"

Dia menghulurkan ibu jari tangan kanannyanya untuk dicelek (betul ke perkataan ni..?) oleh Diana Daniella. 

Hujung minggu itu, mereka berdua dengan berhati-hati mengekori Leha Sudirman dan Maimunah Ayubi dari belakang. Ada lah dalam tiga ratus meter begitu. Leha dan Maimunah naik bas, mereka pon naik bas. Leha dan Maimunah lompat longkang, mereka pon lompat. Leha dan Maimunah lari dalam guni, mereka pon.. Ok mengarut. 

Tidak lama selepas itu, kelihatan Leha dan Maimunah berhenti di sebuah rumah kedai. Setelah memerhatikan sekeliling, mereka berdua naik ke atas. 

"Uisssh... Aku dah agak dah! Diorang ni mesti ada agenda tersembunyi ni! Kau tengok tu, diorang nak buat apa kat rumah kedai macam tu. Kawasan ni kawasan Cina Jinjang kot??"

"Diorang ni jual badan agaknya...!" Celah Diana Daniella. 

Mereka berpandangan sebelum masing-masing tersenyum sinis. Mereka bergegas ke kedai runcit di tingkat bawah.

"Toke, u tau ka, tadi itu dua orang perempuan pakai tudung besar itu, dia orang buat apa naik atas..?"

"Apa fasal anda cakap pelat macam orang Cina? Apa anda ingat saya tak tahu kah berbahasa Melayu baku? Saya dahulu cikgu Bahasa Melayu tahu..??"

Akward moment. Shiuuhh shiuhh angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. 

"Err.. Maaf pakcik. Uhm.. Macam mana kami nak tahu, mereka tu buat apa ye..?" 

"Aiyoh. Apa fasal yang anda semua ni nak sibuk-sibuk..?"

"Sebab.. Kami syak mereka berbuat sesuatu yang tidak baik pakcik! Dan kalau benar sangkaan kami tu, maka kami nak cegah! Kami nak bantu mereka ni!"

Ok poyo. 

"Benda apa yang tak baiknya..? Mereka tu datang sini untuk berkonferens riang. Belajar agama. Dengar ceramah agama. Cipipi cipika. Berukhuwwah fillah bagai. Dahla semuanya sopan dan berbudi bahasa. Memang calon menantu terbaik! Ha, anda beritahu saya, tang mana yang tak baik tu..??"

"Err.. Oktengsbai pakcik!"

***

TIGA

Muaz Muawiz berasa tidak sedap hati. Dia ragu-ragu. Was-was.

Layanan yang diberikan oleh Abang Faizul Sumarjo kepada dirinya cukup baik sekali. Walhal tidak sampai sebulan mereka berkenalan, setelah Muaz Muawiz melanjutkan pelajarannya ke universiti tempat mereka belajar itu. 

Malah seingat Muaz Muawiz, sejak hari pertama lagi Abang Faizul Sumarjo sudah melayannya dengan penuh mesra dan kasih-sayang. Ketika hari pendafataran, Abang Faizul Sumarjo lah yang menunjukkan bilik penginapannya. Abang Faizul Sumarjo membantunya mengangkat beg pakaiannya dan perkakasan yang lain. Cadar pon siap dipasang Abang Faizul Sumarjo! Pergh. 

Semenjak hari itu, Abang Faizul Sumarjo kerap mengunjungi bilik Muaz Muawiz. Setiap kali kunjungannya, pasti dia akan membawa makanan bersama-sama. Kadang-kadang tu, makanan yang ringan-ringan sahaja seperti Nini Cokelat Celup, Celup Celup!, pisang goreng, buah anggur tanpa biji dan keropok ikan bilis. Tetapi kadang-kadang tu, dibawanya set makanan lengkap, siap dengan pembuka selera dan pencuci mulut sekali Walaweh! 

Siapa yang tidak berasa istimewa kan apabila dilayan sebegitu rupa..? Muaz Muawiz pada mulanya memang seronok dan teruja dilayan sebegitu rupa. Lagi pon, jimat duit beb, orang selalu belanja makan percuma! Wahahaha. Ok keji.

Namun lama-kelamaan, dia berasa sangsi dengan niat Abang Faizul Sumarjo. Baiknya lain macam! Tidak pernah Muaz Muawiz jumpa manusia sebaik itu sebelum ini. Apabila diminta tolong, pasti tidak akan ditolaknya, walau pertolongan yang diminta di tengah malam atau perkara yang remeh sahaja. Apabila sengkek, dia tidak lokek meminjamkan wangnya. Apabila jatuh sakit, dialah orang pertama yang akan datang bertanyakan khabar. Wah, ini manusia atau malaikat..? 

Kesangsian Muaz Muawiz bertambah kuat apabila ada rakan-rakannya yang menghasutnya, yang mendakwa Abang Faizul Sumarjo ada niat jahat yang tersembunyi. Dan Muaz Muawiz bakal menjadi mangsa.

Ada yang menuduh Abang Faizul Sumarjo sedang merekrut kader untuk mengedar dadah.

Ada yang mendakwa Abang Faizul Sumarjo adalah seorang pendatang tanpa izin, maka memerlukan seseorang untuk menjadi penjaminnya kelak.

Dan ada juga yang membuat propa bahawa Abang Faizul Sumarjo itu mempunyai nafsu songsang dan sudah jatuh chenta dengan Muaz Muawiz yang boleh tahan jambu itu!

Astaghfirullah. Telan air liur Muaz Muawiz dibuatnyanya apabila memikirkan tuduhan yang terakhir itu. Dia sememangnya tidak mahu percaya langsung kepada tuduhan dan hasutan yang dilemparkan, kerana dia mengenali Abang Faizul Sumarjo sebagai seorang yang sangat baik, menjaga solat dan ibadahnya dan mempunyai budi pekerti yang sangat mulia. Cuma, yalah, hati manusia mana yang tidak terusik dengan tuduhan-tuduhan liar sebegitu rupa? 

Akibat tidak tertahan lagi dengan perasaan curiga dan was-was yang membuak-buak, Muaz Muawiz mengambil keputusan untuk berhadapan dengan Abang Faizul Sumarjo dan bertanyakan niat sebenarnya. Konfrontasi. 

"Abang Faizul Sumarjo.. Uhhhmm. Saya nak tanya.. Harapnya Abang tak berkecil hati.. Saya nak tahu... Kenapa Abang baik sangat eh dengan saya..? Bukan apa.. Tak nampak pon Abang baik dengan orang lain macam tu.. Kenapa saya..?"

Terbeliak mata Abang Faizul Sumarjo mendengar pertanyaan jujur Muaz Muawiz itu. Namun kemudian dia tersenyum. 

"Anda betul-betul nak tahu..?"

Muaz Muawiz teragak-agak sebentar, sebelum mengangguk perlahan kepalanya. 

"Mari ikut saya." 

Muaz Muawiz pada mulanya sedikit ragu-ragu dengan pelawaan itu. Namun dia tewas dengan perasaan ingin tahunya yang amat kuat. 

Mereka lantas menaiki sebuah bukit di tepi bangunan utama universiti.

"Nampak tak bintang tu..?" 

Abang Faizul Sumarjo memuncungkan mulutnya, menunjuk kepada sebutir bintang di tengah lautan langit malam yang pekat hitam.

"Ha..? Yang mana satu..?"

"Tu, yang paling cerah antara semua tu.."

"Oh ok.. Ha, nampak nampak."

Abang Faizul tersenyum sebelum menyambung bicara.

"Ada orang kata, bintang tu sorga.."

Muaz Muawiz berkerut. Lantas dipandangnya Abang Faizul Sumarjo dengan wajah sedikit pelik.

"Ok.. Maka..? 

Abang Faizul Sumarjo memandang tepat wajah Muaz Muawiz, mengukir senyuman manis sebelum memandang kembali pada bintang tadi.

"Saya nak bawa anda ke sana.. Ke bintang itu. Ke sorga. Ya.. Saya nak masuk sorga dengan anda..."

***

Anda benar. Kami memang ada konspirasi. Kami memang ada rancangan tersembunyi. Dan kami memang punya pelbagai strategi yang telah kami rancang sejak dahulu lagi. 

Kami nak tangkap anda. Kami nak jerat anda. Kami nak ikat kaki dan tangan anda.

Kemudian kami nak bawa anda lari jauh-jauh. Kami nak pukul anda sampai lebam. Dan kami nak bakar dan cincang-cincang tubuh hati anda. 

Kemudian kami akan minta wang tebusan daripada keluarga anda. Kalau mereka tidak mahu, kami akan buru mereka pula. 

Wahahaha. Anda takut..? Kecut perut..? Dada semput..?

Jangan. Sebab kami nak tangkap, jerat dan ikat kaki dan tangan anda, kemudian campak anda masuk sorga.

Kami nak bawa anda lari jauh-jauh dari tebing neraka. Kami nak pukul anda agar anda sedar dari kelalaian dan kelekaan anda selama ni. Kami nak bakar hati anda, cincang-cincang jiwa anda, agar ia kembali basah dan hidup, untuk berinteraksi denganNya. 

Dan kami nak minta tebusan daripada keluarga anda, agar demi nyawa mereka yang ada di tanganNya, kami berjanji untuk membimbing anda hingga kita sama-sama masuk sorga. Kami berjanji, yang kami akan menyayangi anda sesungguhnya, demi kasih sayang dan chentaNya yang agung lagi mulia.

Ya, kami memang ada konspirasi. Sensasi. Penuh misteri.

Namanya konspirasi tarbiyah. Menggugah. Demi redha Allah.  

"Katakanlah, 'Inilah jalanku; aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin, Maha Suci Allah, dan daku tidak termasuk orang-orang musyrik.'"
[Yusuf, 12:108]

Ada sesiapa berminat nak jadi ahli geng konspirasi kami..? Eheh.

Senyum kenyit mata.

-gabbana-

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP