Uswah Clothing

27 November 2012

Kalau Bukan Kita, Takkan Beruang Panda Pula...??

Aaarrrgghhhhh! *Berlari-lari terjun gaung dek kecomelan agung tahap kelapan* [Kredit]

Kita sering merungut apabila melihat kemungkaran trang tang tang di hadapan mata. Kita berasa benci dan meluat melihatkan makhluk bernama manusia yang tergamak ingkar pada Tuhan si Pencipta sesuka hati mak bapak mereka. Tapi apa yang kita lakukan? Kita berlalu pergi tanpa melakukan apa-apa melainkan hanya berasa benci di dalam hati. Aduh lemahnya iman kita en..? Anda, kalau bukan kita yang mahu merobah mereka, takkan Makcik jual nasi lemak di Jalan Tanglin itu?

Selalu sangat kita mendengar berita-berita meloyakan tentang korupsi dan pecah amanah yang berlaku dengan begitu raksasa sekali di negara kita yang terchenta ni, seolah-olahnya ia adalah perkara biasa, sebiasa memakan roti canai cicah kuah dal sambal. Eh. Kadang-kadang seperti tidak terpercaya mulut ternganga apabila mendengar kes-kes orang-orang tertentu yang disangkakan bersih lagi bergaya, rupa-rupanya kotor lagi hina-dina. Tapi apa yang kita lakukan? Kita hanya membaca sambil mulut herot-herot mengutuk dan mencaci mereka ini, lantas terus menekan butang 'X' di atas hujung sebelah kiri laman sesawang kerana tida tertahan lagi. Peluh. Anda, kalau bukan kita yang mahu mengubah amalan najis sebegini, takkan tapak sulaiman yang terdampar di tepi pantai sana?

Kita begitu bersemangat melompat-lompat mahu mengembalikan Islam sebagai Ustadziyaul 'Alam ke muka bumi, espeseli selepas dibasuh dengan sabun klorok cap Ini Sungguh Kool dan direndam pula dengan pelembut cap Saya Hosem. Kemudian apa yang kita lakukan? Pulang ke rumah masuk dalam selimut dan berdengkur atau terdampar di atas sofa sambil tangan kiri memegang alat kawalan jauh telebisen dan tangan kanan memegang mangkuk berisi popkon. Eh anda, Islam ini bukan agama ajaib tahu?? Kalau bukan kita yang mahu menegakkannya, takkan pucuk paku di atas bukit Broga sana?

Kita sedih melihat masyarakat di luar sana yang begitu jauh daripada kefahaman Islam; lebih sibuk dengan urusan merenovet rumah dan berlumba-lumba menukar langsir dan kereta baru. Kalau ada pon yang berminat dengan Islam, mereka ini gemar pula bergaduh dan bertekak tentang perkara-perkara cabang yang tidak menambahkan keimanan di dada. Dan kita, apa yang kita lakukan? Kita hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala sehingga lenguh-lenguh leher kita, sambil mencerca dan mengeji di tepi. Hey anda, jika bukan kita yang mahu meyedarkan mereka ini, takkan unta berbonggol dua di Mongolia sana?

Kita begitu sedih melihat nasib saudara-saudara kita di Gaza yang dihentam Israel durjana, di Syria yang sengsara dek Bashar yang puaka, di Myanmar dengan umat Islam Rohingya yang terus menderita dan bermacam lagi kesusahan dan ujian yang melanda umat Islam di seluruh dunia. Kita menangis bersama mereka. Kita mendengar rintihan mereka. Dan kita menderma untuk mereka. Namun kemudian apa yang kita lakukan? Kita terus memandu lalu di MekDogol membeli burger MekDagingPanggang dan hari-hari kita seperti hari-hari yang biasa, tiada apa yang spesel atau luar daripada biasa. Sedangkan setiap hari umat Islam terus terseksa. Ehem. Anda, kalau bukan kita yang mahu meringankan beban mereka, jika bukan kita yang mahu mempertahankan hak dan nasib mereka, takkan ikan paus diri di laut Pasifik dalam sana? 

Aduhai pilunya hati dan hancurnya jiwa menyaksikan sendiri bagaimana anak-anak muda, yang sepatutnya menjadi harapan agama dan bangsa, berpeleseran bersuka-suka di tepi kolam air pancut KLCC, begitu jauh daripada tujuan hidup mereka. Masjid dan musolla yang ada dipenuhi dengan orang-orang tua dan pencen semuanya. Ke mana anak muda yang sepatutnya mewarisi perjuangan dakwah yang mulia? Dan oh, apa tindakan kita? Syok sendiri berbulatan gembira, berlari-lari berlaga pipi ukhuwwah fillah kononnya, larut dan hanyut dalam dunia ciptaan kita sendiri. Ohoi anda! Kalau bukan kita yang mahu menarik mereka ini menyertai gerabak kita, takkan bubnga Rafflesia di hutan simpan Kinabalu sana?

Ya kita mahu berubah, tapi entah, kita merasakan betapa susahnya perubahan yang perlu kita lakukan, lebih sukar dan susah daripada melompat galah. Kita sedar betapa pentingnya untuk kita berubah, betapa Islam memerlukan rijal-rijal yang bersih hatinya, yang yakin dengan perjuangan Islam yang suci, yang sanggup berkorban harta dan jiwa serta yang sudah siap disusun untuk ke mana-mana. Tapi, adeh, apa sahaja yang kita lakukan? Kita terperap pada takuk yang lama, sekotak Dunhill tetap di poket dada dan tangan kuat menggenggam tangan awek terchenta. Berubah? Nanti dahululah. Wahai anda, kalau bukan kita yang mahu merobah hati dan jiwa kita sendiri, kalau bukan kita yang mahu memaksa diri kita untuk melakukan anjakan paradigma itu dan kalau bukan kita yang mahu memaksa diri dan nafsu kita untuk tunduk pada perintahNya, apa anda ingat akan ada beruang panda yang akan melakukannya untuk anda...??
"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah."
[ali-Imran, 3:110]

Ya, jawapannya terletak pada kita. Solusinya ada dalam genggaman kita. Penyelesainnya sudah lama terperap di dalam benak kita.

Kitalah yang memegang kunci kepada perubahan cakerawala ini. Hanya kita yang bisa mengembalikan Islam kepada tempatnya yang haq semula. Hanya kita yang berupaya mengeluarkan nur keagungan Islam ini yang sudah hampir malap dan padam! Kitalah...kita!

Ayuh, Kuatkan Iman, Tingkatkan Amal! 

-gabbana-

Ini sahajalah yang mampu saya lakukan dalam kesibukan tahap gaban. Nanges. Moga bermafaat, dunia akhirat.

25 November 2012

Haaza Min Fadhli Rabbi

[Kredit]

Haaza min fadhli rabbi.

Ini bukan kata-kata berbasa-basi. Ia kata-kata sakti yang diucapkan oleh seorang Nabi.

Haaza min fadhli rabbi. Ini termasuk kurnia Tuhanku.

Kisahnya apabila Nabi Sulaiman 'alaihi solatu wassalam  bertanya siapakah gerangan dalam kalangan pembesarnya yang bisa menerbangkan mahligai Puteri Balqis, dari negeri Saba' ke negerinya sesegera mungkin. 

Lantas jin 'Ifrit menawarkan dirinya, mengatakan bagaimana dia dapat melaksanakan tugas tersebut sebelum baginda dapat berdiri dari tempat duduknya. Sungguh Ripley's Believe It or Not bukan..?

Tunggu dahulu. Kerana selepas itu, seorang hamba Allah yang soleh, yang faqih dalam kitab di zaman itu, menawarkan dirinya untuk memindahkan mahligai Puteri Balqis dalam sekelip mata. 

Tatkala Nabi Sulaiman melihat mahligai itu sudah pon berada di hadapan matanya, al-Quran telah merekodkan kata-katanya yang penuh dengan kekaguman dan keinsafan:

"Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau mengingkari (nikmat-Nya). Barangsiapa bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri, dan barangsiapa ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, Maha Mulia."
[an-Naml, 27:40]

Haaza min fadhli rabbi. Ini termasuk kurnia Tuhanku.

Untuk apa? Untuk menguji sama ada bersyukur atau pon ingkar.

Inilah akhlak mulia seorang Nabi yang amat perlu kita contohi, terutamanya kita yang kononnya menggelarkan diri kita seorang dai'e. Melihat setiap sesuatu yang berlaku sebagai ujian daripada Allah untuk memantapkan keimanan di dada. 

Inilah sumber kekuatan agung seorang mu'min; apabila dia diuji dengan bertubi-tubi dari pelbagai arah, dia tetap bersabar dan bersangka baik dengan Allah, kerana dia amat faham bahawa pastinya Allah yang Maha Bijaksana itu punya perancangan yang amat bergaya buat dirinya. Semuanya kerana kalimat magis Haaza min fadhli rabbi.

Tatkala seorang dai'e itu diuji dengan mehnah besar dan memeritkan di jalan dakwah, tatkala dakwahnya tidak diterima dan ditolak, tatkala dia dicela dan dikeji kerana risalah yang dibawanya, ketika itu apakah sikap yang diambilnya..? Adakah dia akan mengeluh, menuduh dan berpeluh? Adakah dia akan berputus-asa, kecewa dan membiarkan jiwanya sengsara..? Atau dia akan bersyukur, kerana merasakan Allah masih sayangkan dirinya, lantas memberikan peringatan sebegitu rupa? Malah dia akan gembira, kerana dia faham, tidak ada sebab lain Allah mengujinya sebegitu rupa, melainkan untuk memantapkan keimanannya dan membersihkan jiwanya?

Haaza min fadhli rabbi.

Apabila kita diuji dengan kejayaan, dengan keputusan hekzem cemerlang yang mengembangkan saiz pinggang, dengan kekayaan melimpah-ruah sikit lagi nak celen Syed al-Bukhari, dengan puji-pujian dan sanjungan kembang hidung orang di sekeliling, ketika itu bagaimanakah kita menghadapi semua ini..? Adakah kita melihatnya sebagai sesuatu yang kita berhak ke atasnya, berasa bangga dan takjub dengan kejayaan yang berjaya dikecapi dan melihat orang lan lebih lemah dan marhaen daripada diri sendiri? Atau ketika itu, ia akan menambahkan rasa rendah hati kita kepadaNya, menambah rasa syukur yang tidak terhingga kita atas segala limpah nikmatNya dan meningkatkan ketaqwaan kita kerana takut kita tidak mampu menanggung amanah yang cukup besar ini?

Haaza min fadhli rabbi.  

Ketika seorang dai'e itu ditimpa musibah yang menggugah, kemalangan yang benar-benar menguji emosi dan kekuatan jiwa dan kemiskinan melarat yang menggigit dan mencengkam perasaan, aduhai, siapa dia ketika itu..? Adakah dia pantas menyalahkan Allah kerana telah menulis nasibnya sebegitu rupa, hilang kepercayaan pada firmanNya bahawa Dia akan memenangkan sesiapa sahaja yang membantu agamaNya dan tidak putus-putus meratapi nasibnya yang kononnya malang itu? Atau apabila tibanya saat itu, ia menjadikannya seorang hamba yang benar-benar merdeka, redha dengan segala apa yang menimpanya dan teruja memandang ke hadapan, kerana yakin ada yang jauh lebih baik sedang menantinya? Yakin yang masih ada cahaya di hujung terowong?

Haaza min fadhli rabbi.

Ketika kita ditempelak oleh keluarga yang ibaratnya menghalang kita untuk terus laju dalam dakwah, disindir oleh Inche Papa yang jelas tidak selesa dengan kita yang sering keluar malam dan terpaksa bersabar dengan Puan Mama yang sering merungut dek kita yang selalu tiada di rumah, apakah yang akan kita lakukan ketika saat itu tiba..? Adakah kita akan turut melayan emosi, lantas berasa lemah semangat untuk terus mujahadah dan istiqamah di atas jalan dakwah? Adakah kita akan menuruti desakan mereka yang mahu kita menjadi manusia 'biasa-biasa' sahaja seperti rakan-rakan kita yang lain? Atau ia akan membakar semangat kita untuk lebih kuat bekerja, berazam untuk gigih berusaha agar suatu hari nanti kedua orang tua turut dilanggar oleh Makcik Hidayah? 

Haaza min fadhli rabbi. 

Tatkala kita sudah semakin jauh dalam dakwah, mula terjun dalam medan amal yang sebenar, mula diberikan pelbagai tugas dan amanah dan sudah mula pening garu kepala dengan segala tok nenek masalah yang ada, waduh, bagaimana agaknya kita ketika itu..? Adakah kita pantas menuding jari dan lari daripada tugas yang diberikan, lantas merungut-rungut dengan mas'uliyah yang diamanahkan kepada kita dan berasa lemah dan lemas dengan masalah yang ada? Adakah terlintas di hati kita untuk berputus-asa sahaja dengan dakwah ini? Atau ketika itu, kita melihatnya sebagai peluang untuk kita memperbanyakkan amal kita, ruang untuk kita mengisi lompang-lompang besar yang berlubang dan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada? Melihatnya sebagai peluang untuk kita memperbanyakkan saham-saham sorga..?

Haaza min fadhli rabbi.  

Apabila kita diserang dengan hebatnya oleh raksasa futur, berasa lemah lemau biskut Merrie di atas jalan ini, terasa seperti mahu gugur dek jatuh berguling-gulingnya iman kita ketika itu, sudah, apakah yang akan kita lakukan..? Adakah kita akan tunduk pada kehendak nafsu serakah kita, membiarkan futur yang indah dan mewah itu menghiasi jiwa kita dan menurutkan sahaja kehendak syaitonirojim yang sudah berjaya menembusi perisai hati kita? Adakah kita akan terus membiarkan raksasa futur mengganas, menghancurkan segala-galanya yang telah kita bina selama ini? Atau kita akan segera insaf, melihatnya sebagai masih jauhnya kita daripada rahmat dan keampunanNya, lantas menolak diri kita untuk terus laju dan gigih mengejar redhaNya? Menjadikan kita lebih kuat dan menghargai nikmat hidayah yang masih bertamu di hati kita?

Haaza min fadhli rabbi.

Ketika kita sudah semakin tinggi dalam tarbiyah dan dakwah, punya ilmu dan pengalaman yang luas dek bertahun lamanya duduk seronok di dalam gerabak ini, sering dijemput untuk memberi pengisian sini ceramah sana, ohoi, ketika itu bagaimana agaknya keadaan diri kita..? Adakah kita akan berasa bangga kembang kempis hidung penyek, takkabur merasakan diri ini jauh lebih baik daripada orang lain dan melihat mereka semuanya lebih rendah dan lemah daripada diri kita? Adakah kita merasakan tanpa kita, dakwah tidak akan ke mana dan segala-galanya bergantung kepada diri kita...? Astaghfirullah. Atau semua ini menjadikan kita lebih dekat denganNya, menambahkan ketaqwaan kita kerana kita faham, lebih banyak yang kita tahu, sebenarnya lebih banyak yang kita tidak tahu dan menjadikan kita lebih peka dan arif dengan duri dan liku yang memenuhi jalan dakwah ini..? Lebih lama kita di atas jalan ini, akan menjadikan kita hamba yag lebih bersyukur kerana Allah masih mahu memilih kita..?

Haaza min fadhli rabbi.

"Hairan sungguh urusan orang mu'min itu, semua urusannya baik belaka; perkara itu tidak akan didapati dalam diri seseorang kecuali pada orang mu'min. Iaitu apabila ia mendapat kebahagiaan dia bersyukur dan bersyukur itu baik baginya. Apabila ia ditimpa musibah dia bersabar, dab bersabar itu adalah hal yang baik baginya."

[Riwayat Imam Ahmad]

Haaza min fadhli rabbi.

Haaza min fadhli rabbi.


Haaza min fadhli rabbi...!


"Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau mengingkari (nikmatNya)..."

Pandang ke langit, tersenyum. Nanges.

-gabbana-

23 November 2012

Palestin? Gaza? Ada Aku Kisah?

[Kredit]

Tak habis-habis isu Palestin. Tak sudah-sudah isu Gaza. Hallo..?? Macam lah kat dunia ni dah takde orang lain yang menderita..? Macamlah kat seluruh Galaksi Bimasakti ni dah takde bangsa yang kena dera..??

Macam pernah ku dengar dialog di atas ini. Tetapi di mana ya..? Di dalam Utusan Meloya mungkin..? Wahahaha.. Eh.

Ehem.

Mutakhir ini, kempen kesedaran untuk membantu saudara-saudara kita di Palestin amat giat dijalankan. Terima kasih kepada saluran media sosial elektronik seperti MukaBuku yang diasaskan oleh Mark Zuckeberg, seorang Yahudi *koff koff*, juga saluran-saluran yang lain seperti Beloger, Pengicau dan sebagainya, maklumat-maklumat terkini dan hapdet-hapdet terbaru tentang apa yang berlaku di Palestin dapat disebarluaskan dengan begitu pantas sekali.

Pada masa yang sama, muncul pula golongan yang tampaknya seperti tidak endah dan tidak peduli dengan apa yang sedang berlaku. Paling ketara adalah penentangan dan ketidaksukaan mereka terhadap kempen memboikot produk atau kampeni yang trang tang aduhai mak minah sayang! Eh. Terang-terangan menyokong rejim Zionis Israel laknatullah.

Hal ini cukup menggaru minda. Cukup menghairankan. Bukti-bukti dan fakta-fakta yang menunjukkan Mekdi, Setabak, KokaKola, Caterpillar dan sebagainya yang menyokong rejim Israel cukup banyak dan amat mudah didapati. Namun mereka masih berhujah dan mempertahankan pendirian mereka untuk tidak terlibat dalam kempen boikot, malah dengan riang gembira terus-menerus menggunakan produk-produk tersebut.

Dan hal ini lebih melopongkan mulut anda apabila melihat orang-orang yang bukan Islam di negara-negara Barat terutamanya adalah antara golongan yang paling giat dan aktif memboikot. Mereka juga turun berdemonstrasi di jalanan bagi menunjukkan solidariti mereka terhadap rakyat Palestin yang teruk dianiaya. 

Saya kadang-kadang jadi tidak faham. Keliru. Omputih menyebutnya sebagai dumbfounded. Seriyesli. Teringin juga nak faham apa yang sebenarnya bermain di fikiran mereka. Terasa mahu menyelami otak mereka untuk mengetahui neuron-neuron jenis apa yang berselirat di dalam tengkorak mereka. 

Hari ini saya ingin berkongsikan beberapa salah faham atau reaksi pelik orang ramai di luar sana tentang konflik Israel-Palestin yang berlaku. Dan saya juga akan memberikan respon atau penjelasan ringkas saya terhadap salah faham atau kenyataan-kenyataan harakiri ini.   

Marilah.

1) "Buat apa nak sibuk-sibuk boikot Mekdi dan Setabak tu. Ohoi, kau tahu tak, dekat Mekah tu pon ada cawangan Mekdi dan Setabak..?? Orang Arab pon tak boikot, kita nih orang Malaysia pulak yang over. Ceh!"

Respon Inche gabbana: Dah tu, kalau orang-orang Arab tu atau sesapa lah yang duduk dekat Mekah tu merompak, membunuh, minum arak dan berzina, kita pon kena ikut mereka jugalah..? Ohoi, akal ada..?

2) "Pelik betul dengan puak-puak yang sibuk nak bantu orang Pelestin tu. Orang-orang Arab yang berjiran dengan mereka pon tak kisah pasal mereka, kita ni hah ribuan batu dari mereka yang terhegeh-hegeh nak tolong. Hallo, kat Malaysia ni pon ramai je lagi yang susah. Tak nak tolong ke..??"

Respon Inche gabbana: Anda, kesusahan orang Palestin lain dengan kesusahan orang di Malaysia. Di Malaysia, kita punya cukup kekayaan dan kemudahan, yang sekiranya diagihkan dengan adil dan saksama, saya yakin tidak ada orang yang akan hidup dalam kedhaifan atau miskin tegar. Ini soal korupsi dan tiada integriti!

Di Palestin tu, apa yang mereka ada..?? Ekonomi mereka disekat dari pelbagai arah oleh rejim Zionis. Sumber bumi mereka juga sudah banyak yang dirampas oleh Israel. Nak bina kilang, kena bom. Nak buat bank, kena bom. Sudah tu, siapa lagi yang patut membantu mereka kalau bukan kita saudara-saudara seaqidah mereka ni..??


Pedulikanlah (jika benar) orang-orang Arab yang tidak endah akan nasib mereka. Di akhirat nanti, kita akan diadili nafsi-nafsi, sendiri-sendiri. Amal perbuatan kita sendiri yang akan dihitung, dan ia tidak akan bersandarkan pada amalan orang lain. Cubalah nanti di hadapan Allah, anda katakan, "Ya Allah, dahulu aku tak nak bantu orang Palestin sebab orang Arab sendiri tak nak bantu. Nak buat camne..??"  Ada beran..?

“Barang siapa yang tidak peduli akan nasib saudara muslimnya maka dia bukan daripada golongan mereka.” 


[Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]

3) "Kecoh sangat nak boikot Mekdi la, apa lah. Ni yang sibuk-sibuk guna Fesbuk ni apa kes..?? Boikot la Fesbuk jugak! Mark Zuckerberg kan Yahudi..??"

Respon Inche gabbana: Geleng kepala. Sudah saya jelaskan berkali-kali. Ada beza antara Yahudi dan Zionis. Kita tidak menentang Yahudi secara keseluruhannya, kerana di luar sana ada Yahudi yang bersih hatinya (dan kita doakan mereka ini akan disentuh hidayah dan memeluk Islam, In Shaa Allah). Yang kita tentang adalah fahaman Zionis yang begitu ekstrem ideologinya.

Yang lebih utama, tiada bukti yang mengatakan Fesbuk menyokong atau membantu Israel. Tidak seperi Mekdi, L'Oreal, Setabak dan sebagainya, yang sememangnya sudah terbukti melalui fakta-fakta yang sahih bahawasanya mereka ini menyalurkan bantuan kewangan sama ada secara langsung atau tidak kepada rejim Zionis Israel. 

Saya suka dengan jawapan Afdlin Shauki tentang perkara ini. Katanya (kurang lebih, setakat yang saya ingat):

"Gua tak setuju bro kita boikot FB ni. Lebih baik kita gunakan sehabis baik untuk lawan balik Yahudi tu!" 

Juga pandangan yang diberikan oleh seorang pembaca di laman MukaBuku saya:

"Kalau FB ni bolehlah nak fikir, macam mana nak datangkan kebaikan kepada umat Islam. Tapi kalau Mekdi, puas fikir, macam mana nak gunakan balik untuk keuntungan umat Islam. Tak jumpa jugak." 


Dan saya pasti anda akan bersetuju dengan saya apabila saya mengatakan betapa besarnya jasa MukaBuku dalam menyalurkan maklumat-maklumat penting dan terkini tentang konflik Israel-Palestin (juga konflik-konflik yang lain) sehinggakan kesedaran orang ramai tentang isu ini kali ini tampaknya lebih memberansangkan.

Kalaulah Mark Zuckerberg tu beragama Islam, tidak boleh saya bayangkan berapa banyak saham-saham sorga yang telah dikumpulnya.

4) "Penting sangat ke tanah Palestin tu..? Kenapa tak serah je pada orang Israel? Kan senang. Takyah gaduh-gaduh. Tak perlulah lebih banyak nyawa terkorban! Orang Arab Palestin pergilah pindah dok kat tanah Arab yang lain. Kan ke luas..?"

Respon Inche gabbana: Pengsan. Bangun, baca balik kenyataan ini dan pengsan semula. Adoi.

Palestin dan Islam adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Palestin adalah bumi anbiya' sejak zaman berzaman. Benar, kaum Yahudi adalah antara yang terawal menduduki tanah Palestin. Dan ramainya Rasul yang Nabi yang diturunkan dalam kalangan mereka ini.

Namun para anbiya' semuanya adalah muslim. Mereka berserah diri sepenuhnya kepada Allah dan menyeru pula orang lain untuk memperhambakan diri kepadaNya. Bumi Palestin telah menjadi saksi betapa angkuh dan degilnya orang-orang Yahudi ini. Mereka bukan sahaja menolak risalah yang dibawa oleh para utusan Allah, malah mereka membunuh pula mereka!

Arakian bumi Palestin yang suci itu tidak layak didiami oleh mereka yang ingkar kepada Allah. Orang Yahudi pernah suatu ketika taat dan patut kepada Allah dan hasilnya, mereka berjaya memakmurkan bukan sahaja tanah Palestin, malah seluruh dunia. Namun apabila mereka ingkar dan angkuh, satu-persatu Allah turunkan bala dan kehinaan ke atas mereka. 

Signifikannya Palestin, terutamanya kawasan Masjidil Aqsa kepada umat Islam tidak dapat dipertikaikan lagi. Ia adalah kiblat pertama umat Islam. Di situlah ar-Rasul diangkat ke langit dalam peristiwa Isra' wal Mi'raj dan di situ juga baginda mengimamkan solat jemaah bersama para ruh anbiya', sekaligus mengiktiraf baginda sebagai penutup segala Nabi. Maka tidak hairanlah, barangsiapa yang bersolat di situ mendapat ganjaran lima ratus kali lebih  banyak daripada bersolat di tempat lain. 

Oleh sebab itu, walau apa pon yang terjadi, umat Islamlah yang wajib mempertahankan kesucian bumi Palestin. Ia milik kita. Ia milik umat Islam! 'Umar al-Khattab r.a. pernah membebaskannya. Salahuddin al-Ayyubi pernah menawannya kembali daripada tangan-tangan kuffar yang jijik. Kini tiba giliran kita pula untuk membebaskannya daripada cengkaman Yahudi laknatullah!

5) "Orang Yahudi kan memang dah duduk kat Israel tu sejak dahulu-kala lagi? Maka merekalah yang paling layak dan berhak terhadap tanah Palestin. First come first serve la bro! Simpel."

Respon Inche gabbana: Kalau macam tu, orang-orang putih semuanya kena berhijrah keluar dari Amerika, kerana penduduk asal tanah besar Amerika itu adalah orang Indian. Eheh.

6) "Buat apa nak sapot Hamas tu?? Diorang tu pengganas! Sebab diorang tu lah Israel dok serang Palestin, sebab Hamas tak serik-serik nak lancar roket pada orang Israel. Kalau takde Hamas, dah lama aman dah Palestin tu!"

Respon Inche gabbana: Geleng kepala sekali lagi. Nasihat saya untuk anda; Pertama, baca sejarah konflik antara Israel dan Palestin - bagaimana ia bermula, siapa dalang-dalangnya, apa reaksi dunia dan sebagainya - dan kedua, baca juga sejarah penubuhan Hamas. 

"Tidak ada yang lebih menakutkan," kata Johann Wolfgang von Goethe, "Daripada melihat kejahilan (Baca: Ignorance) yang berleluasa."

William Shakespeare pula menyebut, "Tidak ada kegelapan melainkan kejahilan."

SIla pastikan fakta anda sahih dan benar sebelum membuat kenyataan-kenyatan dan tuduhan sebegitu rupa. Orang yang bijak adalah orang yang berfikir dahulu sebelum bercakap.

Orang Palestin adalah mangsa. Menuduh mangsa sebagai pemangsa adalah suatu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab sekali. 

Cukuplah sejarah menjadi saksi, betapa rejim Zionis laknatullah telah berkali-kali mengkhianati gencatan senjata antara mereka dan Hamas. Pada 4 November 2008 misalnya, Israel menyerang Gaza dan telah membunuh beberapa aktivis Hamas. Apa tindakan Hamas sebagai reaksi kepada kekejaman Israel ini? TIDAK ada sebuah roket pon yang dilancarkan terhadap Israel!

Apabila Hamas menawarkan untuk mengadakan gencatan senjata, apa pula reaksi Israel? Mereka menolaknya dan melancarkan pula Operasi Cast Lead yang telah meragut ratusan nyawa tidak berdosa di Palestin! 

Anda benar-benar gila sekiranya anda mengatakan tindakan Israel adalah sebagai tindakan bela diri, manakala apa yang dilakukan Hamas adalah satu tindakan pengganas! Ppfffttt!

7) "Kau tahu tak, kalau kita boikot MekDogol, Setabak semua tu, kasihan la anak-anak bangsa kita. Kalau mereka kena buang, sapa nak tanggung mereka? Pemilik-pemilik restoran tu sume, orang kita jugak! Ish tak patut ish tak patut. Tak berhati perut betul orang-orang yang boikot ni!"

Respon Inche gabbana: Kau tahu tak, kalau kita tak boikot Mekdogol, Setabak semua tu, kasihan la anak-anak seaqidah kita di Palestin sana. Setiap MekAyam, setiap MekFeleri, setiap cawan Mocha Latte (ada ke..? Tak pernah beli, jadi tak tahu.. Hohoho..) adalah bersamaan dengan sebutir peluru pada dada anak-anak di Palestin. Sama dengan sebutir bom yang menghancurkan rumah dan sekolah mereka! 

Sebab kita nak makan MekDogol dan minum Nescafe tarik lah kita terpaksa boikot mereka ini. Supaya suatu hari nanti, mereka amat terkesan dengan tindakan boikot kita lantas mengambil keputusan untuk berhenti melabur dan menyumbang pada rejim Zionis Israel. Ketika itu, bolehlah kita dengan gembira bergaya memandu lalu memesan burger MekAyam MekDogol. Hoyeah.

Ketahuilah, ada dua perkara yang amat Yahudi laknatullah takutkan:

1) Umat Islam bersatu, bangkit berjihad menentang mereka habis-habisan.
2) Ekonomi mereka hancur runtuh. Ekonomi adalah senjata yang amat berkuasa untuk menundukkan mana-mana negara. Jangan sesekali perkecilkan kuasa boikot dalam mempengaruhi tindakan Israel.

Begitulah.

Bagaimana..? Pelik lagi ajaib? Ha, saya sudah nampak ada di kalangan anda yang sudah mula terlopong mulut, menggaru hidung dan terbeliak mata!

Percayalah, masih ada banyak respon-respon dan kenyataan-kenyataan luar biasa dan membeliakkan mata di luar sana. Cukuplah setakat ini dahulu.

[Kredit]

Namun jujurnya, tidak adil untuk kita menyalahkan mereka seratus persen. Tidak molek untuk kita memandang mereka dengan pandangan keji seolah-olah mereka adalah penjenayah tegar yang tertampal wajah mereka pada poster 'WANTED' di dinding-dinding pasaraya besar Gergasi atau kedai serbaneka Seben Eleben. Err.

Kerana hakikatnya masih ramai yang belum benar-benar faham dengan situasi sebenar yang berlaku. Malah jangan terkejut kalau ada dalam kalangan bijak pandai yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan jahil atau membunuh diri, dek terpengaruh dengan berita-berita dan laporan dari Barat yang hallo obviyesli berat sebelah kott...?? Ehem. 

Sayugia menjadi tugas kitalah yang konon-kononnya faham ini untuk memahamkan mereka. Kita dahulu pertama-tamanya perlulah ambil tahu dan berat tentang keadaan dan situasi terkini di sana. Kita dahulu hendaklah membuat kerja rumah bagi mengorek fakta-fakta yang sahih lagi tepat tentang konflik Israel dan Palestin ini. Kemudian kita sebarluaskan hapdet-hadpet terkini dan fakta-fakta yang benar tentang apa yang berlaku agar orang ramai lebih cakna akan isu ini. In Shaa Allah, kalau kita punya tekad dan semangat untuk istiqamah menyebarkan kebenaran, saya yakin akan lebih ramai orang yang faham dan jelas dengan apa yang sebenarnya yang berlaku. Senyum sedikit.

Dan anda tahu apa perkerjaan kita yang paling utama sekiranya benar kita mahu membebaskan taah suci Palestin dari cengkaman Yahudi laknatullah, juga mahu menegakakn Islam terchenta sebagai ostad kepada alam ini..??

Bina lebih ramai manusia di luar sana, yang pada suatu hari nanti, akan sanggup menjual seluruh jiwa dan harta mereka demi Islam yang terchenta. Percayalah, ketika itu, ketika kita sudah mempersiapkan diri kita dengan pemuda-pemuda setangkas Muadz bin Jabal, setegas Abu Ubaidah al-Jarrah dan sehaibat Salim, maka ketika itulah Allah akan menurunkan nusrahNya kepada kita semua. Biidznillah.

Kesat air mata. Aman.


-gabbana-

Maaf, saya tidak begitu selesa dengan gencatan senjata terbaru antara Hamas dan Palestin. Ya, lega dan gembira kerana kini anak-anak Palestin boleh berlari-lari riang semula dan dapatlah mereka menjalani hidup seperti sedia-kala (tapi tidak mungkin akan normal seperti kita di Malaysia ini).

Namun saya pasti, Israel akan mengkhianatinya lagi. Ya, pasti. Dan saya tahu, Hamas dan orang-orang Palestin juga amat arif dengan perkara ini. Kerana seorang mu'min itu, tidak mungkin, tidak sesekali mungkin akan jatuh ke lubang yang sama dua kali.

Sama-sama kita doakan agar Allah akan mengurniakan kemenangan yang agung pada saudara-saudara kita di sana. Sama ada menang di dunia, atau mati syahid menempah sorga. Amin.

21 November 2012

Gaza Gaza Don't You Cry, Palestine Will Never Die!

Ini.. Ini.. Ini sumpah mata bersinar-sinar...!!




[Klik pada gambar untuk muat turun dan paparan yang lebih besar]

Dihasilkan oleh seseorang dari Universiti Islam Antarabangsa. Cawangan mana saya tak tahu pula. Anda memang berbakat! Moga Allah redha!

Ayuh teman dan taulan! Kita teruskan perjuangan!

Ya benar, orang-orang Palestin tak tahu pon kita menderma untuk mereka. Mereka tidak tahu pon kita tukar gambar profail di MukaBuku kerana mahu menunjukkan solidariti kita pada mereka. Mereka tidak tahu pon kita terus-menerus panjatkan doa untuk mereka. Ya, mereka mungkin tidak tahu...

Tapi ketahuilah, Allah tahu. Ya, Allah tahu!

Biar orang bneci, biar orang tak peduli, biar orang pandang basi, yang penting Allah redhai! Perjuangan akan tetap diteruskan sehingga mati!

Ayuh!

-gabbana-

Semenjak masuk jabatan baru ni, saya dapat melihat masa depan kerjaya beloger saya yang agak samar-samar dan muram. Sibuk tahap nasi lemak Jalan Tanglin. Nanges. 


20 November 2012

Matryoshka 3.0

[Kredit]


Wala gholib ilallah. Dan tiada penakluk selain daripada Allah.

Penuh dinding-dinding di Istana al-Hambra dengan ukiran tersebut. Memukau. Hanya mata-mata yang pernah melihatnya dari dekat sahaja yang dapat menghargai keindahan dan keunikan Istana al-Hambra. 

Dan sepasang mata yang satu ini, sejak menjejakkan kakinya ke dalam perkarangan al-Hambra, hampir-hampir tidak berkelip, menikmati setiap inci daripada ukiran yang cukup mempesonakan itu.

Lidah Ili juga tidak henti-henti mengucapkan syukur dan tasbih memuji kebesaran Allah. Binaan ratusan tahun itu cukup memukau dirinya. Dia yang sememangnya minat pada seni fotografi tidak henti-henti menekan punat kamera Nikon D5000 miliknya. Entah beraneka sudut dan bermacam sisi yang telah diabadikan dalam kameranya. 

Najwa hanya tersenyum melihatkan gelagat Ili. Lebih tersenyum apabila memikirkan Ili yang pada mulanya enggan menyertai jaulah ke Sepanyol itu. Segan - alasan yang diberikan Ili.

Najwa faham benar dengan alasan Ili itu. Kalau dia berada di dalam kasut Ili, sudah tentu dia sendiri yang akan segan. Masakan tidak. Baru sebulan lebih Ili menyertai geng-geng usrah. Ili masih bertatih lagi dalam mengenal erti tarbiyah. Dia masih merangkak lagi dalam menauti tali ukhuwwah.

Benarlah hidayah itu milik Allah. Namun ia perlu dicari. Syukur sekali Ili telah membuka pintu untuk hidayah masuk dan menyantuni hatinya. Siapa sangka, Iliya Maisarah binti Datuk Ahmad Rustam, suatu ketika dahulu ketua kumpulan anti-usrah, kini bersama-sama dengan gerabak usrah dan dakwah. Semuanya tidak dirancang dan berlaku dengan tidak sengaja. Tidak dirancang dan tidak sengaja pada pandangan mata manusia. 

Wala gholib ilallah. Benarlah tiada penakluk selain Allah. Dan kini, hati Ili telah berjaya ditakluki dengan hidayahNya.

Najwa amat kagum dengan perubahan yang ditunjukkan oleh Ili. Kesungguhannya dalam mahu berubah. Semangatnya dalam mempelajari ilmu dan perkara-perkara baru. Kesanggupannya meninggalkan jahiliyyah yang berkarat di hati.. Sungguh, kalau bukan kekuatan hidayah yang mendorongnya untuk melakukan pengorbanan sebegitu rupa, Najwa tidak tahu dari mana Ili memperoleh kemahuan yang sebegitu kuat untuk berubah! Subhanallah.

Yang lebih mengejutkan Najwa adalah keputusan Ili untuk memakai tudung. Semenjak Ili menyertai usrah yang dibawa Najwa, seingatnya, tidak pernah sekali pun dia menyebut tentang tudung atau kewajipan menutup aurat; semata-mata mahu meraikan Ili yang masih amat baru dengan usrah dan tarbiyah. Maka apabila pada suatu hari Ili datang ke usrah dengan memakai tudung, semuanya terkedu, terpesona dengan bidadari dunia yang menyertai taman-taman syurga mereka. Najwa masih ingat, betapa hari itu, bibirnya tidak henti-henti mengucap syukur, dek terharu dengan hadiah agung yang Allah kurniakan kepadanya. Berkali-kali dia terpaksa mengesat matanya yang basah, terlalu gembira dengan insan baru yang mendakap dalam ukhuwwah fillah.

Ahli-ahli usrah lain turut terharu dan gembira dengan perubahan yang ditunjukkan Ili. Masing-masing tahu akan latar belakang Ili dan siapa dia sewaktu di kolej dahulu; sama ada melalui pengalaman sendiri atau gosip-gosip liar yang didengari mereka. Semacam sudah ada poster yang tergantung di lehernya untuk memberitahu seluruh dunia siapa dirinya sebelum ini.

Maka perubahan Ili adalah sesuatu yang cukup bermakna pada mereka semua. Ili adalah manifestasi betapa sentuhan rabbani yang membasahkan hati, bisa menundukkan sesiapa sahaja yang bergelar manusia. Ili adalah bukti bahawa sejahat atau sekeji mana pun seseorang itu, namun apabila dia mahu dan sudi menerima hidayah yang datang menyapa hati, dia bisa sahaja menjadi sebaik-baik manusia. 

Najwa terus memerhatikan gelagat Ili yang tidak habis-habis menekan punat kameranya. Dia tersenyum. 

"Wa, jom tangkap gambar sama-sama?"

Najwa tersentak. Kemudian dia tersenyum dan mengangguk-angguk tanda setuju. 

Apabila rakan-rakan lain turut mahu menyertai mereka, Ili menghalangnya.

"Ok saya tahu korang sume ni fotogedik. Eh. Fotogenik. Tapi tolong beri peluang, saya nak tangkap gambar dua orang je dengan Najwa! Haha.." 

Najwa hanya tertawa melihat telatah Ili. Kedengaran rakan-rakan lain merungut dengan permintaan Ili itu. Masakan tidak, ada sahaja peluang bergambar, mereka pasti tidak mahu melepaskannya. Sudahlah Ili pandai pula menangkap gambar. Mana boleh lepas peluang! Tipikal. 

Klik. Kliiikk. 

Ili dan Najwa berangkul mesra, tersenyum gembira. Dalam dakapan ukhuwwah. Ukhuwwah fillah. Gambar itulah yang akan sentiasa menjadi bukti kepada persahabatan mereka yang abadi. Dan al-Hambra menjadi saksi kepada persahabatan yang terjalin hanya keranaNya.

Wala ghalib ilallah.

"Ili, jom?"

"Jom mana..?"

"Generalife."

"Generalife? Apa tu..?"

Berkerut-kerut dahi Ili mendengar ajakan Najwa. 

"Taman syurga. Dibina oleh Sultan Muhammad III. Baginda nak tiru kebun-kebun syurga yang disebut dalam al-Quran."

"Wah.."

"Yep. Dan saya nak duduk-duduk di bawah bayangan pohonan di taman syurga tu dengan awak Ili. Supaya kita sama-sama tanam impian untuk sama-sama masuk syurga yang sebenar nanti." 

Najwa tersenyum. Matanya sedikit berkaca. Dia menggenggam erat tangan Ili.

Ili cepat-cepat mengesat matanya. Dia mengangguk. Tersenyum.

Wala ghalib ilallah!


***

Ili membiarkan air mata membasahi pipinya. Dia seperti tidak mahu melepaskan bingkai gambar yang dipegangnya dengan kejap itu. Ditatapnya lama-lama gambarnya bersama Najwa di tepi al-Hambra tiga tahun yang lalu. 

Dia hanya sempat bersama dengan Najwa di Russia selama setahun sahaja. Najwa terpaksa pulang ke Malaysia dek masalah keluarga yang amat membutuhkan keberadaannya di sana. Bunga persahabatan yang baru hendak mekar segar kini ibaratnya sekelip mata dihancurkan oleh tangan-tangan yang kasar.

Ili masih ingat ketika Najwa memberitahunya tentang berita tersebut. Ketika itu mereka berada di Malaysia untuk cuti musim panas. Ili benar-benar tidak dapat menerimanya. Kata Najwa, keputusan itu adalah muktamad. Puas dia cuba memujuk keluarganya, namun mereka berkeras agar Najwa menyambung pelajarannya di Malaysia.

"Sanggup awak tinggalkan saya, terkontang-kanting sorang-sorang kat Russia tu.."

"Ili... Kan ramai lagi kawan-kawan kita kat sana..? Saya yakin mereka akan jaga awak..."

"Tak sama Wa, tak sama.. Awak tahu tu.." 

"Ili..."

Najwa tidak mampu untuk menghabiskan kata-katanya. Dadanya sebak. Air matanya mengalir tidak tertahan-tahan lagi. Ili juga begitu. Dia seperti tidak mahu memandang pun wajah Najwa. Tidak mampu. Dia rasa seperti dikhianati.

Ili segera mendapatkan Najwa dan memeluknya sepenuh hati. Dalam sedu-sedannya, dia cuba dengan payah berbisik, untuk menghabiskan kata-katanya.

"Ili... Allah.. Allah yang telah mempertemukan kita. Dulu.. Dulu kita jauh. Jauh sangat. Jauh.. Dari rahmat dan kasih.. Dan kasih sayangNya. Lalu Allah.. Allah dekatkan kita. Tautkan hati kita. In Shaa Allah Ili, hubungan ni tak...tak akan habis di sini. Hanya Allah je yang tahu...betapa...be-tapa sayangnya saya pada awak."

"Wa..."

"Ili... Awak ingat tau. Walau apa pun yang terjadi, saya nak masuk syurga dengan awak. Saya nak duduk-duduk bawak pohon syurga, berborak mesra dengan awak, macam dekat Andalus dulu. Kalau...awak rindu pada saya bila-bila pun... Awak bagitau Dia... In Sha Allah kerinduan awak...akan sampai pada saya.."

Ili hanya mampu mengangguk dalam pelukan Najwa. Terasa panas telinganya dibisikkan dengan kata-kata itu. Panas dan basah. Basah dengan ukhuwwah. 

Kata yang terbit dari hati pasti akan sampai ke hati jua. 

Ketika Najwa ikut sama menghantar Ili ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur seusai habis cuti musim panas, sekali lagi mereka mengucapkan kata-kata perpisahan. Tetapi kali ini kurang sedikit emosinya, kerana masing-masing sudah mengerti bahawa semua ini adalah sebahagian daripada perancanganNya yang Maha Bijaksana. Juga kerana mereka amat yakin untuk bertemu lagi, kalau bukan di Malaysia pada cuti musim panas yang seterusnya, pasti di alam sana nanti. Penuh bahagia. 

"Ili. Saya...ada something untuk awak."

Najwa mengeluarkan sesuatu daripada beg tangannya. Sebuah kotak berwarna ungu cair dengan corak bunga akasia menghiasi seluruh kotak itu. Cantik.

"Bukalah."

Dengan cermat Ili membuka kotak tersebut. Perlahan-lahan dia keluarkan isinya. Matanya bersinar-sinar. Berkaca-kaca.

"Matryoshka. Comel."

Najwa tersenyum.

"Saya beli kat Moscow dulu. Waktu tu lepas daurah musim bunga. Ingat tak ada satu masa tu saya kata nak pergi beli something..? Saya beli patung ni lah. Memang untuk awak. Tapi tak sangka pula akan jadi milik awak hari ini."

Ili hanya tersenyum. Diperhatikannya patung bertudung litup dan berwarna-warni itu dengan penuh minat dan teruja. Lantas ditanggalkannya patung itu satu persatu. 

"Ili, kehidupan kita ni macam patung Matryoshka ni lah jugak. Penuh dengan kejutan. Kejutan yang menggembirakan. Lepas satu, satu. Ada sahaja kejutan yang menanti kita. Dan In Sha Allah, semuanya adalah kejutan yang mengasyikkan. Terpulang bagaimana kita melihatnya."

Ili terus khusyuk membuka patung-patung itu.

"Eh. Mana pergi patung yang ketiga..? Eh Wa, awak kena tipu ni! Awak tak periksa dulu ke waktu beli dulu..?? Alaaaa ruginya...." 

Najwa tertawa kecil.

"Eh taklah. Ada lah. Ada tu. Awak akan tahu nanti.."

Ili memandang Najwa dengan penuh kehairanan. Diikutkan hatinya mahu sahaja dipaksanya sahabat baiknya itu memberitahunya apa rahsia di sebalik kehilangan patung yang ketiga. Tapi disebabkan panggilan untuk penerbangannya sudah pun diumumkan, dia terpaksa bergegas masuk ke pagar keselamatan. 

Tok tokkk. 

Ili tersentak dari lamunannya. Cepat-cepat dilapnya air mata yang berseka. Sempat dia sekilas memandang patung Matryoshka yang setia berdiri di atas meja belajarnya. Matryoshka yang misterinya masih belum berjaya dirungkai sehingga ke hari itu.

"Assalamu a'laikum. Kak Ili..? Ini bilik Kak Ili ke..?" 

Ili kaget. Tidak dikenalinya suara itu. Kak Ili..? 

Perlahan-lahan dibukanya pintu biliknya itu.

"Wa'alaikummuss.."

"Kak Iliiii....!!"

Tidak semena-mena sekujur tubuh genit menyerbunya dan memeluknya erat-erat. Ili terkesima. Dia hilang punca sebentar.

"Err.."

"Alhamdulillah, akhirnya dapat juga Yasmin jumpa Kak Ili!" 

Ili menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Err. Yasmin? Sorry, kita pernah jumpa ke sebelum ni..?"

"Oh hahaha. Sorry kak! Excited sangat jumpa akak sampai lupa nak perkenalkan diri..!" 

Dalam keterujaan Yasmin itu, sempat mata Ili menangkap sesuatu pada beg yang dipakainya. Keychain Matryoshka. Amat serupa dengan patung Matryoshka yang dimiliki Ili. Cuma lebih kecil. Bulat mata Ili memerhatikannya.

"Nama saya Yasmin. Yasmin Mujahid. Saya belajar di Kolej Mari Belajar dulu. So akak Ili ni kira super super senior saya lah!"

Yasmin tertawa kecil. Memang riang budaknya!

Ili masih terus mahu mendengar. Persoalan bagaimana Yasmin boleh mengenali dirinya sehingga begitu teruja masih belum terjawab. Matanya sekali-sekala melirik pada Matryoshka milik Yasmin.

"Di sana, saya berusrah dengan Kak Najwa..."

Oh.

"Nak dekat dua tahun jugalah saya berusrah dengan dia. Macam-macam dia cerita pasal akak!"

Yasmin tersenyum lebar. Ili sudah menemui jawapannya.

"Dia pesan suruh cari akak bila sampai Russia nanti. Dia kata, dia nak buat surprise kat akak!" 

Yasmin tertawa lagi. Kali ini Ili turut tertawa. Najwa; sentiasa penuh dengan kejutan!  

"Err.. Patung dekat beg anda tu.. Err, Kak Najwa ke yang bagi..?" 

Yasmin sedikit terkejut. Mungkin tak disangkanya soalan itu yang akan ditanya.

"Patung orang pakai tudung ni..? Haah. Apa ntah nama dia. Matroska. Matroshka. Apa ntah. Tapi Kak Najwa cakap dia beli kat Russia dulu.."

"Boleh.. Boleh saya pinjam sekejap..?" 

"Eh amiklah!" 

Sedikit gopoh, Ili mengambil keychain Matryoshka itu. Ditanggalkannya tali yang terikat pada kepala patung itu. Lantas dibawanya ke meja belajarnya. Yasmin memandang gelagat Ili dengan penuh kehairanan. Kehairanan yang bercampur dengan minat. Teruja.

Ili segera mengambil patung Matryoshka miliknya. Ditanggalkan patung yang pertama. Ditanggalkan pula patung yang kedua dengan penuh teruja. Dikeluarkan pula patung yang keempat dan kelima. Kemudian disusunnya satu persatu sebelah menyebelah. Tempat yang sepatutnya diisi oleh patung ketiga dibiarkannya lompong.

Diambilnya patung Matryoshka milik Yasmin dan diletakkannya di tengah-tengah. Di tempat patung yang ketiga. 

Sempurna.

Ili tersenyum. Puas. Tidak semena-mena air mata menitis perlahan melalui pipinya. 

"Eh, diorang serupalah!"

Yasmin bersuara. Ili tidak dapat menahan tawanya mendengar reaksi Yasmin. Lantas dipeluknya Yasmin erat dan kuat.

"Saya sudah menjumpainya. Saya sudah jumpa penggantinya.." 

"Pengganti apa kak..?"

Terima kasih, Najwa. Terima kasih... Hati Ili bersuara penuh rasa. 

"Saya nak bagi namalah pada patung-patung kita ni. Boleh..?"

Yasmin mengangguk. Dia tersenyum. Sedikit kehairanan. Dia masih belum boleh mencantumkan teka-teki yang bermain di kepalanya.

"Akak nak bagi nama apa..?"

"Lyubov'."

"Lyubov'..? Cinta...?"

Ili tersenyum. Penuh makna. Dipeluknya Yasmin sekali lagi. Penuh kasih dan sayang keranaNya. Dia lantas berbisik perlahan pada seorang sahabat yang baru dikenalinya itu.

"Cinta. Ya.. Cinta."

Matryoshka; sentiasa penuh dengan kejutan, sarat dengan kechentaan! Senyum. [Kredit]

***

"Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa..."

[al-Hujuraat, 49:13]

"Teman-teman karib pada hari itu saling bermusuhan satu sama lain, kecuali mereka yang bertaqwa."
[az-Zukhruf, 43:67]

-gabbana-

Alhamdulillah, habis juga siri Matryoshka ini. Pada awalnya, saya bercadang hanya untuk menjadikannya dalam satu penulisan sahaja. Tengok-tengok, terpaksa bersiri tiga juga akhirnya. Peluh kecil.

Oh kepada anda yang mungkin tertanya-tanya, jangan khuatir, saya sudah periksa fatwa. Tidak ada masalah untuk memiliki patung Matryoshka ini. Senyum.

Moga persahabatan yang kita jalinkan dengan sahabat-sahabat kita adalah tidak lain melainkan untuk memngejar redhaNya dan memburu chentaNya. Moga persahabatan yang terjalin akan menjadi penaung di Mahsyar nanti, menjadi pembela di hadapanNya dan menjadi penaut kasih di sorgaNya yang abadi. Biidznillah.

Oh ya. Jangan lupa untuk terus berdoa untuk saudara-saudara kita di Gaza dan Palestin sana. Teruskan menderma. Teruskan membina rijal-rijal manusia yang galak memburu redhaNya! Moga Allah redha!

Hak Cipta Terpelihara (C) 2012. Angel Pakai Gucci.

>> Matryoshka 1.0
>> Matryoshka 2.0

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP