30 September 2012

Angel Pakai Gucci

[Kredit]

Agak sibuk kebelakangan ini. Dan banyak juga perkara yang perlu diselesaikan dalam satu masa. Serabut, bersabut dan pening juga kepala dibuatnya.

Oleh sebab itu juga. daya kreativiti saya di masa-masa ini berada pada tahap yang menyedihkan. Ada idea untuk menulis, tapi tidak punya masa yang mencukupi untuk menulisnya dengan baik. Dan saya tidak suka untuk menulis sesuatu secara cincai-boncai sahaja.

Maka dengan itu, bagi tidak menghampakan anda semua, ehem, saya postkan di sini artikel pertama saya dalam Majalah JOM, khas buat anda yang tidak berkesempatan atau tidak berpeluang memilikinya.

(Ini.. Ini.. Ini sumpah teknik malas menulis! Wahahahaha.. Peluh)

Mungkin berguna juga untuk anda yang baru berjinak-jinak dengan belog marhaen ini. Harapnya selepas ini berkuranglah pertanyaan "Kenapa Angel Pakai Gucci??", "Angel ke angle?" atau "Kenapa Gucci tak Prada ke, Louis Vuitton ke, Mydin ke..??" Ahah!
 
Moga bermanfaat untuk anda, juga mampu mengukir senyuman pada bibir anda. Hoyeaahh.

(Nota: Artikel ini mungkin sedikit berbeza dengan versi di dalam Majalah JOM kerana ini adalah versi asal lagi orijinal. Sekian, aman tanpa perang)

***

“Mahukah anda menulis dalam majalah kami..?"

*gasp*

Menulis..? Tidak pernah terlintas di dalam hati  mahupon kepala hotak saya yang suatu hari nanti akan ada orang yang akan mempelawa saya untuk menulis di dalam sebuah majalah. Sumpah.

Apatah lagi melihatkan gaya bahasa saya yang tiga suku lagaknya, ish, ada ke majalah yang nak terbitkan bahasa sebegitu? Tak kena saman dengan DBP nanti..? Hohoho..

Tapi nah! Tulisan ini membuktikan yang perancangan Allah itu mendahului segala-galanya.

Tulisan yang anda baca sekarang ini, menjadi permulaan atau batu asas untuk perjuangan saya dalam bidang penulisan ini, biidznillah. (Mana tahu lepas ini ada pula yang nak terbitkan penulisan saya dalam bentuk buku pula..? Ok berangan di siang hari. Hihihi..)

Apa-apa jalan, memandangkan kemungkinan ini adalah tulisan pertama untuk lebih banyak hasil-hasil merapik kerepek selepas ini, molek juga saya memperkenalkan diri saya, atau taaruf bak kata orang Arab, untuk anda espeseli yang masih belum mengenali diri ini. Tak kenal maka tak-aruf la kan…? Wahahaha..

Baiklah.

Mengapa Angel Pakai Gucci? Mengapa Inche gabbana? Tanya anda sambil menggaru kepala yang penuh ketombe itu.

Di dalam belog saya, telah saya terangkan dengan panjang lebar mengapa saya memilih nama-nama tersebut. Tampaknya nama-nama tersebut amatlah wahan (keduniaan) dan amat jauh daripada unsur-unsur dakwah mahupon tarbiyah bukan? Tapi apabila anda buka belog saya, itulah yang anda ketemukan; perbincangan dan sok sek sok sek tentang dakwah dan tarbiyah.

*Pengsan*

Ish pelik sangat anda ni Inche gabbana. Tak soleh langsung! Kalau nak tulis pasal dakwah dan tarbiyah, gunalah nama yang elok sket! Haish. Keluh anda sambil menjuih mulut sehingga membuatkan anda tampak seperti baru lepas mengunyah sepuluh helai daun sireh. Eh.

Seorang sahabat yang memeluk Islam, Abdullah ibn Rawahah r.a. , adalah seorang penyair yang hebat sebelum keIslamannya. Dan adakah Rasulullah SAW menyuruhnya untuk berhenti bersyair selepas Islamnya ruh dan jiwanya? Tidak. Malah dia menggunakan kelebihannya itu untuk menyebarluaskan pula kalimah dan risalah Allah.

Begitulah kurang lebih konsepnya. Ya benar, pada mulanya memang saya memilih ‘Angel Wears Gucci’ sebagai refleksi kepada tajuk buku popular ‘Devil Wears Prada.’ Malah nama ‘gabbana’ juga sebagai manifestasi kesukaan dan kegilan saya pada barangan yang berjenama (Sepatutnya seorang lagi rakan, Dolce, turut menyumbang dalam belog tersebut. Tetapi setelah beberapa lama, dia tidak lagi berminat, maka tinggal gabbana seorang sahajalah)

Namun setelah disentuh dengan sentuhan chenta tarbiyah, banyak perubahan berlaku dalam diri saya. Perubahan yang positiflah, bukannya berubah menjadi otromen atau Power Rangers (walaupun kecil-kecil dahulu pernah teringin juga..) Ketika itu, saya melihat belog yang telah saya miliki itu, dapat menjadi platform yang baik untuk berkongsikan mana-mana pengalaman mahupon pengetahuan saya yang sedikit cuma itu, dengan harapan dapatlah sedikit sebanyak memberi manfaat kepada para pembaca.

Dan saya tidak perlu menukar nama pon. Kerana kini Angel Pakai Gucci juga membawa konotasi dakwah dan tarbiyah yang boleh tahan signifikan juga.

Anda tidak percaya..? Mari sini, izinkan saya untuk menerangkannya secara pantas lagi bergaya.

Jika ‘Devil’ itu berpeluang untuk memakai ‘Prada,’ mengapa ‘Angel’ perlu berpuas hati hanya dengan memakai beg cap ayam atau kasut berjenama Bata..? Tunggu tunggu, sebelum kembang kempis hidung anda menahan marah dan menuduh saya sebagai hedonis mahupun materialis, apa kata anda duduk dahulu dan dengar penjelasan saya..? Ha, begitulah.

Sekiranya kejahatan (yang diterjemahkan dengan perkataan ‘Devil’) bersungguh-sungguh dalam menyebarkan dakyah-dakyah mereka, melalui kelengkapan dan perkakas yang serba-serbi canggih dan legkap (yang difahami dengan perkataan ‘Prada’), mengapa kebaikan dan para du’at (yang diwakilkan dengan perkataan ‘Angel’) perlu berpuas-hati dengan persediaan dan pertahanan yang ala kadar sahaja? Bagaimana kebaikan mahu menang dengan kekejian dan kejahatan sekiranya persiapan kita hanya cincai-boncai sahaja..??

Allah.

Mengapa orang yang berduit begitu gilakan barang berjenama? Antara memandu kereta buatan Uganda dengan kereta Volkswagen Passat CC buatan Jerman, agak-agak andalah, yang mana satu akan dipilih oleh orang yang berada? Antara beg tangan cap Kucing Hutan buatan Mongolia dengan beg tangan kulit Marc Jacobs, yang mana satu akan menjadi pojaan hati Datin Salamah Hasbullah?

Dan adakah faktor jenama dan harga mahal yang menjadi sebab utama mengapa mereka membeli barangan berjenama tersebut? Tidak semestinya. Yang pasti, barangan berjenama dan yang lebih mahal harganya itu, punya kualiti yang tinggi. Kerana itu ia mahal. Dan kerana itu ia punya reputasi yang tinggi. Tidak hairanlah mereka ini sanggup berbelanja tinggi semata-mata untuk memiliki barangan berjenama kerana berkualiti dan tahan lama.

Oleh sebab itu, sekiranya gerak kerja Devil itu amat ‘berkualiti,’ tersusun serangan-serangannya, begitu strategik pergerakannya dan begitu licik pula ia merekrut tentera-tentera yang baru, bagaimana kita mahu memenangi peperangan ini sekiranya produk yang mahu kita jual itu tidak berkualiti? Dan siapakah yang sering memberi produk-produk yang tidak berkualiti? Mereka yang sering memandang enteng dan tutup sebelah mata pada soal kualiti ini.

Maknanya,  seandainya kita selesa dengan cara yang tidak berkualiti, malas untuk melakukan dakwah, kucar-kacir dalam menyusun gerak kerja kita, culas dalam mengatur strategi, jangan berasa hairan sambil angkat kening sebelah apabila yang berjaya kita kumpulkan adalah mereka yang tiada mutunya jua.

Kata Saidina ‘Ali:

“Kebaikan yang kucar-kacir, tidak tersusun pastinya akan dikalahkan oleh jahiliyyah yang tersusun!"

Begitulah. Begitulah rahsia di sebalik Angel Pakai Gucci. Sungguh osem bukan..? Senyum.

Untuk menang dan berjaya di dalam perjuangan ini, kita perlu bersungguh dalam mempersiapkan diri kita. Kita perlu mengorbankan kepentingan-kepentingan diri kita dalam membina saf-saf perjungan yang mantap, berkaliber dan terpercaya. Kita mesti sanggup menggadai jiwa dan perasaan kita demi Islam yang terchenta.

Kalau anda benar-benar Angel, anda mesti menanam azam untuk memakai Gucci. Walaupon terpaksa berkorban harta, nyawa, masa, tenaga dan segala-galanya.

Kerana sorga itu mahal harganya.

 "Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."
[at-Taubah, 9:111]

Salaam ukhuwwah dan mawaddah dari saya, Inche gabbana. Moga ketemu lagi di ruangan yang akan datang!

***

Moga menceriakan malam anda dalam menyambut hari Isnin di esok hari! Ohoh.

-gabbana-

Seriyes sedang menghadapi krisis kekeringan idea. Moga tidak berkekalan selamanya. Tsk. 

25 September 2012

Ikhwah Songsang

[Kredit]

(Amaran keras sekeras kepala lutut: Hanya untuk bacaan anda yang berumur dua puluh tahun satu ke atas sahaja. Juga untuk anda yang sudah berbulatan gembira. Tulah siapa suruh taknak berbulatan, kan dah tak boleh baca! Ahah!) 

Bukan, ini bukan post tentang ikhwah memakai baju dengan kolar-V atau ikhwah bertubuh sasa. Bukan juga berkaitan ikhwah yang gemar membawa beg besar ke sana ke mari sambil memakai baju tidak berlengan. Bukan. (Saya gagal untuk mengawal mulut saya daripada mengukir senyuman keji ketika menulis ayat ini.)

Sudah lama saya ingin menulis post ini, tetapi sedikit ragu-ragu dan resah dengan prospek penerimaan anda semua dengan post ini. Tajuknya sahaja sudah bisa menyebabkan Pak Lebai Majid Tukiman menggaru kopiahnya dan Ostajah Maria Brando menarik-narik tudung labuhnya; cukup panas lagi sensasi!

Tetapi saya kira, isu ini mesti diketengahkan. Lambat-laun saya pasti akan menulisnya juga. Dan nah, inilah harinya di mana anda dapat membaca apa yang bermain-main teng teng dan baling selipar di dalam kepala saya selama ini.

Begini.

Dahulu mungkin ada antara kita yang pernah mempunyai gelpren. Ala, waktu jahiliyyah dolu-dolu. Espeseli kepada anda yang sebaka dengan saya, yang belum lagi ikhwah sewaktu dalam kandungan Puan Mama. Atau sekurang-kurangnya kalau bukan gelpren sekalipon, kawan-kawan perempuan yang memang rapat dengan kita. Boleh jadi mereka inilah BFF kita. Eceh.

Dengan mereka inilah kita bertepuk-tampar, ketawa gembira. Kalau yang ada gelpren itu, dengan si dialah kita mencurahkan segala isi hati, rindu dendam dan tawa tangis kita. Dari luar sampai isi hati paling dalam, dari hujung rambut yang terbelah akibat sudah lama tidak disyampu sehinggalah ke hujung kuku kaki yang belum dipotong, semua-semuanyalah kita ceritakan kepada si dia..!

Yang konon-konon ''Alah kami kawan baik sahaja.." atau "Aish aku mana ada apa-apa dengan si Leha tu, kami kawan sejak sekolah dulu kottt!" atau "Ya Rabbi, aku dengan dia..?? Hahaha.. Dia tu macam adik aku je lah!" Walhal dalam hati ada taman, dalam jiwa ada harapan! Senyum, geleng kepala. Wahai, anda tahu anda sedang menipu diri anda sendiri! 

Maka datanglah sekonyong-konyong tarbiyah datang menyelamatkan anda. Setelah hati anda disentuh dengan tarbiyah, setelah seluruh tubuh badan dan jiwa anda digerakkan dengan himmah untuk berdakwah, kini anda mula mengenali jahiliyyah. Anda tahu dan faham yang jahiliyyah itu amat berbahaya. Anda kini sudah nampak dengan terang trang tang tang bahawasanya jahiliyyah-jahiliyyah yang berkarat dalam hati anda itu hanya akan melambatkan anda di atas jalan dakwah ini. Anda juga sedar yang jahiliyyah yang menebal di jiwa itu hanya akan menjadi fitnah kepada perjuangan yang mulia ini.

Tsk tsk.

Arakian dengan linangan air mata, dengan tekad di jiwa, dengan iltizam yang tiada kata dua, anda mengucapkan oktengsbai kepada jahiliyyah. Anda putuskan perhubungan anda dengan gelpren yang kononnya telah anda janjikan untuk sehidup dan semati dahulu. Anda katakan kepadanya, "Sorry Leha, tiada rejeki nampaknya. Tapi kalau ada jodoh apa salahnya. Eh." Anda bertekad yang anda mahu bersungguh-sungguh dalam tarbiyah dan dakwah, tidak mahu lagi bergelumang dengan dosa dan noda jahiliyyah. Anda juga mula menjauhkan diri daripada rakan-rakan perempuan anda kerana anda tahu, soal ikhtilat ini bukan soal mainan. Terutamanya kerana anda seorang lelaki.

Noktah.

Anda fikirkan semuanya berjalan baik. Anda rasakan anda kini sedang meniti jalanan ke sorga. Dan anda yakin anda kini bebas jahiliyyah yang suatu ketika dahulu pernah membelenggu jiwa dan pemikiran anda.

Rupa-rupanya anda kini terperangkap dengan suatu bentuk jahiliyyah yang baru. Nama jahiliyah ni...

Betulkan kolar. Tarik nafas. Sisir rambut.

Anda sudah bersedia..? 

Nama jahiliyyah ni..

Ukhuwwah fi jahiliyyah.

Gulp.

Ya, ukhuwwah yang tidak didasari dengan keimanan kepadaNya. Ukhuwwah yang terjalin atas dasar nafsu dan kepentingan diri. Kasih-sayang dan persahabatan yang dibentuk bukan dalam rangka mencari redhaNya.

Eh, ada ke Inche gabbana..?? Dah nama pon ikhwah, mestilah ukhuwwah yang terjalin ukhuwwah fillah! Suka hati je Inche gabbana ni buat fitnah Peah! 

Hahaha.. Apa anda ingat ikhwah ni semuanya malaikatkah..?? Anda tidak percaya dengan saya bukan..? Mari, mari kita lihat simptom-simptomnya.

Pernahkah anda berasa cemburu teramat apabila melihat akh kesayangan anda berbaik-baik dan mesra dengan orang lain?

Pernahkah anda berasa sangat sayang, mahu peluk dan cium akh yang anda chentai itu?

Pernahkah anda tidak tidur malam, resah dan gelisah bila si akh tidak membalas mesej pesanan ringkas anda..?

Pernahkah anda terasa seperti mahu terjun gaung, mahu melompat di depan keretapi apabila bergaduh, berperang besar dengan akh chenta hati anda..?

Dan pernahkah anda terangsang apabila berada dekat dengan seorang akh yang amat anda rapat, terutamanya apabila menyentuh dan memeluk dan berlaga pipi dengannya..?

Gasp.

Nah, sekarang sudahkah anda percaya dengan saya..? Betapa wujudnya istilah ukhuwwah fi jahiliiyah..? Dan wujudnya insan-insan bernama ikhwah songsang..??

Semuanya gara-gara kekosongan dalam jiwa setelah berpisah dengan gelpren atau BFF anda itu tidak diisi dengan sentuhan kasih-sayang dan luahan rasa chentaNya. Lantas ukhuwwah 'kononnya' fillah yang terjalin lantas menjadi pengganti kepada ketandusan kasih-sayang yang sedang anda alami. Kasih-sayang dan rasa chenta yang dahulunya diluahkan kepada insan bernama perempuan kini dihalakan pula kepada makhluk bernama ikhwah..!
 

Astaghfirullah..

Itu belum lagi dibicarakan tentang suatu lagi spesis ikhwah yang, err, semenjak azalinya sudah punya minat terhadap kaum sejenisnya. Yang entah mengapa tidak pernah timbul rasa mahukan kepada spesis berlainan jantina tetapi lebih gemar akan spesis berjanggut dan berbulu kaki kerinting. Pengsan, berbuih mulut. Mujurlah tarbiyah datang menyelamatkannya. Sekurang-kurangnya dia sedar perasaan dan minatnya itu songsang dan terlarang. Tarbiyah telah menghalangnya untuk pergi lebih jauh daripada itu!
 

Hekele Inche gabbana, kalau macam tu senang je la solusinya! Tak perlulah putuskan hubungan dengan gelpren dulu tu! Tak perlulah jauhkan diri daripada teman-teman perempuan..! Kan senang..? Kan tak perlu jadi ikhwah pakai baju kolar-V..?? 

Pengsan.

Anda, itu bukan solusinya. Penyelesaian yang anda berikan itu samalah dengan saranan sesetegah pihak; kalau mahu mengatasi masalah buang anak maka berikan kondom secara percuma atau kalau mahu elakkan penyakit AIDS yang menular maka bekalkan para penagih tegar dengan jarum percuma. Mahu hapuskan gejala K-Pop yang semakin menular di kalangan remaja, galakkan pula M-Pop. Eh. Itu bukan solusi. Itu hukuman mati.

Saya tertarik dengan penulisan Akak Muharikah yang bertajuk 'Our life is not like story movie'. Rupa-rupanya masalah yang hampir serupa berlaku juga di kalangan akhawat. Saya paling tertarik dengan kata-katanya yang berbunyi:

"Syaitan takkan uji kita untuk melihat mereka yang bukan sejantina dengan kita, kerana dia tahu, orang dakwah faham haramnya melihat lelaki/wanita bukan muhrim dengan nafsu. Begitu juga dia sangat tahu kita begitu terhad dalam pergaulan dengan rakan bukan sejantina sehinggakan masa kita lebih banyak diluangkan dengan yang sejantina.

Sehinggalah…..

kita tidak menyedari, kita telah jatuh cinta pada sahabat kita….."

Uhm uhm.

Saya kira perkara yang sama berlaku kepada ikhwah. Selepas mengenal tarbiyah dan mengetahui peri pentingnya tidak bersama dengan jahiliyyah, alhamdulillah ramai di kalangan kita yang bermujahadah habis-habisan untuk lari daripada ujian makhluk bergelar perempuan. Dan alhamdulillah, ramai juga daripada kita yang terlepas dengan jayanya daripada ujian ini.

Namun rupa-rupanya kita diuji dengan ujian sesama ikhwah pula. Bibit-bibit kasih-sayang mula timbul dek selalunya kita bergaul mesra sesama ikhwah. Perasaan chenta mula meresap masuk kerana selalunya kita berborak bantal dan mencurah rasa kepada ikhwah yang sudi meminjamkan bahunya. Dan kita mula semakin rapat dengan ikhwah tersayang kerana terlalu terhutang-budi dengan pengorbanan tahap Mahadewa Kaiou yang mereka lakukan terhadap kita, tanpa mengharap sebarang belas mahupon balas. 

Tiada salahnya semua ini. Yang salah dan silapnya adalah apabila semua ini disandarkan kepada nafsu raksasa gorgon dan bukannya dalam usaha berlari-lari anak mencari redhaNya.

Allah... Air mata mengalir perlahan.

Ukhuwwah fillah atau... Ukhuwwah fi jahiliyyah...?? Gasp. [Kredit]

Akibatnya, timbullah simptom-simptom seperti yang saya sebutkan di awal tadi. Cemburu membabi-buta apabila melihatkan hadek kesayangan tersenyum mesra, bergaul dengan ikhwah lain. Menangis tidak tentu pasal apabila bergaduh dengan akh kesayangan anda. Tidak mahu makan, tidur tak lena, habis hapak satu badan dek tak mandi seminggu lamanya, semuanya gara-gara tidak dapat berhubungan dengan kekasih hati sehari lamanya. Adoii.. Dah macam laki bini dah!

Ehem.

Maka wajarlah kita kembali kepada asas kepada perhubungan suci ini. Dan anda tahu? Semuanya sudah termaktub di dalam kitabullah dan dirungkaikan dengan sepotong ayat yang cukup pendek dan mudah:


"Sesungguhnya orang-orang mu'min itu bersaudara.."
[al-Hujuraat, 49:10]

Ayat ini pendek sahaja. Maksudnya juga lurus ke depan. Maka tidak hairanlah ramai yang memandang enteng dan mengambil mudah ayat ini. Walhal ibrahnya cukup besar!

Pertamanya, orang-orang mu'min itu, tidak boleh tidak, pasti mereka bersaudara. Dan keduanya, yang lebih utama daripada itu, persaudaraan ini wajib berbatu-asaskan keimanan! 

Inilah yang dikatakan sebagai ukhuwwah fillah!

Sayugia sekiranya kita mula mengesan bibit-bibit jahiliyyah di dalam perhubungan kita sesama ikhwah, sebelum kita memeriksa dan mengenalpasti sebab-musabab lain yang mungkin menjadi punca kepada kepelikan dalam perhubungan ini, maka periksalah terlebih dahulu keimanan kita kepadaNya. Solat kita bagaimana, tilawah dan tadabbur kita macam mana, doa-doa maathurat kita amalkan atau tidak, selalu atau tidak kita bangun malam dalam mencari chentaNya dan perkara-perkara yang seangkatan dengannya. 

Bukankah Allah yang memegang hati-hati kita..? Bukankah Allah yang menciptakan kita dari air mani yang hina..? Dan bukankah Allah yang memiliki jiwa raga kita, setiap inci dan daripadanya...??

Maka sekiranya benar kita mengimpikan ukhuwwah fillah dengan ikhwah kesayangan kita, burulah chentaNya dahulu. Seandainya benar perhubungan yang kita bina ini adalah demi mencari keredhaanNya, wajar kita mendambakan kasih-sayangNya terlebih dahulu. Jika benar kasih-sayang kita untuk ikhwah adalah untuk bertemunya di sorga nanti, maka tidak boleh tidak, kita mestilah jatuh chenta berguling-guling denganNya terlebih dahulu. 

Khuatir nanti, ikhwah kesayangan kita berseronok gembira di dalam sorga sedangkan kita menderita terseksa di dalam neraka..!

Allahu allah. Baju basah kuyup.

Dan wahai ikhwah fillah sekalian, ketahuilah bahawasanya semuanya ini adalah sebahagian daripada asam garam dalam kehidupan kita sebagai seorang dai'e, sebaik sahaja kita berbaiah untuk mengorbankan seluruh jiwa dan harta kita demi Islam yang terchenta. Semuanya ini adalah sebahagian daripada ujian yang perlu kita tempuhi, dalam rangka mengejar sorgaNya. Tiada yang lain yang diperlukan daripada kita melainkan mujahadah sesungguh hati menentang nafsu serakah dan bisikan syaitan laknatullah! 

Semakin lama kita di atas jalan penuh berduri dan berliku ini, maka semakin berdarah dan besar luka pada kaki. Dan ujian yang mehnah yang akan datang menyerang, lebih halus dan merbahaya. Manakan tidak! Syaitan akan berusaha sebaiknya untuk menyesatkan kita kerana dia tidak mungkin redha sekiranya kaki kita ini melangkah masuk ke dalam sorga! Hanya mu'min yang benar-benar sensitif jiwanya sahaja yang tidak akan jatuh masuk ke dalam perangkap syaitan dan konco-konconya!  


Akhi fillah,
Ketahuilah,
Jalan ini panjang,
Jalan ini berliku,
Jalan ini berdarah,
Namun ia jalan yang pasti,
Ia jalan yang satu,
Ia jalan pejuang,
Menuju sorga yang abadi,
Jannah yang hakiki.

Akhi fillah,
Peganglah tanganku ini,
Ayuh kita tempuh jalan ini,
Bersama-sama,
Sehingga ke akhirnya,
Susah senang kita tanggung bersama,
Tangis tawa kita kongsi berdua,
Kerana ketahuilah,
Aku tidak ingin masuk sorga,
Tanpa dirimu, tanpa dirimu.

Ukhuwwah itu indah, tapi jangan cemarinya dengan jahiliyyah!

Ukhuwwah itu gah, tapi jangan kotorinya dengan nafsu serakah!

Ayuh kita jalinkan perhubungan ini hanya dan demi untukNya sahaja! Ini perhubungan suci, maka ia wajib didasari dengan chenta rabbani! 

Jadilah seorang akh yang akan sanggup bermati-matian demi mempertahankan chentanya yang suci kepadaNya! Jadilah seorang akh yang sanggup berkorban demi sahabatnya, kerana yakin mereka akan bertemu semula di sorga sana! Dan jadilah seorang akh yang kuat hatinya, mantap jiwanya, kerana apabila jahiliyyah datang menyerang perhubungan suci ini, dia tahu dan faham yang Allah sentiasa ada di sisi!

Jadilah seorang akh pejuang, bukannya akh yang songsang!

-gabbana-

Anda tahu apa solusi kepada masalah ini...? Kena kahwin. Eh?

20 September 2012

Video Osem Kini Kembali!

Dup dap. Dup Dap.

Eh, bunyi jantung anda kah itu..? Wah!

Ya, anda tidak bermimpi.

Tidak juga berangan-angan di siang hari.

Oh jangan, anda tidak perlu menggosok mata anda lagi.

Dengan penuh rasa teruja tetapi pada masa yang sama merendah diri, saya ingin mengumumkan..

PERTANDINGAN VIDEO OSEM APG

untuk sesi 2012 kini kembali!




Alhamdulillah, berdasarkan penyertaan yang cukup memberansangkan pada tahun lepas, saya rasa amat rugi sekiranya pertandingan ini tidak diteruskan pada tahun ini. Subhanallah, berapa banyak jiwa yang telah terkesan dengan video-video yang dihasilkan. Entah berapa banyak pula hati yang tersentuh dengan video-video yang telah ditayangkan. Juga daripada maklumat yang saya perolehi, boleh tahan juga yang ingin menyertai bulatan gembira dek penangan video-video yang dipertontonkan! Wahai!

Sungguh, video-video yang telah dihasilkan sumpah osemnessss!

Maka ini peluang untuk anda yang telah terlepas peluang keplatinuman ini tahun lepas untuk menyertai pertandingan ini pada tahun ini. Juga peluang untuk sesiapa sahaja menambahkan saham-saham sorga anda. Bayangkan sekiranya video anda nanti menayangkan tentang kebaikan senyum dan ditonton pula tiga ribu lapan ratus tujuh puluh empat jiwa, dan kesemua tiga ribu lapan ratus tujuh puluh empat jiwa itu terkesan lantas mengamalkan senyuman manis itu sedekah setiap hari, walawww, entah berapa banyak saham-saham sorga yang akan anda kumpulkan...??

Dan entah berapa banyak pula saham-saham sorga yang akan pihak penganjur perolehi...?? (Itulah niat sebenar mengapa pertandingan ini dianjurkan sebenarnya *koff*)

Untuk tahun ini, saya membawa sedikit kelainan dengan membahagikan pertandingan ini kepada DUA kategori:

KATEGORI ALIF: Pertandingan klip video pendek (maksimum LIMA minit)

KATEGORI BAA: Pertandingan filem pendek (minimum SEPULUH minit dan maksimum LIMA BELAS minit)

Untuk kategori ALIF, video anda hendaklah berkisarkan atau berpandukan tema-tema yang berikut:
  • The Empire Strikes Back! (The revival of the ummah)
  • Kalaulah aku tidak ikut tarbiyah... (Pengalaman jatuh chenta dengan tarbiyah dan dakwah/Pengalaman dilanggar Makcik Hidayah)
  • Penyaksian Ke Atas Kebenaran (Syahadatul Haq)
  • Oktengsbai Jahiliyyah!
  • Erti Persahabatan Yang Hoyeaahhh
  • Ikhwah Pakai Jeans (Dakwah itu kool)
  • Aku Bukan Robot (Tujuan hidup)
  • Bulatan gembira itu menggembirakan
  • Ini Bukan Jalan Bunga Dafodil Atau Arnab Gemok (Mehnah di jalan dakwah)
  • Muwasofat Tarbiyah
  • No Man Is An Island (Amal jamai'e)
  • GangIslam Style! (Keoseman dan keindahan Islam)
Manakala untuk kategori BAA, tema adalah bebas mengikut kreativiti anda yang ingin menyertainya. Cuma jalan cerita mestilah berunsurkan tarbiyah dan dakwah, dan relevan dengan tema keseluruhan pertandingan ini, yakni mengajak orang ke arah kebaikan dan menyentuh hati-hati di luar sana. 

Pada tahun ini juga, pihak penganjur (Eh siapa pengajur..? Ehem.) akan lebih tegas terhadap setiap penyertaan yang dihantar. Mana-mana penyertaan yang didapati tidak mematuhi peraturan-peraturan pertandingan yang telah ditetapkan akan dibatalkan penyertaannya serta-merta. Maka anda yang benar-benar seriyes ingin menyertainya dinasihatkan untuk membaca segala tok nenek peraturan yang telah digariskan dengan teliti dan penuh berhati-hati. 

Untuk peraturan lengkap PERTANDINGAN VIDEO OSEM APG 2012, sila klik di sini. Seperti tahun lepas, anda juga boleh mengakses peraturan ini setiap masa dan ketika di tab 'Pertandingan Video Osem APG '12' yang akan saya letakkan di bahagian kanan atas belog, di bawah banner belog APG. Dari segi peraturan, cara pengundian dan penghakiman, saya kira tidak banyak perubahan akan dilakukan. Mungkinlah dua-tiga perubahan di sini dan di sana, tetapi secara umumnya, anda bolehlah menjangkakan sesuatu yang hampir serupa dengan pertandingan tahun lalu. 

Saya menjangkakan penyertaan tahun ini lebih meriah dan mengujakan. Maka di tahap ini, saya tidak berani untuk menjanjikan bilakah keputusan akhir pertandingan akan diumumkan. Cuma berdasarkan pengalaman di tahun lepas, kemungkinan besar keputusan pertandingan akan mula diumumkan seawal Januari 2013. 

Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk menjemput mana-mana pihak yang berminat untuk menjadi penaja bersama bagi pertandingan gilang-gemilang ini. Kepada anda yang berminat, bolehlah hubungi saya menerusi email di dolcegabbana08@gmail.com. Namun perlu diingatkan pertimbangan untuk menerima tajaan anda adalah seratus-peratus keputusan pihak penganjur dan harap anda dapat berlapang dada dengan apa jua keputusannya nanti. 

Alhamdulillah, Puan Wardina Safiyyah dan Inche Aiman Azlan secara bertulis telah bersetuju untuk menghakimi pertandingan ini. Ok anda boleh tutup mulut anda yang terlopong itu. Wahahaha.. Cuma saya masih dalam proses perbincangan dengan Inche Aiman kerana dimaklumkan beliau sedikit sibuk di hujung bulan Disember. Mereka berdua akan digandingkan dengan, err, siapa lagi kalau bukan Inche gabbana yang perasan kachak dan bergaya itu heyyy! Gelak kecil sambil peluh mengalir di dahi. 

Doakan agar semuanya berjalan lancar dan licin sekali. Doakan agar pertandingan ini bakal menyentuh lebih banyak hati dan jiwa di luar sana. Dan doakan juga video-video yang dihasilkan nanti boleh menandingi kegilaan GangJanaham Style! Eh. Yang paling utama, moga pertandingan ini dan penyertaan yang bakal diterima akan mendapat chenta dan redhaNya!

Teruja? Hidung kembang kempis? Rambut shiuu shiuuu ditiup angin..?

Ah beritahu saya tentangnya!

Ladies and gentlemen, the race now begins!

-gabbana-

Mohon sebarluaskan pertandingan ini ke segenap pelosok dunia. Sebarkan banner pertandingan, kicaukan tentang pertandingan ini dan buatlah apa sahaja agar pertandingan ini menjadi lebih meriah dan memberansangkan.

Percayalah, anda tidak mahu melepaskan peluang untuk menambahkan saham pelaburan sorga anda ini. Hoyeah.

18 September 2012

Sehingga Ketemu Lagi, Puan Nenek!

Ini bukan Puan Nenek saya, tapi amat mirip dengannya! [Kredit]

Berita itu saya terima dalam jam tiga pagi kurang lebih.

Ketika itu lampu di dewan makan menyala dan saya yang tidur di ruang tamu terjaga. Kelihatan Inche Papa sedang sibuk melakukan sesuatu.

Melihatkan saya yang tersedar agaknya, Inche Papa lantas menyampaikan berita itu.

"[Puan Nenek] dah meninggal." 

Saya yang masih mamai ketika itu cuba mendaftarkan kata-kata Inche Papa di kepala. Lantas terpacul,

"Innailillahi wa innailaihi roji'un."

Sempat saya berborak ringkas dengan Inche Papa; pukul berapa meninggal, siapa yang beritahu dan sebagainya.

Kemudian Inche Papa bertanya pula,

"[Inche gabbana] nak balik tak..?"

Tanpa berfikir panjang, saya terus menjawab,

"Ok, [Inche gabbana] boleh balik."

"Tapi kalau [Inche gabbana] nak balik, [Inche gabbana] kena ambil cuti dua hari tahu? Sebab kita balik esok."

Entah mengapa, kenyataan itu menyebabkan saya berubah fikiran. Mungkin juga kerana saya yang masih mamai belum dapat berfikir dengan baik. Saya lantas menyambung tidur.

Sehinggalah jam lima pagi lebih, Inche Papa mengejutkan saya dan bertanya,

"[Inche gabbana] nak solat kat masjid tak..?"

Saya bingkas bangun, dengan mata yang separuh terbuka. Di fikiran saya masih bermain-main apa yang berlaku antara saya dan Inche Papa pada jam tiga tadi. Rasanya seperti mimpi. Selepas menggosok gigi dan mengambil wudhu', baharulah terasa segar sedikit kepala otak ini.

"[Inche gabbana] tak balik kot."

Saya menyatakan perkara tersebut kepada Inche Papa.

"Ok." 

Inche Papa menjawab ringkas.

Ketika itu, entah mengapa, saya tidak merasakan apa-apa. Tidak berasa sedih. Tiada emosi. Seolah-olah tiada ruh di dalam jasad ini.

Di dalam kereta menuju ke masjid, saya bertanya lagi kepada Inche Papa,

"Ok ke kalau [Inche gabbana] tak balik ni..?"

"Hhhmm. Kenapa? [Inche gabbana] ada kerja lain nak buat ke?"

Saya mengiyakan. Perlahan.

"Takpelah. [Inche gabbana] baru je balik hari tu kan? Ok kot."

Seusai solat, saya kira Inche Papa sudah menerima keputusan saya itu. Dia tidak bertanya, memujuk mahupon mendesak saya untuk balik. Cuma dia ada menyatakan rasa kekesalannya kerana tidak pulang ke kampung pada hujung minggu yang lepas, meskipon dia ada merancang untuk berbuat sedemikian.

Tiba di rumah, saya mengambil tuala dan bersedia untuk mandi. Sebelum itu saya sempat singgah di bilik tidur utama keluarga dan bertanyakan pula kepada Puan Mama.

"Ok ke kalau [Inche gabbana] tak balik..?"

"[Puan Mama] ok je. Ikut [Inche gabbana] lah."

Ketika itu hati saya mula berbolak-balik. Betulkah keputusan aku ini..? Dan selesai mandi, melihatkan Cik Adik Perempuan dan Inche Abang Besar bersiap-siap untuk pulang ke kampung, menjadikan saya serba-salah. Tergerak juga hati untuk menukar keputusan. Tetapi entah, seperti dipukau, saya tidak punya perasaan ketika itu dan memutuskan untuk kekal sahaja dengan keputusan saya sebelum itu.

Lantas saya bersiap-siap untuk ke opis seperti biasa. Ketika menyarungkan kemeja kerja petak-petak berwarna merah jambu, hati saya kuat berbicara.

"Takkan sebab cuti kau tak nak balik kampung kot...?? Haish..."

Hampir-hampir sahaja saya menghamburkan kata-kata ini kepada Inche Papa:

"Tunggu, [Inche gabbana] nak baliklah!"

Dan sekali lagi, diri saya ketika itu seolah-olahnya bukan diri yang sebenar. Saya diam membisu.  

Pertimbangan saya ketika itu begini; 1) tiada apa yang boleh saya lakukan pon jika saya pulang ke kampung, 2) saya baharu sahaja pulang pada dua minggu yang lepas dan 3) ada banyak perkara lain yang saya perlu lunaskan. Perkara-perkara ini yang bermain di fikiran sehingga saya merasakan tidak perlu saya pulang ke kampung.

"[Inche gabbana] jaga Memey!"

Ujar Puan Mama, merujuk kepada kucheng kesayangan keluarga, juga sebagai tanda dia menerima keputusan saya untuk tidak pulang.

Di dalam kereta, ketika menuju ke stesen Putra, kami berborak ringkas tentang apa yang sebenarnya terjadi. Dan saya menyatakan kepada mereka,

"Nanti [Inche gabbana] buat solat jenazah ghaib. Kirim salam pada semua."

Kami berpisah. Kereta yang dipandu Inche Papa menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang manakala saya menaiki tren ke opis seperti biasa. Sekali lagi, saya terasa seperti mahu menukar keputusan. Ah, boleh sahaja aku pulang malam ini! Pakai sahajalah baju kerja ini sehingga ke malam! Paling teruk pon, pinjam sahaja baju sesiapa! 

Dan sekali lagi juga, saya tewas kepada permainan mantik dan hujah yang kononnya rasional oleh akal saya. Yang lebih menghairankan, seolah-olahnya saya tidak punya perasaan ketika itu. Entah, sedih pon tidak. Rasa kehilangan pon tidak. Atau saya redha sebenarnya..? Batuk batuk. 

Saat melangkah ke opis, saya mula berasa tidak tenang. Rasa bersalah dan tidak keruan, mengapa saya mengambil keputusan untuk tidak pulang sahaja ke kampung. Saya cuba menenangkan perasaan dengan menyibukkan diri melayari internet. Namun kegusaran dan kegelisahan di jiwa tetap tidak dapat dihilangkan. Terbaca pula status MukaBuku Cik Adik Perempuan yang menghapdet tentang pemergian Puan Nenek. Peluh kecil.

Ketika saya menelefon rakan baik di opis dan menceritakan kepadanya tentang kehilangan saya, jelas nadanya yang pelik dengan keputusan saya yang tidak pulang ke kampung.

"Laaa balik je lah. Kenapa tak balik...??"

Rasa bersalah kian menggunung. Akhirnya perasaan seorang manusia dan ruh kembali semula ke jiwa, seusai saya solat dhuha dan solat jenazah ghaib. Ketika itu saya sedang menghantar mesej pesanan ringkas kepada Puan Mama.

"Rasa x best n x sedap hati pulak x balik kg. ;( Sampaikan 'salam' [Inche gabbana].."

Ketika ini entah mengapa tiba-tiba air masin mula berlopak di mata.

"...pd [Puan Nenek]. Pls kiss her for me. My doa with her. ='[ n salaam to all."

Air mata bercucuran laju. Sebak. Sehingga kabur mata dibuatnya. Saya menghantar pula satu mesej kepada Cik Adik Perempuan.

"[Cik Adik Perempuan], nanti tolong ciumkan [Puan Nenek] ntok [Inche gabbana]. Ckp kt dia, sorry sgt2 [Inche gabbana] x dpt dtg. N [Inche gabbana] doakan nenek ditempatkan bersama kekasihNya... ='|"

Basah juga baju saya dibuatnya. Baharu terasa kehilangan Puan Nenek ketika itu. 

Saya sebenarnya amat rapat dengan Puan Nenek. Malah bolehlah dikatakan dengan tidak malunya, saya mungkin antara cucu kesayangannya. Ketika pulang ke kampung pada dua minggu yang lepas, hanya saya dan Inche Papa yang pulang. Saya antara yang rajin berborak dengannya. Dahulu ketika Puan Nenek masih kuat, setiap kali saya pulang ke kampung, pasti dia akan mengambil peluang itu untuk memasakkan saya ayam percik air tangannya yang istimewa itu. Puan Nenek juga sanggup berjalan membelikan sarapan pagi untuk kami sekeluarga, setiap kali kami pulang ke kampung. Dan oh, saya amat gemar memegang kulit lehernya yang sudah kecut dan lembik itu. Setiap kali saya memegang kulit lehernya itu, pasti dia akan tertawa lucu. Pelik agaknya.

Saya mengenali Puan Nenek sebagai seorang yang amat pelembut dan baik hati. Ketika Tuan Atuk sakit dahulu, dialah yang menjaganya dengan penuh sabar dan cekal sehinggalah Tuan Atuk menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dia amat menjaga solatnya dan amat pemurah orangnya. Orang-orang kampung sekitar amat senang dengannya. Ketika Inche Pakcik Sulung meninggal dan isterinya pula meninggal tidak lama selepas itu, Puan Neneklah yang menjaga anak-anak mereka. Mereka amat rapat dengan Puan Nenek sehingga memanggilnya 'Mak' dan bukan dengan panggilan nenek.

Puan Nenek menghidap barah payudara, yang hanya dikesan beberapa bulan yang lepas. Menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, Puan Nenek enggan mendapatkan rawatan atau memeriksanya di hospital. Sebaliknya, dia memilih untuk berjumpa dengan bomoh kampung sahaja.

Hanya selepas dia mengadu kesakitan di dadanya, baharulah dapat disahkan yang dia menghidap barah. Ketika itu, barahnya sudah berada di tahap ketiga yang kritikal. Selepas itu, Inche Papa kerap kali berulang-alik ke kampung. Kami adik-beradik bergilir-gilir mengikut Inche Papa pulang. Saya masih ingat betapa sebaknya saya melihat keadaan Puan Nenek, apabila pertama kali pulang ke kampung setelah mengetahui yang dia menghidap barah. 

Kali terakhir saya bertemu dengannya, badannya hanya tinggal tulang sahaja. Setiap masa dia akan berasa panas dan sentiasa perlu diurut dan dibelai. Makan dan minumnya ala kadar sahaja. Dia tidak lagi mampu untuk bangun sendiri. Kencing beraknya di katil. Sekali-sekala dia akan dipapah untuk dimandikan. Dari suatu sudut, saya berasa lega juga akhirnya Puan Nenek pergi menghadap Allah yang Esa, kerana tidak sanggup lagi melihatkan dirinya penuh derita.

Jika ada satu perkara yang saya mahu sesalkan, adalah ketika ziarah terakhir bertemu dengan Puan Nenek dua minggu yang lepas. Saya mahu membacakan al-Quran sepanjang masa di sisinya, tetapi itu tidak dilakukan. Saya mahu menghabiskan lebih banyak bersamanya, tidak juga dilakukan. Saya mahu duduk di sisinya dan tunjukkan padanya yang saya sayang padanya, juga tidak dilakukan. I should have and could have done more than that. Tsk tsk.

Sebelum saya bertolak pulang ke Kuala Lumpur, saya sempat mengusap rambutnya dan mencium dahinya. Itulah pertemuan saya yang terakhir dengan Puan Nenek.

Masih terngiang-ngiang kata-katanya kepada saya dan ketika dia masih lagi sihat dan mampu berjalan dan berkata-kata dengan baik.

"Tak tahulah selepas ini [Puan Nenek] dapat jumpa [Inche gabbana] lagi atau tidak."

Minta maaf Puan Nenek, saya tiada di sana untuk memandikan jenazahmu, mengkafankan jasadmu dan mencium dahimu buat kali yang terakhir. Tidak dapat juga mengiringi jenazahmu ke liang lahad. Tetapi Insha-Allah, akan saya saya lawati pusaramu nanti. Dan akan saya titipkan doa-doa buatmu, sebagai penenang jiwa dan penerang pusara di sana. Insha-Allah Puan Nenek, kita tidak mungkin bertemu lagi di dunia, tapi moga kita akan bertemu mesra, ketawa gembira dan tersenyum penuh makna di sorga-Nya nanti.  

"Allahummafirghlaha warhamha wa'fuanha."

Moga Allah mengampunkan segala dosa-dosamu, Puan Nenek. Moga Allah menempatkan dirimu di kalangan kekasih dan hamba-hambaNya yang soleh. Dan moga dirimu ketemu bahagia yang kekal abadi di sana.

Sehingga kita ketemu lagi!

-gabbana-

Meriam binti Seman (192?-2012). Meninggalkan enam orang anak, berpuluh orang cucu dan berbelas orang cicit. Moga ketemu sorgaNya di alam sana. Amin. Al-Fatihah.
 

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP