14 August 2010

Si Pipit Kecil Yang Berusaha

Si pipit buntu. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Api semakin marak. Tinggi menjulang hingga ke langit. Bahang perit panasnya hanya Allah yang tahu.

Akhirnya si pipit mengambil keputusan untuk mencedok air dari sungai berdekatan menggunakan paruhnya yang kecil. Ah! Biarlah sedikit; utusan Allah perlu diselamatkan!

Beberapa ketika sebelum itu, Khalilullah, Ibrahim a.s. telah dicampakkan ke dalam unggun api oleh Namrud laknatullah dan konco-konconya. Semuanya berpunca oleh kejahilan mereka sendiri yang tidak mahu menerima kebenaran. Ibrahim a.s. hanya menguji mereka, mahu melihat sama ada mereka mampu berfikir dengan hati atau pun tidak. Nyatalah hati mereka telah lama buta.

Ibrahim a.s. telah menghancurkan semua berhala yang ada di kuil kecuali sebuah berhala yang paling besar antara semua. Ditinggalkan kapak yang memusnahkan bersama berhala yang terbesar itu.

Seusai pesta di kota, orang ramai kaget dan terkejut melihat 'tuhan-tuhan' mereka telah hancur semuanya. Kepalang tidak percaya apabila melihat berhala yang paling besar berdiri utuh dengan kapak tergantung di lehernya. Mana mungkin! Mustahil!

Lantas mereka semua memanggil Ibrahim a.s. untuk menjelaskan apa yang berlaku kerana hanya dia seorang yang tidak menyertai pesta di kota. Tambahan pula, dialah yang paling ganjil antara semua; masakan dia bisa menyeru manusia semuanya untuk menyembah Tuhan yang satu...?? Hahaha.. Gila apa si Ibrahim itu! Siapa yang mahu jaga lautan? Siapa yang mahu jaga hutan? Siapa yang mahu jaga makanan? Seorang Tuhan mana cukup!

Ibrahim a.s. disoal siasat. Ibrahim a.s. dengan selamba dan penuh keyakinan menunjukkan ke arah berhala yang paling besar. Tanyalah dia! Dia yang memegang kapak itu! Pastinya dia yang melakukannya!

Orang ramai berasa marah; Ibrahim mempermainkan mereka! Masakan patung yang kaku, tidak boleh bercakap, tidak boleh makan hatta tidak boleh bergerak seinci bisa memusnahkan berhala-berhala yang cukup banyak jumlahnya? Tidak masuk akal!

Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk menghukum Ibrahim a.s. dengan hukuman mati. Penghinaan yang dilakukan Ibrahim sudah keterlaluan. Selama ini mereka sudah cukup bersabar dengannya; panas telinga mereka mendengar dakyah-dakyah yang dibawa Ibrahim itu. Tapi kini Ibrahim perlu dihentikan buat selama-lamanya. Dia susah melampau!

Lantas Ibrahim a.s. dibawa menghadap Namrud, raja dan wakil Tuhan mereka di muka bumi. Namrud yang sudah lama memerhatikan tindak tanduk Ibrahim a.s. berasa sangat gembira kerana ini adalah peluang terbaiknya untuk menghancurkan ancaman yang dibawa Ibrahim a.s. yang mengganggu-gugat kedudukannya.

Namrud mengarahkan agar dikumpulkan sebanyak-banyaknya kayu api yang ada. Malah diarahkan agar ditebang pokok-pokok yang ada untuk dijadikan bahan bakar untuk menghukum Ibrahim a.s. yang ingkar.

Dari jauh lagi si pipit sudah memerhatikan hiruk-pikuk yang terjadi. Malah pokok kegemarannya yang selalu dijadikan tempat untuk dirinya bertenggek sambil memuji-muji kebesaran Rabb Yang Esa turut ditebang. Si pipit begitu hairan dengan apa yang sedang berlaku. Adakah mereka mahu mengadakan jamuan besar-besaran? Pesta apakah kali ini? Tapi, tak mungkinlah sebegini banyak kayu-kayu api yang mereka kumpulkan!

Si pipit sangat berminat untuk mengetahui upacara jahil apakah yang sedang dirancang oleh penduduk negeri yang sudah lama berpaling daripada menyembah Allah yang Esa. Begitu juga dengan warga rimba yang lain. Masing-masing tertanya-tanya, kehairanan dengan kesibukan penduduk negeri itu mengumpulkan kayu-kayu yang ada.

Sang belatuk dihantar untuk meninjau apakah sebenarnya yang sedang berlaku di negeri itu. Sang belatuk membawa pulang berita yang amat mengejutkan; Utusan Allah akan dihukum mati! Dia akan dibakar hidup-hidup!

Si pipit tidak keruan. Masakan berani mereka mengapa-apakan utusan Allah itu..?? Adakah mereka tidak gentar dengan azab Allah seandainya mereka melukai walau sedikit kekasih Allah itu..??

Si pipit bagai tidak percaya apabila melihat Ibrahim a.s. dilontar masuk ke dalam unggun api yang mengganas dan menjulang tinggi. Allah! Si pipit berasa cemas. Dia betul-betul tidak sanggup untuk melihat kekasih Allah itu dicederakan, walapun sedikit! Inikan pula dilontar ke dalam api yang membakar...!

Lantas si pipit terus mendesak rakan-rakan rimbanya yang lain untuk melakukan sesuatu dengan pantas. Namun mereka semua tidak berganjak. Ada yang hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala sahaja. Tiada apa yang mampu kita lakukan. Api itu terlalu marak menyala. Begitu besar dan tinggi nyalaannya. Masakan kita, binatang yang lemah dan tidak punya apa-apa mampu untuk memadamkannya? Serahkan sahaja pada Allah. Dia pasti akan membantu hambaNya yang mulia itu...

Tapi si pipit tidak berpuas hati dengan jawapan dan sikap acuh tak acuh mereka. Biarlah! Kalau mereka tidak mahu, aku mesti melakukan sesuatu! Aku mesti bertindak! Sekarang!

Si pipit terbang laju ke sungai yang berdekatan. Dia terus menjunam ke bawah dan pantas mencedok air dengan paruhnya. Dia lantas terbang tinggi di atas unggun api dan kemudian menuangkan air daripada mulutnya jatuh ke bawah. Dia kemudian terbang lagi ke sungai tadi, dan mengulangi perbuatannya itu sehinggalah dia penat dan tidak berdaya lagi.

Warga rimba yang lain hanya melihat gelagat si pipit dari jauh. Ada yang menganggap kerja si pipit gila. Ada yang tertawa sinis. Ada juga yang kasihankan melihat si pipit, tapi tidak mahu membantunya kerana merasakan kerjanya itu sia-sia.

Akhirnya apabila si pipit pulang ke sarang keletihan, beberapa warga rimba yang sejak tadi memerhatikan gelagatnya itu datang kepadanya, mengejek dan memerlinya.

"Hai pipit, sia-sia sahaja kerja kau tu. Kau seorang sahaja, mana mampu untuk memadamkan api sebesar itu..?? Sudahlah paruhmu itu secoet aja, beranganlah kau untuk menyelamatkan kekasih Allah itu..!"

Si pipit terdiam sebentar. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya, dan tersenyum...

"Sekurang-kurangnya aku sudah menjalankan tanggungjawab aku. Biarlah kecil sahaja usaha aku, tapi aku yakin Allah tahu kesungguhan dan ketulusan aku untuk membantu utusannya itu.

Sekurang-kurangnya di akhirat nanti, apabila ditanya oleh Rabbku apa yang telah aku laksanakan untuk membantu Ibrahim, aku dengan yakin boleh menjawab yang aku telah mencuba dengan sebaiknya menggunakan kudrat dan kemampuan yang aku ada. Kamu bagaimana...?"

***

Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati dengan kebenaran, dan saling menasihati dengan kesabaran.
- al-'Asr, 103: 1-3


Allahu a'lam.

-gabbana-

12 August 2010

Lawatan Muhibbah ke STAR

Salaam a'laikum warah matullah!

Fuh, akhirnya dapat update gak blog ni..! Hehe.. ^^" Oh oh, sebelum terlupa...

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK...!!!

Dan selamat mengimarahkannya...! ;) (ye la kalau Ramdhan kosong tak berisi, tak guna jugak kan sambut Ramadhan dengan kompang bunga manggar bagai...)

Anyway... Alhamdulillah Isnin lepas saya berkesempatan untuk pergi menziarahi sekolah dan cikgu-cikgi yang terchenta di Ipoh.. Walaweh...!!! Tak tergambar perasaan seronoknya dapat pergi melawat alma mater saya...! ;D

(Ok untuk pengetahuan semua, saya memang 'agak' rajin pergi melawat sekolah lama saya. At least setahun tu 2-3 kali la jugak.. Hihihi..)

Yang paling bestnya sebab dapat jumpa ramai cikgu-cikgi yang amat-amat dirindui...! Woohoooo..! Walau pun dah ramai cikgu-cikgi yang dah takde (berpindah, bersara, dan lain-lain sebab..) tapi alhamdulillah, masih ramai antara mereka yang masih komited untuk mengajar anak-anak bangsa di STAR.

Antara cikgu-cikgu yang saya berjaya temui di sana termasuklah Puan Asiah, Puan Noorishah, Puan Faezah, Puan Noridah, Puan Faridah, Puan Mastura Suhaimi, Puan Mastura Mokhtar, Puan Fuziah, Puan Julie, Puan Juliana, Ustazah Fatihah Alawiyah, Puan Mok Hei Kok, Miss Chan, Miss Chu, Ustaz Tanusi, Inche Izaheri, Inche King, Inche Zainuddin, Inche Megat, Inche Azli, Inche Shahnun dan beberapa orang tenaga pengajar baru di STAR.

The part yang paling mengharukan adalah layanan cikgu-cikgi terhadap saya selaku murid tua STAR; memang tak berubah dan still macam dulu lagi..! =') Seronok sangat dapat berborak dan bercurahat dengan mereka..!

Pada masa yang sama, agak sedih kerana tidak berpeluang berjumpa dengan guru-guru yang telah bersara wajib seperti Ustaz Mokhtar dan Puan Umaimah. Juga guru-guru yang tidak dapat diketemukan seperti Inche Muhammad dan Cik Ainun.

Anda tahu apa 'Quote of the Day' untuk hari itu...??

"Hey handsome...!"

Yang telah diucapkan dengan penuh tulus dan ikhlas oleh Puan Noorishah..! Hihihi.. ;p

Juga berpeluang untuk bercurahat dengan Ummi Noridah; banyak benda yang dibincangkan dengannya. Alhamdulillah, sangat-sangat bersyukur dan gembira kerana telah diberi peluang olehNya untuk duduk dan berborak dengan Ummi kerana banyak perkara yang dikongsi bersama membawa seribu makna dan pengertian yang sangat berguna.. Benarlah Dia adalah sebaik-baik perancang.. ;)

Sebelum saya bertolak pulang ke Kuala Lumpur, saya sempat duduk dan berborak bersama 3 orang pelajar Form 5; Inche HO, Inche H dan seorang lagi yang sudah saya lupa namanya.. ^^" Maaf seandainya saudara membaca post ini.. Hohoho.. (Nama-nama mereka terpaksa dirahsiakan atas sebab-sebab yang anda akan tahu selepas ini..)

Banyak juga perkara yang sempat diborakkan. Tapi just nak highlight beberapa perkara yang saya rasa AMAT PERLU untuk diberikan perhatian segera. Antaranya adalah dakwaan mereka bahawa PK HEM yang baru (seorang murid tua juga...) adalah terlalu lenient dan memanjakan pelajar. Antara contoh yang diberikan adalah PK HEM itu memberikan 'lampu hijau' untuk pelajar terbang dengan bebasnya di langit biru. Juga tidak kisah pelajar membakar paru-paru mereka, malah dikatakan beliau menasihatkan pelajar untuk pandai-pandailah cover selepas selesai proses pembakaran. -___-"

Antara isu lain yang dibangkitkan adalah ketidakberkesanan dan kemalasan para warden, yang kebanyakannya terdiri daripada cikgu-cikgi yang baru. Walaupun disebut juga seorang dua yang bagus. Juga isu para pelajar tingkatan empat yang seperti tiada hala tuju dan arah hidup (tapi ni macam bias sket.. rasanya semua Form 5 akan cakap benda yang sama.. Hihihi..).

Untuk isu PK HEM dan warden tu, saya memang berhajat untuk panjangkan isu-isu ni kepada STAROBA. Tambahan pula, menurut sumber-sumber yang sangatlah boleh dipercayai, ahli-ahli jawatankuasa baru yang dilantik pada OBW tempoh hari merupakan fresh faces dan aura yang dibawa mereka sangat-sangat disenangi oleh semua pihak. Jadi, besarlah harapan saya reform yang menyeluruh dan berkesan akhirnya dapatlah dilaksanakan..

IAllah kalau tiada aral melintang dan diizinkanNya, saya bercadang untuk ke alma mater saya itu sekali lagi. Kali ini dengan membawa buah tangan yang cukup mahal harganya..! ;)

Cheerios!

-gabbana-

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP