31 October 2012

Qudwah Si Kader Dakwah

[Kredit]

Saya kagum. Kagum melihat dan mengenali seorang ustaz, di sebalik masalah yang bertimbun, di sebalik tekanan yang menghimpit dan di sebalik melayan karenah manusia yang gila dan mengganas, dia masih mampu tersenyum. Bukan sekadar tersenyum, malah membuatkan saya dan yang lain-lain merasakan seperti dunia ini bahagia-bahagia dan gembira sahaja. Malah masih mampu pula melayan karenah kami yang renyah dan remeh ini! Sungguh, saya sangat kagum dengan qudwah yang ditunjukkannya!

Saya terkesima. Terkesima melihat dengan mata kepala sendiri, bagaimana seorang ustaz yang lain, yang amat saya hormati dan sayangi, mengeluarkan duit poketnya untuk membelanja kami yang ramai ini, meskipun saya tahu gajinya tidaklah sebesar mana. Belum lagi dikira perbelanjaan untuk dakwah dan keluarganya sendiri. Dia melayan kami seolah-olah kami mad'unya yang dikasihi, walaupun kami hanya berjumpa dengannya sesekali. Dan dia melakukannya ketika mana kami langsung tidak menyedarinya. Tahu-tahu sahaja makanan kami sudah dibayar! Allah.. Sungguh, saya terkesima dengan qudwah yang dipamerkannya! 

Saya cemburu. Cemburu melihat seorang al-akh yang amat saya kenali, di sebalik kesibukannya mentarbiyah dan berdakwah, masih punya masa dan ruang untuk Tuhannya Allah. Al-Quran tidak pernah lekang dari tangannya. Bangun malam untuk bermunajat kepadaNya adalah rutin hariannya. Amat jarang pula dia meninggalkan solat Subuh berjemaah di masjid! Dan saya tahu dia seorang al-akh yang seriyes dan benar-benar bergerak di atas jalan sunnah ini! Allah, saya benar-benar cemburu dengan qudwah yang dimilikinya!

Saya terpesona. Terpesona dengan kerendahan hati yang dimiliki oleh para mujahid di atas jalan yang sumpah panjang ini. Seorang akh yang saya kenali, berlatarbelakangkan keluarga yang berada. Bukan calang-calang berada! Malah saya kenal dan selalu berjumpa dengan ayahnya, seorang Datuk ternama. Namun apabila kalian melihat perwatakan dan bagaimana dia membawa dirinya, pasti kalian tidak percaya yang dia berasal dari keluarga yang kaya. Cukup sederhana! Bagaiamana mungkin saya tidak terpesona dengan qudwah yang sebegini rupa?

Saya malu. Malu dengan semangat yang yang ditunjukkan oleh seorang hadek yang bersama-sama dengan gerabak ini. Umurnya dalam tarbiyah mungkin masih hingusan dan setahun jagung, tapi amal dan kefahaman yang terlihat daripada kerja-kerja tarbiyah dan dakwahnya benar-benar membuatkan saya mengangkat kening dan mulut ternganga. Melihatkan kerja-kerja DFnya terhadap hadek-hadeknya, pengorbanannya yang bukan sedikit untuk kemaslahatan bersama serta dahaganya dia pada sentuhan-sentuhan tarbiyah yang menggugah jiwa, pasti membuatkan mata anda bersinar-sinar. Anda beritahu saya, tidak malukah menyaksikan qudwah yang sebegitu rupa?

Saya teruja. Teruja menyaksikan masih ada lagi orang seperti seorang al-akh yang saya kenali, di sebalik kesibukannya di tempat kerja dan dihimpit dengan waktu jam-jam bekerja yang tidak fleksibel, dia masih mampu untuk tsabat dan istiqamah dengan amal tarbiyah dan dakwahnya. Lebih selalu daripada tidak, dia pulang ke rumah awal pagi dek bulatan gembira atau mesyuarat yang habis lewat. Di waktu pagi, dia bersiap untuk ke opis seperti orang lain, malah tiba di tempat kerjanya lebih awal daripada rakan-rakan sekerja yang lain. Dan dia tidak pernah memberi alasan yang kerjanya di opis menghambat dirinya daripada terus laju bergerak bersama gerabak ini! Masakan tidak teruja melihat qudwah seperti ini?

Saya terkesan. Terkesan dengan kesungguhan seorang doktor yang turut sama-sama memakai bandana dan menjulang obor perjuangan ini. Subhanallah, kesibukannya cukup mencengkam jiwa kita yang melihatnya. Namun dia tidak pernah meninggalkan bulatan gembiranya melainkan uzur yang benar-benar syari'e. Dia tidak pernah ponteng konferens riangnya kecuali ada sebab-sebab yang benar-benar tidak mengizinkan. Malah dia sendiri membawa bulatan gembira dan menguruskan konferens riang! Allah Allah.. Dia menjadi bukti  dan manifestasi bahawa kerjaya doktor bukanlah pembunuh hamasah seorang dai'e! Katakan kepada saya, anda tidak terkesankah dengan qudwah akh ini?

Saya tersentuh. Tersentuh dengan seorang ustaz yang tidak pernah berputus-asa dengan perjuangan ini, walaupon begitu banyak onak dan rintangannya. Meskipon dia ditekan, dihambat dan diperlakukan dengan tidak sepatutnya, namun dia terus beriltizam untuk melakukan perubahan. Dengan penuh sabar dia terus membimbing dan menasihati kami, tanpa mengeluh atau mengungkit walau sedikit. Katanya, kalau bukan kita yang mahu merobah, siapa lagi..? Waduh, manakan tidak saya tersentuh dengan qudwah yang begitu

Saya terharu. Saya terharu dengan kechentaan yang ditunjukkan oleh seorang al-akh kepada ikhwahnya. Kasih-sayangnya melimpah-ruah, bukan sekadar untuk hadek-hadek bulatan gembiranya, tetapi juga untuk ikhwah yang sama-sama mengharungi jalan perjuangan ini. Malah dia terutamanya amat mengasihi mereka yang dilihatnya bersungguh-sungguh melaksanakan tugas Syahadatul Haq yang telah tergalas pada bahu mereka! Sungguh kasih dan sayangnya pada mereka adalah kerana dakwah! Namun kasihan, kerana kadangkala chentanya itu tidak terbalas. Rindunya tidak dipeduli. Alangkah! Andailah mereka tahu betapa mendalamnya kasih al-akh itu kepada mereka.. Mujurlah al-akh yang amat saya chentai itu tidak kisah dengannya, kerana dia menchentai mereka kerana Allah! Sungguh, saya amat terharu dengan qudwahnya itu!

Saya bangga. Bangga dengan ikhwah yang saya kenali, bersama-sama menggalas tugas menyebarkan al-Haq ini. Ramai daripada mereka bukannya dari sekolah agama. Malah segelintir daripada mereka dahulunya pejuang jahiliyyah tegar. Namun Allah telah menyelamatkan mereka dari terperosok dalam ke lubang neraka. Kini mereka rijal-rijal penegak agama yang sanggup mengorbankan jiwa dan harta mereka, bila-bila masa dan ketika. Terkadang saya berasa segan melihat mereka ini, yang benar-benar ikhlas mahu melihat Islam kembali bangkit semula. Wahai! Saya benar-benar bangga dengan qudwah yang ada pada mereka!


Saya amat beruntung kerana mengenali mereka semuanya. Mereka inilah yang menjadikan saya bertambah yakin dan bersungguh dengan jalan yang saya susuri ini. Mereka manusia biasa seperti kita. Mereka punya perasaan, kehendak sendiri dan pelbagai urusan peribadi. Namun mereka utamakan tarbiyah. Mereka dahulukan dakwah. Sungguh, mereka (dan kita semua insha-allah!) adalah pewaris-pewaris perjuangan ar-Rasul SAW dan para sahabat yang akan terus menggempur kubu-kubu jahiliyyah demi menegakkan bendera Islam terchenta di puncak dunia!

Mereka adalah bukti yang jelas bahawasanya tarbiyah benar-benar bisa mengubah jiwa manusia! Mereka adalah manifestasi yang cemerlang bahawasanya apa yang telah dilalui dan dilakukan oleh para sahabat Nabi SAW juga boleh dilaksanakan oleh kita!

Bukan, mereka bukan malaikat. Bukan juga adiwira yang punya kuasa ajaib berlari pantas dan bisa mengangkat peti sejuk dengan sebelah tangan. Tidak juga punya tongkat sakti yang boleh menyebabkan mereka terbang sendiri. Tetapi yang bezanya mereka dengan kita adalah mengalirnya dalam tubuh mereka darah ruhul jadid yang amat dibutuhkan umat ini! Mereka adalah kader-kader dakwah yang siap-siaga untuk turun berjuang, bila-bila masa sahaja gendang perang dipalu gebang! 

Mereka adalah qudwah untuk kita semua bahawa Islam ini sememangnya untuk manusia. Dan kitalah yang perlu menggerakkannya..!


Al-Qudwah qobla dakwah! Qudwah sebelum dakwah!

-gabbana-  
 

30 October 2012

Oh My Ummah!


I went to the masjid, and I saw the jemaah was made up mostly by old folks. Where did all the young people go..? 

Oh my ummah!

I read the newspaper and all I came across were news on crimes and evils of human's hands. Guess what? A big chunk of them were committed by so-called Muslims.

Oh my ummah!

I watched the news on tv. Palestinians are not getting any better. There seems to be no end to the Syrian conflict. The Sudanese are fighting against each other. The poverty in Somalia is becoming worse every single day. And they are all Muslims!

Oh my ummah! 

I went to the bank, wanting to open a new account. There were a number of interesting offers, undoubtedly with lucrative interests (riba'). Guess what? A sizable amount of Muslims were their loyal customers.

Oh my ummah!  

I went for my usual jog at the nearby park. Saw a lot of couples expressing their so-called unconditional love to each other. Puke. Most of the girls wore tudung and most of the guys had unmistakably brown skin. Err.. Shiuuh shiuuh wind passing over my face.

Oh my ummah!

I was browsing some interesting news from around the world, and I stumbled upon this very bizarre piece of news. This guy from one of the Emirates bought a number plate for millions of dirhams. Whereas just a few hundreds of kilometres away you'll find Muslims starving and living in utter poverty. Scratching head.

Oh my ummah! 

I had my late night driving and passed through a few night clubs and bars. How I wished I was mistaken but I saw a number of Muslims were happily drinking and partying.

Oh my ummah!

I went through an Islamic forum on the internet, hoping that I would find something useful and relevant to improve my understanding of my deen. How frustrated I was, I found people bickering against each other on trivial matters instead.

Oh my ummah!

It goes without saying that most of drug addicts in this country are Muslims. Most of the thrown away newborn babies have Muslim parents. Surprise surprise.

Oh my ummah!

I went out there and I saw Muslims attacking and killing each other. Everyone claimed to be more Muslim than others. Everyone seemed to care more about themselves and just couldn't care less about others. And the enemies just sat at one side, watching eagerly while eating popcorns. Gah! Whatever happened to this ummah..?? 

Say what...?? OH MY UMMAH..!

From Tsauban r.a. said: "The Messenger. said; “Most come a time in which nations and the world will come around like you who want to eat their meal tray around.” Then one friend asked, “What of that we are a little on that day?” Prophet s.a.w. said, “Even you, on that day a lot, but you are like a bubble in time of flood, and God will pull you out of fear to the hearts of your enemies, and Allah will throw you into the heart disease 'wahan'. A friend asked, “What is wahan O Messenger of Allah?” Prophet Muhammad s.a.w. said, “Love in the world and are afraid of death.” 

[Narrated by Abu Daud]

-gabbana- 

A more important question that we need to ask ourselves; what's our role in all these..? Have we done anything..? Sigh.
 

29 October 2012

Angsa Bertelur Emas

[Kredit]

Tersebutlah kisah di sebuah negara atas angin, Negara Rafflesia Kembang Semangkuk yang mana ia diperintah oleh seorang raja yang adil lagi saksama. rakyat negara itu tidaklah ramai jumlahnya, arakian keluaran dalam negara kasar per rakyat tinggilah jua jika hendak dibandingkan dengan negara-negara jiran seperti Negara Tanduk Badak Afrika dan Negara Platipus Berenang Riang adalah jua.

Ada pun aktiviti utama rakyat Negara Rafflesia Kembang Semangkuk menternak dan mengeksport angsa, baik untuk bulu pelepahnya untuk dibuat bantal empuk cap Tanah Mimpi, dagingnya yang disalai dan dimasak lemak atau paruhnya yang dibuat rantai kunci sebagai cenderamata eksotik dari Negara Rafflesia Kembang Semangkuk. Sayugia setiap daripada rakyat Negara Rafflesia Kembang Semangkuk, dari sekecil-kecil bayi berusia sembilan bulan sehinggalah setua-tua makcik nasi lemak sambal angsa di tepi sungai Ikan Siakap Sakti, adalah pakar angsa setiap seorang daripadanya. Tanyalah apa sahaja soalan tentang angsa; tentang makanan kegemarannya, tentang ketinggian maksima penerbangan bagi seekor angsa, tentang kelajuannya mengejar manusia hatta hasil tinjanya juga, pasti dapat dijawab satu persatu dengan tepat oleh rakyat Negara Rafflesia Kembang Semangkuk.

Di hujung negara, tinggallah sepasang suami isteri yang hidupnya hanya bersederhana, tidaklah semewah sehingga boleh memiliki angsa terbang cap Bentley seperti pemilik ladang angsa terbesar di seluruh Negara Rafflesia Kembang Semangkuk, Saudagar Orang Kaya Timothy Goosebumps, tetapi tidaklah juga miskin dan susah orangnya. Pendek kata, bahagia jualah hidup mereka. Si suami bernama Saudagar Sederhana Salimun Mudahpercaya manakala si isteri pula bernama Puan Saudagar Sederhana Lagilah Mudahpercaya.

Kehidupan mereka seperti orang-orang lain di Negara Rafflesia Kembang Semangkuk; setiap pagi mereka akan ke ladang ternak angsa mereka, memerika setiap angsa yang ada. Yang sakit dihantar ke klinik angsa. Yang sihat dan gemuk dijual kepada pemborong angsa yang datang ke kawasan tempat tinggal mereka sekali sekala. Yang bertelur, telurnya dikutip dan diperiksa; yang berkualiti gred A akan dijual di pasar pagi manakala yang berkualiti gred A tambah tambah, akan diambil dan digoreng untuk hidangan sarapan pagi.

Alangkah mudah dan bahagianya hidup mereka. Tidak perlu risau dan pening kepala tentang harga minyak naik, subsidi bantuan rakyat 1Negara Rafflesia Kembang Semangkuk, kadar jenayah yang tinggi (jenayah yang paling merbahaya pun adalah kejadian mencuri bulu pelepah angsa) atau masalah kesesakan lalu lintas di waktu pagi (rakyat Negara Rafflesia Kembang Semangkuk rata-ratanya menaiki angsa terbang untuk ke mana-mana).

Segala-galanya berubah apabila suatu pagi, ketika Salimun Mudahpercaya bangun lebih awal daripada biasa untuk memeriksa angsa-angsa yang tiga puluh tiga ekor itu. Ketika membuat rondaan memeriksa angsa-angsa betinanya yang bertelur, alangkah kepalang terkujatnya Salimun Mudahpercaya apabila mendapati salah seekor angsa miliknya sedang mengeramkan sebutir telur yang berkilauan emas warnanya! Saiznya juga luar biasa besarnya.

Lantas dipanggilnya isterinya yang tercinta, Lagilah Mudahpercaya untuk berkongsikan berita ala Ripley’s Believe It Or Not itu. Terbeliak mata dan terlopong mulut Lagilah Mudahpercaya apabila menyaksikan sendiri keajaiban yang tidak pernah didengari apatah lagi dijumpai seumur hidupnya itu. Bukan kepalang gembiranya Lagilah Mudahpercaya dengan apa yang dilihat di hadapan matanya itu!

Namun, mereka berhati-hati dan tidak gopoh. Mereka mahu menunggu dua tiga hari dahulu. Manalah tahu, kejadian angsa bertelur emas itu adalah hanya sekali dalam sejuta. Gembiranya mereka bukan kepalang sehingga hampir-hampir mereka mahu terjun gaung, apabila mendapat pada hari kedua, ketiga, keempat dan kelima, angsa istimewa tersebut tetap menghasilkan butiran telur emas setiap hari!

Tidak semena-mena, pasangan itu berpegangan tangan dan melompat gembira, sambil membuat pusingan somersault sebanyak tiga kali. Sudah terbayang-bayang kepala mereka apa yang akan mereka beli dengan hasil jualan telur emas itu nanti; angsa terbang yang baru, langsir baldu yang sudah lama diidamkan oleh Lagilah Mudahpercaya, permainan Wii yang sudah lama dimahukan Salimun Mudahpercaya untuk berlatih permainan interaksi mengejar angsa dan pelbagai lagi barangan mewah yang tidak mampu mereka miliki.

Arakian tersebarlah berita pasangan Saudagar Sederhana Salimun Mudahpercaya dan isterinya yang memiliki angsa ajaib bertelur emas. Manakan tidak, di hari kelima, Salimun Mudahpercaya membawa kelima-lima butir telur emasnya untuk dijual di kedai emas di ibu negara. Siapa yang tidak kecoh melihat lima butir telur berwarna emas, besar gedabak pula saiznya! Holoi. Setelah diasak dan ditanya ala-ala artis popular, Salimun Mudahpercaya, dengan hidungnya yang kembang kempis menahan bangga, terpaksa juga menceritakan perihal angsanya yang bertelur emas itu. Di kepala Salimun Mudahpercaya, pastilah rakan-rakannya dan orang ramai di Negara Rafflesia Kembang Semangkuk akan tumpang gembira, kerana pastinya kejadian ajaib seperti itu akan menaikkan lagi nama dan status Negaara Rafflesia Kembang Semangkuk di persada antarabangsa.

Langsung tidak disangkanya, akan ada orang cemburu dan dengki dengan kurniaan Ilahi kepada dirinya. Mereka ini tidak senang melihat kejayaan dan kekayaan baru yang dimiliki oleh Salimun Mudahpercaya dan isterinya. Mereka lantas merancang bagaimana mahu memastikan Salimun Mudahpercaya akan kehilangan nikmat angsa bertelurkan emasnya itu. Mereka tidak kisah pun dengan telur emas yang dihasilkan kerana kekayaan mereka sudah lebih daripada mencukupi, walaupun jauh di sudut hati mereka, teringin juga seandainya angsa itu menjadi milik mereka. Moto mereka: Biar angsa itu tidak menjadi milik kami, asalkan ia tidak menjadi milik sesiapa!

Lantas mereka bersungguh-sungguh mengatur strategi dan membuat perancangan bagaimana untuk membuat onar terhadap Salimun Mudahpercaya. Punyalah seriyes mereka dalam membuat dengki terhadap pasangan suami isteri itu, sehinggakan mereka sendiri terlupa dan terleka menguruskan ladang ternak angsa-angsa mereka. Terlalu sibuk dengan angsa bertelur emas yang seekor itu, sehingga terlalai melaksanakan tugas-tugas yang lebih utama!

Akhirnya mereka datang dengan beberapa pelan dan perancangan. Pelan A menyaksikan mereka menyebarkan berita-berita shiuhh shiuhh dibawa angin, kononnya angsa bertelur emas itu amat merbahaya untuk industri angsa secara keseluruhannya di Negara Rafflesia Kembang Semangkuk. Dakwa mereka, angsa bertelur emas hanyalah fenomena ajaib yang amat jarang sekali berlaku. Mereka khuatir sekiranya berita itu tersebar di seluruh dunia, ramai orang akan berpusu-pusu ke Negara Rafflesia Kembang Semangkuk dan akhirnya, berlakulah lambakan pekerja asing tanpa izin. 

Namun pelan A mereka tidak berapa menjadi. Orang ramai masih menyokong Salimun Mudahpercaya dan Lagilah Mudahpercaya kerana merasakan angsa bertelur emas itu adalah aset negara yang wajib dilindungin dan dijaga. Maka sekumpulan penternak angsa keji tadi terpaksa pula melaksanakan Pelan B yang dikira sebagai senjata rahsia mereka. Kali ini mereka terus ke sumber utama; Salimun Mudahpercaya dan isterinya untuk memperdayakan mereka. 

Dihasutnya mereka berdua, kononnya kalaulah setiap hari angsa itu boleh bertelurkan emas, bayangkan apa yang terkandung di dalam perutnya. Disyorkan agar angsa itu disembelih dan dirobek perutnya, agar dapatlah Salimun Mudahpercaya menikmati hasil yang lebih lumayan! Bersungguh-sungguh mereka meyakinkan Salimun Mudahpercaya, siap dengan kajian sains dan graf statistik matematik mereka bentangkan kepada Salimun Mudahpercaya. Hampir sahaja Puan Saudagar Kaya (dah jadi orang kaya dah la ni oi!) Lagilah Mudahpercaya termakan dengan hasutan tersebut dan dipujuknya suaminya untuk menyembelih angsa tersebut. Mujurlah Salimun Mudahpercaya masih kuat imannya. Dikatakan kepada isterinya: 

"Kalaulah setiap hari si angsa berjasa kepada kita dengan sebutir telur emas setiap hari, mengapa kita perlu tamak haloba, tidak sedar diri? Bersyukurlah dengan apa yang ada. Tiba masanya apabila si angsa tidak bertelur lagi, baharulah kita fikirkan apa yang perlu kita lakukan dengan angsa tersebut."  

Maka si isteri kembali rasional dan kecewalah sekumpulan penternak angsa yang dengki tadi, menyangkakan kali ini pelan mereka pasti berjaya. Akhirnya, terpaksalah mereka mengeluarkan senjata terakhir mereka, yang tanpa ragu-ragu akan berjaya tetapi berisiko tinggi. Mereka pergi menghadap Raja Bumimol Aneroxia Serati untuk meyakinkan si Raja bahawa angsa bertelurkan emas itu bakal mengundang malapetaka kepada negara. Diceritakan kepada raja, betapa lima ratus tahun yang lalu, seekor angsa yang hampir sama telah mendatangkan bala bencana kepada Negara Rafflesia Kembang Semangkuk, sehingga terpaksa mengambil masa seratus tahun lagi untuk membina negara semula. 

Diyakinkan kepada raja, betapa angsa bertelur emas sebegitu hanya menjemput marabahaya, kerana kini musuh punya tarikan untuk datang menyerang negara mereka yang terchenta. Tanpa kenal erti lelah dan putus-asa, setiap hari mereka pergi menghadap raja bagi meracun pemikiran baginda. Akhirnya, kerana rimas, juga termakan dengan hikayat Merong Angsawangsa yang mereka ceriterakan, si Raja mengeluarkan perintah agar Saudagar Kaya Salimun Mudahpercaya datang menghadap baginda bersama dengan angsa bertelur emas miliknya.

Sayugia sekonyong-konyonglah Salimun Mudahpercaya pergi menghadap Raja Bumimol Aneroxia Serati yang terkenal dengan keadilan dan kesaksamaannya itu. Namun tidak disangkanya, pasukan penternak angsa yang dengki kepadanya itu sudah siap dengan hujah-hujah mereka di hadapan si Raja, untuk memberi justifikasi mengapa angsa tersebut perlu dihapuskan. Walau Salimun Mudahpercaya diberi peluang untuk berhujah mempertahankan dirinya, namun akhirnya dia akur dengan kehebatan pihak yang hasad dan dengki kepadanya berhujah lawan. 

Raja Bumibol Aneroxia Serati akhirnya mengeluarkan perintah diRaja agar angsa itu dihukum pancung kerana 'pengaruhnya yang luar biasa bisa mengganggu gugat keamanan negara.' Maka berakhirlah riwayat si angsa yang bertelurkan emas. Apabila dikorek-korek perutnya, ternyata perutnya sama sahaja dengan perut angsa-angsa yang lain; tiada istimewa atau luar biasanya. 

Hilanglah ikon negara si angsa bertelur emas. Puaslah hati si penternak angsa-angsa lain yang dengki kepada Saudagar Kaya Salimun Mudahpercaya dan pulanglah mereka ke ladang-ladang ternak angsa mereka yang kini sudah porak-peranda. Kecewalah Salimun Mudahpercaya dengan layanan yang diterima dirinya. Lantas dia membawa isterinya, Lagilah Mudahpercaya berhijrah keluar dari Negara Rafflesia Kembang Semangkuk buat selamanya.
Tammat.
***

Kisah ini bukan sudah biasa kita dengar. Sama ada ketika kecil-kecil dahulu, Puan Mama kita membacakan kisah ini untuk menidurkan kita, atau kita menonton kartunnya di siaran telebisen.

Namun rupa-rupanya, kisah ini terlalu dekat dengan kita. Dalam kehidupan kita sehari-hari, ramai rupa-rupanya yang dikuasai oleh perasaan cemburu dan dengki.

Jangan terkejut gorilla sekiranya saya memberitahu anda, di dalam tarbiyah dan dakwah juga tidak kurang juga kes-kes dengki-mendengki ini. Dengki melihatkan orang lain lebih berilmu daripada dirinya. Cemburu apabila ustaz ini berjaya menghasilkan lebih ramai penggerak dan pewaris-pewaris dakwah. Hasad tidak puas hati apabila menyaksikan akh itu lebih haibat dan gaban pergerakannya. Astaghfirullah.. 

Ghibtah (cemburu yang baik) dibenarkan dalam Islam, di mana perasaan cemburu kita melihat seorang akh yang terlalu bergaya di atas jalan tarbiyah dan dakwah ini, lantas menanam azam mahu menjadi sepertinya atau lebih baik lagi. 


Dengki anda itu membunuh tahu..?? [Kredit]
 
Tetapi lain kesnya dengan perasaan hasad dengki yang didalangi tidak lain dan bukan, syaitonirojim yang keji. Susah hati, panas punggung dan garu kepala sampai botak melihatkan orang lain lebih tinggi dan cemerlang pencapaiannya, lantas berhasrat untuk menghilangkan nikmat dan kelebihan yang ada padanya. Astaghfirullah. Urut dada.

Saya tidak bercakap atas khabar angin atau teori, tidak juga mentohmah atau memfitnah sesiapa sesuka hati. Tetapi ini berdasarkan pengalaman sendiri, yang amat menyedihkan lagi memakan diri.

Akhirnya siapa yang rugi? Bukan sekadar diri sendiri yang menanggung kesusahan dek orang yang dengki, malah seluruh tarbiyah dan dakwah turut terkena barahnya. Dan lebih mengerikan, ia mengambil masa yang amat lama untuk merawatnya kembali.



“Hindarilah dengki karena dengki itu memakan (menghancurkan) kebaikan sebagaimana api memakan (menghancurkan) kayu api.”


[Hadith Riwayat Abu Daud]

Moga Allah lindungi diri kita daripada perasaan yang membunuh ini. Dan yang lebih utama, moga Allah lindungi tarbiyah dan dakwah ini terpesong daripada landasannya yang lurus, hanya semata kerana beberapa orang yang sudah hitam dan kelabu hatinya.

Moga Allah kuatkan hati kita untuk terus menjaga assolah dalam tarbiyah dan dakwah ini.

"Ya Allah! Tunjukkan kami kebenaran dengan kebenaran dan kurniakan kami kekuatan untuk mengikutinya. Dan tunjukkan kami kebatilan dengan kebatilan, dan kurniakan kami kekuatan untuk menjauhinya, dengan rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih."

Amiin, ya robbal a'lamin.


-gabbana-


25 October 2012

Baihaqi - Epilog

[Kredit]

Seorang kanak-kanak lelaki, lebat rambutnya, putih kulitnya dan merah bibirnya berlari-lari tidak jauh dari tempat Mariah berdiri. Sebatang sungai yang mengalirkan air yang cukup jernih dan indah memisahkan antara Mariah dan kanak-kanak itu.

Mariah memandang sekeliling. Dia tidak pasti dia berada di mana. Belum pernah lagi dia merasai nyaman sebegitu rupa. Belum pernah lagi dia melihat suatu tempat secantik itu. Ini bukan dunia biasa. Langitnya biru menila. Pokok-pokoknya hijau bersih. Ini benar-benar bukan dunia yang Mariah kenali.

Hanya Mariah seorang di situ, memerhatikan kanak-kanak itu dengan penuh perasaan ingin tahu. Entah mengapa, timbul rasa kasih mendalam pada kanak-kanak itu.

Tiba-tiba, kelihatan pula kelibat seorang lelaki yang keluar dari pintu gerbang besar tinggi melangit yang cukup indah ukirannya. Belum pernah Mariah menyaksikan ukiran sehebat itu. Mariah cuba mengamati wajah lelaki itu. Lelaki itu berpakaian putih bersih dengan pakaian yang juga tidak pernah Mariah lihat dan ketahui sebelum itu. Putihnya juga luar biasa; bersinar-sinar mengeluarkan cahaya. Wajah lelaki itu juga cerah, bersirna cemerlang ibarat bintang di tengah malam yang pekat.

Dia bagai tidak percaya. Dia cuba memfokuskan pandangannya pada lelaki tersebut. Dia tidak mungkin tersilap.

Syurahbil.

Kanak-kanak tadi berlari ke arah Syurahbil. Syurahbil menyambutnya dengan penuh rasa kasih dan cinta. Diangkatnya kanak-kanak itu tinggi-tinggi dan dilambungnya ke udara. Kedua-dua mereka tertawa gembira.

Alangkah! Alangkah bahagianya!

Betapa Mariah amat ingin menyertai mereka berdua. Betapa hati Mariah melonjak-lonjak ingin tertawa bersama mereka. Betapa kaki Mariah sudah gatal-gatal mahu berlari ke arah mereka. Betapa..!

"Syurahbil...! Syurahbil...!"

Syurahbil dan kanak-kanak itu berhenti sebentar, mencari-cari punca suara itu.

"Syurahbil...!"

Akhirnya Syurahbil mengesan arah suara itu. Dia berdiri tegak. Dia memandang tepat ke arah Mariah. Dia tersenyum. Penuh bahagia.

Mariah terjaga dari tidurnya. Berpeluh-peluh dahi dan tubuhnya. Lencun. Mariah beristighfar panjang.

Dia memandang kepada sekujur tubuh di sebelahnya. Farish nyenyak dibuai mimpi, tidak sedar dengan apa yang berlaku.

Mariah mengusap-ngusap perutnya. Tendangan perlahan dirasakannya, seolah-olah membalas sapaan Mariah. 

***

Kelihatan dua orang lelaki dan tiga orang perempuan sedang mengambil tempat di sebuah ruang tamu di sebuah banglo besar di atas bukit di tengah ibu kota. 

Syurahbil mengambil tempatnya. Mariah juga duduk di atas kerusi tidak jauh daripada di mana Syurahbil berada. Bersama-sama mereka adalah ibu Mariah, naqibahnya dan naqib kepada Syurahbil

Taaruf.  

Buat pertama kalinya, Mariah dipertemukan dengan Syurahbil, setelah masing-masing bersetuju untuk dipertemukan setelah melalui proses awalannya. 

Mereka berbual-bual biasa, bertanyakan perihal diri masing-masing. Kadang-kadang ibu Mariah mencelah, bertanyakan beberapa perkara kepada Syurahbil. Kelihatannya masing-masing selesa dengan proses itu.

Cuma Syurahbil sering tertunduk malu. Dirasakannya, tidak layak untuk dia memerhatikan wajah seorang wanita yang belum lagi menjadi miliknya. Sabar Syurahbil, sabar...

"Saya ni, tiada apa-apa. Biasa-biasa sahaja. Harap ukhti dapat menerima saya seadanya.."

Terpacul kata-kata itu dari mulut Syurahbil. Ah, sudahlah, lelaki. Getus Mariah. Cuma entah mengapa, dia sememangnya sudah tertarik dengan Syurahbil, hatta ketika pertama kali membaca borang milik lelaki itu. Dan hatinya semakin kuat mengatakan, "Inilah orangnya..", selepas bertemu dua mata dengan Syurahbil. Cinta pandang pertama mungkin?

Istighfar. 

"Oh, saya ada satu soalan."

Syurahbil mengangkat wajahnya, dan sekilas memandang Mariah. Ditundukkan kembali pandangannya. Merah mukanya.

"Silakan."

"Uhm. Dalam borang akhi, akhi ada tulis.. Aahh.. Apa tu, lain-lain maklumat tentang akhi, sebagai seorang perindu tegar. Err.. Kenapa eh..? Macam...pelik je. Care to explain..?"

Sudah.

Syurahbil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Kelihatan dia berbisik-bisik dengan naqibnya. Mukanya bertambah merah.

"Err. Ada.. Ada kesilapan di situ. Benda tu tak sepatutnya ada...dalam borang tu.."  

"Oh. Tapi.. Mesti ada sebab kan kenapa ia ada di situ..?

Mariah mendesak. Dia benar-benar ingin tahu.

Syurahbil menghela nafasnya.      

"Ok ok. Err.. Begini. Saya ni.. Uhmm.. Kalau rapat dan sayang dengan seseorang tu, susah untuk saya lepaskannya."

Mariah membuat muka pelik. Ngeri.

"Aaahhh.. Jangan salah faham. Bukan maksudnya saya kongkong hidup dia ke, stalk ke apa, tak tak. Tapi kalau saya betul-betul menghargai seseorang tu, fillah, saya... Akan sangat-sangat sayang pada dia. Dan.. Dan saya akan merinduinya setiap masa dan ketika, sampai bila-bila. Ya.. Sampai bila-bila. Sebab tu lah perindu tegar..." 

Sepanjang itu, Syurahbil hanya tertunduk. Ini benar-benar gila.

"Oh."

Dan Mariah tersenyum. Jika tidak di wajah sekali pun, tetapi hatinya tersenyum gembira.

***

Mariah menunggu di dalam kereta Volkswagen Polo berwarna biru tua yang dibelikan Farish sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ketiga. Kedengaran loceng sekolah berbunyi. Tidak lama selepas itu, kelibat seorang kanak-kanak perempuan berbaju kurung dan bertudung kelihatan di pagar besi sekolah. Dia memandang ke kiri dan ke kanan, seperti mencari-cari sesuatu. Kemudian dia tersenyum. Comel.

Dia berlari-lari anak ke arah Polo Mariah. Mariah tersenyum apabila melihat Darra yang semakin mendekatinya. Perlahan-lahan pintu sebelah penumpang dibuka kanak-kanak kecil yang kini berusia tujuh tahun itu.

"Ummi!"

Dihadiahkan Mariah dengan rangkulan mesra beserta kucupan sayang di pipi.

"Ummi tak kerja ke hari ni?"

"Kerja sayang. Tapi ummi rindu kat Darra. Takpe, Auntie Suryati ada kat klinik tu."

Darra hanya tersenyum mendengarkan penjelasan Mariah. Dia amat gembira sekali Mariah datang mengambilnya. Tidak selalu dia punya peluang sebegitu.

"Qi mana, Ummi..? Dengan Tok Ma ke..?"

"Haah, dengan Tok Ma. We are going there now. Nak amik Qi, then kita pergi dinner dengan Abbi. How's that?"

"Awesome!"  

Mariah hanya tersenyum. Diusapnya kepala anak kesayangannya itu. Bismillah. Disarungkan cermin mata hitam Oakleynya dan keretanya dipandu pergi.

***

Di lereng bukit di pinggir ibu kota, sebuah kereta Fiesta putih diparkir di tepi jalan. Kelihatan sepasang merpati dua sejoli sedang duduk-duduk menikmati sinaran bintang bersinar cemerlang, di bawah sebuah pohon rendang. Pemandangan indah seluruh kota metropolitan Kuala Lumpur terbentang di hadapan mata mereka.

Di situlah tempat Syurahbil sering pergi untuk merehatkan fikiran atau melepaskan tekanan. Sama ada masalah kerja atau musykilah tarbiyah dan dakwah, tempat itu jarang sekali gagal daripada memberikan ketenangan yang ketenteraman pada dirinya. Dan pada malam itu, dia ditemani oleh isterinya yang tercinta, Mariah.

Lama mereka duduk-duduk diam begitu sahaja, menikmati pemandangan yang jarang-jarang mereka dapati. Sehinggalah Mariah memecahkan keheningan suasana.

 "B, you dah fikir belum, nak bagi nama apa untuk anak kita ni..?" 

Mariah mengusap-ngusap perutnya, penuh kasih.

Syurahbil tersenyum. Dia turut menyertai Mariah mengusap penuh sayang perutnya yang membuncit itu.

"Ada la terfikir."

"Yeah..? Apa dia?"

"Uhmmm. Kalau perempuan nak bagi nama... Darra. Darra Wajihah. Ok tak..?"

"Wow.. Not bad. Apa maksudnya..? Canggih sangat tu!"

"Not bad je..?? Penat orang fikir tau! Haish.. Maksudnya..? Ahhh.. Mutiara yang terhormat. Lebih kurang lah. Darra Wajihah binti Syurahbil. Pergh!"

Mariah tersenyum. Jelas gigi putihnya yang tersusun rapi. Keningnya turut tersenyum, tanda suka dengan cadangan Syurahbil

"Kalau lelaki..?"

"Kalau lelaki..? Haaa, ada banyak! Qatadah ada, Mikail ada, al-Bara' ada.. Pilih, pilih yang mana suka. Macam-macam adaaaa...!"

Mariah tertawa kecil melihat keletah suaminya. Dihulurkan penyepit jarinya untuk mencubit Syurahbil, tetapi sempat dielak Syurahbil.

"Tapi.. Dalam banyak-banyak tu.. Ada satu yang paaaaliiinng saya suka."

"Uh oh. Apa dia..?"

Mariah memandang tepat wajah Syurahbil. Teruja.

Syurahbil diam seketika. Dia memandang ke hadapan, menikmati pemandangan indah Menara Berkembar KLCC yang menghunus gumpalan awan. 

"B...?" 

Kemudian Syurahbil tersenyum penuh makna. Jelas matanya bersinar-sinar, penuh dengan pengharapan. Dipandangnya wajah Mariah dengan penuh rasa cinta dan diusapnya sekali lagi perut Mariah, bidadarinya di dunia. Bahagia.

"Baihaqi."

***

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, akhirnya berjaya juga saya menyudahi karya cerita pendek 'Baihaqi' ini. Jujur saya katakan, pertama kali saya menulis siri cerita pendek dengan begitu teruja dan semangat sekali, dalam tempoh waktu yang boleh tahan pendeknya. Idea datang mencurah-curah. Sehinggakan saya terpaksa memilih dan lebih berhati-hati dalam memilih idea mana yang mahu dimanfaatkan sebaiknya.

Pelbagai respon yang telah saya terima menerusi karya ini. Ada yang memujinya, ada yang tidak sabar-sabar menunggu kesudahannya dan tidak kurangnya yang kurang senang dengan pendekatan yang saya ambil kali ini.

Saya akui, karya 'Baihaqi' ini tampil lebih berani dan lain daripada yang lain, berbanding dengan karya-karya sebelum ini. Malah jujurnya, saya sendiri sedikit terkejut dengan kemampuan dan kemahuan saya menulis karya berunsur cinta sebegini. Mungkin juga kerana 'Baihaqi' agak dekat dan rapat dengan diri saya. Benar, ia sedikit peribadi untuk diri saya. 

Tetapi Insha-Allah, penulisan 'Baihaqi' ini tidak lari dalam rangka saya mengenengahkan tarbiyah dan dakwah sebagai menu dan resipi yang utama, seperti biasa. Ada mesej-mesej yang ingin saya bawakan dan bumikan. Terpulang kepada anda semua untuk menafsirnya.

Bagi anda yang terlepas dan tidak tahu-menahu dengan apa yang sedang saya merepekkan ini, bolehlah baca siri 'Baihaqi' mengikut susunan seperti yang berikut:

>> Baihaqi Bahagian I
>> Baihaqi Bahagian II
>> Baihaqi Bahagian III
>> Baihaqi Bahagian IV   

Tinggi harapan saya agar 'Baihaqi' membawa manfaat yang baik dan besar kepada anda yang membacanya, biidznillahi ta'ala. Jika tidak, doakan agar Allah mengampunkan dosa-dosa saya yang bertimbun-timbun ini.

Moga Allah redha dengan usaha kecil yang marhaen ini.

Senyum kenyit mata. Penuh makna.

-gabbana-

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya 'Idil Adha 1433H kepada semua umat Islam, walau di mana anda berada.

Semoga ruh pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh kekasih kita, Ibrahim AS menjadi pedoman dan panduan untuk kita sepanjang zaman, biidznillah.
  

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP