31 January 2013

Makcik Peah Yang Suka Memfitnah

Memperkenalkan.. Makcik Peah! [Kredit]

Ok sesiapa yang bernama Napeah, Sapeah, Sufiah dan yang seangkatan dengannya, maaf kalau anda terasa dengan post ini. Jujur, post ini tiada kena-mengena dengan yang hidup; yang mati saya tak berani jamin. Wahahaha..

Dahulu ketika masih bergelar seorang pelajar, kami sering dimomokkan dengan cabaran dan dugaan di tempat kerja. Betapa ramai ikhwah dan akhawat yang bersarapan pagi (Baca: Futur) dek tidak tertahan menanggung mihnah dan tribulasi di opis atau kantor kerja, lantas mengambil keputusan untuk keluar dan meninggalkan gerabak ini.

Ada juga yang tidak pernah pon membuat keputusan untuk keluar terjun ala-ala Indiana Jones daripada gerabak yang sedang bergerak ini, tapi tup tup, tahu-tahu sahaja borang Alumni Ikhwah sudah tersedia di depan mata untuk ditandatangani. Peluh besar. 

Semuanya kerana Makcik Peah yang suka memfitnah di tempat kerja. Aduhai.

Dan kini, setelah lebih dua tahun bekerja, saya faham benar akan cabaran dan dugaan yang terpaksa dihadapi oleh setiap al-akh atau ukht yang sudah bergelar jejaka dan jejaki yang yang berkarier. Err, ada ke perkataan jejaki..? Benar, barangsiapa yang tidak kuat dan tidak bersedia dengan mehnah dan tribulasi yang menanti di tempat kerja, amat mudah sekali untuk tersungkur gugur, terjatuh futur. Air mata mengalir laju. 

Ini bukan cobaan, ini betul-betul! 

Mari kita lihat beberapa jenis dugaan dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh mereka yang sudah berkerjaya. Untuk nota, cabaran yang sama dihadapi oleh setiap orang di luar sana, terutamanya untuk mereka yang bergelar muslim, Namun ujian ini dirasakan lebih berat lagi buat mereka yang menggelarkan mreka dua't, kerana panji-panji Islam yang dipegangnya setiap masa. 

Baiklah.

Batuk batuk.

Mempersembahkan...

10 Pitnah Peah Di Kantor/Pejabat
(Disusun secara rawak, tidak mengikut kepentingan atau mana yang paling banyak mengalirkan peluh besar)

1) Mesyuarat neraka
Ini seringkali terjadi. Mesyuarat yang berjela-jela sehingga kadangkala terpaksa lewat untuk menyertai solat berjemaah. Ok bukan kadangkala, tetapi sering juga. Tunduk malu. Lebih nazak lagi seandainya mesyuarat tersebut menyebabkan anda langsung tidak menunaikan solat. Ohoi, tak takut api neraka? 

Kalau mesyuarat dengan macai-macai dan kuli-kuli marhaen mungkin tidak apa-apa. Yang menjadi masalah besar adalah apabila mesyuarat itu turut disertai oleh Inche-Inche dan Puan-Puan Bos Besar yang tampaknya tidak peduli tentang urusan solat ini. Teringin sahaja mahu bangkit dengan penuh bergaya sambil berkata, "Maafkan saya Dato'-Dato' Datin-Datin. Saya nak pergi mesyuarat yang lebih penting sebentar; mesyuarat dengan Allah. Kbai." sambil berlalu pergi menggerbangkan rambut ala-ala iklan syampu (Untuk lelaki sahaja. Itu pon kalau ada rambut. Eheh.).

2) Pergaulan bebas? Apa kau ingat semua orang adik-beradik?
Ini.. Ini.. Ini sumpah menyebabkan kepala anda gatal-gatal dan tengkuk ada tumbuh ruam dengan banyaknya. Jangan tak tahu, opis adalah antara tempat yang paling subur dan aktif sekali untuk bercampur-gaul antara lelaki dan perempuan. Yang makcik, yang pakcik, yang bertudung, yang berkopiah, yang muda, yang tak berapa nak muda, semua jenislah! Baik dalam lif, di pantry sambil minum air teh o panas cicah biskut kering, di meja kerja, di koridor, di tepi pasu bunga.. Gejala tidak bermoral ini sudah tidak dapat dikawal lagi. Semua pon tampaknya riang gembira lagi teruja untuk bercampur-aduk bergaul mesra tanpa  menyedari betapa panasnya api neraka. 

Kalau ada program motivasi dan bengkel lebih mengharukan lagi. Kadang-kadang tak faham juga dengan pihak penganjur ni; sengaja menganjurkan aktiviti atau program yang memerlukan para peserta bersentuhan atau berada sangat rapat antara lelaki dan perempuan. Sekejap. Fikir semula. Mungkinkah mereka ini sebenarnya sengaja berbuat demikian kerana sebahagian daripada konspirasi dunia untuk menjatuhkan umat Islam..? Ehem.

3) Pergh kau tak nak salam aku? Konfem angkuh ni!
Hal ini sungguh menyesakkan dada dan lagi menggugah jiwa. Sering terjadi terutamanya ketika mesyuarat dengan pelanggan atau pihak bank atau pertemuan pertama kali dengan rakan-rakan sekerja. Jujur saya katakan, saya sering tertewas dengan ujian yang ini. Pandang kiri, pandang kanan. Lari laju-lahu sambil tutup muka. 

Dan jangan terkejut jika saya katakan, dalam kebanyakan kes yang melanda saya, selalunya pihak perempuanlah yang menghulurkan tangan terlebih dahulu. Err. Ofkoslah saya tak pernah hulurkan dahulu. Peluh. Cuma nak kata, seolah-olah ia sudah jadi satu kebiasaan sehinggakan baik lelaki atau perempuan, terasa janggal sekiranya tidak bersalam. Bersalam itu wajib kerana ia menandakan perhubungan mesra dan niat yang baik.

Pengsan. 

4) Diperah lumat ibarat tebu di tepi jalan
Mujur saya jarang sekali mengalami fitnah yang ini. Tapi saya tahu, ramai sangat ikhwah dan akhawat yang menjadi mangsa kepada kezaliman dan kekejaman di tempat kerja. Kerja yang diberi pada minit-minit terakhir. Timbunan kerja yang terlalu tinggi hingga mustahil untuk disiapkan dalam satu hari melainkan terpaksa kerja sehingga lewat malam. Beraneka dan pelbagai kerja dalam satu masa yang sama. Senarainya ibarat tiada noktah. Malah kadangkala tenaga dan keupayaan mereka ini turut diperah di hujung minggu. Sungguh komunis. 

Akibatnya? Jadilah mereka ini tebu, lemah dan longlai tidak bernyawa seusai kerja. Lantas tidaklah bermaya lagi untuk berbulatan gembira atau ke program-program tarbiyah yang sepatutnya dihadiri oleh mereka. Jadilah mereka golongan yang tertinggal gerabak dek firnah kerja yang sungguh meraksasa gorgon. 



Bang naqib, saya penat ah. Boleh tak nak ponteng usrah? [Kredit]

5) Akulah bakal CEO yang seterusnya!

Dai'e tak dai'e, andai wahan sudah menyerang dan bersarang di hati, amat sukar sekali untuk melepaskan diri daripada fitnah yang ini. Dengan tawaran bonus lapan belas bulan, janji naik tangga keparat, eh, korporat dengan cepat dan entah beraneka lagi tawaran dan pelawaan haibat di abad ini untuk mereka yang sanggup menginfaqkan harta dan jiwa mereka demi kerjaya yang terchenta. Batuk. 

Benar, tawaran ini mungkin 'ikhlas' diberikan oleh majikan untuk memotivasi para pekerjanya bekerja lebih gigih dan bersungguh. Namun tidak boleh dinafikan, ia punya kesan sampingan yang merosakkan jiwa dan hati manusia di luar sana, terutamanya untuk mereka yang bergelar dua't. Kenapa kerja keras sangat ni? Sebab nak naik pangkat. Kenapa sibuk sangat kat opis ni? Sebab nak kejar bonus yang lumayan itu. Aduhai.


Kononnya untuk kebaikan tarbiyah dan dakwah juga. Dah tinggi kedudukan, orang makin tsiqah kan? Dah besar gaji nanti, bolehlah nak infaq banyak nanti! Ceh. Betul ke bang..? Bukan sebab nak pergi melancong ke Afrika Selatan dan nak beli kereta Bugati Veron yang terbaru itu..?


6) Kipas kipas kipas aku panas. Jilat jilat jilat aku lazat. 

Ini satu lagi budaya yang kadangala menjerat para dua't. Atau mungkin mereka sengaja menjerat diri mereka sendiri. Itulah, budaya mengampu dan membodek Inche atau Puan Bos Besar semata-mata mahu naik pangkat atau mendapat pujian daripada mereka ini. 

Err salah ke Inche gabbana mengampu, mengipas dan mencium ni..? 


Salahlah kalau ia menzalimi orang lain. Orang lain yang penat-penat tanak nasi, letak santan, goreng sambal, kacang dan ikan bilis, rebus telur, potong timun, bungkus dengan daun pisang elok-elok, tup-tup, kita pula yang dapat nama sebagai penjual nasi lemak bergaya. Eh boleh ke analogi macam tu? Lantaklah. 


Lagi pon, memang Islam tak ajar budaya mengampu dan membodek. Yang Islam ajar, bekerja dengan ikhlas dan bersungguh tanpa mengharapkan pujian atau balasan. Kalau kita betul-betul ikhlas dan bertaqwa, jangan risaulah, Allah akan bukakan pintu rejeki seluas-luasnya untuk kita!


7) Inche/Puan Bos Besar anda adalah seekor singa

Takut sangat dengan si majikan. Baru diherdik sikit, dah menggeletar kepala lutut. Baru kena panggil masuk bilik, dah terasa nak terkenching dan tercirit. Err. Macamlah bos kita itu yang memegang jiwa dan nyawa kita. Macamlah dia yang menentukan ajal dan maut kita. Macamlah dia yang akan beri kita sorga atau neraka. 


Auuummm! Sapa tak siap kerja aku makan diaaaa! [Kredit]

Ok saya cakap lebat, tapi kadangkala tu cuak juga nak menghadap mereka ini. Geleng kepala. Inilah fitnmah; ujian terhadap kita yang bekerja. Lebih gerun dan takutkan Inche dan Puan Bos Besar daripada takutkan Allah, dosa dan neraka. Itu yang terjadi kes tu, sehingga kadang-kadang sanggup melakukan perkara-perkara yang terkutuk dan terlarang hanya kerana menuruti arahan dan telunjuk si majikan. 


Seronok kot, kat akhirat nanti sama-sama masuk neraka dengan bos. Dapat bincang pasal bonus dan kenaikan pangkat di sana. Eh.


8) Pelanggan punya pasal, lautan api sanggup aku bedal!

Ni satu lagi penyakit yang banyak melanda hamba-hamba kerja dan kerjaya. Semata-mata kerana mahu memastikan suatu urusan perniagaan itu berjaya, sanggup kita melakukan apa sahaja untuk menawan hati dan memuaskan nafsu si pelanggan. Baik membawanya ke kelab malam, atau berkaraoke dengan GRO sehingga tengah pagi, membelikan rokok, arak dan entah apa-apa lagi hadiah untuk mereka ini, semuanya kita sanggup lakukan hanya kerana mahu mememastikan si pelanggan tetap setia bersama kita. 

Akhirnya kita juga yang terpalit dengan dosa yang sama. Akhirnya kaki kita turut diheret masuk ke dalam neraka. Moga Allah jauhkan kita daripada menjadi sebegitu hina dan tiada harga.


9) Ikhwah dan akhawat jadian

Haibat di medan luar, tapi lemah dan dayus di tempat kerja. Ok keras jugalah tuduhan saya itu, tapi saya kira itu satu realiti. Bagaimana seorang al-akh atau ukht yang begitu haibat membawa bulatan gembira, menganjurkan konferens riang dan entah tok nenek apa lagi program-program tarbiyah dan dakwah di luar sana, mengecut dan mengijang sahaja di tempat kerja..? Aduhai mak minah sayang. 

Tak berani nak menasihati kemungkaran yang berlaku di kantor. Tidak cukup singa untuk menegur maksiat yang trang tang tang berlaku di depan mata. Juga tak cukup gagah perkasa untuk mengajak orang melakukan kebaikan. Maka jadilah kita pak lebai dan mak lebai, baik seorang-seorang sahaja di opis, tanpa mempedulikan umat manusia yang bekerja di opis yang sama, yang semakin hari semakin dekat dengan jurang neraka. Adeh.


Agakagak, di Mahsyar nanti, ramai tak bekas rakan-rakan sekerja kita yang nak dakwa kita kerana gagal melaksanakan tugas Syahadatul Haq kita..? 


Boleh tolong hulurkan pisau tu? Nak hiris bawang ni nipis-nipis.


10) Korupsi berbasa-basi

Ok saja nak bagi tajuk sedap. Kehkehkeh. Mungkin hal ini tidaklah terlalu seriyes buat seorang dai'e yang in shaa Allah amat menjaga soal halal dan haram dalam urusan seharian. Tetapi tidak salah untuk saling mengingatkan bukan..?

Kadang-kadang kita menyalahguna kemudahan dan perkakas di pejabat untuk kepentingan diri. Yang lebih mengembangkan hidung, kadangkala kita menyedapkan hati kita dengan mendakwa ia adalah untuk kebaikan dan kemaslahatan tarbiyah dan dakwah. Contohnya, mencetak helaian nota bulatan gembira menggunakan kertas dan pencetak di kantor, menggunakan telefon pejabat untuk menghubungi penceramah untuk konferens riang di hujung minggu, menggunakan komputer riba yang dibekalkan untuk menghapdet belog. Eh. 


Dan lebih sering daripada tidak, kita melakukannya dalam keadaan separa atau bawah sedar, kerana korupsi sudah terlalu mainstream. Astaghfirullah.. Kalau sudah guna atau rasa tidak sedap hati dengan penggunaan barang-barang di pejabat selama ini, pastikan anda membayarnya semula. Seperti membelikan kertas baru untuk kegunaan semua dan sebagainya. 


Takut nanti mati sebelum sempat bayar semula, ruh tak dapat nak naik ke langit dek hutang yang belum terlangsai! Wuwuwu. 


Ha, bagaimana..? Mencabar bukan jadi jejaka bergaya yang buat tarbiyah dan dakwah dan pada masa yang sama bekerjaya..? Ehem.


Inilah yang dapat saya kongsikan, berdasarkan waqi' saya yang bekerja di kantor/opis/pejabat. Mungkin tidak sama dengan anda yang bekerja sebagai Tuan Tabib atau Ingeniur atau tukang korek lumpur nun di tengah laut sana. Tapi saya yakin, anda punya cabaran dan mehnah yang tersendiri, yang benar-benar membuatkan anda berulang-kali menggaru kepala dan mengelap peluh di tepi dahi.


Poinnya mudah; adakah kita cukup kuat untuk menghadapi fitnah dan dugaan di tempat kerja? Adakah tarbiyah yang kita terima dan lalui selama ini sudah mempersiapkan diri kita untuk kengerian di kantor nanti? Dan adakah benar kita telah infaqkan seluruh jiwa, harta dan tenaga kita untuk Islam semata..?



"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan sepengetahuanNya dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya serta meletakkan penutup atas penglihatannya?"
[al-Jatsiyah, 45:23]

Gulp.


Untuk adik-adik yang masih belajar, dengar sini, manfatkan masa yang ada sebaiknya untuk melatih diri dan menguatkan jiwa. Percayalah, walaupon suasana dan persekitaran ketika belajar adalah terlalu ideal untuk dunia yang sebenar, namun ia adalah platform yang sangat baik untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi raksasa gorgon dan raja raksasa syaitan Pikor di tempat kerja nanti. 


Gunakan masa yang ada dengan optimum dan paling muntij untuk belajar kiat-kiat dan kemahiran dakwah. Manfaatkan peluang yang ada untuk memantapkan diri dalam pembawaan bulatan gembira. Dan rebut ruang yang ada untuk menguatkan lagi tarbiyah diri dan tarbiyah jamai'e. Percaya dan percayalah, anda amat-amat memerlukannya sebaik bergelar seorang pekerja nanti.


Kerana akhirnya kita tidak mahu menjadi hamba kepada kerja. Kita tidak mahu menjadi robot yang tidak bernyawa, melakukan kerja-kerja rutin yang menyesakkan jiwa. Dan kerana kita tidak mahu tewas kepada Makcik Peah yang suka memfitnah! 


-gabbana-


In Shaa Allah berhasrat untuk menulis post khas untuk Tuan Duktur dan Tuan Tabib pula. Sila sediakan losen kalis api dan jaket kalis peluru dan bom ya..? Wahahaha.. 


29 January 2013

Merah Jambu

[Kredit]

Selasa. 6.55 pagi. Kelihatan tren Putra empat gerabak menghampiri stesen Taman Jaya sebelum akhirnya berhenti.

Orang ramai yang sudah menunggu ketibaan tren tersebut mendekati tebing platform, dan melangkah masuk ke dalam gerabak seusai pintunya dibuka. Seawal pagi itu, tren masih belum lagi sesak dengan penumpang. Tempat duduk pun masih banyak yang kosong.

Seorang jejaka berusia pertengahan 20-an mengambil tempat duduknya. Segak. Bergaya. Tinggi lampai orangnya. Dengan rambut hitam pekat dan ikal mayang yang terbelah tengahnya, hidung mancung, kulit putih kemerah-merahan dan wajah yang amat menyenangkan, tiada siapa yang bisa menyangkal betapa jejaka ini mudah sekali dikategorikan sebagai tampan dan menjadi rebutan. 

Yang lebih menarik perhatian adalah baju kemeja yang dipakainya. Ia digosok rapi dan kelihatan begitu kemas dan segak sekali. Hujung lengan bajunya dikancing dengan cufflinks berbentuk bebola sulaman perak. Dan warna kemejanya begitu memukau mata yang memandang. Merah jambu. 

Ya, merah jambu. Pekat, terang lagi mempesonakan. 

Warna itu begitu masuk dengan perwatakan jejaka tersebut. Ditambah pula dengan seluar perang muda yang dipakainya berserta kasut jenis mocasin yang berwarna perang tua. Pergh. Memang sungguh bergaya.

Metro. Metroseksual. 

Beberapa orang dara pingitan tersengih-sengih melihat teletah jejaka tersebut. Berharap agar jejaka tersebut menegur lantas mengurat mereka agaknya. Perasan.

Ada juga yang terkantoi menjeling-jeling jejaka tersebut. Yang ini bukan setakat anak dara pingitan; mak dan nenek dara pingitan pun tidak segan silu menjeling sosok segak dan kacak itu! Kemudian apabila jejaka tersebut menjeling kembali, mereka lantas tersipu-sipu. Malu. Padan muka. 

Jejaka tersebut terkumat-kamit membaca sesuatu. Matanya terpejam sambil itu. Khusyu'. Menghafal lirik lagu kegemaran agaknya. Orang di sekeliling tidak putus-putus memerhatikan gelagat lelaki yang satu ini. Tertarik. Menarik. 

Tiba-tiba mulutnya berhenti terkumat-kamit. Dia tersenyum manis. Pendek. Puas. Dia kemudian membuka kelopak matanya. Anak matanya, yang dibumbung dengan  bulu mata yang tebal, memandang ke atas, dan dahinya sedikit berkerut seperti sedang memikirkan sesuatu. 

Dia lantas membuka beg galas kulit yang diletakkan di atas pahanya. Tangannya ligat menyelongkar sesuatu di dalamnya.

Insan-insan yang sejak daripada tadi memerhatikan tingkah laku jejaka tersebut kini lebih teruja. Malah ada juga seorang dua yang tidak tahu malu, bergerak mendekati lelaki itu. Benar-benar ingin tahu. 

Sibuk. 

Sekonyong-konyong jejaka tersebut mengeluarkan senaskhah Quran diari berwarna merah gelap dengan warna merah jambu sebagai penjilidnya. Dia lantas membuka Quran itu, mencari mukasurat terakhir yang ditinggalkannya. Surah al-Hujuraat. Tanpa berlengah-lengah lagi dia menyambung baca ayat-ayat chenta dari langit itu. Laju. 

Terbeliak beberapa biji mata yang memerhatikannya. Ada juga yang sedikit terlopong melihatkan keadaan itu. Yang mana tadi sibuk memerhatikan teletah jejaka itu, kini tertunduk malu dan cuba mencari-cari aktiviti lain yang boleh dilakukan. Yang mana bergerak menghampiri lelaki tadi mujur sudah turun di stesen yang berikutnya. 

Mujur.

Kelihatan nun di satu sudut di gerabak hujung, seorang wanita bertudung labuh, hanya tersenyum melihatkan lelaki itu. Bangga. Dia lantas terus menyambung bacaan maathuratnya, yang naskhahnya yang sudah lusuh dipegang erat dengan tangannya.

Jejaka tersebut berhenti sebentar. Dia memandang sekeliling, mengikut gerak hatinya. Matanya sekilas menangkap kelibat seorang wanita muda bertudung labuh duduk di hujung gerabak, terangkat-angkat bibirnya, membaca sesuatu. Dia tersenyum. Izzah. Senyumannya bertambah lebar apabila melihat warna tudung yang dipakai wanita itu.

Merah jambu. 

***

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu dosa..."
[al-Hujuraat, 49:12]

"...Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa."
[al-Hujuraat, 49:13]

-gabbana-

25 January 2013

Hey Dengar Sini! Ijinkan Saya Untuk Bercakap Boleh..?

[Kredit]

[Nota keras kepala lutut: Jujur, tulisan ini hanya sesuai untuk dibaca oleh anda yang tahu apa itu tarbiyah dan dakwah. Bukan hendak memperkecil atau memperlekeh sesiapa, apatah lagi berlagak angkuh dan sombong. Cuma saya khuatir nanti ada yang emo tak tentu pasal, lantas menarik rambut kuat-kuat dan berlari laju masuk gaung. Sekiranya itu berlaku, percayalah, saya tidak cukup wang untuk membayar pampasan kepada waris anda. Eheh.

Dan seperti biasa, artikel sebegini panjangnya super lagi duper. Sila sediakan sehelai sapu tangan untuk mengelap mulut yang mungkin berbuih dan sepana untuk membetulkan mata yang mungkin juling. Ahah.

Saya sudah memberikan amaran. Sila baca dengan risiko anda sendiri. Sekian.]

Bukan. Ini bukan penulisan susulan atau warkah kritikan kepada adegan drama Saudari Bawani KS dan Puan Sharifah Zohra Jabeen yang saya kira, sudah pon mula memasuki fasa basi. Biasalah orang Malaysia; hangat dan panas untuk seketika sahaja. Batuk.

Saya membaca dengan penuh minat tulisan saudara kesayangan saya, Hilal Asyraf berkaitan dengan gejala 'Listen, Let Me Speak!' ini dalam konteks tarbiyah dan dakwah. Alhamdulillah, baharu baru-baru ini saya berpeluang untuk menghabiskan bacaan dan menghadamnya dengan baik. Maka penulisan ini adalah err, bolehlah dikira sebagai maklum balas (Baca: Feedback) dan pandangan peribadi terhadap penulisan yang sungguh baik itu.

Untuk rekod, saya amat bersetuju dengan penulisan dan hujah-hujah yang telah dikeutarakan oleh saudara Hilal. Malah saya kira, kupasan yang telah dibuat oleh beliau sangat baik, mudah difahami dan bergaya sekali. Arakian terasa segan lagi marhaen pula diri ini untuk menulis sesuatu sebagai maklum balas kepada penulisan yang begitu baik, yang ditulis pula olah seorang penulis haibat yang tidak perlu diragui lagi kaliber dan karismanya dalam bidang penulisan. 

Untuk rekod juga, saya tiada apa-apa isu dengan saudara Hilal. Walaupon kami tidak pernah bertemu apatah lagi bertepuk-tampar mesra dan berbaring-baring manja di atas paha.. Err.. Namun melalui perhubungan kami di alam maya yang kadang-kadang dan sedikit cuma itu, saya amat selesa dengan peribadi dan akhlak saudara Hilal. Malah jujurnya, saya amat kepingin untuk bertemu dengan saudara Hilal secara mata bertemu mata, lantas bercipiki cipika dengannya. Eh.

Saya kira, dan saya yakin, saudara Hilal amat jujur dan ikhlas apabila beliau menulis tentang isu pembasuhan otak (Baca: Brainwash) dan proses indoktrinisasi yang berlaku dalam segelintir kumpulan dalam mana-mana jemaah. Malah seperti yang katakan di awalan penulisan ini, saya selesa dan sangat setuju dengan hujah-hujah yang dilontarkan beliau. Mengenali Saudara Hilal sebagai seorang jejaka kachak yang aktif berdakwah dan mentarbiyah di sana sini, saya yakin beliau tiada niat yang lain dalam menulis artikel tersebut melainkan untuk memperoleh keredhaanNya. 

Cuma apabila membaca artikel beliau berulang kali dan cuba untuk memahami kerisauan yang digarishitamtebalkan (Baca: Underlined and bold. Eheh.) oleh beliau, timbul pula kerisauan yang lain di dalam hati ini. Khuatir benar sekiranya ia disalahertikan lantas disalahgunakan pula oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan-tujuan dan kepentingan peribadi. Lebih menggarukan kepala sekiranya ia dieksploitasi untuk menyerang pihak-pihak tertentu dan melakukan pemberontakan yang akhirnya akan menjatuhkan kerajaan lantas menjadikan negara kucar-kacir dan bergolak heyyy! Err. 

Maka saya terpanggil untuk menulis post ini, apatah lagi apabila seorang akh menghubungi saya menyatakan kerisauannya pada impak yang diberikan oleh penulisan Saudara Hilal kepada anak-anak buahnya. Saya kenal baik akh itu dan saya yakin kerisauannya adalah kerisauan benar dan berasas. Sayugia saya kira penulisan ini adalah suatu perspektif  sedikit berbeza tetapi in shaa Allah adil kepada penulisan saudara Hilal. Dan sudah tentu saudara Hilal juga akan setuju bahawa tulisannya bukanlah maksum dan tiada cacat celanya. Ia adalah pandangan peribadi dan ijtihad penulisan oleh saudara Hilal; moga Allah mengganjari usaha-usahanya yang mulia dengan sorgaNya yang abadi.

Begitu juga dengan penulisan ini. Sekiranya ada mana-mana bahagian yang dirasakan anda tidak tepat dan tersasar dari landasan kebenaran, tolong tegur dan bimbing saya yang marhaen ini. Jujur, saya amat mengalu-alukan kritikan dan teguran dalam ruang lingkup kebenaran dan kefahaman yang sejahtera.

Jemaah cuci otak?

Mari mencuci mencuci mencuci hey! [Kredit]

Saya kira, mana-mana persatuan atau organisasi di dunia ini, pasti ada hadaf (objektif) yang ingin dicapai dan dipenuhi. Kalaulah Persatuan Memasak Lelaki Duda Atas 50 Tahun pon ada matamat dan objektif yang ingin dicapai, takkanlah sebuah jemaah yang memperjuangkan manhaj Islam yang agung tidak ada hadaf yang menjadi landasan kepada perjuangan mereka?

Ish.

Maka apakah cara yang paling baik untuk meyakinkan ahli-ahli jemaah untuk mencapai dan memenuhi objektif yang telah digariskan kalau bukan dengan cara 'cuci otak' (Baca: Brainwash)? Cuma mungkin, frasa cuci otak itu membawa konotasi yang sedikit negatif. Hakikatnya, itulah yang dilakukan sehari-hari.

Manakan tidak. Dengan bulatan gembiranya. Dengan konferens riangnya. Dengan bahan makalah dan bacaan fikrahnya. Dengan pelbagai lagi wasilah tarbiyah yang lain. Anda beritahu saya; bukankah proses cuci otak namanya itu..?

Kelainannya adalah pada objektif dan hadaf yang telah ditetapkan oleh sesuatu jemaah tersebut. Saya yakin, tidak ada mana-mana jemaah Islam di muka bumi ini yang di awal-awal penubuhannya sudah meletakkan objektif yang mungkar dan taghut, melainkan ia adalah sebuah jemaah sesat lagi menyesatkan. Malah tidak keterlaluan sekiranya saya mengatakan Islam juga merupakan sebuah agama indoktrinisasi. 

Tersembur. Woah, anda gilakah Inche gabbana..?? Itu kenyataan bunuh diri!

Sabar. Saya punya hujah dan buktinya. Lihat sahaja al-Quran. Bukankah ayat-ayat hukum, pengajaran, ganjaran, peringatan, kisah-kisah Nabi dan sebagainya diulang dan diulang berkali-kali? Untuk apa kalau bukan mahu memastikan firman-firmanNya yang mulia itu melekat dengan kuat di dalam kepala kita? Untuk apa kalau bukan nikmat-nikmat sorga dan azab seksa neraka sentiasa berlegar-legar di dalam jiwa? Agar sentiasa diingati dan diambil ibrahnya! Bukankah itu cuti otak namanya..?

Maka, proses cuci otak yang berlaku dan dilaksanakan tidak lain adalah untuk mencuci otak dan hati yang berkarat dengan jahiliyyah dan saki-baki syaitonirojim yang ada. Proses cuci otak yang dilakukan adalah bagi memastikan mereka yang ingin bergabung dengan jemaah Islam benar-benar bersih hatinya dan suci akalnya daripada sebarang unsur-unsur yang meragukan. Juga untuk mempersiapkan hati dan jiwa mereka ini dengan ujian, mehnah dan tribulasi yang terbentang di sepanjang jalan yang sumpah panjang ini. 

Dalam hal ini, saya bersetuju dengan pandangan saudara Hilal betapa ada segelintir pihak di luar sana yang terlalu taksub dengan jemaah mereka sehinggakan jemaahnya kebal dari sebarang tohmahan mahupon kritikan. Jemaahnya sahajalah yang betul, maksum dan tidak boleh dicabar. Ini adalah suatu gejala yang tidak sihat dan sangat-sangat merbahaya. Hal ini tidak sepatutnya diajar dan dicuci otaknya sebegitu rupa dalam mana-mana jemaah sekalipon. 

Saya suka untuk menjawab persoalan ini dengan menggunakan sepuluh rukun bai'ah (taat setia) yang telah digariskan oleh Imam Hassan al-Banna di dalam Risalah Ta'limnya. Beliau telah meletakkan kefahaman (al-fahmu) sebagai rukun asas yang pertama sekali; suatu isyarat yang cukup signifikan bagi menggambarkan betapa pentingnya kefahaman yang jelas, benar lagi sejahtera dalam sesebuah pergerakan dakwah. Kefahaman inilah yang menyatukan ahli-ahli yang bergerak dalam satu jemaah. Kefahaman inilah yang menjadikan mereka bercakap dengan bahasa yang sama, berjalan dengan derap kaki yang sama dan menghayun dengan bilah pedang yang sama. 

Persoalannya, bai'ah pada apa? Bai'ah pada siapa? Hal inilah yang selalu disalahtanggap oleh mereka yang terlalu teruja untuk mentarbiyah dan berdakwah. Hal ini jugalah yang sering menyebabkan wujudnya salah faham dan ketegangan dalam hubungan sinergi antara jemaah. 

Bai'ah yang dituntut pertama-tamanya adalah untuk Islam. Kemudian pada dakwah. Dan kemudian baharulah pada jemaah! Tiada guna kita sibuk berjemaah andai kita belum lagi beramal dan faham dengan tuntutan Islam dan dakwah! 

Kerana itu proses 'cuci otak' ini adalah suatu proses yang agak penting sebenarnya. Dalam bahasa dakwahnya, bolehlah saya menamakannya sebagai proses pentakwinan, yakni proses membina dan membentuk. Pada peringkat ini, murabbi berperanan besar bagi memastikan pembentukan yang cantik dan pembinaan yang mantap berlaku pada mutarabbinya. Dia bertanggungjawab memastikan tiada unsur-unsur lain yang boleh mengganggugugat dan menjejaskan proses pembinaan yang sedang diusahakannya. 

Kerana mahu memastikan otak, jiwa dan hati yang dicuci benar-benar putih dan bersih. 

Silapnya pada cara

Yang sering tergelincir adalah caranya. Yang  terbabas adalah kaedahnya. Yang selalu tersilap adalah tekniknya.

Amat penting untuk kita menanggapi apa yang berlaku dengan adil dan saksama. Yang silap bukan jemaahnya, tapi ahli-ahli yang duduk di dalamnya. Seperti yang saya katakan, tidak munasarawak sekali seandainya sesebuah jemaah Islami itu ditubuhkan dengan tumuhaat (impian) untuk memenuhkan poket dan perut ahli-ahlinya semata-mata.

Walaupon sesebuah jemaah itu mempunyai aspirasi yang paling unggul, mempunyai matlamat yang cukup jelas dan memiliki halatuju yang cukup meyakinkan, pasti akan ada ahli-ahlinya yang akan merosakkannya. Itu adalah fitrah. Itu adalah sunnah.


Sekali lagi saya mendapati diri saya bersetuju dengan pandangan saudara Hilal yang ada segelintir murabbi yang tanpa sedar menjadi 'diktator' dalam dakwah ini. Apa yang mereka cakap mesti dituruti. Apa yang mereka arahkan, mesti dipatuhi. Apa yang mereka suruh, mesti ditaati. Tanpa banyak soal dan kompromi. Seolah-olah kata-kata yang keluar daripada mulut mereka adalah wahyu Ilahi! 

Kerana saya sendiri pernah mengalami perit dan pedihnya bermurabbikan manusia sebegini. Yang merasakan dirinya selalu benar dan betul. Yang pantang ditegur dan diperbetulkan. Yang amat sukar dibawa berbincang dan berbicara. 

Akhirnya yang menjadi mangsa adalah mutarabbi mereka sendiri. Tarbiyah yang diterimanya zalim dan cacat, sehingga menyebabkan berprasangka dan prejudis terhadap tarbiyah yang dilaluinya. Lebih parah apabila dia sendiri bakal menjadi murabbi yang sama akhlak dan sifatnya! Murabbi yang dibenci akhirnya menjadi klon kepada diri sendiri! Aduhai. 

Namun, tidak adil untuk tangkap muat dan menjadikan situasi itu sebagai situasi umum (Baca: Generalisation) dan menjadikannya sebagai panduan ibu jari (Baca: Rule of thumb) dalam menghukum atau membuat sesuatu keputusan. Tidak adil. 

Ketika para tentera di Bukit Uhud mengingkari arahan Nabi supaya tidak turun sehingga diberitahu, itu salah mereka yang degil atau salah Nabi kerana tidak memperingati?

Tatkala Khalid al-Walid membunuh beberapa orang tawanan dari Bani Juzaimah lantas mengingkari arahan yang telah dikeluarkan oleh Nabi, meskipon sudah dibantah oleh Abdullah bin 'Umar bin Salim, tindakan Khalid itukah yang silap atau jemaah kaum Muslimin yang silap?

Dan di kala Abu Dzar al-Ghifari r.a. yang gagal mentarbiyah kaumnya pada pusingan pertama, dek kekasaran dan ke'gedebe'an dirinya pada awalan Islamnya, caranya yang tidak kena atau mesej dakwahnya itu yang gila?

Saya sendiri, alhamdulillah, berkat dari pengalaman yang dilalui, amat berhati-hati dalam soal hubungan  murabbi-mutarabbi. Saya secara terbuka berpesan kepada hadek-hadek bulatan gembira saya, agar menegur saya sekiranya ada kekurangan dan kelemahan yang mereka lihat pada diri saya. In Shaa Allah saya boleh menerima teguran dengan hati yang berlapang dada.

Ya, ego mungkin akan tercalar. Jiwa mungkin akan berbalar. Namun apalah sangat nilai ego dan nafsu itu, andai hendak dibandingkan dengan nilai tarbiyah yang begitu agung lagi mulia. 

Malah murabbi saya kini juga amat terbuka dan kool orangnya. Amat mudah untuk dibawa bicara dan saya yakin, sekiranya disampaikan teguran kepadanya, dia adalah manusia yang boleh menerima teguran dan kritikan dengan hati yang rendah dan dada yang lapang.

Inilah tarbiyah. Sekiranya proses taarif, takwin dan tanfiz itu dilaksanakan dengan hak dan penuh ikhlas, ia akan melahirkan manusia-manusia yang cekal hatinya, berbara semangatnya dan utuh jiwanya. Dan manusia yang sama ini juga, adalah manusia yang berjiwa hamba pada RabbNya, bersemangat pemimpin kena pada tempatnya dan berhati seorang sahabat apabila keperluannya menjelma.

Bukan semua epal busuk 


Menjadi epal yang asing. [Kredit]

Dalam peribasa Melayunya, "Seekor kerbau tercalit lumpur, habis semua kerbau tercalit sama."

Hal ini tidak sepatutnya berlaku dalam pergerakan dakwah yang berpayungkan jemaah. Hanya kerana beberapa orang ahli jemaah tidak berakhlak dengan akhlak seorang dai'e yang dibutuhkan oleh umat ini, maka seluruh jemaahnya dihukum mati.

Kerana nyamuk seekor, habis kelambu dibakar.

Saya mendapati ada unsur ironi pada tulisan saudara Hilal. Beliau mengakui bahawa gejala "Dengar! Ijinkan saya untuk bercakap!" tidak berlaku pada semua. Namun penulisannya amat mudah untuk disalah sangka, seolah-olah ia berlaku setiap masa dan ketika, pada semua jemaah dan kumpulan dakwah.

Dan maaf saudaraku Hilal, saya kurang bersetuju apabila anda memberikan contoh bagaimana Allah mentarbiyah para Rasul dan NabiNya. Allah itu, dengan segala sifatNya yang sempurnya, pastilah tidak mempunya cacat dan celanya. Sebagai Tuhan yang Maha Bijaksana dan menguasai segala sesuatu, tidak mungkin kita akan menjumpai kecacatan pada cara dan kaedah yang digunapakai olehNya.

Sedangkan manusia itu banyak kelemahan dan kebobrokannya. Walhal manusia itu kadangkala terjatuh, kadangkala tergelincir dan kadangkala terperosok pula. Dan manusia itu, tidak mungkin, amat jauh daripada kesempurnaan, walaupon kita dituntut untuk mengejarnya. 

Ya, saya faham. Ruhnya adalah untuk mengambil pengajaran bagaiamana Allah mentarbiyah manusia. Dan pasti bukan sengaja Allah menceritakan itu semua di dalam kitabNya yang mulia. Tapi janganlah sampai kita mencerca dan mengeji sesama kita, andai kita gagal mengikuti contoh dan qudwah yang telah ditunjukkan Allah yang Maha Sempurna itu. 

Dan mereka juga bukan Rasul dan Nabi, yang menerima tarbiyah terus dari Allah.

Saat Nabi Yunus kechiwa dengan umatnya, lantas baginda dihumban masuk ke dalam perut ikan Nun.

Tatkala Nabi Daud khilaf dalam membuat penghakimannya, Allah pantas menurunkan dua orang malaikat untuk menegurnya.

Dan ketika Nabi Muhammad, junjungan besar kita berpaling wajah daripada Abdullah ibn Ummi Makhtum yang buta, Allah menurunkan surah 'Abasa sebagai peringatan buat baginda.

Kita? Hanya mampu untuk berharap pada tarbiyah yang telah kita terima. Hanya menanti teguran dan nasihat daripada ikhwah terchenta. Dan kadangkala terpaksa belajar dengan cara yang keras (Baca: Learn the hard way). Selebihnya? Kita hanyalah manusia yang punya terlalu banyak kelemahan dan kekurangan.

Ah Inche gabbana! Itu eskapisme namanya! Itu alasan lapuk, hujah busuk untuk menyelamatkan diri sendiri! 

Haha. Ya, saya faham benar. Terpulang pada anda, sama ada mahu menyalahgunakannya. Saya hanya menyatakan hakikat sebenar. Menghuraikan fakta.

Ya, kita hanyalah manusia.

Allah chentakan jemaah

"Sesungguhnya Allah menchentai orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam barisan yang teratur; mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh."
[as-Saff, 61:4]

Berkali-kali sudah kita dengar dan hafali ayat ini. Malah sudah mahu berbuih telinga kerana sering dihunjam dengan ayat sama. Namun berimankah kita dengannya..? 

Awal dakwah melihat ar-Rasul SAW bersungguh-sungguh mencari para sahabat untuk meramaikan jemaahnya. Mengapa? Kerana baginda sedar dan faham, betapa tugas dakwah ini terlalu berat untuk dipikulnya seorang. 

Begitu juga sebaik sahaja baginda dan Abu Bakr tiba di Madinah, selepas suatu pengembaraan dan perjalanan yang panjang merentasi padang pasir yang seluas mata memandang. Baginda lantas mempersaudarakan Aus dan Khazraj, sebelum mempersaudarakan pula mereka dengan orang-orang Muhajirin yang berhijrah dari Mekah. Mengapa? Kerana baginda berpandangan jauh; kestabilan jemaah adalah faktor penting dalam memacu dakwah Islam yang lebih dinamik dan berkesan. Ewah. 


"Tangan Allah berada di atas jemaah."

[Hadith Riwayat Nasa'i]

Pertolongan dan perlindungan Allah itu sentiasa berada bersama jemaah; yakni kumpulan-kumpulan yang mahu dan terus menegakkan kalimahNya di muka bumi. Tiada manusia yang bisa menjadi pulau di muka bumi, apatah lagi dalam menegakkan manhaj Islam yang agung lagi mulia ini. Berjemaah adalah wajib dalam menyampaikan Islam kepada seluruh umat manusia dengan cara yang paling efisien dan berkesan.

Maka pastilah, dalam memastikan jemaah ini mencapai hadaf yang telah ditetapkan dan halatuju yang telah digariskan, ada adab-adab dan akhlak berjemaahnya. Saf-saf yang dichentai Allah itu pastilah memerlukan perancangan yang rapi dan teliti. Untuk membentuk sebuah bangunan yang kukuh, batu-bata, simen, pasir, besi dan tenaga buruhnya juga mestilah yang berkualiti. Tidak boleh tidak, pastilah mereka yang memimpin jemaah itu perlu datang dengan strategi, undang-undang dan perancangannya untuk memastikan halatuju jemaah itu berada di landasan yang benar. 

Sedangkan Kelab Batu Seremban Jejaka Metro pon ada polisi dan peraturan kelab yang perlu dipatuhi, inikan pula sebuah jemaah yang punya gagasan besar dan manhaj agung yang ingin dibawanya. Kalaulah ahli-ahli ada kepala dan karenah sendiri, akan jadi huru-haralah dan kacau-bilaulah jemaah yang dibina. Jemaah yang sepatutnya memantapkan tarbiyah, memperjuangkan dakwah, silap haribulan menjadi jemaah dakyah yang mengajak ke arah jahiliyyah! Astaghfirullah. Garu kepala.

Namun polisi, undang-undang dan peraturan yang ada, mestilah dilaksanakan sesuai dan kena pada mustawa (tahap) dan tempatnya. Bak kata Imam Hassan al-Banna:


"Jangan dipetik buah sebelum masak."

Bahayanya apabila buah ini dipetik sebelum masak, bukan sahaja buah yang dimakan pahit dan kelat, malah yang lebih mengerikan adalah tiada cara lain untuk buah itu menjadi masak. Ia sudah dipetik. Ia sudah dikupas dan bersedia untuk dimakan. Habis cerita. 

Arakian jangan dipaksa ketaatan itu pada ahli-ahli jemaah yang belum lagi bersedia untuk memberikan ketaatannya. Jangan diharapkan sumpah setia pada mereka yang masih belum lagi benar-benar faham ruh dan matlamat sesebuah jemaah itu. Dan jangan ditekan mereka ini, agar segala suruhan dan arahan dipatuhi tanpa soal dan kompromi, andai mereka belum lagi bersedia untuk menjadi kader kepada jemaah tersebut.

Tidak hairanlah Imam Hassan al-Banna meletakkan 'tsiqah' (kepercayaan) sebagai akhiran kepada rukun bai'ahnya. Tsiqah sebagai pengikat dan penyimpul kepada rukun-rukun yang lain. Selepas ditunaikan dan dipenuhi hak-hak rukun-rukun yang lain itu baharulah datangnya tsiqah dan kepercayaan itu.

Tsiqah pada apa? Percaya pada siapa? Pertama tsiqah pada Islam itu sendiri. Kemudian percaya pada perjuangan dakwah yang ingin dibawa. Seterusnya pada jemaah yang memperjuangkan dakwahnya dan ahl-ahli yang berada di dalamnya, termasuklah murabbi, ustaz, syaikh dan qiyadah (kepimpinan) yang duduk di dalamnya. 

Perlu diingatkan, tsiqah ini perlu didapatkan dan tidak boleh dipaksakan (Baca: Deserved and not imposed). 

Seorang murabbi yang mahu ditsiqahi oleh hadek-hadeknya perlulah berusaha untuk memperolehnya. Bagaimana? Dengan kasih-sayang. Dengan qudwah yang ditunjukkannya. Dengan akhlak seorang rijal sebenar yang beramal di atas jalan ini. 

Nah, sekiranya ini dilaksanakan dengan amanah, telus dan bersungguh, sukar sekali untuk terjadi pergeseran antara orang-orang di bawah dengan mereka yang berada di atas bukan..? Dan mudah pula untuk membina persefahaman yang jitu bukan..?

Kerana asas dakwah itu adalah kasih-sayang. Asas tarbiyah itu adalah chenta. Mana mungkin sebuah jemaah yang penuh dengan kasih-sayang dan chenta sanggup menzalimi ahli-ahlinya dengan sedar dan sengaja..?

Begitulah.

Fuh.

Saya kira penulisan saya ini tidaklah bertentangan dengan apa yang ditulis oleh saudara Hilal. Malah anda yang telah membaca penulisan saudara Hilal bolehlah membandingkannya pula dengan hujah-hujah yang telah saya tekankan. Saya yakin anda akan bersetuju dengan saya, bahawasanya penulisan saya ini lebih berfungsi sebagai pelengkap (Baca: Complement) kepada penulisan saudara Hilal, dan bukannya suatu bantahan atau tanda tidak setuju.

Alah, pergeseran yang sedikit itu, biasalah. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula sesama beloger. Eh.

Dan penulisan ini bukanlah untuk memepertahankan mana-mana pihak *koff* atau diri-sendiri *koff*. Boleh jadi selepas membaca ini, ada yang akan terus menuding jari, "Ha Inche gabbana ni salah seorang mangsa cucian otaklah ni!" Haha. Sekiranya anda mengenali diri saya yang sebenar, yang saya kira sering juga ditonjolkan dalam penulisan-penulisan saya, anda akan tahu betapa 'liberal' dan terbukanya saya. Juga seorang yang boleh tahan pemberontak jugalah. Ahah jelir lidah. 

Namun saya berpendapat yang isu ini perlu ditanggapi dengan adil dan sebaiknya cuba mengambil kira pandangan dan pendapat semua pihak yang terlibat sama. Meskipon saya yakin, pasti ramai yang tidak bersetuju dan mungkin melenting dengan penulisan ini, saya kira dengan menulis artikel ini, saya sudah pon membuka ruang untuk anda, para pembaca, untuk lebih tabayun dan berbaik sangka. Senyum.

Dan sekiranya ada kemungkaran atau kesilapan atau kekhilafan di pihak saya dalam menulis artikel ini, sila-silalah jangan malu-malu untuk tambah nasi menegur diri saya yang marhaen ini. Kerana sesungguhnya saya belajar lebih banyak dan matang lebih cepat (ehem!) dengan teguran dan bukannya pujian.

Kepada saudaraku Hilal, teruskan berkarya untuk ummah. Ummah ini membutuhkan seorang jejaka kachak seperti anda. Dan... Saya tetap sayangkan anda keranaNya tahu...??

Tersipu-sipu.

-gabbana-

2,971  patah perkataan tidak termasuk diskelemer di atas dan nota kaki ini. Tulisan saudara Hilal hanyalah sebanyak 2,040 patah perkataan.

Saya memang tak reti tulis pendek, padat dan tepat. Patutlah sehingga sekarang masih tidak berjaya menghasilkan sebuah buku pon. Peluh kecil. 

Aman tanpa perang.

23 January 2013

Nama Saya Makcik Hidayah

[Kredit]

Knok knok. Ehem. Salaam a'laikum. Boleh makcik masuk..? Terima kasih. Makcik duduk ye.

Wah, cantik dan kemas rumah kamu ni. Selesa. Teruja makcik nak duduk lama-lama. Bolehkah..? 

Oh. Mari makcik perkenalkan diri makcik. Makcik ni, nak kata tua, takdelah tua sangat. Nak kata muda, nanti ada pula orang yang terjun gaung. Wahahaha. Eh. Tapi makcik ni cukup berusia dan berpengalamanlah untuk melihat dan merasai sendiri beraneka ragam dan bermacam perangai manusia yang ada. 

Makcik ni ada keistimewaan sikit. Keistimewaaan apa..? Ish segan makcik nak cakap, tapi itulah yang semua orang beritahu. Uhm begini. Makcik ni, kalau terlanggar orang ke, tergesel bahu ke, tersentuh, terpeluk, tersepak, tertampar, terpukul, terbelasah dan entah macam-macam ter- lah lagi.. Orang tu konpem jadi baik. Atau paling koman pon, terfikir dan tergerak hati untuk jadi lebih baik. Orang tak pernah marah langsung bila semua-semua tu berlaku. Merungut pon tak pernah! Ha, spesel kan..? 

Dan benda ni tak boleh nak dirancang. Dia jadi secara tiba-tiba dan tak disangka. Kadang-kadang makcik terlanggar orang di pasar, ketika mana orang yang makcik langgar tu tersentuh melihat pengemis fakir yang sedang meminta sedekah. Atau kadang-kadang tu makcik tersepak orang yang tengah syok menonton video-video ala-ala Islamik di MukaBuku atau internet. Ada juga sekali tu, makcik tergesel bahu dengan seorang perempuan ni. Ketika tu dia tengah susah hati dan tak tahu nak buat apa. Ada kawan dia yang cadangkan dia baca al-Quran. Dia memang selama ni tak pernah langsung buka al-Quran tu. Entah kenapa hari tu dia tergerak untuk buka al-Quran. Ditakdirkan pula, mukasurat yang dia buka tu adalah surah ar-Ra'ad, yang sebut,

"...Hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang."

Pergh. Ha, masa tulah makcik bergesel bahu dengan dia. Alhamdulillah, tak lama lepas tu dia berubah. Jadi manusia. Eheh.  

Pendek kata, keistimewaan makcik ni tak boleh nak dirancang. Tiba-tiba sahaja. Entah, makcik pon tak faham apa rahsianya. Disebabkan oleh keistimewaan makcik ni juga, ramai yang nak berkawan dan berkenalan dengan makcik. Malah ada yang nak buat makcik angkat pon ada! Pelis. 

Selalunya makcik ok je nak menyambut salam perkenalan dan tangan tautan persaudaraan daripada mereka ni. Yelah, orang niat baik kan, takkanlah kita nak sombong, tunjuk eksyen. Kadang-kadang tu ada yang datang dari jauh nak jumpa makcik; sanggup mengembara ribuan batu semata-mata nak bergaul mesra dengan makcik. Aneh.

Ada juga yang menangis teresak-esak, siap keluar hingus kahak semua, sebab betul-betul ikhlas nak jumpa dan berkenalan dengan makcik. Kadang-kadang rasa macam selebriti popular pon ada. Hehe. Dah kalau sampai macam tu, kejam sangat pula makcik ni kan, kalau menolak niat dan hasrat baik mereka. Makcik gembira dan ceria jah nak jadi sahabat dan berkawan mesra dengan mereka ni. 

Tapi adalah kadang-kadang tu yang datang tak ikhlas. Sombong. Tunjuk lagak. Nak berkenalan pon macam nak tak nak je. Orang-orang macam ni selalunya makcik buat biskut je. Makcik buat dono. Makcik malas lah nak layan. Ramai lagi orang di luar sana yang terkejar-kejar dan bersungguh-sungguh nak berkawan dan berkenalan dengan makcik ni. Lebih baik makcik layan mereka ni kan..? 

Eh jangan tak tahu, artis pon ramai yang dah jadi sahabat makcik. Awal-awal dulu Azmil Mustapha datang jumpa makcik, cakap nak berkenalan mesra dengan makcik. Alah, yang berlakon filem Ali Setan dulu tu. Lepas tu Wardina Safiyyah terkejar-kejar cari makcik. Alhamdulillah, bagus orangnya. Makcik sukalah berkawan dengan dia tu! Dan ramailah lah lagi selebriti-selebriti tanah air, dulu dan terkini, yang dah add makcik jadi kawan mereka. Heliza Helmi, Farah Adeeba, Sham Kamikaze, Bob Lokman, Irma Hasmie dan ramailah lagi! Yang terbaru, Afdlin Shauki. Punyalah dia teruja dan terkesan dengan cerita makcik pasal kesengsaraan orang-orang Palestin padanya tempoh hari, sampai dia terus ke Gaza tu ha, nak rasai sendiri penderitaan dan pengorbanan orang Palestin! Menangis makcik tengok dia berlawak sambil menyebarkan kebaikan dalam Maharaja Lawak. Epik. Memang epik. 

Ha, jangankan kata artis-artis tanah air je. Artis-artis dan selebriti-selebriti bertaraf antarabangsa pon ada yang dah jadi kawan rapat dan kenalan lama makcik tahu? Antara yang terawal menjadi rakan baik makcik adalah Cat Stevens. Tak lama lepas dia jumpa makcik, dia tukar nama jadi Yusuf Islam. Pergh. Muhammad Ali, peninju lejen tu pon rakan makcik juga. Dan adalah nama-nama besar lain macam Jermaine Jackson abangnya si Michael Jackson tu, penyanyi rap Snoop Dog dan oh, Maher Zain. Haah, Maher Zain yang kacak dan terkenal dengan lagu 'Inshaa Allah' tu lah, siapa lagi..?

Eh eh, besarnya ngangaan mulut anda tu. Biji mata pon macam dah nak terjegil keluar. Anda ok kah..? Wah! 

Tapi makcik ok je nak berkawan dan bersahabat baik dengan sesiapa pon. Tak kisahlah kaya miskin, tua muda, artis tak artis, hensem hodoh, cantik buruk, gemok kurus, Perdana Menteri atau penjaga kaunter jamban, botak rambut lebat, ada belog takde belog, Matlutfhi tak Matlufhi.. Eh. Asalkan mereka ni semua ikhlas dan bersungguh-sungguh nak kebaikan, nak jalinkan kemesraan atas nama Tuhan dan persaudaraan, In Shaa Allah makcik terima dengan terbuka dan alu-alukan dengan penuh kechentaan. Senyum.

Oh ya. Makcik ada bos. Majikan besar. Yalah, makcik pon bekerja juga. Bos besar makcik ni memang sangat-sangat baik dan penyayang. Memang sangat terbaekkk lah makcik dapat bekerja dengannya. Rejeki. Punyalah baik hati dan pemurah bos makcik ni, sampaikan kadang-kadang tu dia suruh makcik berkawan dan dekati orang-orang secara rawak yang dia kasihani. Yang ni spesel sikit. Sebab diorang tak cari makcik dan langsung tak pernah terfikir pon nak berkenalan dengan makcik. Tapi bos punya pasal, makcik pon pergilah pada mereka ni dan hulurkan tangan salam perkenalan.

Kiranya mereka ni memang bernasib baiklah. Sebab dapat berkenalan dengan makcik ni tanpa perlu terhegeh-hegeh mengejar dan mencari. Ohoi!

Kadang-kadang tu ada juga kes yang makcik terpaksa putuskan persahabatan dan perkenalan mesra yang telah terjalin, sebab tak tahan dengan layanan buruk sesetengah daripada mereka ni. Bayangkanlah, dah jemput makcik masuk rumah, lepas tu biar makcik terkontang-kanting seorang diri! Takdelah nak layan makcik ke, keluarkan biskut raya ke, jamu makcik dengan air oren ke.. Terkulat-kulat makcik tak tahu nak buat apa. Terasa macam orang bodoh pon ada. Alih-alih makcik keluarlah, tinggalkan rumah tu dengan penuh bergaya sekali. Padan muka. Err, tiba-tiba haus pula tekak ni. Air sirap ada..?

Di samping tu, ada juga agen-agen di luar sana, yang secara sukarelanya mahu memperkenalkan manusia-manusia di luar sana dengan makcik. Bagus mereka ni. Memang buat dengan ikhlas, tak harapkan apa-apa balasan pon! Kadang-kadang pon makcik pelik dengan kegigihan dan semangat mereka ni. Sanggup tu berkorban masa, tenaga dan harta benda, hanya kerana mahu menjalinkan silaturrahim antara makcik dengan orang lain. Bukan sedikit pengorbanan mereka! Apabila ditanya mengapa mereka begitu gigih berbuat demikian, jawapan mereka selalunya amat osem lagi bergaya, "Ish takkanlah kami nak syok sendiri-sendiri dapat rasakan keistimewaan makcik. Kami nak juga berkongsi chenta dengan orang lain!" Fuh.

Tapi tulah, akhirnya, makcik hanya akan menerima arahan daripada bos makcik sahaja. Kalau bos makcik kata ok, makcik teruskan. Kalau tak, makcik akan tunggu arahan yang seterusnya. Harapnya agen-agen sekalian tidak berputus-asa ya, andai usaha anda tampak seolah-olahnya tidak membuahkan hasil. Inshaa Allah besar hikmah dan ibrahnya di situ. Err... Kalau tak puas hati, boleh terus berurusan dengan bos makcik ya..? Batuk batuk.

"Sungguh engkau tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki., dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk."
[al-Qasas, 28:56]

Oh lupa nak perkenalkan nama makcik. Ish. Maafkan makcik.

Ehem.

Nama makcik, Hidayah. Makcik Hidayah. Boleh kita berkenalan..? Senyum. 

-gabbana-

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP